Wednesday, June 30, 2010

Perkara-perkara Kebaikan dan Keburukan yang Perlu di Fahami

Sahabat yang dirahmati Allah,
Seorang Mukmin sentasa berhati-hati ketika menjalani kehidupan ini, supaya setiap amal soleh, ibadah dan perbuatannya dapat diterima oleh Allah s.w.t. sebagai amal soleh dan pada masa yang sama dapat menyelamatkan dirinya daripada kemurkaan Allah s.w.t.dengan meninggalkan segala tegahan-Nya

Rasulullah s.a.w bersabda, maksudnya:
“Tiga perkara yang menyelamatkan , iaitu takut pada Allah ketika bersendirian dan di khalayak ramai, berlaku adil pada ketika suka dan marah, berjimat cermat ketika susah dan senang, dan tiga perkara yang membinasakan iaitu mengikut hawa nafsu, terlampau bakhil dan kagum seseorang dengan dirinya sendiri.”

Berdasarkan hadis di atas dapatlah kita mengambil pengajaran bahawa terdapat tiga perkara yang menyelamatkan dan tiga perkara yang menyesatkan. Bila kita laksanakan dan tinggalkan ketiga perkara tersebut maka kita akan menjadi hamba Allah yang dikasihi-Nya

Tiga perkara yang menyelamatkan :

1.Takut pada Allah ketika bersendirian dan khalayak ramai.
Sabda Nabi s.a.w yang bermaksud, " Wahai Muaz, takutlah Allah, dimana kamu berada, dan turutilah kejahatan dengan kebaikan yang akan memadamkannya dan berakhlaklah dengan manusia dengan akhlak yang baik"
( Hadis Sahih Riwayat Tirmizi)

Thauban meriwayatkan satu pesanan junjungan , bahawa Nabi s.a.w bersabda yang bermaksud : “ Aku sangat jelas mengetahui bahawa ada golongan dari umatku yang akan datang pada hari Qiyamat dengan amalan soleh sebesar gunung Tihamah, tetapi Allah akan menjadikannya seperti debu-debu berterbangan.”

Thauban bertanya : “Wahai Rasulullah, ceritakanlah tentang mereka kepada kami dan beritahulah kami lagi, supaya kami tidak menjadi seperti mereka.”

Baginda bersabda lagi yang bermaksud : “Mereka adalah saudara kamu dan dari kaum kamu, melakukan ibadah malam seperti kamu, tetapi mereka adalah orang yang apabila mereka bersendirian, mereka akan melanggar larangan Allah.”
(Hadis Riwayat Ibn Majah)

2. Berlaku adil ketika suka dan marah.
Daripada Abu Hurairah r.a. beliau berkata: Rasulullah SAW telah bersabda: Setiap anggota badan manusia adalah sedekah baginya pada setiap hari apabila terbit matahari; engkau berlaku adil (iaitu mendamaikan) antara dua orang (iaitu dua orang yang berbalah) adalah sedekah.."
(Hadis Riwayat Bukhari dan Muslim)

“Daripada Aishah r.a. katanya, aku mendengar Rasulullah s.a.w. bersabda dalam rumahku ini, “ Ya Allah, sesiapa yang mentadbir sesuatu urusan pemerintahan umatku, kemudian ia melakukan kezaliman ke atas mereka (berlaku tidak adil), maka kembalikan kezaliman itu ke atas mereka. Sesiapa yang mentadbir sesuatu urusan pemerintahan umatku, dengan menunjukkan kasih sayang kepada mereka, maka kasihilah orang tersebut”.
(Hadis Riwayat Muslim)

Berlaku adil yang bermaksud meletakkan sesuatu pada tempatnya tanpa ada diskriminasi dan beremosi. Ini termasuk memberikan hak kepada yang berhak yang bukan terhad pada hubungan antara sesama makhluk sahaja malah dalam menjaga hubungan dengan Tuhan. Sifat adil akan menghidupkan suasana berkasih sayang dalam masyarakat.

3. Berjimat ketika senang dan susah.
Orang yang membelanjakan hartanya untuk jalan yang betul, yang diharuskan syarak, maka ia tidak diperkira sebagai membazir atau sia-sia. Orang yang mengorbankan hartanya dijalan Allah demi untuk kemaslahatan Islam maka itu tidak termasuk dalam amalan membazir. Begitu juga mereka yang menghabiskan sebahagian daripada hartanya untuk menyekolahkan anak, membina bangunan untuk tempat kediaman atau mengeluarkan hartanya untuk membeli kereta bagi keperluan harian. Namun demikian, orang yang mengeluarkan sebahagian harta bendanya, biarpun untuk membeli bahan makanan yang sedikit, tetapi disedari makanan tersebut tidak diperlukan dan terbuang begitu sahaja, maka perbuatan itu termasuk dalam perbuatan membazir.

Islam dengan tegas menegah seseorang membeli barang melebihi keperluan hidup atau berbelanja mengatasi jarum penunjuk pendapatan, lantaran akibatnya akan menimbulkan pembaziran yang dibenci Allah. Jika berbelanja melampaui batas untuk tujuan bermegah-megah, sehingga berlaku pembaziran hanya saja akan menggambarkan tingkah laku orang yang tidak tahu bersyukur dengan nikmat Allah. Sesungguhnya membazir itu adalah amalan syaitan sebagaimana keterangan daripada ayat yang bermaksud:

“Dan jangan membelanjakan hartamu dengan boros yang melampau-lampau. Sesungguhnya orang-orang yang boros itu adalah saudara-saudara syaitan, sedangkan syaitan itu pula adalah makhluk yang sangat kufur kepada Tuhannya.”
(Surah al-Israk ayat 26 – 27)

Tiga perkara yang membinasakan :

1. Mengikut hawa nafsu .
Firman Allah s.w.t yang bermaksud :
"Dan demi jiwa dan penciptaannya yang sempurna, maka Allah mengilhamkan (menunjukkan) jalan kejahatan dan jalan ketaqwaan. Sesungguhnya beruntunglah orang yang menyucikan jiwa itu dan rugilah orang yang mengotorinya."
(Surah As-Syams ayat 7-10)

Rasulullah s.a.w.telah bersabda:
"Seseorang kamu tidak benar-benar beriman sehinggalah hawa nafsunya tunduk menuruti ajaran yang
aku bawa."

Hadis ini menerangkan salah satu daripada tuntutan iman, iaitu mestilah hawa nafsunya tunduk dan
menurut ajaran yang dibawa oleh Junjungan Besar Nabi Muhammad s.a.w.. Sekiranya dia
mengutamakan hawa nafsunya daripada mengamalkan ajaran lslam, menyintai maksiat daripada amal
kebajikan, maka imannya tidak sempurna.

2. Terlampau bakhil (kedekut)
Nabi s.a.w. berwasiat kepada Sayyidina Ali k.w, maksudnya :
"Wahai Ali ! Orang yang pemurah itu dekat dengan Allah, dekat dengan rahmat-Nya serta jauh dari seksa-Nya, sedangkan orang bakhil (kedekut) itu jauh dari Allah, jauh dari rahmat-Nya serta dekat dengan seksa-Nya.

Wahai Ali ! Saya melihat tulisan pada pintu Syurga yang berbunyi "Syurga itu diharamkan bagi setiap orang yang bakhil (kedekut), orang yang derhaka kepada kedua orang tuanya, dan bagi orang yang suka mengadu domba (mengasut)."

Rasulullah s.a.w bersabda yang bermaksud: ”Sesiapa yang ditanya tentang ilmu lalu dia menyembunyikannya akan diikat mulutnya (meletakkan kekang di mulutnya seperti kuda) dengan kekang dari api Neraka pada Hari Kiamat.”
(Hadis Riwayat Abu Daud dan at-Tirmidzi)

Kita perlu ingat dengan larangan Rasulullah terhadap orang kedekut ini sebagaimana maksud hadis:

“… dan takutlah kamu dari sifat kikir, kerana sesungguhnya sifat kikir itu telah membinasakan umat sebelum kalian, yang mendorong mereka melakukan pertumpahan darah dan menghalalkan semua yang diharamkan Allah.”
(Hadis Riwayat Muslim)

3. Kagum dengan diri sendiri.(Sifat ujub)
Firman Allah s.w.t maksudnya, ".....Janganlah kamu terlalu bangga; sesungguhnya Allah tidak menyukai orang-orang yang terlalu membanggakan diri." (Surah. Al Qashash ayat 76)

Kagum dengan diri sendiri iaitu ujub dengan kelebihan diri sehingga menjadikan seseorang itu bersikap angkuh dan sombong serta suka menghina orang lain menyebabkan dia akhirnya disisihkan daripada masyarakat.

Salah satu sifat mazmumah yang amat dibenci Islam dan tidak disenangi dalam masyarakat ialah sifat ujub (perasan diri lebih). Ujub dapat diertikan sebagai ‘menganggap dan melihat diri lebih daripada orang lain’. Dengan menganggap diri lebih, seperti dari segi pengetahuannya, kealimannya, ibadatnya atau lebih kekayaannya daripada orang lain. Ujub ini sifat tercela, ia perlu segera dikikis dan dijauhi umat Islam kerana boleh mendorong kepada pelbagai sifat yang lebih buruk lagi, misalnya sombong, takbur, gila hormat, meremehkan orang lain dan sebagainya

Sahabat yang dikasihi Allah,
Marilah sama-sama kita mengambil iktibar di daripada hadis di atas iaitu supaya kita sentiasa merasai takut kepada Allah s.w.t. ketika berseorangan atau ada orang ramai , hanya jiwa yang beriman akan merasai kehadiran Allah s.w.t di di dalam seluruh kehidupannya. Merasai cctv Allah s.w.t. memfokus dan merakamkan seluruh amalan-amalannya baik yang nampak atau tersenbunyi.

Sentiasa berlaku adil walaupun kepada musuh samaada ketika suka atau marah. Kerana sifat adil adalah lebih hampir kepada sifat takwa.Dan salah satu sifat berjimat cermat dan tidak boros adalah satu sifat yang terpuji, Allah s.w.t. samakan orang yang bersifat boros adalah kawan syaitan. Sesungguhnya syaitan lebih suka membawa manusia kepada kebinasaan.

Perkara-perkara yang membinasakan manusia adalah suka mengikut hawa nafsu,sifat bakhil dan sifat ujub. Ketiga-tiga perkara ini semuanya membawa kepada kemurkaan Allah s.w.t. Sesiapa yang mengekalkan ketiga-tiga sifat ini sebenarnya ia menempahkan tempat duduknya di Neraka, nauzubillah. Oleh itu marilah sama-sama kita insaf dan sentiasa kembali kepada keredhaan Allah dan menjauhi larangan-Nya.

No comments: