Thursday, May 5, 2011

Manusia Sanggup Membunuh Kerana Gagal Dalam Bercinta

Bismillahirrahmanirrahim.
Segala puji bagi Allah, Tuhan sekelian alam. Selawat serta salam buat junjungan mulia Nabi Muhammad  S.A.W. keluarga serta para sahabat dan pengikut yang istiqamah menuruti baginda hingga ke hari kiamat.

Sahabat yang dirahmati Allah,
Manusia yang hidup bertuhankan hawa nafsu dan menerima hasutan syaitan sanggup melakukan dosa besar iaitu membunuh jiwa yang tidak berdosa. Sedangkan Allah SWT melarang keras sesiapa saja yang cuba menamatkan riwayat hidup seseorang dengan melakukan pembunuhan. 

Kita digemparkan dengan berita pembunuhan kejam oleh seorang lelaki ke atas bekas kekasihnya. Berita arus perdana KOSMO bertarikh pada 04.05.2011 "Gadis tolak cinta lelaki dibunuh, graduan UKM di tikam diperut, dada dan tangan oleh tukang masak berusia 50 an"

Firman Allah s.w.t. yang bermaksud :
“Dan barangsiapa yang membunuh seorang mukmin dengan sengaja, maka balasannya ialah Jahannam , kekal ia di dalamnya dan Allah murka kepadanya, dan mengutukinya serta menyediakan azab yang besar baginya.”
(Surah An- Nisaa’ ayat 93)

Kenapakah manusia sanggup membunuh hanya kerana gagal dalam bercinta? Sedangkan nyawa manusia sangat berharga dan ancaman Allah SWT kepada pembunuh bahawa dia akan kekal di dalam Neraka Jahanam.

Jika seseorang itu beriman kepada Allah SWT , dia akan sentiasa bertenang , tidak kecewa dan putus asa dan menganggap cinta Allah SWT lebih berharga daripada cinta seorang wanita maka kejadian terkutuk dan dilaknat Allah SWT iaitu pembunuhan sesama manusia tidak akan berlaku. Apakah kita sanggup merana di dunia dan hari akhirat semata-mata mengikut nafsu amarah dan cinta membuta tuli tanpa berfikiran waras? Seksaan di dunia akan dihukum bunuh jika sabit kesalahan dan hukuman diakhirat lebih berat lagi iaitu kekal di dalam Neraka Jahanam.

Dalam satu hadis Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud :
“ Orang yang mati terbunuh , akan datang di hari kiamat dengan mengantungkan kepalanya di salah satu tangannya , sambil memegang pembunuhnya dengan tangan yang lain , sedang darah terus mengalir. Apabila mereka berdua sudah ada di hadapan Allah, maka orang yang terbunuh itu berkata : Ya Allah, inilah orang yang telah membunuh aku. Maka Allah berkata kepada sipembunuh : Celakalah engkau, lalu di bawalah orang itu ke neraka.”

Sahabat yang dimuliakan,
Syaitan sangat gembira apabila dapat menjadikan seseorang anak Adam itu marah, lalu dengan perasaan marah itu dia sanggup melakukan pembunuhan. Dengan jenayah bunuh seseorang anak Adam itu akan mendapat laknat Allah dan akan bersama-sama dengannya di neraka.

Dari Abu Musa, dia berkata,"Jika iblis menyebarkan para perajuritnya ke bumi, maka dia berkata, 'Siapa boleh menyesatkan orang muslim, maka di kepalanya akan disematkan mahkota'."

Diantara perajuritnya itu ada yang melaporkan hasil usahanya, " Aku boleh menganggu Fulan sehingga dia menceraikan isterinya."

Dijawab,"Tapi dia boleh bernikah lagi."

Yang lain melaporkan,"Aku dapat menganggu Fulan sehingga dia derhaka."

Dijawab, "Tapi dia boleh berbuat kebajikan lagi."

Yang lain melaporkan,"Aku dapat menganggu Fulan sehingga dia berzina."

Dijawab, "Bagus."

Yang lain melaporkan,"Aku dapat menganggu Fulan sehingga dia minum arak."

Dijawab,"Bagus."

Yang lain melaporkan,"Aku dapat menganggu Fulan sehingga dia membunuh."

Dijawab,"Bagus. Bagus."

Ibnu Mu'aqqal berkata,"Aku pernah mendengar Wahb bin Munabbih berkata,'Seorang rahib bertanya kepada syaitan yang muncul dihadapannya, 'Sifat anak keturunan Adam yang paling mudah membantumu.'

Iblis menjawab,"Marah. Sebab jika seorang marah, maka kami boleh membolak balikkan sebagaimana anak kecil yang membolak balikkan bola."

Oleh itukawallah perasaan marah jika perasaan itu datang kepada kalian kerana seorang yang marah akan hilang pertimbangan akal yang waras dan sanggup melakukan apa saja perbuatan yang haram dan berdosa besar.
Sabda Rasulullah SAW. yang bermaksud : "Orang yang terkuat di kalangan kamu semua ialah orang yang dapat  mengalahkan hawa nafsunya di ketika dia marah dan orang yang tersabar ialah orang yang suka memberikan pengampunan di saat dia  berkuasa memberikan balasan (kejahatan orang yang menyakitinya)"
(Hadis Riwayat Baihaqi)

Sahabat yang dikasihi,
Sesiapa yang membunuh sesama manusia dosanya seolah-olah dia membunuh seluruh manusia.
Firman Allah: “Barang siapa yang membunuh seorang manusia, bukan kerana sebab-sebab yang mewajibkan hukum qisas, atau bukan kerana kerusuhan di muka bumi, maka seakan-akan dia telah membunuh manusia seluruhnya. Dan barang siapa yang memelihara keselamatan nyawa seorang manusia, maka seolah-olah dia telah memelihara keselamatan nyawa manusia semuanya.” (Surah al- Ma'idah ayat 32)

Oleh itu marilah kita jauhi segala perbuatan, amalan dan percakapan yang boleh mendatangkan kemurkaan Allah SWT . Ingatlah bahawa hidup di dunia ini adalah tempat sementara waktu janganlah mengadaikan masa depan kita di hari akhirat dengan bertindak melampaui batas yang di benarkan oleh Allah SWT.  Jika ada dikalangan kita kekasihnya atau buah hatinya sudah beralih angin kepada orang lain, biarkanlah jangan menaruh dendam kepadanya, kerana pepatah ada mengatakan, "bunga tak sekuntum dan kumbang tidak sesekor" dan "patah tumbuh hilang berganti", mungkin ada hikmahnya . Yakinlah dengan qadak dan qadar daripada Allah SWT, berkemungkinan Dia ingin bertemukan kita dengan orang lain yang lebih baik dan solehah.

No comments: