Wednesday, January 12, 2011

Sifat Bertimbang Rasa dan Faham Memahami adalah Sifat Orang Mukmin

Sahabat yang dirahmati Allah,
Sifat bertimbang rasa dan saling faham memahami memang tidak dinafikan sebagai sifat yang baik, dalam Islam memang dituntut sifat-sifat terpuji ini. Sebagai seorang mukmin, sifat-sifat ini sememangnya dituntut untuk ditunaikan.

Benih rasa simpati atau timbang rasa ini dapat dikesan ada dalam hati bila berhadapan dengan orang yang mendapat kesusahan. Walaupun kita tidak dapat menolong dan membantunya tetapi secara automatik timbul rasa belas kasihan atau simpati itu. Setelah dikesan didapati ada sifat baik ini maka mestilah disuburkan dan dikekalkan. Ini supaya mendorong kita menolong orang yang susah atau sanggup bersusah payah untuk berkhidmat dan berbakti pada orang lain.

Syariat juga menyuruh kita bersimpati atau bertimbang rasa atau bertolak ansur pada orang lain. Sabda Rasulullah S.A.W. maksudnya : "Sebaik-baik manusia ialah manusia yang dapat memberi manfaat kepada manusia lain." (Hadis Riwayat Qudha'i dari Jabir)

Kita perlu bertimbang rasa dengan orang bawahan kita iaitu pekerja atau pembantu rumah, sifat bertimbang rasa ini boleh menjalinkan perhubungan yang baik di antara majikan dengan pekerja.

Diriwayatkan daripada Abu Dzar r.a: “Aku mencerca seseorang dengan memanggil ibunya dengan panggilan yang buruk. Nabi Muhammad S.A.W bersabda kepada ku: “Ya Abu Dzar! Apakah kau mencaci maki seseorang dengan menyeru ibunya dengan panggilan yang buruk? Dalam diri mu masih tertinggal sifat-sifat Jahiliah. Pembantu-pembantu mu adalah juga saudara-saudara mu dan Allah menempatkan mereka di bawah perintah mu. Maka sesiapapun yang saudaranya di bawah perintahnya harus diberi makanan yang sama dengan yang ia makan dan diberi pakaian yang sama dengan yang ia pakai. Jangan suruh mereka mengerjakan pekerjaan di luar kemampuannya dan apabila kamu terpaksa melakukannya, bantulah mereka.” (Hadis Riwayat Bukhari)

Berdasarkan hadis diatas jelaslah kepada kita bahawa jika kita seorang ketua atau majikan maka sifat timbang rasa dan komunikasi dua hala seharusnya berlaku antara majikan dan orang bawahan. Seseorang majikan atau pun ketua tidak seharusnya mempunyai sikap angkuh pada kedudukan atau jawatan yang disandangnya.

Sikap megah diri akan menyebabkan seseorang majikan itu tidak dapat bekerjasama dengan orang bawahan sehingga menerbitkan perasaan dendam dan benci mereka terhadap ketua. Seharusnya seorang ketua mestilah menghargai setiap usaha yang dilakukan oleh pekerjanya, biarpun betapa kecil kerja tersebut atau ianya belum mencapai piawaian yang dikehendakinya kerana tanpa usaha yang dilakukan oleh orang bawahan mustahil seorang ketua dapat mencapai tahap kecemerlangan.

Justeru jangan menganggap orang bawahan sebagai hamba dan hendaklah menghormati maruahnya sebagai seorang manusia seterusnya memberikan penghargaan seadil-adilnya tanpa adanya sifat pilih kasih.

Sahabat yang dimuliakan,
Bertimbang rasa terhadap ibu bapa, umpamanya jangan meminta sesuatu yang tidak termampu diadakan oleh orang tua kita, sebagai seorang anak perlu menghormati dan menjaga hati mereka supaya tidak terluka disebabkan perbuatan kita kepada mereka.

Sifat bertimbang rasa perlulah menguasai hidup kita dengan sesiapa saja yang kita berurusan, misalnya  jika kita terjumpa warga mas membawa beban berat tolonglah mereka membawanya. Jika kita di dalam bas dan di dapati warga mas berdiri tidak mendapat tempat duduk, kita bolehlah memberinya tempat duduk. Utamakanlah orang yang lebih tua daripada kita jika ia memerlukan . Kerana dengan menghormatinya adalah tanda  adab dan prihatin kita kepada golongan warga mas kerana kita juga akan sampai kepada umur sepertinya.

Isteri  perlulah bertimbang rasa dan memahami akan kemampuan suami, jika suami tidak mampu mengadakan segala kemudahan yang diperlukan, memadailah dengan keperluan asas iaitu pendidikan, makanan, tempat tinggal dan pakaian. Selebihnya berpada-pada dan bersifat qanaah kerana menuntut sesuatu diluar kemampuan adalah suatu yang akan menyempitkan kehidupan.

Suami pula perlu bertimbang rasa kerana keletihan isteri bekerja dan menguruskan rumahtangga, jangan mengharapkan layanan kelas pertama tanpa memberi bantuan untuk melaksanakan secara bersama kerja-kerja rumah seperti memasak, mengemas rumah, membasuh pakaian dan sebagainya.

Selain itu, bertimbang rasa terhadap hajat sahabat  kepada kita perlu diberi perhatian, bantulah seberapa yang boleh, jika dia berhutang daripada kita dan dia belum mampu untuk membayarnya, maka berilah dia tempoh untuk menjelaskannya.

Ingatlah!  Meringankan beban saudara kita bererti kita juga  meringankan beban untuk diri kita sendiri kerana saudara seagama itu adalah saudara kita  dunia dan juga akhirat.

Oleh itu, janganlah kita bersikap tidak peduli atau bakhil terhadap mereka. Perangai dan sikap ini akan merosakkan hubungan persahabatan kita dengan saudara  seagama. Ingatlah sifat bertimbang rasa itu meringankan beban orang lain adalah sifat yang mulia disisi Allah S.W.T.dengan cara ini Allah SWT akan meringankan  beban kita di dunia dan akhirat.

Selain sifat bertimbang rasa, sifat saling faham memahami juga amat penting dalam persahabatan kerana ia adalah sifat terpuji yang harus ada pada setiap muslim.

Sabda Nabi S.A.W kepada Saydina Ali k.w : "Wahai Ali ! Tanda sahabat sejati itu ada tiga iaitu :
1.Ia lebih memperhatikan hartamu daripada hartanya sendiri.
2.Lebih mementingkan dirimu daripada kepentingan dirinya.
3.Lebih menghormatimu daripada kehormatannya sendiri."

Jika sahabat kita berada dalam kesusahan atau mempunyai masalah, bantulah mereka dengan ikhlas dan berilah mereka keyakinan yang kita  sedia membantunya selagi termampu.

Dengan demikian, lakukan dan amalkanlah adab-adab yang dianjurkan oleh Islam ini dalam persahabatan kita agar setiap persahabatan yang dibina menjadi utuh dan kukuh serta mendapat rahmat daripada Allah S.W.T.

Daripada Abu Hurairah r.a. Rasulullah S.A.W. bersada yang maksudnya, "Siapa yang melapangkan satu kesusahan orang yang beriman daripada kesusahan-kesusahan dunia, Allah akan melapangkan orang itu satu kerumitan dari kerumitan akhirat. Dan siapa yang memudahkan orang yang susah, Allah akan memudahkannya didunia dan diakhirat. Siapa yang menutup keaiban orang Islam, Allah akan menutup keaibannya didunia dan diakhirat. Dan Allah sentiasa menolong hamba itu selagi hamba itu mahu menolong saudaranya."
(Hadis Riwayat Muslim).

Sahabat yang dikasihi,
Marilah sama-sama kita membina sifat bertimbang rasa dan faham memahami kepada setiap manusia terutama ahli keluarga, saudara-mara, jiran tetangga, orang bawahan kita, sahabat -handai dan masyarakat semuanya.

Tetapi apa yang menyedihkan kita, ada segelintir manusia hari ini sudah hilang sifat timbang rasa dan saling faham memahami antara satu sama lain. Mereka hanya mementingkan diri sendiri. Sehingga ada anak yang sanggup menyusahkan ibu bapa mereka dengan meminta sesuatu yang tidak mampu dilakukan oleh ibu bapa untuk mengikuti kehendak mereka.

Perselisihan dalam keluarga di antara suami dan isteri hingga membawa kepada penceraian adalah ditahap yang cukup membimbangkan, ianya berlaku setiap hari. Masing-masing pihak  bertegas dengan pendapat masing-masing hingga ruang perdamaian dan berbaik-baik semula menghadapi jalan buntu, hinggakan hilang perasaan belas kasihan melihat anak-anak terseksa kerana perpisahan ibu bapa mereka.

Justeru itu, kalam ini mengajak kita semua, marilah sama-sama kita membina kasih sayang dan bertimbang rasa dengan berpandukan kepada adab-adab dan akhlak yang telah digariskan dalam ajaran  Islam. Semoga kehidupan kita diredai  dan dirahmati oleh Allah S.W.T. di dunia dan akhirat.

No comments: