Monday, August 8, 2011

Banyakkan Bersedekah di Bulan Ramadan Sebagai Penebus Kemurkaan Allah

 أًلسَّلاَمُ عَلَيْكُمْ
بِسْمِ اللهِ الرَّحْمنِ الرَّحِيْمِ

Segala puji bagi Allah, Tuhan sekelian alam. Selawat serta salam buat junjungan mulia Nabi Muhammad  SAW. keluarga serta para sahabat dan pengikut yang istiqamah menuruti baginda hingga ke hari kiamat.

Sahabat yang dirahmati Allah,
Rasulullah SAW  adalah orang yang sangat dermawan, dan kedermawanan baginda semakin bertambah pada bulan Ramadan. Kebaikan-kebaikan yang baginda lakukan pada bulan itu melebihi angin yang berhembus.”

Dalam sebuah hadis Nabi SAW  bersabda yg bermaksud:
“Seutama-utama sedekah adalah pada bulan Ramadan.”
(HR. At-Tirmidzi)

Zaid bin Salim meriwayatkan dari ayahandanya bahawa ia berkata: Saya mendengar Umar bin Khattab berkata: “Rasulullah SAW. memerintahkan kami agar bersedekah. Kebetulan aku sedang memiliki harta. 
Umar pun berkata: “Pada hari ini aku akan melebihi Abu Bakar !” Umar melanjutkan: Aku pun membawa setengah dari hartaku. 
Rasulullah berkata: “Apa yang kamu tinggalkan untuk keluargamu?” 
 “Sebanyak ini juga!” jawabku. 
Kemudian datanglah Abu Bakar dengan membawa seluruh hartanya. Rasulullah SAW berkata: “Apa yang kamu tinggalkan untuk keluargamu?” .
Dia menjawab: “Aku tinggalkan bagi mereka Allah dan RasulNya!” 
Maka aku berkata: “Aku tidak akan mampu melebihimu selamanya.”

Diriwayatkan dari Thalhah bin Yahya bin Thalhah bahawa ia berkata:“Nenekku bernama Su’da binti ‘Auf Al-Murriyyah, beliau adalah isteri Thalhah bin ‘Ubaidillah- menceritakan kepadaku:“Pada suatu hari Thalhah datang menemuiku dengan wajah yang kusut. Aku bertanya kepadanya: “Mengapa wajahmu kusut seperti itu?” Apa yang telah terjadi atas dirimu? Adakah sesuatu yang dapat kubantu?
Ia berkata: “Terima kasih, kamu adalah sebaik-baik isteri seorang muslim!” Aku bertanya lagi: “Jika demikian, apa yang terjadi atas dirimu? 
Ia akhirnya berkata: “Harta yang kumiliki sudah terlalu banyak dan hal itu sangat menyusahkan diriku.”
Kukatakan padanya: “Jangan terlalu bersusah, bagikan saja harta itu!” 
Maka ia pun membagi-bagikan harta itu hingga tidak tertinggal sedirham pun.”
Thalhah bin Yahya (cucunya) berkata:“Aku tanyakan kepada penjaga gudangnya: “Berapa harta Thalhah ketika itu?”
“Empat ratus ribu dirham!” katanya. 

Sedekah boleh melindungi dari bahaya dan musibah, serta menolak su’ul khatimah (kematian yang buruk). Sedekah mampu memberikan pengaruh yang luar biasa kepada orang yang menunaikannya. Salah satu manfaat sedekah adalah ia memelihara seseorang dari segala macam bahaya dan musibah.
 
Sabda Rasulullah SAW yang bermaksud :
Sungguh sedekah itu akan memadamkan kemarahan Tuhan dan menghindarkan dari kematian yang buruk (su’ul khatimah).” (Hadis Riwayat al-Turmuzi)

Sahabat yang dimuliakan,
Salah satu sifat orang mukmin adalah hati dan jiwanya sentiasa suka bantu membantu. Hati dan jiwanya akan resah apabila berlalu satu hati tidak ada bantuan yang dapat diberikan. Dia akan memberikan bantuan walaupun sekecil mana kepada saudara-sauadara yang perlukan bantuan dan khidmat daripada dirinya.

Daripada Abu Hurairah r.a. Rasulullah S.A.W.  bersada yang maksudnya, "Siapa yang melapangkan satu kesusahan orang yang beriman daripada kesusahan-kesusahan dunia, Allah akan melapangkan orang itu satu kerumitan dari kerumitan akhirat. Dan siapa yang memudahkan orang yang susah, Allah akan memudahkannya didunia dan diakhirat. Siapa yang menutup keaiban orang Islam, Allah akan menutup keaibannya didunia dan diakhirat. Dan Allah sentiasa menolong hamba itu selagi hamba itu mahu menolong saudaranya."
(Hadis Riwayat Muslim).

Berdasarkan hadis di atas jelaslah kepada kita bahawa setiap bantuan dan pertolongan yang diberikan ikhlas kerana Allah, tidak menjadi sia-sia kerana jaminan daripada Allah SWT bahawa Dia akan membalas dengan balasan yang lebih baik samaada di dunia atau pun di hari akhirat.

Rasulullah SAW pernah menerangkan satu amalan yang dapat menyelamatkan kaum wanita dari azab neraka. Ketika beginda selesai berkhutbah hari raya yang berisikan perintah untuk bertakwa kepada Allah SWT. dan anjuran untuk mentaatiNya. Baginda pun bangkit mendatangi kaum wanita, baginda menasihati mereka dan mengingatkan mereka tentang akhirat kemudian baginda bersabda :
“Bersedekahlah kamu semua. Kerana kebanyakan kamu adalah kayu api Jahanam!”
Maka berdirilah seorang wanita yang duduk di antara wanita-wanita lainnya yang berubah kehitaman kedua pipinya, iapun bertanya : “Mengapa demikian, wahai Rasulullah?”
Baginda menjawab : “Kerana kamu banyak mengeluh dan kamu kufur terhadap suami!” (Hadis Riwayat Al- Bukhari)
Bersedekahlah kerana sedekah adalah satu jalan untuk menyelamatkan kaum wanita dari azab neraka. 

Rasulullah SAW. bersabda yang bermaksud :
“Satu dirham mengatasi seribu dirham.”
Para sahabat bertanya, “Bagaimana berlaku demikian, ya Rasulullah?”
Rasulullah SAW. menjawab, “Seorang lelaki ada dua dirham, lalu disedekahkannya satu dirham yang paling baik. Seorang kaya mengeluarkan dari hartanya yang banyak dan disedekahkan seribu dirham. Maka satu dirham itu lebih baik.”

Mata wang dirham adalah mata wang yang lumrah digunakan di zaman Rasulullah SAW. Dari hadis diatas dapat kita mengambil pengajaran bahawa sumbangan si miskin walaupun kecil tetapi besar bagi si miskin kerana ia memerlukan wang tersebut untuk menyara kehidupannya, dia terpaksa berlawan dengan perasaan dan rasa hatinya sendiri dan sanggup memberikan sedekah tersebut dengan rasa ikhlas dan takwa .

Sebaliknya si kaya tidak merasai apa-apa kesulitan walaupun dia bersedekah sebanyak seribu dirham, kerana harta yang ia miliki jauh lebih banyak daripada apa yang disedekahkan.

Oleh itu Allah SWT. menilai bukan pada jumlah sumbangan tetapi ianya dinilai daripada sejauhmana pengorbanan dan kesusahan yang terpaksa ia lalui untuk memberi sumbangan. Itulah sebabnya kenapa satu dirham mengatasi seribu dirham.

Sifat cintakan harta boleh menjangkiti siapa sahaja tanpa mengenal orang miskin atau kaya. Berlatihlah bersikap dermawan sewaktu miskin, walaupun menderma seringgit mungkin seringgit yang kita dermakan nilainya melebihi seribu ringgit. Sekiranya amalan mulia ini diteruskan, percayalah kalian akan bersikap dermawan sewaktu kaya nanti.

Didalam satu wasiat Nabi SAW kepada Sayyidina Ali r.a. mengatakan bahawa dipintu syurga ada tertulis bahawa orang yang bakhil tidak dibenarkan masuk kedalam syurga.

Sekiranya kalian membiarkan diri bersikap bakhil, kemungkinan penyakit bakhil itu akan terus kekal sewaktu kalian kaya.Rebutlah peluang untuk bersedekah dan menyumbang sementara harta dan umur masih ada. Kalian tidak tahu, mungkin esok kalian jatuh miskin atau kembali kepada Allah SWT dan tidak berkesempatan untuk bersedekah.

Seorang anak lelaki bertanya Rasulullah SAW : "Sedekah mana yg lebih besar pahalanya?
Nabi SAW menjawab maksudnya : "Sedekah yg diberikan sedangkan pada masa itu engkau masih sihat dan sebenarnya engkau bakhil (merasa sayang nak dermakan harta kerana takut jadi fakir dan engkau berangan jadi kaya) maka jangan menangguh sedekah sehingga apabila roh sampai dikerongkongan lalu pada masa itu kau berkata, "ini untuk si anu ini untuk si anu sekian" dan sebenarnya harta engkau pada masa itu memang akan dimilki oleh orang lain."  (Hadis Riwayat Bukhari dan Muslim)
Sahabat yang dikasihi,
Banyak sekali keistimewaan bersedekah pada bulan Ramadan, maka hendaknya kalian bersegera mengerjakannya. Keluarkanlah dengan segera sedekahmu sesuai dengan keluasan yang ada padamu.

Dalam hadis Nabi SAW ada menjelaskan bahawa sedekah jariah yang diberikan dengan ikhlas semata-mata kerana Allah adalah salah satu saham akhirat yang akan mengalir terus pahalanya walaupun ia telah kembali menemui Allah SWT di alam Barzakh.

Kekayaan sebenar bukanlah kerana banyak ‘memiliki’ tetapi kerana banyak ‘memberi’. Justeru, Allah itulah zat yang Maha Kaya, kerana Dia-lah yang banyak memberi. Jika kalian banyak memberi akan meningkatkan kualiti jiwa. Jika kalian banyak menerima kalian akan hanya meningkatkan kuantiti harta. Kualiti jiwa itu matlamat, kuantiti harta itu cuma alat. Jangan tertukar antara alat dan matlamat.

No comments: