Saturday, August 28, 2010

Hayatilah Do'a Iftitah Dalam Solat

Sahabat yang dirahmati Allah,
Setiap kali apabila kita ingin memulakan  solat selepas takbiratul ihram maka kita akan membaca do'a iftitah. Selepas membaca do'a iftitah kita akan membaca surah al-Fatihah dan membaca surah dalam al-Qur'an. Di dalam do'a iftitah yang kita baca terdapat beberapa do'a kita mohon kehadrat  Allah s.w.t.

"Sesungguhnya solatku, ibadatku, hidupku dan matiku kuserahkan hanya pada Allah Tuhan seru sekelian alam. Sekali-kali tidaklah aku menyekutukanNya . Dan dengan demikian aku ditugaskan, dan aku adalah dari golongan orang-orang Muslim"

Sahabat yang dimuliakan,
Jika kita perhatikan dan teliti  do'a-do'a tersebut sebenarnya kita sedang bermunajat dan menyerahkan diri sepenuhnya kepada Allah s.w.t.. Dan tidak ada tempat lain pergantungan kita melainkan kepada Allah s.w.t. Jika sehari semalam kita solat fardu lima waktu ini bermakna kita sedang bermunajat dan menyerahkan diri kepada-Nya sebanyak lima kali..Jika ditambah dengan solat sunat maka bertambah banyak lagi.

Do'a-do'a tersebut adalah seperti berikut :

Pertama : Solatku.
Kita melaksanakan solat semata-mata kerana Allah s.w.t. Solat adalah amalan yang pertama dihisap oleh Allah s.w.t dihari akhirat nanti.

Bila melaksanakan  solat hendaklah dengan khusyuk sesuai dengan keteguhan dan kemantapan iman dimilikinya. Pengertian khusyuk mencakupi seseorang itu memahami apa yang dibaca dan dilakukannya dalam solat. Menurut Imam al-Ghazali, dalam khusyuk itu juga harus ada rasa takut kepada Allah.

Kita memohon kepada Allah s.w.t. semoga dapat memelihara solat dengan begitu baik lagi sempurna. Waktu solat dijaga dengan baik seperti solat pada awal waktu. Begitu juga dengan rukun dan pelbagai syarat lainnya yang mana semuanya itu sangat diberi perhatian.

Rasulullah s.a.w bersabda yang maksudnya: “Sesungguhnya amal yang mula-mula sekali dihisab pada hari kiamat ialah sembahyang (solat) seseorang, jika sembahyangnya diterima maka sesungguhnya beruntunglah dan berjayalah ia, dan jika sembahyangnya tidak diterima maka kecewa dan rugilah ia. Sekiranya terkurang dari sembahyang fardhunya sesuatu, Allah berfirman:” Periksalah, adakah hamba-Ku itu mempunyai sembahyang-sembahyang sunat untuk dicukupkan dengannya apa yang terkurang dari sembahyang fardunya?” Demikianlah keadaan amal-amalnya yang lain. ”
 (Hadis Riwayat Tirmizi)

Rasulullah s.a.w. bersabda yang bermaksud :
"Berapa ramai orang yang mendirikan solat, tetapi yang diperolehinya hanya penat dan letih kerana mereka itu lalai dalam solatnya."

 Kedua : Ibadahku.
Kita mohon kepada Allah s.w.t semoga ibadah yang kita kerjakan semata-mata mencari keredhaan Allah s.w.t sesuailah dengan firman Allah bahawa kita diciptakan adalah semata-mata untuk beribadah kepada-Nya yang bermaksud,
"Dan tidak Aku jadikan jin dan manusia kecuali untuk mengabdikan diri kepadaku."
(Surah Azzariat ayat 56).

Konsep ibadah yang luas adalah mencakupi semua kehidupan manusia. Penciptaan manusia di bumi ini adalah mempunyai suatu tujuan dan tugas risalah yang telah ditentu dan ditetapkan oleh Allah s.w.t. yang menciptanya iaitu tugas melaksanakan ibadah mengabdikan diri sepenuhnya kepada Allah s.w.t. Melaksanakan ibdah khusus dengan mengikhlaskan hati kepada Allah s.w.t seperti  solat, puasa, berzikir, membaca al-Qur'an dan  mengerjakan haji. dan ibadah umum iaitu melaksanakan semua perintah-perintah Allah dan meninggalkan semua larangan-Nya.

Ketiga : Hidupku.
Hidup manusia di dunia hanyalah sementara dan kehidupan dihari akhirat adalah kehidupan yang kekal abadi. Di dunai adalah persingahan sementara sebelum menuju ke hari akhirat. Hidup yang bahagia adalah hidup mendapat rahmat dan redha Allah s.w.t.

Tugas kehidupan manusia di dunia adalah  sebagai khalifah Allah dalam makna mentadbir dan mengurus bumi ini mengikut undang-undang Allah dan peraturan- Nya. Firman Allah swt. maksudnya:“Dan Dialah yang menjadikan kamu khalifah (penguasa-penguasa) di bumi dan Dia meninggikan sebahagian kamu atas sebahagian (yang lain) beberapa darjat untuk mengujimu tentang apa yang diberikan-Nya kepadamu”. (Surahal-An’aam: 165)

Keempat : Matiku.
Kita mohon kepada Allah s.w.t semoga mati kita adalah mati yang baik. Di akhir kalam kita dapat mengucap kalimah syahadah. Berdo'alah semoga masuknya kita ke alam barzakh adalah merupakan taman-taman Syurga yang di sediakan oleh Allah untuk orang-orang yang beriman dan bertaqwa.

Oleh itu sebagai orang yang beriman kepada Allah s.w.t, hendaklah sentiasa berdoa agar kita mati dalam keadaan husnul khatimah (penutupan akhir hayat yang baik). Bukan dalam keadaan su'ul khatimah (penutup akhir hayat yang tidak baik)

Husnul khatimah bermaksud berakhimya kehidupan manusia di dunia dengan kesudahan yang baik sebaliknya su’ul khatimah iaitu berakhirnya kehidupan manusia sebagai penyudah yang buruk. Keadaan seseorang saat tutup usia memiliki nilai tersendiri, kerana balasan baik dan buruk yang akan diterimanya tergantung pada keadaan ketika saat tutup usianya, sebagaimana dalam hadis yang shahih iaitu, “Sesungguhnya amalan itu (tergantung) dengan penutupnya.”(Hadis riwayat Bukhari dan selainnya)

Oleh sebab itulah,sebagai seorang hamba Allah yang soleh kita sangat risau akan kesudahan hidup kita nanti. Oleh itu laksanakanlah amal soleh tanpa putus, merendahkan diri kepada Allah agar Allah memberikan kekuatan untuk tetap istiqamah sampai meninggal. Kita perlu berusaha merealisasikan firman Allah s.w.t. yang bermaksud, “Wahai orang-orang yang beriman, bertakwalah kepada Allah dengan sebenar-benar takwa dan janganlah kalian mati melainkan dalam keadaan muslim (berserah diri).”
 (Surah ali-‘Imran, ayat 102)

Kelima : Sekali-kali tidaklah aku menyekutukan-Nya.
Sentiasa berdo'a dan  memohon kepada Allah semoga kita tidak syirik dan menyekutukan Allah s.w.t dengan makhluk-Nya. Kerana sebesar-besar dosa adalah dosa syirik kepada Allah s.w.t.

Firman Allah s.w.t. yang bermaksud : “Sesungguhnya Allah tidak akan mengampuni dosa syrik, dan Dia mengampuni segala dosa yang selain dari itu (syirik), bagi siapa yang dikehendaki-Nya.”
(Surah An-Nisaa’ ayat 48)

Firman Allah s.w.t. yang bermaksud : "Orang-orang yang beriman dan tidak mencampuradukkan iman mereka dengan kezaliman (syirik), mereka itulah orang-orang yang mendapat keamanan dan mereka itu adalah orang-orang yang mendapat petunjuk."
(Surah al-An'aam ayat 82)

Keenam : Dan aku adalah dari golongan orang-orang Muslim
Kita berdo'a kepada Allah s.w.t bahawa kita adalah dari golongan orang-orang Muslim bukannya golongan kafir, zalim dan fasik.

Seorang Muslim adalah mereka yang beriman kepada Allah dan Rasul-Nya dan rukun-rukun iman yang lain. Melaksanakan semua yang wajib dan meninggalkan yang haram. Sentiasa taat dan patuh kepada Allah s.w.t tanpa ragu-ragu.

Sahabat yang dimuliakan,
Marilah sama-sama kita hayati maksud yang terkandung di dalam do'a iftitah yang kita ucapkan setiap kali apabila kita mendirikan solat lima waktu dan solat-solat sunat. Semoga dengan memahami konsep yang terkandung di dalam do'a tersebut menyebabkan solat kita akan bertambah khusyuk dan semakin hampir hati kita dengan Allah s.w.t.

No comments: