Saturday, April 30, 2011

Sumpah Laknat Mendapat Laknat Allah Kerana Mengaibkan Seorang Muslim

Bismillahirrahmanirrahim.
Segala puji bagi Allah, Tuhan sekelian alam. Selawat serta salam buat junjungan mulia Nabi Muhammad  S.A.W. keluarga serta para sahabat dan pengikut yang istiqamah menuruti baginda hingga ke hari kiamat.

Sahabat yang dirahmati Allah,
Umat Islam masih digemparkan dengan 'sumpah laknat' dan  vedio seks, oleh invididu yang tertentu yang membuat dakwaan-dakwaah tanpa membawa bukti yang sahih berdasarkan kehendak syarak.

Umat Islam keliru adakah boleh mengikhtiraf  sumpah laknat yang dibuat oleh seseorang dengan hanya mendengar dakwaannya dan sumpahnya atau menyediakan vedio seks sebagai bahan bukti?

Perlu diingat, Islam adalah peraturan yang sempurna dan lengkap untuk kehidupan manusia samaada di dunia dan hari akhirat. Jika kita beriman kepada al-Quran dan sunnah Rasulullah SAW kita wajib mengikut kedua sumber tersebut dan tidak boleh mengikut hawa nafsu dan akal manusia untuk meletakkan sesuatu hukum.

Di dalam hukum Islam apabila kita membuat tuduhan  seseorang itu berzina mestilah membawa 4 orang saksi Islam yang adil bukan sumpah laknat dan vedio seks. Berdasarkan firman Allah SWT  maksudnya : "Dan orang-orang yang menuduh wanita-wanita yang baik-baik (berbuat zina) dan mereka tidak mendatang 4 orang saksi, maka deralah mereka(yang menuduh itu) delapan puluh kali dera, dan janganlah kamu terima kesaksian mereka buat selama-lama nya. Dan mereka itulah orang-orang yg fasik, kecuali orang yg bertaubat sesudahnya itu dan memperbaiki (dirinya), maka sesungguhnya Allah maha Pengampun lagi Maha Penyayang". (Surah an-Nuur ayat 4-5)

Ulama sepakat mengatakan bahawa hukuman qazab yang di jatuhkan kepada penuduh yang menuduh wanita baik berzina, juga hukuman ini untuk orang yang menuduh lelaki baik  berzina. Hukum qazab adalah 80 kali deraan dengan menggunakan rotan kepada penuduh yang gagal membawa4 orang saksi  yang adil.

Seseorang hanya dihukum bersalah dan dikenakan hukum hadd dalam kes zina hanya dengan dua cara sahaja iaitu 1. Membawa 4 orang saksi Islam yang adil dan 2. Pengakuan secara sukarela orang yang melakukan zina. Selain daripada itu tidak akan diterima sebagai bukti untuk menghukum seseorang itu, samaada vedio seks, DNA, gambar atau dakwaan

Pernah berlaku dizaman sahabat Rasulullah SAW, Sayyidina Umar bin al-Khatab berjumpa Sayyidina Ali k.w mengatakan bahawa dia pernah melihat seorang lelaki dan wanita berzina, apakah harus dia lakukan maka Sayyidina Ali berkata bawalah 4 orang saksi yang adil atau dihukum dengan hukum qazab jika tidak dibawa cukup saksi (jika dakwaan itu ingin diteruskan). Bayangkanlah agama Islam cukup menjaga kemaslahatan umat Islam dan tidak akan menghukum seseorang apabila tidak memenuhi syaratnya walaupun yang melihatnya seorang yang tidak diragui kebenarannya (Sayyidina Umar).

Dalam kes mubahalah (sumpah laknat) hanya berlaku pertikaian di antara suami isteri yang mana suaminya menuduh isterinya melakukan zina sedangkan si suami tidak membawa 4 orang saksi maka ketika ini mereka berdua boleh bersumpah laknat, bala Allah SWT akan turun kepada  salah seorang daripada mereka yang berdusta.

Dalam kes tuduhan zina kepada seseorang tidak perlu mubahalah kerana telah ada nas yang khusus perlu merujuk kepada surah an-Nuur ayat 4-5) iaitu perlu membawa 4 orang saksi yang adil. Jika gagal mahkamah syariah perlu membuat dakwaan dan menghukum mereka yang membuat dakwaan tanpa membawa saksi dengan hukum qazab.

Firaman Allah SWT maksudnya : "Dan janganlah kamu jadikan (nama) Allah dalam sumpah kamu sebagai benteng yang menghalangi kamu daripada berbuat baik dan bertakwa, serta mendamaikan perbalahan antara sesama manusia. Dan (ingatlah), Allah sentiasa mendengar, lagi sentiasa mengetahui. Allah tidak mengira kamu bersalah tentang sumpah kamu yang tidak dimaksudkan (untuk bersumpah), tetapi Dia mengira kamu bersalah (dan akan mengenakan hukuman) dengan sebab sumpah yang diusahakan (disengajakan) oleh hati kamu (dengan niat bersumpah) dan (ingatlah), Allah Maha Pengampun, lagi Maha Penyabar. (Surah al-Baqarah ayat 224-225)

Asbabun Nuzul ayat 224 : Ibnu Juraij r.a berkata, "Abu Bakar r.a bersumpah untuk tidak memberi nafkah kepada Misthah bin Utsaltsah, seorang miskin yang juga tanggungan Abu Bakar r.a. Hal ini kerana Misthah ikut memfitnah Aisyah r.ha, isteri Rasulullah SAW dan juga puteri Abu Bakar r.a. Allah SWT menegur Abu Bakar r.a melalui ayat ini.

Berdasarkan ayat di atas sumpah yang dibuat oleh Abu Bakar r.a kerana tak mahu membantu seorang yang miskin yang berdosa (membuat tuduhan) dilarang apatah lagi jika seseorang bersumpah untuk mengaibkan seseorang,  memutuskan silaturahim, cabar mencabar dan untuk mendatangkan fitnah dan kekecohan dalam masyarakat lebih-lebih lagi sangat dilarang.

Dari Ibnu Umar radhiyallahu 'anhu ia berkata : Rasulullah SAW naik ke atas mimbar, lalu memanggil dengan suara yang tinggi : "Wahai orang-orang yang beriman dengan lisannya dan iman itu belum sampai ke hati mereka, janganlah menyakiti orang-orang yang beriman, janganlah mencela mereka, dan janganlah mencari-cari aurat ( aib ) mereka, kerana barangsiapa mencari-cari aib saudaranya yang muslim, maka Allah membuka aibnya dan memalukannya walaupun dia berada di dalam rumahnya."
(Hadis Riwayat Tirmidzi).

Sahabat yang dimuliakan,
Apakah akibat yang akan ditetima oleh  seseorang yang melafazkan sumpah laknat? .

Terdapat 6 akibat yang akan diterima :

Pertama : Mengaku berada bersama-sama semasa perbuatan zina dilakukan adalah berdosa besar kerana bersubahat.

Dia telah bersubahat dan merancang bersama-sama dengan perbuatan zina. Orang yang mengaku menyaksikan perbuatan zina (bersama-sama membuat perancangan) dia berdosa besar . Orang beriman akan cuba menghalang atau pun mencegah perbuatan itu dilakukan bukannya menyaksikan di hadapan matanya.

Kedua : Dia memasang cctv untuk merakamkan perbuatan zina adalah berdosa besar kerana mengintip keaiban seseorang.

Rasulullah SAW bersabda maksudnya :
" Hendaklah kalian menjauhi berburuk sangka kerana berburuk sangka itu adalah sedusta-dusta perkataan, dan janganlah mencari-cari kesalahan, dan janganlah kalian mengintip, dan janganlah saling membenci, dan janganlah saling membelakangi, jadilah kalian hamba-hamba Allah yang saling bersaudara" (Sahih: Hadis daripada Abu Hurairah radiallahu ‘anhu, dikeluarkan oleh Ahmad, al-Bukhari, Muslim dan lain-lain, lihat Sahih al-Bukhari – no: 6724 (Kitab Faraid, Bab Pengajaran tentang Faraid).

Ketiga : Menceritakan kepada orang ramai perbuatan maksiat ( mujaharah) adalah berdosa besar. Allah SWT tidak akan ampun dosa seseorang yang mujaharah.

Rasulullah S.A.W. bersabda, maksudnya: “Semua umatku akan diampunkan dosanya kecuali orang yang mujaharah (terang-terangan dalam berbuat dosa) dan yang termasuk mujaharah adalah seorang yang melakukan perbuatan dosa di malam hari, kemudian hingga pagi hari Allah telah menutupi dosa terbabit, kemudian dia berkata: ‘Wahai fulan semalam saya berbuat ini dan berbuat itu. Padahal Allah telah menutupi dosa tersebut semalaman, tetapi di pagi hari dia buka tutup Allah terbabit’ .” (Hadis riwayat Bukhari dan  Muslim)

Keempat : Dia minta laknat Allah menimpa dirinya  adalah sifat orang fasik.

Nabi SAW bersabda maksudnya : "Sesungguhnya , terdapat orang yang disebabkan ucapannyalah ia tergelincir ke dalam neraka yang luasnya antara masyrik dengan maghrib" Dan , dalam hadis lain yang senada dengan ini, "Hanya kerana satu perkataan yang membuat Allah benci, maka orang itu dimasukkan ke dalam neraka". (Hadis Riwayat Muslim)

Orang mukmin akan berdoa kepada Allah SWT supaya Dia mengampunkan segala dosa-dosanya bukannya untuk ditipa musibah dan bala. Jika seseorang ingin mencari kebenaran diatas maksiat orang lain sedangkan dia bersama-sama berada semasa maksiat itu dilakukan sebenarnya  dia minta Allah SWT timpakan laknat kepadanya. Kerana kemurkaan dan laknat Allah SWT akan ditimpakan kepada sesiapa saja yang mengaibkan orang lain dan bermujaharah.

Jika sumpah-sumpah seperti ini dibenarkan dalam Islam nescaya ramai orang-orang mukmin akan menjadi mangsa sumpah-sumpah palsu daripada orang-orang munafik dan fasik.

Kelima : Dia telah membuka ruang fitnah seluas-luasnya, perselisihan dan perbalahan sesama umat Islam dan memutuskan silaturahim dan mengadu domba.

Nabi SAW bersabda maksudnya : "Dari Al-Zuhri bahawa Rasulullah SAW  bersabda yang bermaksud : "Tidak akan masuk syurga bagi yang memutuskan silaturahim".
(Hadis Riwayat Muslim)

Nabi S.A.W berwasiat kepada Sayidina Ali k.wj: "Wahai Ali ! Saya melihat tulisan pada pintu syurga yang berbunyi "Syurga itu diharamkan bagi setiap orang yang bakhil (kedekut), orang yang derhaka kepada kedua orang tuanya, dan bagi orang yang suka mengadu domba (mengasut)."

Keenam : Menjadi muflis di hari akhirat jika tidak bertaubat meminta maaf kepada orang yang diaibkan .

Dari Abu Hurairah r.a bahawa Nabi s.a.w. bersabda yang bermaksud :
“Tahukah kamu siapakah dia Orang Muflis?”

Sahabat-sahabat baginda menjawab :
“Orang Muflis di antara kami, ya Rasulullah ialah orang yang tidak ada wang ringgit dan tidak ada harta benda.”

Nabi s.a.w. bersabda yang bermaksud :
“Sebenarnya Orang Muflis dari kalangan umatku ialah orang yang datang pada hari kiamat membawa sembahyang, puasa dan zakat , sedang datangnya itu dengan kesalahan memaki hamun orang ini, dan menuduh orang itu , memakan harta orang orang ini ,menumpah darah orang itu dan juga memukul orang . Maka akan di ambil dari amal kebajikannya serta di beri kepada orang ini dan orang itu , kemudian kiranya habis amal kebajikannya sebelum habis di bayar kesalahan-kesalahan yang di tanggungnya , akan di ambil pula dari kesalahan-kesalahan orang yang di aniayakannya serta di timpakan keatasnya , kemudian ia di humbankan kedalam neraka.”
(Hadis Riwayat Muslim dan Turmizi)

Jika seseorang melakukan zina bertaubat kepada Allah SWT , Allah SWT Maha Pengampun kepada kesalahan hamba-hamba-Nya. Kerana dosa zina adalah dosa di antara hamba dengan Tuhannya.

Tetapi dosa mengaibkan orang lain, membuat fitnah, mengadu domba, memutuskan silaturahim adalah dosa di antara manusia sesama manusia. Jika manusia yang membuat kesalahan sesama manusia tidak minta maaf secara terbuka semasa di dunia, maka dia akan membawa dosa tersebut dan di hari akhirat akan diambil pahalanya jika tidak cukup dosa orang yang diaibkan akan diberikan pula kepada orang yang mengaibkannya. Maka amat mudah orang tersebut akan menjadi muflis dan dihumbankan ke dalam neraka Jahannam.

Sahabat yang dikasihi,
Marilah sama-sama kita kuatkan iman kita supaya tidak tergugat dengan mempercayai berita fitnah dan berita mengaibkan saudara kita yang lain. Anggaplah berita itu fitnah supaya kita tidak terkena sahamnya. Jika kita mempercayainya sedangkan kita tahu orang yang menuduh tak bawa 4 orang saksi maka dosa kerana mempercayainya sama dengan orang yang membuat dakwaan itu iaitu dosa hukum qazab. Jika hukum itu tak diterima di dunia nanti orang-orang yang mendakwa dan mempercayainya akan dihukum oleh Allah SWT di hari akhirat. Nauzubillahiminzalik.

Banyakkan beristighfar dan minta doa kepada Allah SWT supaya kita dijauhi daripada fitnah akhir zaman. Wassalam.

2 comments:

Syed Ahmad Fathi said...

Sama-samalah kita berdoa dijauhkan dari kemurkaan ALLAH.

scootster said...

Setuju dengan Tuan Syed. Kemurkaan Allah itulah yg paling patut kita takutkan drp berhujah siapakah yg benar atau salah. Bala Allah tak mengenal samada sesorg itu baik atau sebaliknya kerana semua org akan terkena.