Monday, May 23, 2011

Ilham dan Kasyaf Dalam Islam

Bismillahirrahmanirrahim.
Segala puji bagi Allah, Tuhan sekelian alam. Selawat serta salam buat junjungan mulia Nabi Muhammad S.A.W. keluarga serta para sahabat dan pengikut yang istiqamah menuruti baginda hingga ke hari kiamat.

Sahabat yang dirahmati Allah,
Untuk memahami dimanakah kedudukan ilham, mimpi dan kasyaf dalam Islam. seorang ulama muktabar yang terkenal iaitu Al-Imam Hasan al-Banna menjelaskan dalam risalah taklimnya, katanya : “Iman yang benar, ibadah yang sah dan mujahadah adalah cahaya dan kemanisan yang dicurahkan ke dalam hati sesiapa yang dikehendakiNya, manakala ilham, lintasan-lintasan hati, kasyaf dan mimpi bukanlah menjadi dalil kepada hukum-hukum syarak. Perkara-perkara tersebut hanya dapat diterima dengan syarat ianya tidak bertentangan dengan hukum-hukum agama dan nas-nas syarak.”

Di dalam al-Quran terdapat ayat tentang ilham yang diberikan kepada manusia. Firman Allah SWT maksudnya : "Demi diri manusia dan Yang menyempurnakan kejadiannya (dengan kelengkapan yang sesuai dengan keadaannya). Serta mengilhamkannya (untuk mengenal) jalan yang membawanya kepada kejahatan, dan yang membawanya kepada bertakwa" (Surah Asy-Syams ayat 7-8)

Ilham dan kasyaf termasuk dalam karamah yang dikurniakan oleh Allah SWT untuk memuliakan hambanya yang bertakwa. Contoh kasyaf (singkapan) adalah ternampaknya perkara-perkara akan datang  yang tersembunyi, mempermudahkan kesukaran bukan seperti yang biasa dilalui oleh orang awam. Namun perkara-perkara sebegini sering menjadi bahan cerita dan dipindahkan dari seorang ke seorang sehingga bercampur dengan perkara-perkara yang benar dan yang salah, melampau dan rekaan.

Menurut Hadis dari Abi Qatadah, Nabi SAW bersabda maksudnya : “Mimpi yang baik adalah daripada Allah, manakala mimpi yang bukan-bukan pula daripada syaitan. Sesiapa di kalangan kamu bermimpi melihat sesuatu yang dibencinya, hendaklah diludah ke sebelah kirinya sambil memohon perlindungan dengan Allah, nescaya syaitan tidak akan dapat memudaratkannya.”


Sahabat yang dimuliakan,
Dalam tasauf,  kasyaf adalah merupakan satu sumber dalil atau ilmu. Ilmu kasyaf merupakan satu anugerah yang bernilai daripada Allah SWT untuk hambanya yang terpilih. Guru-guru tarikat seringkali dikaitkan dengan ilmu kasyaf.

Mengikut Imam Al-Kusyairi “Kasyaf dari segi bahasa ialah terangkatnya hijab”.

Mengikut istilah pula ialah “Dapat mengetahui apa yang berlaku disebalik hijab daripada perkara yang ghaib dan tidak diketahui oleh orang lain hakikat sebenar perkara tersebut”.

Keujudan kasyaf ini adalah berbentuk maknawi dan tidak dapat dikesan oleh panca indera. Kasyaf berlaku dengan cara musyahadah. Seperti dapat melihat roh atau perkara ghaib yang lain. Kasyaf juga boleh berlaku melalui pendengaran seperti Rasulullah SAW. mendengar wahyu yang diturunkan oleh Allah SWT yang berbentuk suara atau bunyi loceng …. Musyahadah atau kasyaf adalah tajalli ( meraih kemuliaan di sisi Allah, atau keluhuran)
daripada Allah SWT.

Dalam suasana masyarakat yang sering memperkatakan tentang kasyaf terdapat golongan menggunakan kasyaf sebagai sumber untuk mendapatkan pengaruh dan kepentingan tertentu. Ajaran sesat yang terdapat di Malaysia pada keseluruhannya menggunakan kasyaf sebagai salah satu perkara untuk mengekang pengikut mereka supaya taat dan patuh kepada pemimpin ajaran tersebut.

Dalam hal ini Profesor Abdul Hayyi Abdul Syukur dari Universiti Malaya cuba mengulas “Kasyaf dari perspektif Islam”.

Suatu perkara asas yang wajib kita ketahui ialah sumber hukum dalam Islam. Sumber hukum yang utama ialah Al-Quran dan Sunnah Rasulullah SAW.

Firman Allah SWT yang bermaksud :“Sekiranya kamu bercanggah dalam sesuatu perkara maka hendaklah kamu kembali kepada Allah dan RasulNya (AL-Quran dan Sunnah)”

(Surah an-Nisa’ ayat 59)

Rasulullah SAW. bersabda yang bermaksud : “Aku tinggalkan kepada kamu dua perkara yang kamu tidak sekali-kali akan sesat selagi kamu berpegang teguh kepada keduanya: iaitu Kitab Allah dan sunnah Rasulullah SAW.” (Hadis Riwayat Imam Malik)

Umat Islam tidak akan terpengaruh dengan ajaran-ajaran yang bertentangan dengan Islam kalau mereka meneliti ayat dan hadis tersebut, kerana ayat dan hadis tersebut merupakan asas utama untuk menjadi rujukan umat Islam. Sumber hukum dan akidah umat Islam tidak boleh lari dari dua sumber hukum tersebut. Setiap keputusan tidak boleh diambil daripada khurafat, mimpi, kasyaf, musyahadah, ilmu batin dan sebagainya.

Kasyaf merupakan suatu perkara yang tidak boleh dinafikan didalam Islam, ini berdasarkan dalil daripada apa yang berlaku kepada Rasulullah SAW., para sahabat, salafussalih dan sebagainya. Ulama Ahlussunnah Wal Jamaah sepakat bahawa kasyaf memang wujud dan ia merupakan anugerah daripada Allah Taala kepada hambanya yang terpilih. Mengikut setengah pendapat bahawa kasyaf juga berlaku kepada orang kafir. Kasyaf berlaku samada semasa jaga ataupun tidur. Semasa tidur dinamakan rukyah assadiqah dan semasa jaga dianamakan ilham.

Kita perlu tahu setakat mana kebenaran kasyaf itu, apakah setiap perkara yang dianggap kasyaf itu boleh diterima atau sebaliknya?

Suatu garis panduan telah dinyatakan  oleh ulama  sejauh mana kebenaran kasyaf. Sesuatu perkara yang dianggap kasyaf perlu dilihat melalui Al-Quran dan al-Sunnah. Kalau ianya bertentangan dengan al-Quran atau al-Sunnah maka kita wajib menolaknya dan kalau ia tidak bertentangan dengan kedua-dua sumber tersebut kita boleh menerimanya.

Dalam sejarah Islam banyak terdapat kisah yang menunjukan kasyaf ini benar-benar berlaku. Kalau kita perhatikan dalam kitab Hayatus Sahabah oleh Muhammad Yusuf Al-Kandahlawi, banyak kisah para sahabat yang mendapat kasyaf. Begitu juga dalam kitab Jami’ Karamatul Aulia’ oleh Al-Nabhani. “Kasyaf merupakan anugerah Allah kepada hambaNya dan ia tidak boleh dilakukan melalui usaha tertentu atau dipelajari”.

Kasyaf terbahagi kepada beberapa jenis, tidak semua kasyaf datangnya daripada Allah SWT. Kasyaf juga datang dari syaitan dan jin. Syaitan yang menjadi musuh manusia sentiasa mencari jalan untuk menyesatkan manusia. Dan antara jalannya ialah perkara ghaib yang dianggap kasyaf. Jika seorang bomoh mengatakan seseorang itu disantau atau di sihir oleh polan bin polan maka kasyaf seperti ini adalah batil kerana ianya adalah datang daripada jin atau syaitan yang cuba memecah belahkan masyarakat dengan membuat tuduhan tanpa asas.

Oleh itu ulama telah menetapkan syarat, untuk menerima kasyaf sebagai sumber ilmu dan hujjah. Antara syarat utamanya ialah: ianya tidak bertentangan dengan al-Quran dan Sunnah, ijmak dan qias dan kasyaf juga tidak boleh diterima sebagai sumber hukum atau hujah. Sekiranya kasyaf berhubung dengan waktu sembahyang, tarikh puasa Ramadan, tarikh hari raya dan sebagainya, kita wajib menolaknya kerana kasyaf seperti ini boleh menyesatkan manusia.

Dinegara kita ilmu kasyaf amat terkenal dikalangan pengamal tarikat tasauf, dan ajaran sesat. Ada setengah ajaran sesat menggunakan kasayaf sebagai batu loncatan untuk mengikat pengikut-pengikutnya supaya patuh dan taat kepada pemimpin. Sebagai contohnya jika derhaka kepada guru, mengikut kasyafnya ia akan ditimpa bala atau tidak dijamin masuk syurga.

Dalam hal ini, kita jangan mudah terpengaruh dengan ilmu kasyaf kerana perkara yang berkaitan dengan musibah dan bala yang menimpa seseorang. Dosa atau pahala, syurga atau neraka seseorang itu adalah ketetapan daripada Allah SWT. Penggunaan ilmu kasyaf seperti ini banyak digunakan oleh pengikut Syiah, Bahai, ajaran sesat seperti Ayah Pin dan sebagainya dengan tujuan untuk mendapatkan pengaruh dan kedudukan.

Secara umunya kasyaf adalah suatu perkara diluar usaha manusia dan ia merupakan anugerah daripada Allah SWT kepada hambanya yang terpilih.

Walaubaaimanapun kasyaf yang diperolehi perlu ditimbang dengan neraca Al-Quran dan Sunnah, Ijmak ulama dan hukum alam yang lain. Kasyaf juga tidak boleh menjadi sumber hukum atau hujah untuk menentukan kesahihan sesuatu. Kita juga jangan mudah terpengaruh dengan orang yang mendakwa ia mendapat kasyaf. Kerana kasyaf juga datang dari syaitan untuk menyesatkan seseorang dari jalan yang sebenar.

Kasyaf: Ilmu Islam yg dilupakan

Kasyaf adalah salah satu karamah atau kelebihan yang diberikan Tuhan kepada hamba-hambaNya yang dikasihiNya. Apa yang ingin disebut di sini adalah kasyaf yang dianugerahkan Tuhan kepada kekasihNya atau waliNya.

Walaupun tidak dinafikan, ada kasyaf yang didapati oleh orang awam, kasyaf sebegitu boleh menipu dan merosakkan diri mereka. Kasyaf itu jika tidak dipimpin dan dijaga, nescaya menjadi istidraj kepada mereka.


Bagi wali Allah ini, hal-hal kasyaf sebenarnya telahpun dijanjikan Tuhan sepertimana dalam sebuah hadis qudsi, Allah berfirman yang maksudnya: "Orang yang mendekatkan diri kepadaKu, mengerjakan yang fardu dan yang sunat, sehingga Aku cinta kepada mereka lalu Aku menjadi pendengaran mereka dan Aku menjadi penglihatan mereka."

Kasyaf kepada wali Allah ini ada banyak bahagiannya, seperti berikut:

1) Kasyaf Mata

Mata dapat melihat alam mawara-ul-maddah atau disebut sebagai alam yang seni-seni atau boleh disebutkan sebagai alam di luar kebendaan. Di sini, mata dapat melihat perkara-perkara ghaib seperti malaikat, jin dan syaitan. Kasyaf inilah yang menjadikan orang seperti Sayyidina Umar r.a nampak apa yang sedang berlaku pada tentera-tenteranya. Karamah seperti ini penting kerana dapat menyelamatkan seluruh tentera Islam.

2) Kasyaf Telinga

Kasyaf telinga disebut juga hatif. Telinga boleh mendengar benda-benda yang ghaib. Mendengar suara tetapi tidak nampak lembaganya sama ada dari jin Islam yang soleh, malaikat atau waliullah. Suara itu adakalanya membawa berita gembira, adakalanya berita yang negatif. Tujuannya ialah Allah hendak menghiburkan orang yang mendapatnya. Kalau berita itu berita gembira, boleh menggembirakannya. Sebaliknya, kalau berita itu berita duka, juga akan menggembirakannya kerana dia tahu terlebih dahulu, sekurang-kurangnya dia boleh bersiap menghadapi ujian itu. Atau dia boleh mengelak daripada bahaya itu.

3) Kasyaf Mulut


Tuhan beri kepada orang itu, lidahnya ‘masin’ seperti doanya kabul atau apa yang dia sebut terjadi sama ada jangka pendek atau jangka panjang. Juga, di mana saja dia memberi kuliah, nasihat, tunjuk ajar, berdakwah dan sebagainya, ianya mudah diterima masyarakat dan boleh mengubah hati mereka. Akhirnya berubahlah sikap masyarakat. Karamah seperti ini biasanya dikurniakan kepada pemimpin.

4) Kasyaf Akal


Mendapat ilmu yang seni-seni yang Allah SWT kurniakan pada seseorang terus jatuh ke hatinya. Ini terjadi tanpa dia belajar, tanpa membaca, tanpa mentelaah dan tanpa berguru. Dinamakan juga ilham atau ilmu laduni. Agar tidak terkeliru, perlu diingat orang yang hendak dapat ilmu laduni itu, dia mestilah dahulu ada ilmu asas iaitu ilmu fardhu ain.


5) Kasyaf Hati


Dinamakan juga firasat. Inilah kasyaf yang tertinggi daripada kasyaf-kasyaf yang disebutkan tadi. Biasanya dikurniakan kepada pemimpin . Itupun tidak banyak kerana Allah SWT kurniakan hanya kepada pemimpin-pemimpin yang sangat soleh, yang sangat sabar menanggung ujian yang begitu berat ditimpakan kepada mereka. Kasyaf hati ialah rasa hati atau gerakan hati yang tepat lagi benar. Dia boleh menyuluh mazmumah yang seni-seni yang kadang-kadang kita membaca kitab tak mengerti. Termasuk juga adalah rasa hati dapat membaca diri seseorang.

Nabi pernah bersabda, “Hendaklah kamu takuti firasat orang mukmin kerana dia melihat dengan pandangan Allah”.

Apa yang dimaksudkan dengan firasat itu ialah kasyaf hati. Orang yang mendapatnya dapat memimpin diri dan dapat memimpin orang lain. Kalau tidak, seorang itu tidak layak jadi pemimpin. Kalau dia terus memimpin rosaknya lebih banyak daripada kebaikan.

Pengetahuan mengenai gerak geri manusia, cara, sikap, perangai baik dan buruk, ucapan serta akhlak seseorang. Firasat ini diperoleh disebabkan nur yang dilemparkan oleh Allah SWT ke dalam hati orang beriman. Kuatnya firasat ini bergantung pada kuatnya keimanan. 
Allah SWT memberikannya kepada para wali-walinya yang terpilih dan juga sebagai bekal dakwah untuk menyampaikan mesej yang paling sesuai kepada mereka yang akan mendengar. Firasat ini tidak boleh diingkari sebagaimana firman Allah yang lalu pada surah Al-Hijr ayat 75. maksudnya: "Sesungguhnya pada yang demikian itu benar-benar terdapat tanda-tanda (kekuasaan Allah) bagi orang yang memperhatikan tanda-tanda."     
 
Riwayat daripada Anas bin Malik: Satu hari Anas pergi bertemu Sayidina Usman tetapi sebelumnya beliau pergi ke pasar dan ternampak seorang wanita. Apabila Anas masuk bertemu Sayidina Usman lalu sayidina Usman berkata: “Salah sorang daripada kamu masuk bertemu ku tetapi di matanya terdapat kesan zina”.  Lalu Anas berkata: Apakah masih ada wahyu selepas Baginda? Jawab Sayidina Usman: Tidak, tetapi ini adalah firasat dan petunjuk.

Berkata Ibn Abbas: Tidak ada seorang pun yang bertanya kepada aku kecuali aku mengetahui sama ada dia seorang faqih (berilmu) atau tidak.
Keramah yang Allah SWT kurniakan kepada Tok Kenali : Suatu hari Tok Kenali terdengar orang ramai riuh rendah bersorak di Kampung Pulau Bunut (Kelantan) kerana meraikan kemenangan dalam laga lembu. Beliau menegur situasi itu dengan menyatakan," gamaknya mereka bersorak menolong rumah terbakar.

Ditakdirkan Allah, malam itu unggun api yang dipasang pemilik lembu jantan yang menang dalam temasya itu untuk mengasapkan nyamuk, merebak memusnahkan rumahnya menyebabkan dia tinggal sehelai sepinggang. Peristiwa terbabit menyebabkan penduduk Kampung Pulau Bunut dan sekitarnya meninggalkan perbuatan berlaga lembu yang berdosa dan tiada perikemanusiaan itu.

Firasat hanya akan diperoleh oleh orang-orang beriman. Berkata Abu Syuja’ al-Karmani : "Untuk mendapat firasat ini : Sesiapa yang menjaga matanya daripada yang haram,  menjaga dirinya daripada mengikut syahwat, sentiasa menghidupkan batin dengan muraqabah kepada Allah dan tidak akan makan kecuali yang halal, maka firasatnya tidak akan tersilap."

Sahabat yamng dikasihi,
Demikianlah huraian mengenai kasyaf yang di ambil daripada hadis Nabi SAW dan kisah sahabat dan para wali Allah menjadi panduan kita semua sekiranya akan berlaku perkara-perkara luar biasa dimasa akan datang. Kita janganlah mudah terpengaruh sekiranya seseorang mendakwa bahawa dia kasyaf sedangkan peribadinya bukan seorang yang berakhlak Islam dan ianya bertentangan pula dengan al-Quran dan as-Sunnah. Kita hanya ambil dua sumber yang jelas iaitu al-Quran dan as-Sunnah , insya Allah kita tidak akan sesat selama-lamanya.

1 comment:

yatiekarim said...

Assalammualaikum ustaz,
Saya mengalami masalah yang rumit berkenaan gangguan jin. Berkenaan jin yang sering keluar masuk dari tubuh badan saya. Saya akan mendapat petanda dahulu sebelum dimasuki jin samada sakit ubun-ubun atau selepas mendapat mimpi sejurus bangun tidur. Jin yang masuk hanya mahu bercakap dengan suami saya dan menggelar diri nya 'mak'. Jin tersebut mahu saya menerimanya sebagai waris. Namun suami saya tak izinkan untuk terima. Saya juga sering mendengar suara2 ghaib yang asyik bercakap tentang hal2 orang lain. Saya dengan suami kini amat tertekan dengan gangguan jin ini kerana kadang2 menganggu ibadat kami. Bagaimana dan apa harus kami lakukan? Mohon pandangan dari ustaz masalah yang sedang saya hadapi.

Terima kasih.