Tuesday, November 9, 2010

Ibadah Korban Amalan di Tuntut di Hari Raya Eidul Adha.

Sahabat yang dirahmati Allah,
Hari Raya Eidul Adha atau Hari Raya Haji merupakan perayaan yang dirayakan di seluruh dunia. Ia adalah perayaan terbesar di dalam Islam selain Eidul Fitri yang disambut pada setiap 1 Syawal. Eidul Adha disambut pada hari ke sepuluh, sebelas, dua belas dan tiga belas bulan Zulhijjah setiap tahun.

 Bermula dengan Takbir Eidul Adha pada malam 10 Zulhijjah, diikuti dengan solat sunat Eidul Adha serta khutbah Eidul Adha di pagi 10 Zulhijjah, sambutan diikuti dengan ibadah korban yang boleh dilakukan samada pada 10 atau 11 atau 12 atau siang 13 Zulhijjah.

Eidul Adha adalah perayaan yang istimewa kerana ia merupakan hari untuk umat Islam memperingati kisah pengorbanan Nabi Ibrahim a.s. mengorbankan puteranya Nabi Ismail a.s. dalam menunaikan perintah Allah dan kesabaran puteranya Nabi Ismail a.s. dalam memenuhi perintah Allah s.w.t.

Selain itu, salah satu keistimewaan Eidul Adha dan Hari Tasyrik ialah ibadat korban. Ibadat korban ini hanya boleh dilakukan dalam empat hari iaitu bermula waktu selepas khatib menyampaikan khutbah Eidul Adha  sehingga sebelum tenggelam matahari pada hari ke-13 Zulhijah.

Dari segi bahasa, korban bermaksud dekat, manakala dari segi istilah ia bermaksud menjalankan perintah agama atau taat kepada perintah Allah kerana ingin mendekatkan diri kepada-Nya.
Ibadah korban ialah penyembelihan haiwan tertentu pada tanggal 10, 11, 12 dan 13 Zulhijjah dengan maksud untuk mendekatkan diri kepada Allah s.w.t.. Hukum menyembelih haiwan korban pada Hari Raya Eidul Adha atau Hari Raya Korban ke atas umat Islam yang mampu ialah sunat muakkad dan meninggalkannya adalah makruh.

Allah s.w.t. berfirman maksudnya : “Maka solatlah kamu untuk Tuhanmu dan menyembelihlah”.
(Surah al-Kautsar ayat 2)

Mengikut tafsiran ulama maksud solat  pada ayat ini ialah solat Eidul Adha dan yang dimaksudkan dengan menyembelih ialah berkorban (ibadah korban).

Imam Ibnu Jarir mentafsirkan ayat tersebut seperti berikut:
“Jadikanlah solatmu ikhlas hanya untuk Allah semata dengan sama sekali tidak mengharapkan kepada selain daripada-Nya. Demikian juga korban yang kamu tunaikan, niatkanlah hanya untuk Allah, tidak untuk berhala sebagai tanda syukur terhadap apa yang telah dianugerahkan Allah kepadamu yang tidak terhingga banyaknya”.

Sahabat yang dimuliakan,
Banyak sekali hadis yang menerangkan akan kelebihan korban, ia antara ibadah yang mendapat ganjaran yang amat besar daripada Allah.

Rasulullah s.a.w. bersabda maksudnya :“Tidak ada amalan yang dilakukan oleh anak Adam pada Hari Raya Korban yang lebih disukai Allah melainkan menumpahkan darah (menyembelih binatang korban). Sesungguhnya binatang korban itu akan datang pada hari kiamat bersama tanduk, kuku dan bulunya dan Allah memberi pahala ibadah korban itu sebelum darah binatang korban itu jatuh ke bumi. Oleh itu, elokkanlah korban kamu.”
(Hadis riwayat Tirmidzi, Ibnu Majah dan Hakim).

Hikmah sebenar sesuatu ibadah hanya Allah s.w.t. sahaja yang tahu. Walau bagaimanapun ibadah korban yang menjadi amalan umat Islam sekarang mempunyai kaitan yang sangat rapat dengan peristiwa korban di antara Nabi Ibrahim a.s.. dengan anaknya Nabi Ismail A.S. Maka dengan melihat kepada peristiwa tersebut beberapa hikmah dapat disimpulkan :

Pertama : Ia menguji kekuatan iman dan keteguhan mental orang yang berkorban.

Kedua :  Supaya orang yang berkorban dapat menjauhkan diri daripada sifat terlalu sayangkan harta dan kedekut dengan harta yang Allah s.w.t. kurniakan kepadanya.

Ketiga : Berkongsi merasai nikmat Allah s.w.t.hasil daripada ibadah korban (nikmat daging sembelihan) dengan golongan yang kurang bernasib baik atau miskin.

Keempat :  Menghidupkan amalan sunah yang dilakukan oleh Nabi s.a.w ketika Hari Raya Eidul Adha dalam masyarakat salah satu syiar Islam iaitu berkorban binatang ternakan.

Kelima : Melahirkan sifat ikhlas semata-mata kerana Allah s.w.t dengan tujuan mencari keredhaan-Nya semata-mata.

Keenam :  Melahirkan budaya gotong royong di kalangan umat Islam dan membina ukuwah Islamiyah dan silaturahim

Sahabat yang dikasihi,
Ibadah korban juga mengingatkan kita kembali kisah dalam al-Qur'an iaitu kisah pengorbanan anak Nabi Adam a.s. iaitu peristiwa korban Habil dan Qabil menunjukkan betapa korban memainkan peranan yang sangat penting dalam menentukan hidup manusia.

Firman Allah s.w.t. maksudnya :  “Dan bacakanlah kepada mereka berita tentang dua anak Adam iaitu Habil dan Qabil dengan benar, ketika anak Adam itu mempersembahkan korbannya, maka Allah menerima korban salah seorang dari keduanya iaitu Habil dan tidak diterima korban yang seorang lagi iaitu Qabil. Qabil berkata: Aku pasti membunuhmu? Habil berkata: “Sesunguhnya Allah hanya menerima korban dari orang-orang yang bertakwa”.
(Surah al-Maidah ayat 27)

Sesuatu ibadah itu yang dikerjakan mestilah ikhlas dan dibena atas dasar taqwa kepada Allah s.w.t. barulah akan diterima oleh-Nya. Oleh itu jika kita berkemampuan tunaikanlah ibadah korban ini sekurang-kurangnya sekali seumur hidup dan paling afdhal adalah setiap tahun sekali kerana ganjaran pahalanya cukup besar yang akan kita terima daripada Allah s.w.t.




No comments: