Friday, September 25, 2009

Kalbu Yang Hidup Dapat Menundukkan Hawa Nafsu

Assalamualaikum Warahmatullahi Wabarakatuh

بِسْمِ ٱللَّهِ ٱلرَّحْمَـٰنِ ٱلرَّحِيم

Segala puji bagi Allah, Tuhan sekelian alam. Selawat serta salam buat junjungan mulia Nabi Muhammad SAW keluarga serta para sahabat dan pengikut yang istiqamah menuruti baginda hingga ke hari kiamat.

Sahabat yang dirahmati Allah,
Salah satu faktor terpenting untuk menang dalam pergolakan melawan hawanafsu ialah, hendaklah kamu sentiasa menghidupkan kalbumu agar ianya terang, tulus, teguh dan cerah berdasarkan bimbingan Rasulullah SAW.

Sabda Nabi SAW yang bermaksud : "Sesungguhnya Allah SWT. memiliki suatu wadah dibumi-Nya, iaitu kalbu-kalbu. Yang paling dicintai-Nya ialah yang paling lunak, tulus dan paling teguh dalam agama, paling tulus dalam keyakinan dan paling lunak dalam persaudaraan".

Pergunakanlah akalmu untuk faham, sedar dan peka mengumpul semua ilmu yang dapat menambah dekat dengan Allah s.w.t. Orang mukmin yang mempunyai akal sihat, padanya terdapat penglihatan yang sihat, yang mampu membezakan yang baik dan yang jahat, yang hak dan yang batil, yang bersih dan yang kotor, yang makruf dan yang mungkar, kerana ia melihat dengan nur Allah (cahaya Allah).

Barangsiapa yang tiada diberi Allah cahaya, maka tidak adalah cahaya baginya. Dan tidak ada yang dapat memadamkan cahaya itu, kecuali kemaksiatan dan engan bertaubat.

Rasulullah SAW. bersabda yang bermaksud : "Siapa yang melakukan perbuatan dosa, ia akan ditinggalkan pergi oleh akalnya untuk selama-lamanya."

Sahabat yang dimuliakan,
Jihad melawan hawa nafsumu adalah sebesar-besar jihad, kerana nafsu inilah yang akan menjadi penghalang untuk kamu berjihad melawan orang-orang kafir apabila sampai masa dan saatnya panggilan jihad berkumandang. Apabila kamu berjaya menundukkannya, itulah kemenangan yang paling utama dan luhur, yang memungkinkan kepadamu untuk melanjutkan perjalanan, meneruskan dakwah dan memenangkan perjuangan hidup.

Kejayaan ini hanya akan lahir dari keimanan, keikhlasan, kejujuran, kesabaran dan keberanian dalam mengucapkan perkataan yang benar dan yakin terhadap janji Allah, "Itulah kurnia Allah SWT, diberikan-Nya kepada sesiapa yang dikehendaki-Nya."

Apabilan nafsu sudah ditundukkan maka jiwa akan menjadi bersih dan bersedia memikul tugas dan tanggung jawab. Jiwa akan mampu melawan segala kesulitan, mampu menghadapi tentangan dan pukulan. Jiwa yang ikhlas ini akan sanggup untuk mengorbankan segala yang dipunyai dalam perjuangan agama Allah. Sentiasa memperkuatkan janji kepada Allah s.w.t. iaitu melaksanakan apa sahaja yang ditaklifkan (diamanahkan) kepadanya. Patuh dan faham dengan semua perintah dan larangan-Nya baik yang zahir maupun yang batin.

Asma binti Abu Bakar barkata, "Sesungguhnya kebahagiaanku dalam imanku, dan sesungguhnya imanku dalam hatiku, dan sesungguhnya hatiku tidak dikuasai oleh sesiapapun selain Allah."

Sahabat yang dihormati,
Jiwa orang-orang mukmin yang telah melalui proses tarbiah adalah bersikap lemah lembut, memaafkan kesalahan orang lain, menghulurkan bantuan kepada sesiapa yang memerlukan bantuan dan sentiasa menjalin perhubungan silaturahim. Peribadi seperti ini akan menaikkan darjatnya disisi Allah SWT.

Sabda Nabi SAW yang bermaksud : "Tidakkah kamu ingin kuberitahu dengan perkara yang Allah muliakan sesuatu binaan dan perkara yang Allah meninggikan darjat?"

Mereka berkata, "Bahkan ya Rasulullah."

Maka Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud, "Kamu bersikap lemah lembut dengan orang yang bersikap kasar terhadapmu, maafkan orang yang menzalimimu, memberi kepada orang yang tidak memberi padamu dan menghubungkan silaturahim dengan orang yang memutuskan silaturahim denganmu." (Hadis Riwayat At-Tabarani dan Al-Bazzar)

Sahabat yang dikasihi,
Apakah ciri-ciri seseorang itu mendapat keredaan Allah SWT dan ciri-ciri ia mendapat kemurkaan Allah?

Nabi Musa a.s. pernah bertanya kepada Allah SWT. yang bermaksud :
"Ya Rabbi, bagaimanakah saya akan mengetahui samaada seseorang itu Kamu cintai dan reda ataupun kamu benci dan murka?".

Jawab Allah SWT. yang bermaksud : "Bila sahaja Aku cinta dan reda kepada seseorang maka Aku permudahkan baginya untuk berzikir kepada-Ku dan Aku pelihara dirinya daripada melakukan perkara-perkara yang haram, sebaliknya bila Aku benci dan murka kepada seseorang maka akan Ku lalaikan ia daripada memperingati-Ku dan Aku biarkan ia dikuasai oleh hawa nafsunya supaya terjerumus melakukan perkara-perkara yang haram sehinggalah ia layak menerima seksaan dan balasan-Ku".

Akhir kata marilah kita renungkan kata-kata nasihat Al-Fudail bin Iyadh ;

Ingatlah daripadaku lima perkara :

1. Apa sahaja yang mengenaimu, maka katakanlah itu Qadak dari Allah SWT supaya engkau tidak menyalahkan makhluk.

2. Jagalah lidahmu supaya semua makhluk selamat dari lidahmu dan engkau selamat dari seksa Allah.

3. Percaya pada janji Allah mengenai soal rezeki supaya engkau menjadi seorang yang mukmin.

4. Bersiap-siaplah untuk menghadapi mati supaya engkau tidak mati dalam keadaan leka.

5.Berzikirlah pada Allah sebanyak-banyaknya supaya engkau terpelihara daripada dosa."

No comments: