Saturday, July 2, 2011

Orang Mukmin Bersederhana Dalam Ibadah dan Tidak Melampaui Batas Dalam Perkara Harus

أًلسَّلاَمُ عَلَيْكُمْ
 بِسْمِ اللهِ الرَّحْمنِ الرَّحِيْمِ

Segala puji bagi Allah, Tuhan sekelian alam. Selawat serta salam buat junjungan mulia Nabi Muhammad  SAW. keluarga serta para sahabat dan pengikut yang istiqamah menuruti baginda hingga ke hari kiamat.

Sahabat yang dirahmati Allah,
Nabi SAW tidak suka kepada umatnya berlebih-lebihan dalam beribadah dan melampau batas dalam perkara harus.

Nabi SAW bersabda maskdunya : "Sebaik-baik perkara itu yang pertengahan sahaja".

Anas bin Malik radiyallahu `anhu berkata: “Tiga orang lelaki datang ke rumah isteri-isteri Nabi saw bertanyakan tentang ibadah Nabi saw. Apa mereka diberitahu mereka bagaikan menganggapnya sedikit. Lantaran itu mereka berkata: “Di manakah kita berbanding Nabi SAW sedangkan telah diampunkan untuk baginda dosa-dosa terdahulu dan terkemudiannya”.

Berkata salah seorang mereka: “Adapun saya pasti akan mengerjakan solat sepenuh waktu malam selama-lamanya”. Berkata pula yang lain: “Saya akan berpuasa setahun penuh tanpa berbuka”. Berkata lagi seorang lagi: “Saya pula akan mengasingkan diri daripada wanita-wanita dan tidak berkahwin selama-lamanya”.

Baginda SAW  lalu datang menemui mereka lantas bertanya: “Kamukah yang berkata demikian-demikian? Adapun saya demi Allah merupakan orang yang paling takut dan paling bertaqwa kepada Allah di kalangan kamu tetapi saya berpuasa dan berbuka, saya solat dan tidur dan saya mengahwini wanita-wanita. Oleh itu sesiapa yang bencikan sunnahku maka dia bukan di kalanganku.”

(Hadis Riwayat Bukhari)

Sunnah Nabi ini menggambarkan kesederhanaan dalam beribadah. Sikap berlebih-lebihan dalam beribadah ditolak kerana di satu peringkat ia boleh membawa kepada kebosanan.  Kebosanan itu nanti menjadi pendorong untuk amalan tersebut ditinggalkan secara total. Kebosanan ini akan berlaku kerana ia bercanggah dengan fitrah jiwa dan kemampuan fizikal manusia itu sendiri.

Untuk menepati fitrah dan kemampuan manusia dalam beribadah baginda menganjurkan sikap “berdikit tetapi tetap dan berterusan”. Ini diterangkan oleh `Aisyah apabila ditanya tentang amalan yang paling disukai oleh Nabi. Beliau menegaskan: “amalan yang berterusan".
(Hadis Riwayat Bukhari)

Nabi SAW merupakan orang yang lebih tahu kebaikan sesuatu amalan. Justeru, dalam beribadah perlulah dicontohi orang yang lebih tahu. Apabila Nabi SAW bersederhana dalam beribadah dengan mengambil kira keperluan tidur di samping solat malam, keperluan berbuka apabila berpuasa dan keperluan berkahwin di samping beribadah, maka perlakuan baginda itulah yang terbaik.

Menurut Ibn Hajar al-`Asqalani, Nabi SAW  menggabungkan antara dua kekuatan iaitu kekuatan ilmu dan kekuatan amalan. Ini dapat difahami apabila baginda menyatakan dalam sebuah hadis tatkala membetulkan tindakan beberapa sahabat yang bertindak membenci sesuatu tindakan yang telah dilakukan oleh Nabi sebagai satu kelonggaran untuk orang ramai.
(Ibn Hajar al-`Asqalani, Fath al-Bari, juz 17, hlm. 278.)

Sahabat yang dimuliakan,
Nabi SAW melarang umatnya yang suka melakukan perbuatan yang melampau batas dalam perkara yang harus seperti makan minum, berpakaian , kenderaan dan tempat tinggal. Berpada-padalah apa yang ada jangan sampai membazir dan melampaui batas dalam perkara yang harus. Lebih baik lebihan wang kita dilaburkan untuk saham akhirat daripada membeli sesuatu yang tidak bermanfaat kerana cukup berat soalan yang perlu kita jawab di hari akhirat nanti iaitu "kemana harta tersebut dibelanjakan?"

Kepada umatnya yang suka pembaziran dan melampaui batasan di dalam mengambil makanan atau sesuatu yang diharuskan akan memberi kesan negatif kepada tubuh badan; seperti badan akan menjadi terlalu gemuk dan meningkatnya rangsangan syahwat. Ekoran dari itu dia akan merasa keberatan dan malas untuk bertindak walaupun dia tidak berhenti terus. Maka di sinilah rahsianya kenapa Allah SWT dan Rasul-Nya melarang dan memberi amaran tentang pembaziran.

Allah SWT berfirman yang bermaksud, "Wahai anak Adam ! Pakailah pakaianmu yang baik pada setiap (memasuki) masjid, makan dan minumlah, tetapi jangan berlebih-lebihan. Sesungguhnya, Allah tidak suka orang yang berlebih-lebihan." (Surah al-A'raaf ayat 31).

Nabi SAW bersabda yang bermaksud, "Tidak memenuhi oleh anak Adam sesuatu bekas yang lebih buruk daripada memenuhi uncang perutnya".

Ulama terdahulu telah mengenal pasti tentang kesan-kesai negatif ke atas mereka yang terlibat secara berleluasa dalam mengambil dan menggunakan perkara yang harus. Maka mereka begitu berwaspada terhadap perkara ini.

Sehubungan dengan ini 'Aishah r.a.h telah berkata : "Berlaku bala pertama ke atas umat ini selepas Nabinya (wafat) ialah kekenyangan. Sesungguhnya sesuatu kaum itu apabila perut mereka kenyang maka badan mereka akan gemuk, maka hati mereka akan lemah dan syahwat mereka akan memuncak".

Umar Al Khattab R.A turut menyatakan : "Berjaga-jagalah kamu dengan perut dalam mengambil makanan dan minuman. Maka sesungguhnya ia boleh membawa kerosakan pada badan dan ditimpa penyakit yang menyebabkan malas untuk melaksanakan solat. Hendaklah kamu bercermat (sederhana) dalam mengambil makanan atau minuman. Sesungguhnya ia akan memberi kebaikkan kepada tubuh badan dan menjauhkan daripada pembaziran. Dan sesungguhnya Allah Taala benci kepada pendita-pendita yang gemuk, dan sesungguhnya seorang itu tidak akan binasa sehinggalah nafsunya mengatasi agamanya".

Abu Sulaiman al Darani menyatakan : "Sesiapa yang sentiasa berada dalam kekenyangan ia akan ditimpa enam penyakit. 1. Hilang kemanisan bermunajat, 2. Tidak mampu menghafaz hikmah dan kebaikan, 3. Hilang simpati terhadap makhluk lain. Ini disebabkan apabila seseorang itu kenyang ia beranggapan bahawa orang lain juga kenyang sepertinya, 4. Berkeberatan dan malas untuk melakukan ibadat, 5. Syahwatnya kian meningkat, seluruh orang mukmin berduyun-duyun ke masjid dan 6. Orang yang kenyang sentiasa berlegar-legar di tong sampah (membuang najis)".

Sahabat yang dikasihi,
Marilah sama-sama kita mengikut amalan sunah Rasulullah SAW iatu bersederhana dalam melakukan ibadah kepada Allah SWT dan tidak melampaui batas dalam perkara yang harus iaitu dalam makan-minum tidak berlebih-lebihan, dan tidak bermewah-mewah dalam berpakaian, kenderaan dan rumah tempat tinggal. Perlu diingat bahawa harta yang kita miliki bukan milik kita sepenuhnya kerana disitu ada hak-hak yang perlu kita tunaikan, barulah harta tersebut bersih disisi Allah SWT.

No comments: