Thursday, June 2, 2011

Ciri-ciri Ulama Pewaris Nabi SAW

أًلسَّلاَمُ عَلَيْكُمْ
بِسْمِ اللهِ الرَّحْمنِ الرَّحِيْمِ

Segala puji bagi Allah, Tuhan sekelian alam. Selawat serta salam buat junjungan mulia Nabi Muhammad S.A.W. keluarga serta para sahabat dan pengikut yang istiqamah menuruti baginda hingga ke hari kiamat.

Sahabat yang dirahmati Allah SWT,
Siapakah yang dkatakan orang alim? Orang alim adalah orang yang berilmu kemudian mengamalkan ilmu yang di milikinya.

Ibnu Juraij rahimahullah menukilkan (pendapat) dari ‘Atha, beliau berkata: “Barangsiapa yang mengenal Allah, maka dia adalah orang alim.” (Jami’ Bayan Ilmu wa Fadhlih, hal. 2/49)

Asy-Syaikh Ibnu ‘Utsaimin rahimahullah dalam kitab beliau Kitabul ‘Ilmi mengatakan: “Ulama adalah orang yang ilmunya menyampaikan mereka kepada sifat takut kepada Allah.” (Kitabul ‘Ilmi hal. 147)

Firman Allah SWT maksudnya :  “Sesungguhnya yang paling takut kepada Allah adalah ulama.” (Surah Fathir ayat 28)

Ibnu Abbas berkata : "Sesiapa yang takutkan Allah maka dia adalah orang alim"

Menurut Syed Qutb mereka yang mengkaji al-Quran yang penuh keajaiban dan mereka yang mengenal Allah dan mengetahui hakikat Allah, mengetahui kesan penciptaan Allah, mengetahui kesan kekuasaan Allah, dan bertakwa kepada Allah, dan menyembah Allah dengan sebenar penyembahan. Ulama ialah orang yang mengetahui sifat Allah dan kebesarannya. Siapa yang bertambah ilmunya maka ia bertambah takut kepada Allah.( Syed Qutb, 1994:2943.)

Ibnu Masud berkata : "Ketakutan kepada Allah petanda seorang itu alim. Yang berilmu bukanlah kerana ia banyak meriwayatkan hadis akan tetapi yang amat takut kepada Allah."

Sayyidina Ali  k.wj pernah berkata : "Seorang alim ialah seorang yag tidak pernah melakukan maksiat, tidak jemu mengingatkan dirinya dan manusia sekalian akan azab Allah  SWT  dan tidak membelakangi al-Quran. (Al- Imam al-Qurtubi, juz 14:243)

Ibnu Abbas berkata : Ulama ialah orang-orang yang mengetahui bahawa sesungguhnya Allah Maha Berkuasa atas setiap sesuatu. Dan tambahnya lagi : Orang alim tentang Allah Maha Penyayang ialah orang yang tidak melakukan syirik dengan Allah sesuatu pun serta dia menghalalkan apa yang dihalalkan dan mengharamkan apa yang diharamkan. Dia turut memelihara wasiatNya disamping yakin bahawa dia tetap akan menemuiNya dan Dia bakal menghitungkan amalannya.

Sahabat yang dimuliakan,
Berdasarkan kata-kata sahabat Nabi SAW, dan para ulama dahulu dan sekarang bahawa  ulama yang sebenarnya adalah seorang alim  yang berilmu dengan ilmu Allah SWT dan melaksanakan ilmu tersebut dan dia menyampaikan pula kepada orang lain.

Secara umumnya perkataan ulama itu membawa satu pengertian yang luas, disandarkan kepada seorang yang memahami konsep agama secara syumul dan mendalam serta menzahirkanya dalam bentuk praktikal dan amalan hidup seharian. Apabila ulama dikaitkan dengan Islam ia berhubung rapat dengan Allah. Tidak cukup sekadar ada ilmu tetapi tidak takut kepada Allah SWT, begitu juga sebaliknya.

Ciri-ciri ulama yangt sebenarnya adalah seperti berikut:

1. Ulama dikenali dengan ilmunya dan keteguhan pendiriannya. Mereka terpelihara daripada terjebak ke dalam perkara-perkara yang syubahat. Ulama dikenali dengan jihad, dakwah, pengorbanan dari segi waktu, harta benda, nyawa dan kesungguhan mereka di jalan Allah.

2. Ulama dikenali dengan ibadah dan khusyuk mereka kepada Allah. Ulama dikenali dengan jauhnya mereka dari keburukan dunia dan pujuk rayunya. Ulama dikenali dengan pengakuan oleh umat Islam dan jumhurnya dari kalangan ahli hak.

3. Ulama  adalah orang yang tidak menginginkan kedudukan, dan membenci segala bentuk pujian serta tidak menyombongkan diri atas seorang pun.  Dia yang tidak hasad kepada seorang pun yang berada di atasnya dan tidak menghinakan orang yang ada di bawahnya dan tidak mengharapkan balasan  dalam menyampaikan ilmu Allah.

4. Ulama yang tawaduk  juga  tidak mengaku mempunyai ilmu yang tinggi, tidak berbangga dengan ilmunya atas seorang pun, dan tidak mudah menghukumi orang yang jahil yang melanggar larangan Allah SWT, sebaliknya dengan lemah lembut menasihati mereka dengan cara yang penuh hikmah.

5. Ulama akan mengamalkan ilmu yang dimilikinya. Nabi SAW bersabda maksudnya : "Sesungguhnya orang alim itu adalah orang yang beramal dengan apa yang dia ketahui" (Hadis dalam Sunan ad-Darimi)

Sayyidina Ali berkata : "Wahai orang yang mempunyai ilmu! beramallah kamu dengannya kerana sesungguhnya orang yang alim itu adalah orang yang beramal dengan ilmu yang dia ketahui serta selaras antara ilmunya dengan amalannya."

6. Ulama ini meneruskan tugas nabi iaitu mengajar, mendidik, membersihkan hati umat daripada syirik dan maksiat serta berdakwah dan memerintah mengikut perundangan Allah sebagaimana kita fahami daripada ayat 2 surah al-Jumaah .

Firman Allah SWT maksudnya : "Dialah (Allah) yang telah mengutuskan kepada kalangan orang-orang arab yang buta huruf seorang rasul dari bangsa mereka sendiri yang membacakan ayat-ayat Allah yang membuktikan keesaan Allah dan kekuasaanNya. Dan membersihkan mereka daripada aqidah yang sesat serta mengajarkan mereka kitab Allah dan hikmat pengetahuan yang mendalam mengenai hukum-hukum syariat. Dan sesungguhnya mereka sebelum kedatangan nabi Muhammad s.a.w adalah dalam kesesatan yang nyata" (Surah al-Jumaah ayat 2)

Hadis diriwayatkan oleh imam Bukhari dan Muslim dalam sahih daripada Abdullah bin Umar telah berkata : "Aku mendengar Rasulullah SAW telah bersabda yang bermaksud : 'Sesungguhnya Allah tidak menarik ilmu dengan menariknya secara mengejut sebaliknya Allah akan menarik ilmu itu dengan mematikan para ulama  sehingga tiba suatu masa yang tiada lagi ada ulama  maka manusia akan memilih ketua-ketua mereka dari kalangan orang jahil lalu apabila mereka ditanya maka dikeluarkan fatwa yang sesat maka sesatlah mereka serta menyesatkan pula orang lain."

Sahabat yang dikasihi,
Marilah kita sama-sama meneruskan menuntut ilmu daripada para ulama yang alim, bertakwa dan warak. Kerana ulama yang memiliki ciri-ciri ulama pewaris nabi adalah ulama yang ikhlas dan ilmu yang di sampaikan akan memiliki  keberkatan. Maksud keberkatan ilmu yang kita perolehi mampu pula kita hayati dalam kehidupan kita. Jauhilah ulama-ulama yang ada kepentingan duniawi yang hanya memberi fatwa dalam perkara-perkara yang tidak menjejaskan jawatannya dan sentiasa mengambil hati pemimpin walaupun bertentangan dengan hukum-hukum Allah SWT. Ulama seperti ini akan menjauhkan diri kita daripada rahmat dan keredaan Allah SWT.

No comments: