Sahabat yang dirahmati Allah,
Apakah dia takwa? Menurut tafsir Ibn Kathir mencatatkan bahawa menurut Ibn 'Abbas r.a. orang yang bertakwa itu ialah, " Orang Mukmin yang berhati-hati daripada syirik, menjauhi syirik dan melakukan taat."
Al-Imam Hassan al-Basri pula berkata : "Takut dan menghindari apa yang diharamkan Allah, dan menunaikan apa-apa yang diwajibkan oleh Allah s.w.t.."
Takwa kewaspadaan, menjaga benar-benar perintah dan menjauhi larangan. Athiyah al-Sa'di menyatakan Rasulullah s.a.w. bersabda yang bermaksud : "Seorang hamba tidak dapat mencapai darjat takwa (muttaqin) sehingga meninggalkan apa yang tidak berdosa semata-mata kerana khuatir terjerumus ke dalam dosa."
Takwa dibayangkan sebagai kewaspadaan seperti dalam jawapan Ubai bin Ka'b apabila ditanya tentang takwa oleh Umar al-Khattab, "Apakah anda tidak pernah berjalan di tempat penuh duri? tanya Ubai.
"Saya sangat waspada dan bersungguh-sungguh menyelamatkan diri dari duri itu." terang Umar. Ubai berkata, "Itulah contoh takwa."
Sahabat yang dihormati,
Nabi s.a.w. bersabda yang bermaksud : "Seorang hamba Allah itu tidak mencapai tahap orang bertakwa sehingga ia meninggalkan sesuatu yang diharuskan untuk menjaga diri dari sesuatu yang diharamkan. Pada tahap ini, seorang itu tidak sahaja meninggalkan dosa besar tetapi juga dosa-dosa kecil sekalipun. Termasuk takwa pada tahap ini ialah takrif yang mengatakan bahawa takwa itu ialah Allah tidak melihat kamu berada di tempat larangan-Nya dan tidak kehilangan kamu di tempat suruhan-Nya."
(Hadis Riwayat al-Tirmidzi).
Al-Qur'an mengarahkan orang-orang beriman supaya bertakwa kepada Allah.
Firman Allah s.w.t. yang bermaksud : "Hai orang-orang yang beriman, bertakwalah kepada Allah sebenar-benar takwa kepada-Nya, dan janganlah sekali-kali kamu mati melainkan dalam keadaan beragama Islam."
(Surah Ali-Imran ayat 102).
Allah s.w.t. mengarahkan hamba-Nya supaya beriman dan bertakwa kepada-Nya dan meletakkan ukuran takwa sebagai satu-satunya ukuran kemuliaan insan. Allah mendorong hamba-Nya supaya menghiasi hidup dengan hiasan takwa dan membina peribadi takwa, lantaran itulah sebaik-baiknya jalan.
Sahabat yang dimuliakan,
Terdapat lima sifat-sifat orang bertakwa :
1.Beriman kepada Allah, kepada Rasulullah s.a.w, kepada al-Qur'an dan kepada hari akhirat.
2.Melaksanakan ibadah khusus dengan sempurna seperti solat, puasa dan haji.
3.Membelanjakan harta ke jalan yang diredhai oleh Allah. Mengeluarkan zakatnya, memberi bantuan kepada golongan yang memerlukan bantuan.
4.Golongan muttaqin menghiasi diri dengan akhlak yan mulia, melaksanakan amanah, menepati janji, sabar dalam kesempitan dan penderitaan, adil, pemaaf dan sentiasa berusaha mendekatkan diri dengan Allah.
5.Memelihara hubungan dengan Allah dan hubungan dengan sesama manusia dan alam seluruhnya.
Al-Qur'an menyatakan bahawa sifat takwa yang ada pada seorang boleh menenangkan perasaannya daripada takut, menjauhkan daripada dukacita di hari qiyamat serta mendapat pertolongan atau taufiq Allah di dalam kehidupan di dunia.
Firman Allah s.w.t. yang bermaksud : "Untuk orang-orang bertakwa (kepada Allah) pada sisi Tuhan mereka ada Syurga yang mengalir di bawahnya sungai-sungai, mereka kekal di dalamnya. Dan (mereka dikurniakan) isteri-isteri yang disucikan serta keredhaan Allah. Dan Allah Maha Melihat akan hamba-hamba-Nya."
(Surah Ali-Imran ayat 15)
Sahabat,
Apabila sifat takwa telah menjiwai kehidupan seorang insan maka segala pekerjaan, pengurusan dan amalan aktiviti harian kehidupannya akan menjadi sempurna dan teratur. Ia akan membangunkan masyarakat dalam setiap peringkat, pada diri, keluarga, organisasi dan negara. Kesemua urusan dakwah, tarbiyah dan jihad akan dapat dijalankan meliputi bidang politik, ekonomi, sosial, pendidikan dan pentadbiran akan dilaksanakan dengan amanah dan jujur.
Akhirkata marilah sama-sama kita tingkatkan takwa kita kepada Allah s.w.t. kerana sesungguhnya nilai takwa akan dapat meningkatkan darjat kemuliaan kita di sisi Allah s.w.t. dan mendapat kemuliaan di dunia dan akhirat.
Keseruan dan Keuntungan Berlimpah dari Bermain Slot Gacor Online
-
Keseruan dan Keuntungan Berlimpah dari Bermain Slot Gacor Online – Di era
dimana teknologi memudahkan segala aspek kehidupan, bermain judi slot kini
tak ...
1 year ago
No comments:
Post a Comment