Tuesday, November 23, 2010

Golongan Bukan Nabi Tetapi Sungguh Mulia di Sisi Allah

Sahabat yang dirahmati Allah,
Hidup diakhir zaman adalah kehidupan yang cukup mencabar. Seseorang paginya masih beriman tetapi petangnya boleh menjadi kafir, begitu juga seseorang petangnya masih beriman tetapi paginya pula boleh menjadi kafir. Agama boleh dijual beli dengan harga yang murah. Dengan nilaian wang tak seberapa seseorang sanggup menukar agamanya dan menjadi murtad. Kerana terpengaruh dengan janji-janji manis seorang gadis Muslim sanggup mengadai maruah diri dan tinggalkan ibu bapa yang telah lama mendidik dan memberikan kasih sayang dan tergila-gila mengikut teman lelakinya tanpa berfikir dengan waras.

Manusia telah hilang peduman hidup kerana terpengaruh dengan kebendaan kerana meletakkan hawa nafsu mengatasi segala-galanya. Perintah Allah dan Rasul-Nya diletakkan dibelakang dan mereka hanyut di bawa arus jahiliah yang deras.

Firman Allah s.w.t. yang bermaksud :
"Barangsiapa yang tidak diberi Allah petunjuk, tidaklah dia mempunyai cahaya sedikit pun."
(Surah An-Nur ayat 40)

Tanpa petunjuk daripada Allah s.w.t. tiada lagi jalan kehidupan di atas dunia ini yang dapat menyelamatkan manusia daripada kesesatan. Apabila manusia tidak mendapat petunjuk daripada Allah maka manusia akan tertipu dengan sangkaan-sangkaan dirinya sahaja.

Firman Allah s.w.t. yang bermaksud :
"Dan mereka berkata : 'Jikalau Allah yang Maha Pemurah menghendaki tentulah kami tidak menyembah mereka (Malaikat).' Mereka tidak mempunyai pengetahuan sedikitpun tentang itu, mereka tidak lain hanyalah menduga-duga (menyangka-nyangka) belaka."
(Surah Az-Zukhruf ayat 20 )

Al-Qur'an menjelaskan cahaya kebenaran itu adalah satu dan sumber mutlaknya adalah satu iaitu Hidayah Allah s.w.t. Sementara jalan kesesatan dan kegelapan itu adalah banyak, kesesatan itu boleh menjelma di dalam berbagai bentuk dan rupa. Oleh itu orang-orang Islam perlulah berhati-hati menjaga keimanannya kepada Allah s.w.t., kerana Allah s.w.t. sahajalah yang dapat menyelamatkan dirinya daripada kesesatan.

Sahabat yang dimuliakan,
Nabi s.a.w menjelaskan dalam hadisnya yang panjang bahawa terdapat satu golongan di akhir zaman nanti sangat mulai disisi Allah s.w.t. Sesiapa yang mengikut golongan ini mereka akan terselamat daripada fitnah dunia dan terselamat daripada kesesatan.

Baginda berkata dalam wasiatnya kepada Abu Hurairah : "Wahai Abu Hurairah! Hendaklah engkau mengikut jalan suatu kaum. Jika manusia lain merasa takut, mereka tidak takut. Jika manusia mencari keselamatan dari api Neraka, mereka tidak takut."

Abu Hurairah bertanya, "Siapakah mereka itu? Terangkan dan jelaskan mereka itu padaku hingga aku dapat mengenalinya."

Rasulullah s.a.w. menjawab, "Suatu kaum dari umatku di akhir zaman. Mereka berkumpul pada hari kiamat di tempat berkumpulnya para Nabi. Jika manusia memandang mereka, manusia mengira bahawa mereka adalah para Nabi dari keadaan yang mereka lihat hinggalah aku beritahukan kepada mereka nanti.

Aku katakan, "Umatku, umatku." Maka para makhluk mengetahui bahawa mereka bukanlah para Nabi. Mereka berlalu seperti kilat dan angin. Pandangan mata yang hadir kagum dengan cahaya mereka."
Abu Hurairah berkata, "Wahai Rasulullah, kemukakan padaku apakah amalan mereka. Mudah-mudahan aku dapat mengikuti mereka."

Rasulullah s.a.w. menjawab, "Wahai Abu Hurairah, kaum itu menempuh jalan sukar hingga sampai pada tingkatan para Nabi. Mereka memilih lapar setelah Allah memberikan (peluang) kepada mereka untuk (sentiasa) kenyang, memilih pakaian kasar setelah Allah memberi mereka pilihan berbagai pakaian, dan memilih haus setelah Allah memberi mereka rasa puas."

"Mereka meninggalkan itu semua kerana mengharap apa yang ada di sisi Allah (redha dan nikmat Syurga). Mereka tinggalkan yang halal kerana takut banyak dihisab. Mereka mempergauli manusia dengan badan-badan (lahir) mereka, tetapi itu tidak menyibukkan (hati) diri mereka (daripada mengingati Tuhan mereka). Para Nabi dan malaikat takjub dengan ketaatan mereka kepada Tuhan. Kebahagiaan bagi mereka!

Kebahagiaan bagi mereka! Aku ingin agar Allah mengumpulkan aku bersama mereka."

Kemudian Rasulullah s.a.w. menangis kerana rindu kepada mereka. Lalu baginda berkata, "Jika Allah hendak mengazab penghuni bumi lalu memandang mereka, maka Dia berpaling dan tidak jadi menurunkan azab. Barangsiapa berpaling dari jalan mereka, maka ia akan terbeban kerana kerasnya azab."

Sahabat yang dikasihi,
Siapakah golongan yang dimaksudkan oleh Nabi s.a.w seperti hadis diatas?
Mereka adalah golongan orang-orang Mukmin yang sentiasa berkasih sayang sesama mereka seperti dalam hadis Nabi s.a.w yang lain menyatakan yang maksudnya : "Mereka itu adalah satu kaum yang berkasih sayang kerana Allah walaupun tanpa ikatan kekeluargaan serta tanpa harta yang mereka saling memberi. Sesungguhnya demi Allah mereka berada diatas cahaya dan sesungguhnya mereka itulah cahaya. Mereka tidak takut apabila manusia takut dan mereka tidak berdukacita apabila manusia berdukacita".

Sifat kasih sayang dan saling tolong menolong adalah satu sifat yang mulia dan dikasihi oleh Allah s.w.t., bekerja sama untuk menegakkan amal maaruf dan mencegah kemungkaran. Bersama membina ukuwah Islamiyah dan menyambungkan silaturahim.

Oleh itu marilah sama-sama kita bermuhasabah diri kita dan saling nasihat menasihati dan membina kasih sayang ini semata-mata kerana Allah s.w.t semoga kita termasuk di dalam golongan yang bukan Nabi tatapi menduduki maqam yang tinggi seperti para Nabi.

No comments: