Tuesday, September 20, 2011

Tafsir Surah Al-Furqan Ayat 10

أًلسَّلاَمُ عَلَيْكُمْ
 بِسْمِ اللهِ الرَّحْمنِ الرَّحِيْم

Segala puji bagi Allah, Tuhan sekelian alam. Selawat serta salam buat junjungan mulia Nabi Muhammad S.A.W. keluarga serta para sahabat dan pengikut yang istiqamah menuruti baginda hingga ke hari kiamat.

Sahabat yang dirahmati Allah,

Firman Allah SWT :

تَبَارَكَ الَّذِي إِنْ شَاءَ جَعَلَ لَكَ خَيْرًا مِنْ ذَلِكَ جَنَّاتٍ تَجْرِي مِنْ تَحْتِهَا الْأَنْهَارُ وَيَجْعَلْ لَكَ قُصُورًا (10

Maksudnya : "Maha suci (Allah) yang jika Dia menghendaki, nescaya Dia jadikan bagimu yang lebih baik daripada itu, (iaitu) syurga-syurga yang mengalir dibawah sungai-sungai, dan Dia jadikan (pula) istana-istana untukmu." (Surah al-Furqan ayat 10)

Asbabun Nuzul ayat 10.

Khaitsamah r.a meriwayatkan, bahawa ayat ini diturunkan berkenaan dengan Rasulullah SAW yang pernah ditawarkan Jibril (atas perintah Allah),"Jika mahu, Kami akan memberimu kunci perbendaharaan bumi tanpa mengurangi nikmatmu di akhirat. Atau jika kamu mahu, keduanya akan Kami gabungkan untukmu di akhirat". Rasulullah SAW pun menjawab,"Gabungkan sahaja keduanya di akhirat kelak." (Hadis RiwayatIbnu Abi Syaibah, Ibnu Jarir dan Ibnu Abi Hatim)


Sahabat yang dimuliakan,
 Suatu ketika Jibril sedang bersama baginda, dan tiba-tiba datang seorang malaikat yang lain. “Aku khuatir, jangan-jangan ia membawa sebuah tugas untukku,” kata Jibril. 

Tetapi  malaikat itu terus berjalan menuju Rasulullah SAW  dan kemudian berkata, “Salam daripada Allah untukmu, Muhammad. Saya membawa kunci-kunci perbendaharaan bumi untuk engkau. Jika engkau mahu, ambillah, nescaya semua yang ada di bumi ini akan menjadi emas dan perak. Semua itu akan abadi bersamamu hingga hari kiamat, dan tidak mengurangi sedikit pun dari apa yang akan engkau peroleh di sisi Allah.”

Mendengar hal itu, Rasulullah SAW tidak terpengaruh oleh tawaran duniawi dari Allah SWT melalui malaikat tersebut. 

Baginda menjawab, “Biarlah saya terkadang lapar dan terkadang merasa kenyang.”

Allah SWT berfirman yang bermaksud: Dan janganlah engkau tujukan pandangan matamu kerana kenikmatan yang telah Kami berikan kepada beberapa golongan dari mereka, (sebagai) bunga kehidupan dunia, agar kami uji mereka dengan (kesenangan) itu. Kurnia Tuhanmu lebih baik dan lebih dekat." (Surah Thaha ayat 131)

Para Nabi dan Rasul tersebut sentiasa menghindarkan diri jangan sampai menikmati kelazatan yang mungkin mereka ambil daripada kurnia Allah SWT. Mereka berkeyakinan bahawa segala bentuk nikmat yang datang adalah medan ujian yang maha berat daripada Allah SWT. Mereka lebih suka menikmati zikir dan ibadah kepada-Nya.

Mereka tidak pernah terpikat dengan kekayaan yang mereka miliki, sehingga tidak pernah pula merasa berduka jika kekayaan itu lenyap dari tangan mereka. Juga tidak merasa gembira dengan kekayaan tersebut, sehingga tidak perlu berfikir panjang jika hendak memberikannya kepada orang lain.

Menurut ahli tafsir Abu Said Kharraz, mereka adalah seperti yang difirmankan Allah SWT, yang bermaksud: “Mereka  itulah (para Nabi) yang telah diberi petunjuk oleh Allah, maka ikutlah petunjuk mereka..."(Surah al-An’am ayat 90)

Tafsirannya :

Kemudian sebagai hiburan kepada Nabi SAW yang selalu dihina dan direndahkan oleh orang-orang kafir itu, Allah menjelaskan bahawa kalau Dia menghendaki nescaya Dia akan memberikan kepadanya kebun-kebun yang lebih baik dari yang disuruh minta oleh orang-orang kafir itu dan akan memberikan pula istana-istana yang paling megah dan indah. 

Hal itu adalah amat mudah bagi Allah SWT tetapi bukan demikian yang dikehendaki-Nya. Allah menghendaki yang lain dengan hikmah kebijaksanaan-Nya, Allah SWT menghendaki agar Rasul pembawa Risalah-Nya sebagai manusia biasa yang menjadi ikutan dan suri teladan bagi umatnya dalam memperjuangkan suatu cita-cita, memperjuangkan kebenaran dan memperjuangkan kalimat Allah. 

Di samping perjuangan yang maha berat itu dia harus pula memikirkan keperluan dan hajat peribadinya. Begitulah seharusnya seorang Rasul yang akan menjadi contoh dan teladan. 

Kalaulah Nabi Muhammad SAW itu seorang kaya mempunyai kebun-kebun dan istana serta perbendaharaan yang berlimpah-limpah tentulah tidak akan sebesar itu nilai perjuangannya dan tentulah tidak akan dapat dicontoh oleh pengikut-pengikutnya di belakang hari. 

Apa erti istana, apa erti kebun-kebun dan apa erti perbendaharaan yang berlimpah-limpah bila seorang berhadapan dengan Khaliknya Yang Maha Kuasa Maha Kaya dan Maha Perkasa? 

Demikianlah Nabi Muhammad SAW  reda dengan keadaannya. Biar miskin lemah menerima berbagai hinaan dan cemoohan kaumnya, tetapi dia senang dan bahagia kerana dia mengemban tugas suci dari Tuhannya. Pernah baginda berkata: "Ya Tuhanku apapun yang terjadi pada diriku dan bagaimanapun beratnya penderitaanku tetapi aku tetap bahagia selama Engkau reda terhadapku."

Sahabat yang dikasihi,
Begitu mulia dan sucinya hati Rasulullah SAW, menolak tawaran Allah SWT untuk diberikan kunci perbandaraan bumi kepada baginda sebagaimana Allah SWT pernah berikan kepada Nabi Sulaiman a.s. Baginda tidak mahu diri baginda dan umatnya terlalu seronok dengan kenikmatan dunia hingga melupakan kehidupan di hari akhirat. Dunia ini adalah tempat persinggahan semata-mata, walaubagaimana hebat sekalipun nikmat dunia ianya tetap tidak kekal dan akan ditinggalkan oleh manusia. Akhiratlah tempat akhir kehidupan manusia dan syurgalah tempat yang kekal abadi untuk orang-orang bertakwa.

Dengan rasa rendah diri Nabi SAW menolak tawaran malaikat daripada Allah SWT dengan berkata “Biarlah saya terkadang lapar dan terkadang merasa kenyang.”

Inilah contoh peribadi mulia, bersifat zuhud, tawaduk dan qanaah yang perlu menjadi ikutan untuk setiap muslim mukmin sebagai umat baginda yang ingin berjaya di dunia dan akhirat.
Anggaplah dunia ini tempat pelaburan (harta-benda, masa, tenaga dan amal soleh) yang mana di akhiratlah tempat kita mengambil dividen dan keuntungannya.

No comments: