Thursday, January 28, 2010

Hidup di Dunia Sebagai Perantau atau Pengembara

Dari Ibn Umar r.a., katanya : " Rasulullah SAW telah memegang bahuku dan bersabda : 'Anggaplah dirimu di dunia ini sebagai seorang perantau, atau pengembara.'

Maka Ibn Umar berkata : "Jika engkau berada di waktu petang, maka janganlah engkau menunggu pagi. Dan jika engkau berada di waktu pagi maka janganlah engkau menunggu petang. Gunakanlah waktu sihatmu sebelum datang waktu sakit. Dan gunakanlah waktu hidupmu sebelum datang waktu mati."

Pengajarannya :
Berdasarkah hadis di atas jelaslah kepada kita bahawa hidup di dunia ini adalah sebagai seorang perantau atau pengembara. Sebagai seorang pengembara biasanya apabila ia berada di satu tempat ia tidak akan berada lama ditempat itu. Ia akan meneruskan ke distinasinya yang masih jauh lagi.

Pengembara yang perihatin tidak akan membazirkan waktunya untuk membuat sesuatu pekerjaan yang tidak berfaedah sebaliknya ia akan membuat persiapan dan menyediakan bekalan yang cukup untuk ia teruskan perjalanan di tempat yang dituju. Agar ia tidak kecundang ditengah perjalanannya.


Perantau atau pengembara yang tahu kedudukan dirinya berada diperantauan tidak kekal lama maka ia tidak akan muda leka dan terpesona dengan keindahan tempat tersebut malahan ia menganggap kedudukannya adalah sebagai medan ujian untuk ia mencapai sesuatu yang lebih besar.

Begitu juga kehidupan kita di dunia ini adalah sebagai perantau atau pengembara untuk menuju ke hari akhirat. Hidup di dunia hanyalah sementara dan kehidupan akhiratlah merupakan kehidupan yang sebenarnya dan kehidupan yang kekal abadi.


Insan yang cerdik tidak akan menunggu waktu untuk mengerjakan amal soleh dan amal ibadah. Dipergunakan sepenuhnya waktu sihatnya, waktu lapangnya dan waktu hidupnya untuk mengerjakan amalan perbuatan dan pekerjaan untuk mencari keredhaan Allah s.w.t. Masa adalah kehidupan, tidak berlalu masa hidupnya walaupun sesaat melainkan ia melaksanakan kepatuhan dan ketaatan kepada Allah s.w.t. dan mengikut amalan sunnah Rasulullah s.a.w.


Oleh itu kita perlulah berhati-hati hidup di dunia ini kerana hidup di dunia hanyalah tempat senda gurau dan main-main. Walaupun dunia ini tidak kekal berbanding di hari akhirat tetapi ianya sebagai penentu kepada kebahagian hidup kita di sana. Apabila seorang Muslim Mukmin ketiaka di dunia ini mengerjakan beramal solah dan beribadah semata-mata kerana Allah maka ianya akan membantunya mencapai kebahagiaan di hari akhirat.

No comments: