Friday, July 17, 2009

Sirah Sahabat :Persaudaraan Islam Sebenar

Assalamualaikum Warahmatullahi Wabarakatuh

بِسْمِ ٱللَّهِ ٱلرَّحْمَـٰنِ ٱلرَّحِيم
 
Segala puji bagi Allah, Tuhan sekelian alam. Selawat serta salam buat junjungan mulia Nabi Muhammad SAW keluarga serta para sahabat dan pengikut yang istiqamah menuruti baginda hingga ke hari kiamat.

Sahabat yang dirahmati Allah,
Rasulullah SAW  telah membina masyarakat awal Islam di Madinah dengan mempersaudarakan antara Ansar dan Muhajirin lebih erat dari hubungan keluarga, sehingga saudara-saudara Islam itu sanggup mempusakai dan memberi hartanya kepada saudara seagama yang lain, tetapi tidak memberi kepada saudara yang seketurunan dan sekeluarga kerana berlainan agama. Contoh yang paling dekat ialah peristiwa Saad bin Ar Rabi’, seorang hartawan Ansar dengan Abdul Rahman bin ‘Auf. Abdul Rahman bin ‘Auf terkenal sebagai seorang ahli perniagaan di Kota Mekah, tetapi apabila beliau berhijrah ke Madinah beliau menjadi orang yang miskin kerana tidak dapat membawa hartanya bersama. Semua hartanya yang di tinggalkan di Mekah di rampas oleh orang kafir.

Apabila Rasulullah SAW mempersaudarakan keduanya itu, Saad bin Ar Rabi’ yang kaya sanggup membahagikan dua hartanya dan mempelawa Abdul Rahman untuk memilih salah satu di antara dua bahagian yang dia mahu. Saad juga sanggup menceraikan salah satu dari dua orang isterinya untuk di beri kepada Abdul Rahman.

Begitulah gambaran keteguhan persaudaraan diantara Muhajirin dengan Ansar yang diikat oleh Rasulullah SAW  dalam tahap pembinaan masyarakat awal Islam di Madinah. Bagaimanapun Abdul Rahman bin ‘Auf tidak mengambil kesempatan itu. Dia rela berdiri di atas kaki sendiri, kerana berdikari itu digalakkan oleh Islam. Meskipun Islam menyuruh kita memberi sumbangan kepada saudara kita, namun Islam melarang mengambil kesempatan daripada harta orang lain tanpa mengeluarkan tenaga daripada kita. 

Oleh sebab itu Rasulullah SAW  telah bersabda dalam sebuah hadis : “Al Miqdan bin Ma’dikarib r.a berkata Nabi s.a.w bersabda yang bermaksud : ‘Tiada seorang makan makanan yang lebih baik dari hasil usahanya sendiri. Nabi Daud a.s. juga makan dari hasil tangannya sendiri.” (Hadis Riwayat Al Bukhari)

Kisah yang berlaku kepada Abdul Rahman bin ‘Auf dan Saad bin Ar Rabi’ itu boleh memberi pengajaran kepada kita. Betapa tingginya semangat persaudaraan Islam hingga menepikan kepentingan diri sendiri. Sesungguhnya nilai persaudaraan itu lebih mahal daripada harta benda dan lain-lain kepentingan duniawi. 

Sifat mulia Saad bin Ar Rabi dan Abdul Rahman bin ‘Auf jelas terpancar dari perbuatan mereka itu. Ketika Saad bin Ar Rabi’ memberi tawaran, Abdul Rahman denga sopan menjawab : “Sesungguhnya Allah memberi berkat kepada saudara dan anak isteri saudara. Saya seorang yang berpengalaman dalam perniagaan. Rasanya tidak payah saya mengambil harta saudara. Cukup sekadar saudara beri pinjam kepada saya sebagai modal dan tunjukkan di mana pasar Madinah. Insya Allah saya akan dapat mencari harta dengan kerja saya sendiri. Dan Abdul Rahman telah bekerja dengan kuat sehingga ia menjadi seorang yang berharta dan dapat berkahwin dengan seorang perempuan Ansariah di Kota Madinah.

Begitulah nilai persaudaraan Islam yang berlaku di zaman masyarakat awal Islam. Sesungguhnya masyarakat Islam itu tidak dapat ditegakkan jika tidak diasaskan di atas persaudaraan Islam yang erat. Oleh itu tegakkanlah negara Islam di dalam diri kita sebelum kita menegakkan di atas bumi dan tanahair kita. Jika negara Islam belum tegak di dalam diri, selagi itulah cita-cita untuk membina masyarakat Islam dan negara Islam di luar diri tidak akan berhasil.

Dari Anas bin Malik, Rasulullah SAW  bersabda yang bermaksud : “Tiadalah dua orang yang berkasih sayang kerana Allah melainkan yang terlebih dikasihi Allah dari kedua mereka ialah orang yang terlebih kasih kepada saudaranya.”
(Hadis Riwayat Ibn Hibban dan Hakim)

Sahabat ayng dimuliakan,
Satu lagi contoh yang disebutkan oleh ahli sejarah ialah kisah persaudaraan tentera-tentera Islam. Setelah tamat Perang Yarmuk, seorang tentera Islam berjalan di tengah-tengah mayat para syuhada yang bergelimpangan untuk mempastikan samaada hidup atau mati.

Abu Jahm bin Huzaifah r.a meriwayatkan : “Semasa Peperangan Yarmuk bermula aku telah pergi untuk mencari saudara sepupuku yang ketika itu berada di bahagian hadapan di dalam pertempuran itu. Aku juga telah membawa sedikit air bersamaku untuknya. Aku dapati bahawa beliau luka parah di dalam pertempuran yang hebat itu. Aku cuba menghampirinya untuk memberikan pertolongan dengan sedikit air yang ada padaku itu. Dengan tiba-tiba aku terdengar rintihan seorang tentera yang luka parah di sisinya. Apabila sepupuku itu memandang keadaan demikian, lalu ia memalingkan mukanya dan mengisyaratkan kepadaku supaya membawa air itu dan memberikan kepada askar itu. Akupun pergilah kepada askar itu dengan membawa air tersebut bersama-samaku. Aku dapati dia ialah Hisyam bin Abilah. Sebelum sempat aku sampai di sisinya, terdengar pula teriakan dari seorang yang terbaring tidak jauh dari tempat dia berada itu. Hisyam juga telah mengisyaratkan kepadaku supaya membawa air kepada oramg itu. Akhir sekali sebelum aku dapat menghampirinya dia telah menghebuskankan nafasnya. Kemudian aku berkejar kembali ke tempat Hisyam, juga didapati beliau sudah meninggal dunia. Ketika itu juga dengan cepatnya aku pergi ketempat saudara sepupuku berada, tetapi dia juga telah mengikut kedua-dua mereka itu.”

Itulah gambaran persaudaraan yang diajar oleh Islam dan dihayati oleh umat Islam di zaman silam, sehingga mereka lebih mementingkan persaudaraan itu daripada kepentingan diri sendiri. Meskipun diri sendiri berada dalam kecemasan dan memerlukan pertolongan, tetapi mereka lebih mementingkan persaudaraan.Jika umat Islam tidak dapat merasai dan melaksanakan konsep persaudaraan itu di dalam diri, maka selama itulah cita-cita untuk memegakkan masyarakat Islam dan negara Islam tidak berhasil.

No comments: