Friday, August 19, 2011

Fasa Ketiga Ramadan Pembebasan Daripada Api Neraka

أًلسَّلاَمُ عَلَيْكُمْ
بِسْمِ اللهِ الرَّحْمنِ الرَّحِيْمِ

Segala puji bagi Allah, Tuhan sekelian alam. Selawat serta salam buat junjungan mulia Nabi Muhammad S.A.W. keluarga serta para sahabat dan pengikut yang istiqamah menuruti baginda hingga ke hari kiamat.

Sahabat yang dirahmati Allah,
Alhamdulillah kita berada dihari terakhir fasa ke 2 iaitu "Pertengahannya keampunan daripada Allah " kita akan masuk fasa ke 3 iaitu "Pembebasan dari api neraka"

Apabila kita masuk saja fasa terakhir dalam bulan Ramadan iaitu pembebasan dari api neraka ini bermakna kita juga sedang berada 10 malam terakhir bulan Ramadan. Malam kemuliaan atau Lailatul Qadar terdapat di dalam 10 malam terakhir iaitu malam yang lebih baik daripada 1000 bulan.

Di fasa ini kita di tuntut menggandakan amal ibadah, bertahajjud, berikhtikaf di masjid, membaca al-Quran, zikrullah, berdoa, bermunajat dan memohon keampunan kepada Allah SWT dari segala dosa dan kesalahan dan memohon untuk di bebaskan dari siksaan api neraka!

Teruskanlah ibadah dengan bersungguh-sungguh,  ikutilah amalan Nabi SAW yang merasa terlalu sibuk lebih dari masa-masa sebelumnya kerana fasa terakhir ini amat penting iaitu memohon kepada Allah SWT supaya kita  mendapat pembebasan dari siksaan api neraka.

Nabi SAW. masa 10 malam terakhir mengikat kain sarung baginda (tidak mendekati isteri-ister baginda) .Kita amat berharap belas kasihan Allah SWT. semoga Allah memberi pembebasan dan menyelamatkan kita dari seksaan api neraka. Malaikat Jibril mengatakan celaka pada mereka yang berakhir Ramadan tetapi namanya masih tercatat sebagai ahli neraka.

Allah SWT Maha Mendengar atas rintihan hamba-hamba-Nya yang mengaku atas dosa dan kesalahannya meminta rahmat , rahim dan pengampunan daripada  Allah SWT. dimalam yang penuh sahdu hingga menitiskan air mata penyesalan.

Alangkah bahagianya hidup kita apabila Allah SWT mengampunkan segala dosa-dosa kita dan diredai-Nya dan dipilih untuk memasuki syurga-Nya seluas langit dan bumi.

Sabda Rasulullah s.a.w yang bermaksud : "Barangsiapa yang memohon syurga kepada Allah sebanyak tiga kali, maka syurga itu berkata :'Ya Allah masukkanlah ia ke syurga!' Dan barangsiapa yang memohon diselamatkan dari neraka sebanyak tiga kali, maka neraka itu berkata: 'Ya Allah! Selamatkanlah ia dari neraka," (Hadis Riwayat Tirmizi)

Sahabat yang dimuliakan,
Amalkanlah doa-doa yang terdapat di dalam al-Quran untuk memohon keampunan daripada Allah SWT dan memohon rahmat-Nya dan terselamat daripada api neraka.

Doa-doa tersebut adalah seperti berikut :

1. "Ya Tuhan kami, sesungguhnya kami telah beriman, maka ampunilah segala dosa kami dan peliharalah kami dari seksa neraka." (Surah Ali-Imran ayat 16)

2."Ya Tuhan kami, kami telah beriman, maka ampunilah kami dan berilah kami rahmat yang paling baik." (Surah al-Mukminun ayat 109)

3. "Ya Tuhanku berilah ampunan dan rahmat, kerana Engkau adalah Pemberi rahmat yang paling baik." (Surah al-Mukminun ayat 118)

4. "Ya Tuhan kami, kami telah menganiaya diri kami sendiri dan jika Engkau tidak mengampuni kami dan memberi rahmat kepada kami, pastilah kami menjadi orang yang merugi." (Surah al-A'raf ayat 23)

5. "Ya Tuhanku, sesungguhnya aku berlindung kepada Engkau dari permohonan yang aku tiada ketahui (hakikatnya). Dan sekiranya Engkau tidak memberi ampun kepadaku, dan (tidak) menaruh belas kasihan kepadaku, nescaya aku akan menjadi orang yang merugi."
(Surah Hud ayat 47)

6. "Ya Tuhan kami, ampunilah aku dan kedua ibu bapaku dan sekalian orang-orang mukmin pada hari terjadinya perhitungan (hari kiamat)." (Surah Ibrahim ayat 41)

7. "Ya Tuhan kami, sempurnakanlah bagi kami cahaya kami dan ampunilah kami, sesungguhnya Engkau Maha Kuasa atas segala sesuatu." (Surah at-Tahrim ayat 8)

8. "Ya Tuhan kami, tiadalah Engkau menciptakan (alam) ini sia-sia, Maha Suci Engkau, maka peliharalah kami dari siksa neraka. Ya Tuhan kami, sesungguhnya barang siapa yang Engkau masukkan kedalam neraka, sungguh telah Engkau hinakan dia, dan tidak ada bagi orang-orang yang zalim itu seorang penolongpun. Ya Tuhan kami, kami telah mendengar penyeru yang mengajak : Berimanlah kalian kepada Tuhanmu. Maka kami telah beriman. Ya Tuhan kami, ampunilah dosa-dosa kami, dan wafatkanlah kami bersama orang-orang yang abror (banyak berbakti). Ya Tuhan kami, berilah kami apa yang telah Engkau janjikan kepada kami dengan perantaraan Rasul-Rasul Engkau dan janganlah Engkau hinakan kami dihari kiamat. Sesungguhnya Engkau tidak pernah menyalahi janji."
(Surah Ali-Imran ayat 191-194)

9. "Ya Tuhan kami, jauhkanlah azab Jahanam dari kami, sesungguhnya azabnya itu adalah kebinasaan yang kekal." (Surah al-Furqan ayat 65)

Sahabat yang dihormati,
Lailatul Qadr sunat dicari, kerana malam ini merupakan suatu malam yang diberkati serta mempunyai kelebihan dan diperkenankan doa oleh Allah  SWT. Lailatul Qadr adalah sebaik-baik malam mengatasi semua malam termasuk malam Jumaat.

Allah SWT berfirman dalam Surah Al-Qadr 97  Ayat 3.
Maksudnya: " Lailatul Qadr lebih baik daripada seribu bulan"

Ertinya menghidupkan malam kemuliaan (Lailatul Qadr) dengan mengerjakan ibadah adalah lebih baik daripada beribadah pada seribu bulan yang tidak ada Lailatul Qadr seperti sabda Nabi SAW .maksudnya : " Sesiapa menghidupkan malam kemuliaan (Lailatul Qadr ) kerana beriman serta mencari pahala yang dijanjikan akan mendapat pengampunan daripada dosa-dosa yang telah lalu "

Diriwayatkan daripada Saiyidatina Aisyah r.a bahawa Rasulullah SAW apabila tiba 10 hari terakhir bulan Ramadan, baginda menghidupkan malam-malamnya dengan membangunkan isi rumah dan menjauhi daripada isteri-isterinya.

Imam Ahmad dan Muslim meriwayatkan maksudnya : " Rasulullah SAW. berusaha sedaya upaya dalam malam-malam sepuluh  akhir Ramadan melebihi usahanya daripada malam-malam lain. "

Lailatul Qadr berlaku pada 10 akhir daripada malam ganjil bulan Ramadan. Rasulullah SAW. bersabda maksudnya : " Carilah Lailatul Qadr pada sepuluh akhir bulan Ramadan dalam malam ganjil. "

Pendapat yang terkuat mengikut para ulama bahawa  Lailatul Qadr jatuh pada malam 27 Ramadan. Menurut Abu Ka'ab katanya, "Demi Allah sesungguhnya ibn Mas'ud telah meyakinkan bahawa  Lailatul Qadr jatuh dalam bulan Ramadan manakala Lailatul Qadr pula terjatuh pada malam 27, akan tetapi dia enggan memberitahu kepada kami (malam yang tepat) kerana bimbangkan kamu tidak lagi berusaha mencarinya."

Aisyah juga pernah bertanya kepada Rasulullah SAW: “Wahai Rasulullah, bagaimana pendapat anda jika aku mengetahui waktu lailatul Qadr, apa yang aku ucapkan di malam itu?” Beliau menjawab: “Ucapkanlah: Allaahumma innaka ‘afuwwun tuhibbul ‘afwa fa’fu ‘annii (wahai Allah, sesungguhnya Engkau Maha Pemaaf, Engkau suka memaafkan, maka maafkanlah daku).” (Hadis riwayat Ibnu Majah dan at-Tirmidzi dengan sanad yang shahih)

Tanda-tandanya Rasulullah SAW telah memberitahukan tanda-tanda Lailatul Qadr di dalam beberapa hadisnya, antara lain: Dari Abu Hurairah dia berkata: “Kami memperbincangkan Lailatul Qadr di sisi Rasulullah Sallallahu ‘Alaihi Wasallam, lalu baginda bersabda: ”Siapa diantara kalian yang mengingat ketika bulan muncul, yang bulan itu seperti separuh piring”. (Hadis Riwayat Muslim)

Ubay bin Ka’b berkata: “Demi Allah, sesungguhnya aku mengetahui bila Lailatul Qadr itu, iaitu malam yang kami diperintahkan oleh Rasulullah Sallallahu ‘alaihi wasallam untuk solat padanya. Iaitu malam yang esok paginya (adalah hari ke) dua puluh tujuh. Adapun tandanya adalah matahari akan terbit pada pagi harinya dalam keadaan putih tidak menyilaukan.”  (Hadis riwayat Muslim no. 762, Tirmidzi, Abu Dawud, al-Humaidi dan lainnya).

Ibnu Abbas berkata: “Lailatul Qadr adalah malam yang lembut, sedang, tidak panas, tidak dingin; matahari akan terbit pada pagi harinya dalam keadaan lembut, merah“. (Hadis Riwayat at-Thayalisi 349, Ibnu Khuzaimah dan al-Bazzar dengan sanad yang hasan)

Sahabat yang dikasihi,
Kenapakah  Lailatul Qadr menjadi rahsia? Terdapat kisah pertengkaran dua orang sahabat Nabi SAW. Dan memang ilmu tentang hal tersebut telah diambil oleh Allah daripada Nabi gara-gara kesalahan (iaitu pertengkaran) yang dilakukan oleh dua lelaki di antara umat baginda.

‘Ubadah bin as-Shamit berkata: “Bahawa Rasulullah Sallallahu ‘alaihi wasallam keluar akan memberitahukan tentang Lailatul Qadr, lalu ada dua lelaki di antara kaum muslimin bertengkar maka baginda bersabda: “Sesungguhnya aku keluar untuk memberitahukan kalian tentang Lailatul Qadr. Tetapi sesungguhnya si Fulan dan si Fulan bertengkar sehingga diangkatlah (ilmu tentang waktu Lailatul Qadr). Namun mudah-mudahan hal itu lebih baik bagi kalian. Carilah Lailatul Qadr pada malam tujuh, sembilan dan lima (yang terakhir).” (Hadis riwayat Bukhari).

Akhirkata marilah kita bersama-sama hidupkan malam-malam sepuluh terakhir ini dengan hati yang khusyuk dan tawaduk. Sibukkanlah hati dan fikiran kita dengan ibadah dan hubungan hati kita dengan Allah SWT. Jangan dipersia-siakan malam yang penuh berkat ini. Masa untuk membeli belah dan  persiapan hari raya gunakanlah waktu siang hari dan jangan di ganggu waktu malam hari kerana masa berharga ini tak akan di dapati digantikan lagi ianya datang setahun sekali dan masa yang berlalu tidak akan ada penggantinya. Inilah masa untuk kita buat pelaburan untuk saham akhirat. Pelaburan ini tak perlukan wang ringgit tetapi ianya memerlukan masa dan hati yang cekal dan azam yang tinggi.

Sesuatu yang berharga tidak mungkin boleh kita perolehi dengan usaha sambil lewa, oleh itu berusahalah semaksima mungkin, berdoalah dengan bersungguh-sungguh hingga mampu mengalirkan air mata penyesalan. Solatlah dengan khusyuk seolah-olah kalian melihat Allah, jika kalian belum sampai ketahap itu maka yakinlah Allah sedang melihat apa yang kalian kerjakan.

1 comment:

رحيمه said...

Terima kasih. Sangat bermakna pencerahannya