Thursday, July 21, 2011

Lima Keistimewaan Umat Nabi Muhammad SAW di Bulan Ramadan

أًلسَّلاَمُ عَلَيْكُمْ
بِسْمِ اللهِ الرَّحْمنِ الرَّحِيْمِ

Segala puji bagi Allah, Tuhan sekelian alam. Selawat serta salam buat junjungan mulia Nabi Muhammad  SAW. keluarga serta para sahabat dan pengikut yang istiqamah menuruti baginda hingga ke hari kiamat.

Sahabat yang dirahmati Allah,
Bulan Ramadan adalah bulan yang mulia di sisi Allah SWT. Terdapat 5 keistimewaan bulan Ramadan yang di kurniakan oleh Allah SWT kepada umat Nabi Muhammad SAW berbanding dengan umat-umat sebelum baginda.

Imam Ahmad telah meriwayatkan dari Abu Hurairah r.a. bahwasanya Nabi SAW bersabda maksudnya : “Ummatku telah diberi lima hal yang belum pernah diberikan kepada ummat-ummat sebelumnya ketika bulan Ramadan:

Pertama : Bau mulut orang yang berpuasa itu lebih harum dari pada minyak kesturi di sisi Allah,

Kedua : Para Malaikat beristighfar untuk mereka hingga berbuka,

Ketiga : Allah memperindah syurga-Nya setiap hari, seraya berfirman kepadanya: “Hampir-hampir para hamba-Ku yang soleh akan mencampakkan berbagai kesukaran dan penderitaan lalu kembali kepadamu,”

Keempat : Syaitan-syaitan durjana dibelenggu, tidak dibiarkan lepas seperti pada bulan-bulan selain Ramadan,

Kelima : Mereka akan mendapat ampunan di akhir malam.” Ada yang bertanya, “Wahai Rasulullah, apakah itu terjadi pada malam Lailautl Qadar?” Baginda menjawab, “Bukan, namun pelaku kebaikan akan disempurnakan pahalanya seusai menyelesaikan amalanya.”

Lima perkara yang Allah SWT persiapkan untuk kalian. Dengan lima perkara tersebut, kalian mendapat keistimewaan dari Allah SWT di antara ummat-ummat lainnya. Semua itu diberikan Allah SWT untuk menyempurnakan berbagai nikmat-Nya kepada kalian. Sesungguhnya betapa banyak nikmat dan keutamaan yang telah Dia berikan kepada kalian, sebagaimana firman-Nya yang bermaksud : “Kamu adalah umat yang terbaik yang dilahirkan untuk manusia, menyuruh kepada yang makruf, dan mencegah dari yang mungkar, dan beriman kepada Allah..” (Surah Al-Imran ayat 110)

Huraiannya :

Pertama : Bau busuk dari mulut orang yang berpuasa lebih harum di sisi Allah daripada bau kasturi.

Mulut orang yang berpuasa bau haruman kasturi – Ulama mentafsirkan bahawa yang dimaksudkan dengan terlebih harum disisi Allah daripada bau kasturi ialah bahawa pada hari akhirat Allah akan memberi ganjaran dengan haruman kepada bau mulut orang yang berpuasa dengan haruman yang terlebih semerbak dan segar daripada bau kasturi.

Ada juga ulama mentafsirkan pada hari kiamat apabila kita bangun daripada kubur, suatu bau harum akan terkeluar daripada mulut orang-orang yang berpuasa yang terlebih harum daripada bau kasturi.

Tafsiran yang paling tepat ialah yang mengatakan bahawa bau mulut yang keluar daripada mulut orang yang berpuasa di dunia ini terlebih harum di sisi Allah daripada kasturi.

Puasa merupakan ibadah yang tersangat berharga di sisi Allah dan dengan sebab ini juga Allah berfirman yang bermaksud : “ Ganjaran bagi puasa Aku sendiri yang memberinya, kerana puasa itu adalah untukKu sendiri.”

Hadis juga ada menyebut,: “Puasa adalah pintu bagi semua bentuk ‘ibadah’. Maksudnya ialah menerusi puasa hati akan bercahaya dan melaluinyalah keinginan untuk melakukan ibadat-ibadat yang lain akan terangsang.Ini hanya akan dapat dicapai jika puasa dilaksanakan dengan mematuhi syarat-syaratnya dan bukannya setakat berlapar dan dahaga sahaja.

Dalam hadis yang lain daripada Abi Soleh Az-zayyat bahawa dia telah mendengar Abu Hurairah berkata: Rasulullah SAW telah bersabda yang bermaksud : "Setiap amalan anak Adam baginya melainklan puasa maka ia untukKu (Allah) dan Aku akan membalasnya. Dan puasa adalah perisai, maka apabila seseorang berada pada hari puasa maka dia dilarang menghampiri (bercumbu) pada hari itu dan tidak meninggikan suara. Sekiranya dia dihina atau diserang maka dia berkata : 'Sesungguhnya aku berpuasa' demi Tuhan yang mana diri Nabi Muhammad ditanganNya maka perubahan bau mulut orang berpuasa lebih harum di sisi Allah pada hari kiamat daripada bau kasturi, dan bagi orang berpuasa dua kegembiraan yang mana dia bergembira dengan keduanya apabila berbuka dia bergembira dengan waktu berbukanya dan apabila bertemu Tuhannya dia gembira dengan puasanya. (Hadis Riwayat Bukhari, Muslim, Nasai'e, Ahmad, Ibn Khuzaimah, Ibn Habban dan Baihaqi)

Kedua : Para malaikat beristighfar untuk mereka hingga berbuka.

Para malaikat adalah hamba-Nya yang dimuliakan di sisi-Nya, sebagaimana Allah SWT menceritakan sifat malaikat  dalam firman-Nya yang bermaksud : “…yang tidak mendurhakai Allah terhadap apa yang diperintahkan-Nya kepada mereka dan selalu mengerjakan apa yang diperintahkan.” (Surah At-Tahrim ayat 6)

Maka dari itu, sungguh layak apabila Allah SWT mengabulkan doa para malaikat untuk orang yang berpuasa. Sebab mereka memang telah diizinkan untuk itu. Allah mengizinkan para malaikat untuk beristighfar bagi mereka untuk mengangkat, meninggikan penyebutan, serta menjelaskan keutamaan puasa ummat ini. Makna istighfar adalah meminta ampun terhadap dosa-dosa yang dilakukan demi kebaikan di dunia dan akhirat. Setiap anak Adam tidak terlepas daripada melakukan dosa dan bersikap melampaui batas terhadap diri mereka sendiri. Sehingga mereka benar-benar mengharapkan keampunan daripada Allah SWT.

Ketiga : Allah memperindah syurga-Nya setiap hari, seraya berfirman kepadanya: “Hampir-hampir para hamba-Ku yang soleh akan mencampakkan berbagai kesukaran dan penderitaan lalu kembali kepadamu.”

Yang dimaksud dengan hadis ini adalah mereka mencampakkan beban hidup di dunia dan susah payah serta penderitaannya lalu mengerjakan amal-amal soleh yang dengannya mereka hidup bahagia di dunia dan akhirat dan dapat memasukkan mereka ke syurga, negeri kedamaian dan kemuliaan.

Dari Abu Umamah, ia berkata, aku bertanya : "Wahai Rasulullah tunjukkan kepadaku suatu amal yang memasukkanku ke syurga". Nabi bersabda maksudnya : "Hendaknya engkau berpuasa, tiada yang menyamainya." (Hadis riwayat Nasai, ibnu Hibban, dan Hakim dan sanadnya sahih)

Dalam riwayat yang lain dari Sahl dari Nabi SAW bersabda maksudnya  : "Sesungguhnya dalam syurga terdapat sebuah pintu yang bernama Ar Rayyan, orang-orang yang berpuasa akan masuk melaluinya pada hari kiamat, dan selain mereka tidak akan masuk melaluinya.
Dikatakan : Dimanakah orang-orang yang berpuasa?
Maka mereka pun berdiri. Dan selain mereka tidak akan memasukinya .
Maka jika orang-orang yang berpuasa sudah memasukinya ditutuplah pintu itu dan tidak seorangpun akan memasukinya, Dan barangsiapa yang telah masuk ia pasti minum dan barangsiapa yang minum ia tidak akan kehausan selamanya."
(Hadis riwayat Bukhari dan Muslim)

Keempat : Syaitan-syaitan durjana dibelenggu, tidak dibiarkan lepas seperti pada bulan-bulan selain Ramadan,

Ini adalah salah satu bentuk pertolongan Allah SWT kepada para hamba-Nya. Musuh umat ini (iblis dan syaitan) diikat sehingga tidak boleh membisikkan dan menggoda anak Adam yang berpuasa untuk terpengaruh dengan usaha-usaha jahatnya supaya menjadi penghuni neraka yang menyala- nyala. Oleh sebab itu, dapat kita dapat saksikan bahawa pada bulan ini umat Islam mempunyai keinginan yang lebih tinggi untk melakukan kebaikan dan menahan diri dari keburukan dibandingkan pada bulan-bulan lainnya.

Satu persoalan yang mungkin muncul bahawa apabila iblis dan syaitan-syaitan telah dirantai mengapa masih ada maksiat-maksiat dilakukan?.

Jawapannya ialah maksiat itu bukannya semestinya daripada syaitan sahaja tetapi disebabkan setelah sebelas bulan mentaati kehendak dan cita-cita syaitan maka perlaku maksiat telah menjadi sebahagian daripada tabiat dan naluri mereka.

Nabi SAW bersabda maksudnya : "Siapa yang melakukan suatu dosa, maka akan tumbuh di hatinya setitik hitam, kiranya ia bertaubat akan terkikislah titik hitam itu dari muka hatinya. Jika ia tidak bertaubat, maka titik hitam itu akan terus merebak sehingga seluruh muka hatinya menjadi hitam." (Riawayt Al-Imam Ibnu Majah).

Hadis ini sesuai dengan firman Allah Subhanahu Wataala di dalam Al-Quran surah Al-Muthaffifiin, ayat 14 :-
Maksudnya : "Sebenarnya ayat-ayat kami tidak ada cacatnya bahkan mata hati mereka telah diselaputi kekotoran dosa dengan sebab perbuatan kufur dan maksiat yang mereka kerjakan."

Dengan demkian hati-hati mereka penuh diliputi kekaratan, apabila terjadi begitu, hati-hati seumpamanya ini secara semulajadi condong kearah dosa-dosa.

Kita sedia maklum bahawa walaupun iblis dan syaitan telah dirantai tetapi syaitan berbentuk jin kafir dan manusia tetap bebas di bulan Ramadan dan mereka inilah yang meneruskan kerja-kerja menggoda dan membisikkan kejahatan kepada manusia.

Kelima : Mereka akan mendapat ampunan di akhir malam. Ada yang bertanya, “Wahai Rasulullah, apakah itu terjadi pada malam Lailautl Qadar?” Baginda menjawab, “Bukan, namun pelaku kebaikan akan disempurnakan pahalanya seusai menyelesaikan amalanya.”

Allah mengampuni umat Nabi Muhammad SAW pada setiap akhir malam bulan Ramadan. Jika mereka melaksanakan apa yang seharusnya dikerjakan pada bulan yang mulia ini, berupa puasa dan solat, maka Allah akan memberikan karunia dengan menyempurnakan pahala mereka ketika telah selesai mengerjakan amal-amal mereka. Sesungguhnya orang yang beramal akan disempurnakan pahala amalnya setelah selesai mengerjakannya. Allah SWT memberikan karunia kepada para hamba-Nya.

Sahabat yang dikasihi,
Marilah sama-sama kita menghayati dan menghidupkan bulan Ramadan al-Mubarak yang akan datang tidak berapa lama lagi dengan berpuasa secara sempurna iaitu  menjauhi perkara-perkara yang membatalkan puasa dan pahala puasa, bersolat yang wajib berjemaah dimasjid dan mengerjakan solat-solat sunat (solat terawih, tahajud, witir, taubat, hajat, duha, tasbih dan lain-lain).

Banyakkan bersedekah dan menjamu untuk mengadakan majlis berbuka puasa, membaca al-Quran, beristighfar dan menuntut ilmu. Jika kita dapat mendisplinkan diri kita amalan-amalan tersebut dengan ikhlas dan istiqamah insya Allah di akhir Ramadan kita akan dikurniakan oleh Allah SWT sifat takwa dan dibebaskan-Nya daripada seksaan api neraka.

No comments: