Tuesday, February 1, 2011

Salam Ukhuwah dan Perjuangan!

Sahabat yang dirahmati Allah,
Kita tidak pernah bertemu wajah, tetapi takdir Allah menemukan kita dialam siber ini! 
Sebenarnya pertemuan ini telah di atur oleh yang Maha Esa sejak azali lagi. Di alam arwah dahulu rohmu, rohku dan roh semua manusia telah berikrar dihadapan Rabbul Jalil , firman Allah S.W.T. dalam Surah al-'Araf ayat 172 yang bermaksud, "Tidakkah Aku ini Tuhan kamu? Mereka menjawab, 'bahkan kami menyaksikan'."

Sahabat yang dimuliakan,
Bersyukurlah kepada-Nya dengan syukur yang sebenar-benarnya kerana kalian dipilih menjadi hamba-Nya yang beriman, dikurniakan taufik dan hidayah-Nya dan menjadi umat Nabi Muhammad S.A.W. 
Kalian telah dipilih menjadi Muslim dikalangan beribu-ribu mereka yang bukan Islam, yang sedang sesat diatas dunia yang fana ini.

Ingatlah sahabatku! 
Bahawa sesungguhnya hidayah dari Allah ini lebih berharga dari dunia serta isi-isinya. Sekiranya diberi pilihan untuk menukarkan seluruh nikmat dan harta dunia ini dengan nikmat iman yang kalian miliki sekarang ini, adakah kau sanggup menukarkannya?.
Jawapannya pasti kalian tidak mahu kerana harta di dunia ini hanyalah fartamogana dan umpama barang yang tidak bernilai. 
Mereka-mereka yang mengejar dunia tanpa matlamat yang jelas sebenarnya mereka mengejar bayang-bayang yang lemah dan akan hilang apabila cahaya mentari sudah tidak ada lagi .
Di dunia umpama tempat bermain-main bukanlah hakikat kehidupan sebenarnya, di akhiratlah tempat hidup yang sebenarnya yang kekal abadi.

Al-Imam Hasan al-Banna ada berkata, " Orang yang bijak adalah orang yang sanggup bersusah payah sedikit di dunia ini untuk mendapat kebahagiaan di hari akhirat"

Sahabatku,
Ingatlah hidup di dunia adalah sementara waktu bila sampai masanya kalian akan dijemput menghadap Tuhan yang Maha Agong dan Maha Bijaksana.

Tiga yang akan mengiringi kalian kekuburan, dua akan pulang dan hanya satu yang akan menemai kalian. Dua yang pulang adalah hartamu dan insan yang dikasihi, sedangkan yang bersamamu adalah amal soleh dan amal kebaikan yang kalian lakukan dahulu.

Ingatlah kegelapan alam kubur hanya dapat diterangi dan diluaskan dengan melaksanakan empat perkara iaitu menjaga sembahyang lima waktu, banyak bersedekah
, banyak membaca al-Quran dan memperbanyak bertasbih  subhanallah walhamdulillah wal’aa ilaha illallah wallahu akbar, walahaula wala quwata illa billah.

Siksa kubur yang dahsyat itu dapat di jauhi apabila kalian menjauhi empat perkara iaitu tidak suka berbohong, tidak khianat, menjauhi mengadu domba dan menjaga kencing dengan sempurna.

Pergunakan lima peluang sebelum datang yang lima lagi. Manfaatkan hidup sebelum datang kematianmu, waktu sihat sebelum sakit mu, waktu lapang sebelum sibuk mu,
waktu muda sebelum tua mu dan waktu kayamu sebelum kamu menjadi miskin!

Sahabat,
Sesungguhnya hidayah untuk beriman kepada Allah S.W.T. adalah urusan dan pilihan-Nya sendiri. Para Nabi dan Rasul tidak mampu untuk memberi hidayah kepada sesiapa sahaja yang mereka kasihi. 
Bagaimana Nabi Nuh a.s. tidak mampu untuk mengajak isteri dan anak lelakinya untuk beriman kepada Allah S.W.T.  Doa baginda ditolak oleh Allah S.W.T. kerana urusan hidayah adalah urusan-Nya. 
Keadaan yang sama berlaku juga kepada Nabi Luth a.s. apabila isteri baginda enggan mengikuti suaminya yang telah dipilih oleh Allah S.W.T. menjadi Rasul sebaliknya bersekongkol dengan golongan homoseksual yang kafir kepada Allah S.W.T. sehingga Dia menurunkan bala yang amat dahsyat keatas mereka.

Peristwa hidayah berlaku juga pada Nabi Muhammad S.A.W. apabila bapa saudara baginda Abu Talib di saat kematiannya masih enggan mengucapkan Dua Kalimah Syahadah dihadapan Nabi S.A.W , baginda merasa amat sedih kerana orang yang paling banyak berjasa kepada kehidupan dan perjuangan baginda tidak mahu mengikrarkan Kalimah Syahadah.

Sahabat,
Apakah tanda syukur kita kepada Allah S.W.T. hanya cukup sekadar kita ucapkan 'alhamdulillah' sahaja? 
Sebenarnya hanya ucapan tersebut tidak memadai kerana apabila kita mengucapkan kalimah  'Laa ila ha illallah. Muhammadur Rasulullah' ini bermakna kita berikrar dengan lisan, yakin dengan hati dan melaksanakannya dengan perbuatan. Seluruh hidup kita di serahkan sepenuhnya kepada Allah S.W.T.  untuk taat dan patuh kepada segala perintah-Nya dan meninggalkan semua larangan-Nya dan beriman kepada Rasulullah S. A.W.  dan mengikuti semua sunnahnya.

Sahabat,
Tugas kepada Allah S.W.T.  bukan setakat kita melaksanakan amal soleh untuk diri kita sahaja tetapi kita perlu berdakwah kepada orang lain. 
Jika kalian ingin menjadi para mujahidin di hari akhirat , kalian perlu menjadi mujahidin ketika di dunia.
Jika kalian ingin menjadi kekasih Allah di hari akhirat kalian perlu menjadi kekasih Allah ketika di dunia ini lagi.

Di dunia adalah tempat kalian bercucuk tanam dan di hari akhirat adalah tempat menuai hasilnya.

Mana mugkin pokok yang kalian tanam kalian tidak meletakkan baja dan tidak disirami air, kalian mengharapkan ianya subur dan membuahkan hasil yang baik?

Begitu juga jika kalian mengharapkan syurga Allah, kalian perlu berusaha di dunia ini melaksanakan amal soleh, amal kebajikan, amal ibadah, berjihad dan mewakafkan seluruh hidup kalian untuk mencari reda dan rahmat Allah S.W.T.
Sahabat,
Bersabarlah kerana kesabaranmu membawa kau dekat dengan Tuhanmu.

Bertakwalah kepada Allah, kerana takwamu akan membawamu menjadi insan yang mulia disisi-Nya.

Bertawakkallah kerana tawakkal seorang hamba merupakan ikatan bersama Rabbnya.

Bersyukurlah kerana sifat syukur tanda kau menghargai nikmat-nikmat yang banyak yang telah kau terima.

Redalah diatas Qadak dan Qadar Allah tanda dirimu berbaik sangka dengan-Nya dan yakin diatas ketentuan-Nya.

Ikhlaskan hatimu kerana keikhlasan membawa nilai dalam semua amalanmu.

Khusyukan hatimu ketika solat kerana kekusyukan akan membawa erti dalam solatmu.

Berwaspadalah dalam semua perkara nescaya kau akan terhindar dari tipu daya .

Sahabat,
Jika kau ingin berjumpa Allah dengan tiada dosa dihari akhirat nanti bersihkan diri dari dosa.

Jika kau inginkan mendapat cahaya dihari akhirat maka janganlah menzalimi orang lain.

Jika kau ingin dikasihi Allah di hari qiyamat kasih diri sendiri dan kasihilah orang lain.

Jika kau ingin dihapuskan segala dosa-dosamu maka banyakkan beristighfar.

Jika kau ingin menjadi semulia-mulia manusia maka janganlah sangka buruk pada orang lain.

Jika kau ingin menjadi orang yang paling gagah sentiasalah bertawakkal dan serah diri kepada Allah.

Jika kau ingin rezeki sentiasa murah dan kau akan memilikinya maka sentiasa bersih dari hadas, solat Duha dan hubungkan silaturahim.

Jika kau ingin termasuk golongan di kasihi Allah dan Rasul maka cintailah semua yang di sukai Allah dan Rasul.

Jika kau ingin terselamat dari kemurkaan Allah di hari kiamat maka janganlah kau marah pada orang lain.

Jika kau inginkan doamu diterima Allah maka jauhilah makanan yang haram masuk dalam perutmu

Jika kau inginkan keaifanmu ditutup di hari kiamat maka tutuplah keaiban orang lain.

Jika kau ingin terselamat dari dosa maka alirkanlah air matamu tanda penyesalan, tunduk pada Allah dan bersabarlah ketika di timpa kesakitan.

Ingatlah! Sebesar-besar kebaikan disisi Allah apabila kau elokkan budi pekertimu, rendahkan dirimu dan bersabar dengan ujian.

Ingatlah! Sebesar-besar kejahatan disisi Allah adalah buruk akhlak dan sedikit ketaatan maka kau jauhkanlah dirimu dari sifat ini.

Jika kau ingin meredakan kemurkaan Allah dunia dan akhirat maka hulurkanlah sedekah secara senyap dan hubungkan kasih sayang kerana Allah.

Ingatlah! Jalan yang boleh memadamkan api neraka adalah sabar di dunia dengan bala dan musibah.

Sahabat yang dikasihi Allah.
Bersihkanlah hatimu dari syirik, iri hati, riak, sombong dan takabur.
Kerana sifat-sifat ini menghapuskan amalanmu.

Janganlah pemilihanmu kerana dunia dan nafsu, nescaya ianya tak akan kekal.

Hubungkanlah hatimu dengan Allah nescaya kau akan terpelihara dari perasaan kecewa, truma, forbia, putus asa dan resah gelisah.

Yakinlah apa yang Allah takdirkan padamu itu ada hikmah yang banyak dan tanda Allah kasih padamu.

Yakinlah janji Allah...bertemu kerana Allah dan berpisah kerana Allah adalah insan yang akan mendapat perlindungan Allah dihari akhirat nanti.

Ku harapkan pertemuan kita di blog ini termasuk di dalam golongan ini. Amen.

No comments: