Friday, June 4, 2010

Jauhi Diri Daripada Sifat Mazmumah (Sifat Tercela)

Sahabat yang dikasihi kerana Allah,
Setelah kita melihat sepuluh sifat-siafat mahmudah yang perlu menghiasi akhlak seorang Mukmin, maka kita perlu juga mengetahui apakah sifat-sifat mazmumah atau sifat-sifat tercela yang perlu kita jauhi daripada diri kita. Jika kita amalkan sifat-sifat tercela ini, ianya boleh membawa kita jauh daripad Allah s.w.t dan jauh daripada iman dan Islam.

Oleh itu marilah sama-sama kita muhasabah diri kita adakah masih ada sifat-sifat mazmumah ini dan bagaimanakah caranya kita dapat membaikinya hingga kita buangkan sifat-sifat ini untuk ditukarkan kepada sifat mahmudah.

Sifat mazmumah ialah sifat-sifat yang tidak baik dan tercela, juga sifat yg patut kita jauhi.
Menurut Imam Ghazali antara sifat-sifat mazmumah ialah seperti berikut:

1. Gemar Makan dan Minum:
Nabi s.a.w bersabda maksudnya ” Yang terlebih Afdhal (utama) pada Allah s.w.t ialah orang yg banyak berlapar dan banyak tafakur (berfikir sambil meneliti) .Dan yang terlebih benci kepada Allah ialah orang yang banyak makan, banyak tidur dan banyak minum”.

2. Banyak berkata-kata (yg sia-sia):
Telah menjadi lumrah manusia suka berkata-kata, berbual-bual dan bersembang-sembang tetapi biarlah perkataan kita itu tidak sia-sia.

Firman Allah s.w.t yang bermaksud:
“Tidak ada kebaikan pada kebanyakan bisikan-bisikan mereka, melainkan bisikan-bisikan daripada yang menyuruh (manusia) bersedekah, atau berbuat makruf, atau mendamaikan manusia”
(Surah AnNisa ayat 114)

Abu Said al-Khudri r.a menceritakan, "Bahawasanya manusia itu apabila berpagi-pagi maka bersegeralah segala anggota kepada lidah. Dan mereka semuanya berkata : 'Kami menuntut kepada engkau dengan nama Allah bahawa engkau benar atas petunjuk, kerana bahawasanya jika engkau lurus, kami akan lurus dan jika engkau bengkok nescaya kami akan bengkok.'."

3. Marah:
Sifat marah berpunca dari kurang kesabaran dalam menghadapi sebarang keadaan. Orang yang demikian selalunya didorong oleh pengaruh Syaitan yang ingin merosakkan iman dan dirinya.

Sabda Rasulullah s.a.w. yang bermaksud :
"Orang yang terkuat di kalangan kamu semua ialah orang yang dapat mengalahkan hawa nafsunya di ketika dia marah dan orang yang tersabar ialah orang yang suka memberikan pengampunan di saat dia berkuasa memberikan balasan (kejahatan orang yang menyakitinya)"
(Hadis Riwayat Baihaqi)

Sabda Nabi s.a.w. lagi yang bermaksud :
"Tiada seorang pun yang meneguk satu tegukan yang lebih agung pahalanya daripada tegukan berupa kemarahan yang ditahannya semata-mata mengharapkan keredhaan Allah Taala."
(Hadis Riwayat Ibnu Majah)

4. Hasad dengki, dan iri hat:
Sifat di atas lahir daripada rasa kurang senang dengan nikmat yang dikecapi orang lain lalu mengharapkan nikmat itu terhapus daripadanya.

Nabi s.a.w bersabda yang bermaksud: ” Hasad itu memakan (memusnahkan) kebaikan , sebagaimana api memakan (membakar) kayu.”

5. Kasih kepada harta:
Tiada salah memiliki harta dan kemewahan hidup. Tetapi kemewahan yang membawa kepada sifat bakhil , tamak haloba dan juga membazir dibenci oleh Islam.

Dalam sebuah hadis sahih, seseorang yang bertanya kepada Nabi Muhammad s.a.w mengenai perbandingan antara kehidupan dunia dengan kehidupan akhirat, maka jawab baginda:
"Ketahuilah kamu bahawa jika dibandingkan kenikmatan yang ada di dunia ini dengan kenikmatan di dalam Syurga, maka dunia sebenarnya adalah tak lebih seperti seketul bangkai yang ditarik atau direbut oleh beberapa ekor anjing."

Sementara dalam sebuah hadis lain, bertanya pula seseorang kepada Rasulullah s.a.w. mengenai perbandingan antara dunia dengan akhirat, maka jawab baginda: "Celupkan jarimu ke air laut, maka air yang menitis dari hujung jarimu itulah dunia, manakala air yang selebihnya tertinggal di lautan itulah akhirat."

6. Takbur:
Banyak sebab yang boleh menyebabkan seseorang itu takbur atau sombong diri seperti nasab keturunan, kuasa pemerintahan, kekayaan, kelebihan ilmu, banyak pengikut dan banyak ibadat.

Sabda Nabi s.a.w yang bermaksud : "Jauhilah sifat takbur, sesungguhnya seseorang hamba yang selalu bersifat takbur lambat laun Allah akan memerintahkan malaikatnya, tulislah hambaku ini dalam golongan orang-orang yang zalim."
( Hadis Riwayat Ibn Adi Abi Umamah ).

Sifat takbur, merupakan satu sifat yang amat di cela dan di kecam oleh Islam. Baik dalam hadis mahupun
dalam Al Quran terdapat berbagai-bagai keterangan yang menganjurkan setiap Muslim agar menjauhi sifat takbur itu.
Ciri-ciri sifat takbur ialah:
1. Lupakan hakikat diri sendiri selaku mahkluk yang amat lemah.
2. Lupakan kekuasaan Allah.
3. Memandang hina kepada orang lain.
4. Enggan menerima kebenaran.
5. Memandang dirinya sahaja yang pandai, besar, sempurna, benar dan kuat.

7. Riyak ;
Riyak pula ditakrifkan sebagai sifat untuk menarik pandangan orang dengan menampakkan pelbagai amalan yang baik dilakukan semata-mata menginginkan pujian, pangkat atau kedudukan.

Sabda Rasulullah s.a.w. yang bermaksud: "Sesungguhnya yang paling ditakutkan daripada apa yang aku takutkan menimpa kalian adalah asy syirkul ashghar (syirik kecil). Sahabat bertanya: "Apakah dimaksudkan syirik kecil itu? Baginda menjawab: Riak."
(Hadis riwayat Imam Ahmad)

Riak ialah memperlihat atau menyempurnakan ibadat dengan tujuan mendapat pujian serta perhatian orang lain seperti solat dan puasa.

Nabi s.a.w bersabda yang bermaksud: "Mahukah kalian aku beritahu sesuatu yang lebih aku takutkan daripada Dajal?" Kami katakan: Tentu. Baginda bersabda:" Syirik yang tersembunyi iaitu apabila seseorang mengerjakan solat lalu dia menyempurnakan solatnya kerana melihat seseorang memandangnya."
(Hadis Riwayat Ibnu Majah)

8. Ujub;
Sifat ujub pula ialah berkait rapat dengan takbur dan riyak. Ujub bererti berasa hairan dengan keistimewaan dan kelebihan diri sendiri. Ini juga berkait rapat dengan kelebihan dari segi kecantikan , kepandaian, kekayaan dan lain-lain.

Orang yang terkena penyakit ujub akan memandang remeh dosa-dosa yang dilakukannya dan menganggapnya bagai angin lalu. Nabi s.a.w. telah mengkhabarkan kepada kita dalam sebuah hadis: “Orang yang jahat akan melihat dosa-dosanya seperti lalat yang hinggap di hidungnya, dengan mudah dapat diusirnya hanya dengan mengibaskan tangan. Adapun seorang mukmin melihat dosa-dosanya bagaikan duduk di bawah kaki gunung yang siap menimpanya.”
(Hadis Riwayat Al-Bukhari)

9. Kasih akan Dunia dan takut mati.
Hati yang sentiasa berpaut kepada kehidupandan kesenangan dunia akan menyebabkan seseorang itu takutkan mati. Hakikat sebenar kehidupan dunia ini telah digambarkan oleh Allah s.w.t. berfirman yang bermaksud :" Ketahuilah sesungguhnya kehidupan dunia adalah permainan, senda gurau, perhiasan, bermegah-megah antara kamu dan berlumba-lumba dalam mengumpul harta kekayaan dan anak pinak."

Daripada Tsauban r.a. berkata: Rasulullah s.a.w. bersabda yang bermaksud :
"Hampir tiba suata masa di mana bangsa-bangsa dan seluruh dunia akan datang mengerumuni kamu bagaikan orang-orang yang hendak makan mengerumuni talam hidangan mereka".
Maka salah seorang sahabat bertanya "Apakah dari kerana kami sedikit pada hari itu?"
Nabi s.a.w. menjawab, "Bahkan kamu pada hari itu banyak sekali, tetapi kamu umpama buih di waktu banjir, dan Allah s.w.t. akan mencabut rasa gerun terhadap kamu dari hati musuh-musuh kamu, dan Allah s.w.t. akan mencampakkan ke dalam hati kamu penyakit 'wahan".
Seorang sahabat bertanya, "Apakah wahan itu hai Rasulullah?"
Nabi Muhammad s.a.w. menjawab, "Cinta pada dunia dan takut pada mati".
(Hadis Riwayat Abu Daud)

Sahabat yang dimuliakan,
Marilah sama-sama kita jauhi sifat-sifat mazmumah di atas, kerana sifat-sifat ini adalah sifat ahli Neraka. Orang yang banyak amalan kebaikannya ketika di dunia tetapi bila dia buat kerana yang lain daripada Allah, kerana riak, ujub dan takbur segala amalan-amalannya adalah umpama debu-debu yang berterbangan. Allah s.w.t akan lemparkan amalan yang dilakukan bukan kerana-Nya kemuka orang tersebut. Dari itu berhati-hatilah kita jangan sampai sifat mazmumah ini ada dalam diri kita.

1 comment:

amni said...

boleh tak beritahu saye ape perbezaan sifat ujub dgn takbur???