Tuesday, September 28, 2010

Perbaikilah Hati dan Lidah Kita Untuk Mencari Redha Allah

Sahabat yang dirahmati Allah,
Di dalam diri manusia terdapat dua ketul daging yang akan menjadi daging terbaik jika digunakan dengan baik dan betul dan akan menjadikan manusia  berjaya disisi Allah s.w.t. tetapi jika disalah gunakan maka ianya akan menjadi daging terburuk dan akan membinasakan diri manusia sendiri.

Terdapat nama mulia yang disebut  dalam al-Qur'an seorang lelaki bertaqwa yang memiliki ilmu dan kebijaksanaan bernama Luqman al-Hakim.

Mengikut Ibn Jarir At-Tabari pula, berpandukan riwayat daripada Khalid ar-Raj’ii: Lukman al-Hakim adalah seorang hamba dari Habsyah yang bekerja sebagai seorang tukang kayu.

“Pada suatu hari, tuan Lukman menyuruh beliau menyembelih seekor kambing dan membawa kepadanya dua ketul daging yang terbaik.

Perintah itu dilaksanakan Lukman dan dibawa kepada tuannya dua ketul daging terbaik iaitu hati dan lidah. Pada keesokan harinya, tuannya menyuruh beliau menyembelih seekor kambing lain dan membawa kepadanya dua ketul daging terkeji.

Perintah itu juga dilaksanakan oleh Lukman dan dibawa kepadanya dua ketul daging terkeji iaitu hati dan lidah. Tuannya berasa pelik dan bertanya kepada Lukman maksud perbuatannya itu dan Lukman berkata: “Sesungguhnya, bagi orang yang mulia, inilah harta terbaik dimilikinya dan bagi mereka yang keji, inilah harta terkeji terdapat dalam jasadnya.”

Begitulah contoh kebijaksanaan Lukman dikurniakan hikmah dari Allah selain mendapat kedudukan dan makam yang amat mulia di sisi Allah.

Sahabat yang dimuliakan,
Berdasarkan kisah Luqman di atas dapatlah kita mengambil pengajaran bahawa terdapat dua ketul daging pada diri manusia iaitu hati dan lidah. Apabila hati dan lidah  ini baik maka baiklah seluruh anggota mausia tetapi sebaliknya apabila ianya  buruk dan busuk maka akan rosaklah manusia itu sendiri.

Pertama : Hati mausia.

Sabda Rasulullah s.a.w yang bermaksud :"Di dalam jasad itu ada seketul daging, apabila rosak, maka rosaklah badan seluruhnya dan apabila sihat maka sihatlah badan seluruhnya, dia ialah hati."

Hati yang sejahtera adalah hati yang bebas daripada syirik kepada Allah s.w.t. Hati yang tunduk dan patuh kepada Allah s.w.t. dan hati yang sentiasa bersikap positif terhadap semua perkara dan hati yang ghairah dengan perkara-perkara kebaikan dan kebajikan, dan membenci kejahatan walaupun sekecil mana sekalipun.

Jika hati kalian telah menjadi hati yang sejahtera maka kalian akan merasai dekat dengan Allah dan menjadikan  kehidupanmu berpaksikan keredhaan Allah, bebas dari pengaruh nafsu amarah, syahwat dan syaitan.

Kalian akan dipandu oleh nilai-nilai murni, dan dapat memandu kepada kebaikan orang lain. Hati yang sejahtera juga  sentiasa akan melahirkan sifat tawaduk dan merendahkan diri dan tidak berskap sombong dan bangga diri.

Di dalam proses tarbiyyah Imaniah yang dijalankan oleh Rasulullah s.a.w, baginda menekankan aspek pembersihan hati dan jiwa daripada syirik dan karat-karat jahiliah. Tidak mungkin manusia mampu melaksanakan amanah dan tugasnya kalau hatinya masih kotor dengan hawa nafsu dan  kotoran jahiliah.

 Hati sangat sensitif, peka dan perasa. Ia adalah wadah tempat mengisi 'barang-barang'. Siapa yang mengisinya? Samaada syaitan atau malaikat, yang berebut-rebut mengisinya. Kalau malaikat yang mengisi, maka baiklah hati. Jika syaitan yang mengisi maka jahatlah hati. Yang diisi oleh malaikat ialah hidayah, wahyu dan ilham kebaikan. Jika syaitan yang mengisi, akan diisi dengan kekufuran, was-was dan keraguan.

Oleh itu marilah sama-sama kita perbaiki hati kita dengan diisi dengan iman dan taqwa supaya hati ini baik , sempurna, sejahtera dan bersih maka akan baiklah seluruh anggota kita.

 Kedua : Lidah manusia.

Lidah yang baik adalah lidah yang berzikir, membaca al-Qur'an, berkata benar dan mengajak manusia  kepada amal maaruf dan mencegah kemungkaran. Sedangkan lidah yang buruk adalah lidah yang digunakan untuk mendatangkan dosa kepada Allah s.w.t.

Abu Sufyan bin 'Abdullah al-Saqafi telah bertanya kepada Rasulullah saw, "Apakah anggota manusia yang paling merbahaya?". Rasulullah menunjukkan lidah baginda dan bersabda, "Inilah". Mulut dan lidah itu menjadi begitu merbahaya apabila disalahgunakan. Penggunaannya yang betul akan mendatangkan kebajikan dan kebahagiaan duniawi dan ukhrawi.

Abu Sa'id al-Khudri meriwayatkan Nabi s.a.w bersabda maksudnya : "Setiap pagi segala anggota manusia berpesan kepada lidah: 'Engkau hendaklah selalu menjalankan perananmu dengan betul, mengikut perintah Allah. Jika engkau betul, maka betullah kami. Jika engkau bengkok, maka turut bengkoklah kami".

Lidah adalah anggota manusia yang akan memandu anggota-anggota lain bila lidah lurus dan benar maka anggota-anggota lain akan mengikut perjalanan lidah.

Rasulullah saw bersabda maksudnya :  "Ada tiga perkara yang sesiapa terlibat dengan salah satu daripadanya, maka dia adalah munafiq, walaupun dia mengamalkan puasa dan sembahyang, iaitu, apabila bercakap dia berdusta, apa berjanji dia mungkir dan apabila diamanahkan dia khianati"

Berdasarkan hadis ini lidah yang buruk adalah apabila bercakap dia berdusta dan apabila berjanji dia mugkiri. Dua daripada tiga ciri-ciri munafiq adalah datangnya daripada lidah.

Salah satu kejahatan yang dilakukan lidah adalah suka mengumpat, memfitnahkan orang, menghasut atau menjadi batu api, mencerca, memaki-hamun dan sebagainya.

Rasulullah saw bersabda maksudnya : "Jauhilah kamu daripada mengumpat kerana mengumpat itu lebih jahat daripada berzina. Penzina, apabila bertaubat, mungkin diampuni Allah, tetapi pengumpat tidak diampuni oleh Allah sehingga dia diampuni oleh orang yang diumpatnya".

Ibnu al-Mubarak berkata : "Peliharalah lidahmu, kerana lidah itu menempah kebinasaan dirimu"

Imam Sufyan al-Tsauri pula berkata : "Jangan gunakan lidahmu untuk berbicara tentang apa yang boleh mematahkan gigimu".

Peribahasa melayu ada mengatakan : "Terlajak perahu boleh diundur terlajak kata buruk padahnya" dan "Sebab pulut santan binasa, sebab mulut badan binasa".

Sahabat yang dikasihi Allah,
Marilah kita bertaubat dan memohon ampun kepada Allah s.w.t disebabkan dosa hati dan lidah kita. Dosa hati adalah kerana ada perasaan hasad dengki, iri hati, riak , sombong ,bongkak dan takbur kepada Allah s.w.t. Dosa lidah pula banyak mungkir janji, bercakap bohong, mengumpat, menghina dan menyakiti orang lain. Ramai manusia  dihumbankan Allah s.w.t ke dalam Neraka adalah disebabkan dosa-dosa lidah yang dilakukan oleh manusia.

No comments: