Monday, June 21, 2010

Bersifat Pemurah dan Qudwah Hasanah

Assalamualaikum Warahmatullahi Wabarakatuh

بِسْمِ ٱللَّهِ ٱلرَّحْمَـٰنِ ٱلرَّحِيم
 
Segala puji bagi Allah, Tuhan sekelian alam. Selawat serta salam buat junjungan mulia Nabi Muhammad SAW keluarga serta para sahabat dan pengikut yang istiqamah menuruti baginda hingga ke hari kiamat.

Sahabat yang dirahmati Allah,
Seorang Muslim mestilah bersifat pemurah, sanggup berkorban dengan jiwa dan harta bendanya pada jalan Allah. Di antara cara yang dapat menyingkap kebakhilan seseorang itu ialah dengan cara memintanya membelanjakan wang ringgit kerana berapa banyak dari kalangan mereka yang berkedudukan, bercita-cita tinggi serta berpangkat gugur tercicir dari jalan ini, disebabkan oleh sikap rakus terhadap harta benda. Di dalam Al-Quran sendiri terdapat berpuluh-puluh ayat yang menjelaskan ciri-ciri keimanan yang dikaitkan dengan sifat pemurah.

Di antaranya:

وَمِمَّا رَزَقْنَاهُمْ يُنْفِقُونَ

Yang bermaksud:

Dan yang mendermakan sebahagian dari apa yang Kami kurniakan kepada mereka.
(Surah Al-Anfaal, Ayat: 3).

وَمَا تُنْفِقُوا مِنْ خَيْرٍ فَلِأَنْفُسِكُمْ وَمَا تُنْفِقُونَ إِلَّا ابْتِغَاءَ وَجْهِ اللَّهِ وَمَا تُنْفِقُوا مِنْ خَيْرٍ يُوَفَّ إِلَيْكُمْ وَأَنْتُمْ لَا تُظْلَمُونَ

Yang bermaksud:

Apa pun harta yang kamu infakkan, maka (kebaikannya) untuk dirimu sendiri. Dan janganlah kamu berinfak melainkan kerana mencari redha Allah. Dan ada pun harta yang kamu infakkan, nescaya kamu akan diberi (pahala) secara penuh dan kamu tidak akan dizalimi (dirugikan)" (Surah Al-Baqarah, Ayat: 272).

Orang-orang yang bakhil atau kikir seharusnya mendengar dan mengambil pengajaran dari pesanan Rasulullah s.a.w yang bermaksud :
"Tidak ada suatu haripun yang dilalui oleh seorang hamba kecuali (hari-hari) didatangi oleh dia Malaikat lalu salah satu darinya berdoa: "Ya Allah! Berikanlah ganti kepada si hamba yang menafkahkan hartanya". Manakala Malaikat yang kedua pula berdoa: Ya Allah! Berikanlah kebinasaan kepada si hamba yang bakhil ini".

Sahabat yang dimuliakan,
Rasulullah s.a.w. telah menunjukkan kepada kita qudwah hasanah (suri tauladan yang baik) adalah intuk menjadi ikutan kita. Qudwah hasanah adalah satu bentuk dakwah yang paling berkesan sekali untuk kita mengajak orang lain kepada kebenaran Islam. Betapa ramai orang kafir dizaman Nabi s.a.w telah memeluk agama Islam disebabkan mereka melihat contoh dan akhlak yang baik ditunjukkan oleh Rasulullah SAW.

Selain dari sifat-sifat yang dinyatakan di atas, seorang muslim mestilah menjadikan dirinya contoh ikutan yang baik kepada orang ramai. Segala tingkah-lakunya adalah menjadi gambaran kepada prinsip-prinsip Islam serta adab-adabnya seperti dalam hal makan minum, cara berpakaian, pertuturan, dalam suasana aman, dalam perjalanan malah dalam seluruh tingkah laku dan diamnya.

(Kitab-kitab yang membicarakan secara khusus mengenai tajuk ini yang dapat dijadikan sebagai renungan oleh para pembaca di antaranya ialah Kitab Riyadhus Shalihin karangan Imam Nawawi, Kitab Khuluqul Muslim (Akhlak Seorang Muslim) karangan Muhammad Al-Ghazali, Ihya' Ulumuddin karangan Imam Al-Ghazali dan Hayat As-Sahabah karangan Al-Kandahlawi).
 

No comments: