Friday, June 19, 2009

Orang Mukmin Akan Menghiasi Akhalaknya Dengan Sifat Malu

Assalamualaikum Warahmatullahi Wabarakatuh

سْمِ اللهِ الرَّحْمنِ الرَّحِيْم

Segala puji bagi Allah, Tuhan sekelian alam. Selawat serta salam buat junjungan mulia Nabi Muhammad SAW keluarga serta para sahabat dan pengikut yang istiqamah menuruti baginda hingga ke hari kiamat.

Sahabat yang dirahmati Allah,
Daripada Abu Hurairah, Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud: "Iman mempunyai lebih daripada enam puluh cabang. Adapun malu adalah salah satu cabang dari cabang iman."(Hadis riwayat Bukhari)

Abu Masud Uqbah bin Amr al-Ansari al-Badri berkata, Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud: "Sesungguhnya salah satu perkara yang sudah diketahui manusia dari kata-kata kenabian terdahulu adalah: Jika engkau tidak malu, berbuatlah sesuka hatimu." 
(Hadis riwayat Bukhari)

Sifat malu adalah gabungan daripada sifat takut akan dosa dan keinginan untuk menjaga kesucian diri. Namun sifat malu tidak seharusnya menyebabkan seseorang itu mensia-siakan hak Allah dan Rasul-Nya, diri sendiri serta ahli keluarganya.

Kita tidak boleh malu menuntut ilmu, melaksanakan amar makruf nahi mungkar atau malu untuk bekerja mencari nafkah. Sifat malu sebegini adalah malu yang tercela dan hanya menunjukkan kelemahan jiwa seseorang insan

Oleh itu hendaklah kita memupuk dalam jiwa perasaan malu yang positif kerana ia adalah akhlak Islam yang dituntut. Sabda Baginda yang bermaksud: "Sesungguhnya setiap agama memiliki akhlak, dan akhlak Islam adalah malu." (Hadis riwayat  Ibnu Majah)

Rasulullah SAW bersabda lagi maksudnya : "Sesungguhnya Allah Maha Pemalu (al-Hayaa) dan Maha Menutupi (al-Sitr), Dia mencintai rasa malu dan yang tertutup. Apabila salah seorang daripada kalian mandi, maka hendaklah dia menutupi diri."
(Hadis riwayat Abu Dawud)

Diriwayatkan daripada Ibnu Umar r.a:” Suatu ketika Rasulullah SAW terserempak dengan seorang Ansar (lelaki) yang sedang menegur saudara lelakinya kerana ia sangat pemalu. Ketika itu juga Rasulullah SAW bersabda maksudnya :” Biarlah dia kerana malu adalah sebahagian daripada iman.” (Hadis Riwayat Bukhari)

Dari sudut syarak malu adalah menahan diri dari melakukan sesuatu yang mengakibatkan sesuatu yang negatif bukan malu tersipu-sipu yang tidak kena pada tempatnya. Sifat malu tersipu-sipu dan merendah diri ini adalah al-jahalu. Contoh malu tersipu-sipu hingga takut menjawab soalan guru di kelas adalah contoh al-jahalu. Sikap ini disebabkan kurangnya keyakinan diri dan lemah peribadi. Tetapi al-haya’ (malu) adalah disebabkan sifat percaya diri dan kuat keperibadian lantaran kuatnya iman dalam menolak segala sesuatu yang negatif. 

Maka sifat malu itu sendiri adalah sebahagian daripada iman dan terpuji. Sifat malu menjadikan seseorang jauh daripada perbuatan hina dan maksiat sebaliknya meletakkan dirinya dalam keadaan kesempurnaan kerana selalu melakukan hal-hal yang positif. Dia akan berkata bahawa: “ Sesungguhnya aku adalah lebih tinggi daripada perbuatan terkutuk itu dan aku lebih mulia daripada perbuatan tercela itu.”. Dengan perkataan lain seseorang yang tidak mempunyai sifat malu, dia bukanlah hidup sebenarnya, tetapi sudah mati atau hampir mati imannya.

Sahabat yang dihormati,
Sesungguhnya apa yang di namakan malu dengan Allah SWT adalah orang yang sudah boleh menjaga kepalanya dari maksiat dan apa yang ada di kepalanya, dan menjaga perutnya jangan sampai masuk barang yang haram, dan menjaga kemaluannya jangan sampai berzina, dan menjaga tangan dan kakinya dari perbuatan maksiat, dan ingat dengan mati, dan ingat bahawa dirinya akan rosak. Dan barangsiapa yang menghendaki kebahagiaan akhirat hendaklah meninggalkan kesenangan dunia dan memilih kebahagiaan akhirat daripada dunia, barangsiapa yang sudah dapat mengerjakan semua yang telah tersebut di atas barulah orang tersebut di namakan orang yang malu kepada Allah, orang yang malu kepada Allah adalah orang yang malu bila melakukan maksiat sehingga tidak jadi mengerjakan maksiat dan itulah yang di namakan malu yang sesungguhnya.

Seseorang yang mempunyai budi pekerti yang baik adalah mereka yang rasa malu bila mengerjakan maksiat. Sentiasa berbuat baik, benar perkataannya, tidak berkata dengan perkataan yang keji (lucah), sedikit bicaranya kecuali ada menfaatnya, banyak amal soleh, sedikit kesalahannya, tidak berlebih-lebihan dalam semua perkara, suka menyambung persaudaraan, bersopan santun, banyak bersabar, sentiasa bersyukur kepada Allah, kasih sayang terhadap orang lain, menjaga diri dari yang tercela, tidak mudah marah, tidak mengadu domba (menghasut) orang lain, tidak mengumpat, tidak dengki dan iri hati, tidak bakhil, kalau dia mencintai sesuatu hanya kerana Allah dan membenci sesuatu juga kerana Allah dan kalau dia marah juga marah kerana Allah.

Sahabat yang dimuliakan,
Ramai wanita Islam hari ini mendedahkan aurat tanpa rasa segan silu. Menampakkan perhiasan diri tanpa ada perasaan malu kepada Allah SWT. Bersolek berlebih-lebihan, berwangi-wangian, pakaian yang menjolok mata hingga menampakkan bentuk tubuh badannya dan seksi, kadangkala merobah bentuk asal wajahnya dengan di lakukan pembedahan plastik, menggunakan botox dan lain-lain, semua ini tidak menampakkan ciri-ciri wanita solehah.

Di sudut yang lain pula, kita lihat gejala sosial telah melanda dengan hebatnya para remaja lelaki dan perempuan berdua-duaan dan berpasang-pasangan tanpa segan dan malu memenuhi taman-taman bunga, pusat membelli belah, tepi-tepi pantai dan pusat-pusat hiburan. 

Dalam keadaan seperti ini siapakah yang perlu di salahkan? Sebagai jawapannya kita tidak boleh menuding jari bahawa kesalahan itu di letakkan hanya kepada kedua ibu bapa sedangkan pihak lain tidak dipersalahkan. Untuk menyelesaikannya perlulah dikaji apakah punca dan sebab musabab kenapa masaalah ini boleh berlaku.

Sahabat yang dikasihi,
Untuk mengubati penyakit-penyakit ini setiap daripada kita iaitu sebagai ibu bapa, guru-guru, alim ulama, para pendakwah, pertubuhan dan persatuan Islam, jemaah Islam dan Jabatan Agama Islam perlulah berperanan dan bersatu tenaga untuk merawat dan jalankan proses pemulihannya. Kita tidak boleh menggunakan cara dan kaedah lain, melainkan kembali kepada kaedah rawatan yang di jalankan oleh Rasulullah SAW  iaitu membaiki akidah dan keimanan manusia terlebih dahulu sebelum membaiki kelemahan-kelemahan yang lain.

Apabila proses tarbiah dan dakwah berjalan dan berfungsi sepenuhnya di dalam masyarakat, akan lahirlah individu-individu mukmin yang beriman dan bertakwa kepada Allah SWT dan perasaan malu kepada Allah SWT berfungsi dalam kehidupan kita.

No comments: