Monday, December 20, 2010

Orang Mukmin Sentiasa Bersabar dengan Musibah dan Reda dengan Ketentuan Allah

Sahabat yang dirahmati Allah,
Sebagai manusia biasa dan sebagai hamba Allah s.w.t hidup kita di dunia ini tidak akan sunyi dengan kesusahan, dugaan,  ujian, musibah dan kedukaan. Samaada musibah ini berlaku ke atas diri kita sendiri, ahli keluarga, jiran tetangga , sahabat-handai maupun di dalam masyarakat .

Tetapi orang mukmin sentiasa bersikap positif dan reda dengan qada dan qadar daripada Allah S.W.T.

Setiap apa yang ditakdirkan oleh Allah S.W.T.dianggap sebagai baik kerana mengandungi hikmah yang mungkin tidak dapat dijangka oleh akan fikiran mausia. Dan hanya Allah S.W.T. sahaja yang Maha Mengetahu segala hikmah di atas setiap kejadian dan ketentuan-Nya.

Firman Allah S.W.T. maksudnya : "Dan Kami pasti menguji kamu dengan sedikit ketakutan, kelaparan, kekurangan harta, jiwa, buah-buahan. Dan sampaikanlah khabar gembira kepada orang-orang yang sabar. (yaitu) orang-orang yang apabila ditimpa musibah, mereka berkata ; "Inna lillahi wa inna illahi rajiun" (sesungguhnya kami milik Allah, dan kepada-Nyalah kami kembali). Merekalah yang memperoleh ampuna dan rahmat dari Tuhannya, dan merekalah orang-orang yang mendapat petunjuk."
(Surah al-Baqarah ayat 155-157)  

Kalimat "Inna lillahi wa inna illahi rajiun" dinamakan kalimat "istirja" (penyataan kembali kepada Allah). Disunatkan menyebutnya ketika ditimpa musibah baik besar atau kecil.     

Sahabat yang dimuliakan,
Sifat sabar adalah sifat orang mukmin yang sentiasa hati dan jiwanya berhubung dengan  Allah S.W.T. dan apabila sesuatu yang mendukacitakan berlaku atas dirinya lidahnya terus menyebut "Inna lillahi wa inna illahi rajiun"(sesungguhnya kami milik Allah, dan kepada-Nyalah kami kembali.)

"….Tidak ada orang yang berputus asa dari rahmat Tuhannya, kecuali orang-orang yang sesat". 
(Surah al-Hijr ayat 56)

Orang mukmin yang sabar dan  yakin dengan janji-janji Allah sebenarnya mempunyai tujuh prinsip yang menyebabkan dia tidak kecewa dan berputus asa dengan rahmat Allah S.W.T.:

Pertama : Kita mesti yakin kepada Allah. Sesungguhnya yakin kepada Allah sepenuhnya menjadi kami tenang menerima apa saja ketentuan Allah keatas diri kami. Kita yakin apa yang ditentukan-Nya itu yang lebih baik untuk kita. Sekalipun pada zahirnya  nampak tidak baik.

Kedua : Kita hendaklah yakin bahawa ketentuan Allah pasti akan terlaksana. Tiada sesiapa dapat lari darinya. Sesungguhnya tiada sesiapa yang boleh menolak ketetapan-Nya. Maka semestinyalah kita reda dengan ketetapan Allah, tidak merintih dan menyesalinya.

Ketiga: Kita hendaklah yakin bahawa apa yang kita hadapi hari ini merupakan ujian daripada Allah.Kejayaan dalam sesuatu ujian hanya boleh dicapai dengan bersabar serta mengharapkan ganjaran daripada Allah. Dan kita sentiasa meletakkan harapan yang tinggi bahawa Allah akan menggantikan untuk kita keadaan yang lebih baik sama ada di dunia dan akhirat. Dengan itu kita tidak dihimpit kerisauan dan keluh kesah.

Keempat : Kita hendaklah yakin bahawa jika kita tidak sabar maka apalah gunanya kita merintih? Pastinya rintihan hanya akan menambahkan kesedihan, kerisauan, keluh kesah yang akhirnya membawa padah tidur tak lena, makan tak selera dan ibadah tak sempurna.

Kelima : Adalah tidak mustahil kita  akan ditimpa bencana yang lebih teruk daripada apa yang dialami sekarang. Lantaran itu kita hendaklah bersyukur kepada Allah terhadap bencana yang kita terima ini. Bukankah pepatah ada menyebut ‘sesiapa yang melihat kesusahan orang lain akan berasa ringan kesusahan yang ditanggungnya?'.

Keenam : Musibah yang menimpa diri kita bukan pada agama. Sesungguhnya yang sebenar-benar musibah itu ialah musibah pada agama iaitu apabila seseorang insan berada didalam kesesatan, kefasikan atau kekufuran. Adapun musibah yang lain daripada itu, sama ada terhadap harta, anak atau diri sendiri semua itu ringan sahaja. Kesannya pun hanya seketika berbanding dengan musibah pada agama serta kesesatannya. Lantaran itu Rasulullah S.A.W. berdoa maksudnya : “ Wahai Tuhanku, janganlah Engkau jadikan musibah kami atas agama kami”

Ketujuh : Dan yang akhir, sesungguhnya kita sedang menanti pertolongan daripada Allah. Dari satu detik ke satu detik kerana sesungguhnya semua urusan itu di tangan Allah. Berterusannya sesuatu keadaan itu adalah sebahagian daripada perkara yang mustahil.

Firman Allah S.W.T. yang bermaksud “…Dan demikianlah Kami tukar gantikan hari-hari itu di antara manusia…”
(Surah Ali- Imran ayat 140)

Firman Allah S.W.T. maksudnya : “Boleh jadi kamu membenci sesuatu padahal ia amat baik bagimu, dan boleh jadi pula kamu menyukai sesuatu, padahal ia amat buruk bagimu, Allah mengetahui sedangkan kamu tidak mengetahui.”
(Surah Al-Baqarah ayat 216)

Sahabat yang dikasihi,
Marilah kita berpegang kepada tujuh prinsip di atas semoga hati kita sentiasa reda dan tidak keluh kesah atas apa saja dugaan dan cabaran di dalam kehidupan ini. Ingatlah hidup kita hanya sementara dan di akhiratlah kehidupan yang kekal abadi . Apabila kita bersabar maka Allah S.W.T. telah berjanji di dalam al-Quran yang bermaksud : "Sesungguhnya orang-orang yang bersabarlah sahaja yang akan disempurnakan pahala mereka dengan tidak terkira"
(Surah az-Zumar, ayat10).

No comments: