Wednesday, October 19, 2011

Jauhi Riba Kerana Dosa Besar Yang Di Laknat Oleh Allah SWT

السَّلاَمُ عَلَيْكُم
سْمِ اللهِ الرَّحْمنِ الرَّحِيْم
 
Segala puji bagi Allah, Tuhan sekelian alam. Selawat serta salam buat junjungan mulia Nabi Muhammad  SAW keluarga serta para sahabat dan pengikut yang istiqamah menuruti baginda hingga ke hari kiamat.

Sahabat yang dirahmati Allah,
Riba adalah salah satu dosa besar yang di laknat oleh Allah SWT . Di bawah ini di nyatakan dalili-dalil daripada al-Quran dan hadis Nabi SAW mengenai pengharaman riba.

Dalil -dalil daripada al-Quran :

Firman Allah SWT maksudnya :
"Hai orang-orang yang beriman, bertakwalah kepada Allah dan tinggalkan sisa riba (yang belum dipungut) jika kamu orang-orang yang beriman". ( Surah Al-Baqarah ayat 278)

"Maka jika kamu tidak mengerjakan (meninggalkan sisa riba), maka ketahuilah, bahwa Allah dan Rasul-Nya akan memerangimu. Dan jika kamu bertaubat (dari pengambilan riba), maka bagimu pokok hartamu; kamu tidak menganiaya dan tidak (pula) dianiaya." ( Surah Al-Baqarah ayat 279)

"Dan sesuatu riba (tambahan) yang kamu berikan agar dia bertambah pada harta manusia, maka riba itu tidak menambah pada sisi Allah. Dan apa yang kamu berikan berupa zakat yang kamu maksudkan untuk mencapai keredaan Allah, maka (yang berbuat demikian) itulah orang- orang yang melipat gandakan (pahalanya). 
(Surah Al-Rum ayat 39)
    
Dalil-dalil daripada hadis Nabi SAW.

Rasulullah SAW bersabda maksudnya : "Akan datang suatu zaman kepada manusia, mereka memakan riba." Lalu ada yang bertanya. " Apakah semua manusia wahai Rasullullah ?." Sabdanya. " Orang yang tidak memakannya namun terkena debunya."
(Hadis Riwayat Bukhari dan Muslim daripada Abu Hurairah)

Rasulullah SAW bersabda maksudnya : "Jauhilah tujuh perkara yang membinasakan..Syirik, Sihir, membunuh tanpa hak, makan harta anak yatim, makan riba, lari dari medan peperangan kerana takut dan menuduh perempuan yang suci dengan zina tanpa saksi adil. “
(Hadis Riwayat Al-Bukhari dan Muslim.)

Rasulullah SAW bersabda maksudnya : "Allah melaknat pemakan riba, pembayarnya, penulisnya dan dua orang saksinya ." (Hadis Riwayat Daraqutni daripada Abdullah bin Handullah)

Rasulullah SAW bersabda bermaksud : "Satu dirham riba dosanya lebih berat daripada dosa orang berzina tiga puluh enam kali ." (Hadis Riwayat Muslim)

Umar bin Al-Ahwash daripada bapanya meriwayatkan, katanya : " Saya mendengar Rasullullah SAW berpidato pada Haji Wada’ : " Wahai manusia..sesungguhnya darah kamu, harta kamu dan kehormatan kamu haram atas kamu seperti haramnya hari kamu ini di kota kamu ini. Ketahuilah bahawa setiap riba daripada riba Jahiliyah dilarang bagi kamu. Kamu hanya berhak atas modal kamu. Kamu tidak boleh menganiaya dan tidak boleh dianiaya ." (Hadis Riwayat Muslim)

Jenis-jenis Riba :
1. Riba Nasi'ah

Menurut Qatadah, riba al-nasi'ah adalah riba kaum jahiliyyah dimana seorang menjual sesuatu hingga tempoh waktu tertentu. Apabila tempoh waktu itu tamat sedangkan pembelinya belum mampu melunasi pembayarannya maka harganya dinaikkan dan tempohya dilanjutkan lagi.

Mujahid mengatakan bahawa pada zaman jahiliyyah ada orang yang mempunyai hutang kepada orang lain, lalu yang berhutang berkata kepada pemberi hutang, "Hutang saya akan saya bayar "sekian (lebih)" dengan syarat anda melanjutkan tempohnya kepada saya". Lalu orang itu melanjutkan waktunya.


2. Riba Fadhl

Riba ini terjadi apabila seseorang menjual sesuatu dengan sejenisnya dengan tambahan, seperti menjual emas dengan emas, mata wang dirham dengan dirham, gandum dengan gandum dan seterusnya.

Abu Said Al-Khudari berkata, "Rasulullah bersabda : "Emas dengan emas, perak dengan perak, gandum dengan gandum, syair dengan syair, korma dengan korma dan garam dengan garam dipertukarkan dengan sama, segenggam dengan segenggam. Siapa yang manambah atau minta tambah maka ia telah malakukan riba, baik yang meminta maupun yang memberi, dalam hal itu sama saja. Hadith Riwayat Al-Syaikhan.

Dari Abu Said Al-Khudari, katanya, "Bilal datang kepada Rasulullah SAW dengan membawa korma kualitas Barni. Lalu Rasulullah SAW bertanya kepadanya, "Dari mana korma itu ?". Ia menjawab , "Kami punya korma yang buruk lalu kami tukar beli dua liter dengan satu liter". Maka Rasulullah bersabda: "Masya Allah, itu juga adalah perbuatan riba. Jangan kau lakukan. Jika kamu mau membeli, juallah dahulu kurmamu itu kemudian kamu beli kurma yang kamu inginkan". (Muttafaq 'alaih)


Sistem Perbankan Konvensional.

Sistem perbankan adalam sistem kewangan yang dikenal pasti paling banyak menjalankan urusan riba, seperti pinjaman rumah, kereta, wang tunai, pinjaman pelajaran dll. Dalam sistem perbankan konvensional, faedah dikenakan ke atas peminjam, bermakna peminjam terpaksa membayar dalam jumlah yang lebih tinggi daripada jumlah sebenar yang dipinjam. Jika peminjam gagal membayar pada tempoh yang ditetapkan, jumlah faedah yang dikenakan juga akan bertambah tinggi dan sekiranya si peminjam gagal juga membayar pinjaman tersebut, bank dengan mudahnya akan membawa kes tersebut ke mahkamah yang seterusnya boleh membawa kepada perisytiharan muflis terhadap si peminjam.
Sistem Insurans Konvensional .

Unsur riba terdapat dalam urusniaga Pinjaman dari Polisi (policy loan) yang ditawarkan kepada peserta dalam produk Insurans Nyawa. Dalam sistem kemudahan pinjaman ini, Syarikat insurans akan mengenakan bayaran faedah (interest) kepada peserta yang membuat pinjaman. Jelas sekali bahawa bayaran faedah tersebut merupakan riba yang dilarang oleh Islam.

Elemen riba turut wujud dalam penjanaan keuntungan pelaburan dan insurans yang akan digunakan dalam pembayaran pampasan kepada pemegang polisi. Ini kerana dana-dana tabungan insurans, kebanyakannya dilaburkan dalam instrumen kewangan seperti bon dan juga saham yang kerap melibatkan syarikat-syarikat yang berurusniaga dengan kegiatan sistem perbankan konvensional.

Sahabat yang dimuliakan,
Untuk meninggalkan riba maka perlulah kita kembali kepada sistem perbankan Islam yang telah diperkenalkan oleh Bank Islam, Bank Muamalat , Bank Rakyat dan Perbankan Islam yang terdapat di dalam bank-bank yang lain.
Sistem Perbankan Islam

Bagi membolehkan sistem perbankan yang diamalkan selaras dengan hukum Islam, urusniaga faedah (riba) adalah diharamkan sama sekali. Sebaliknya, bank masih boleh menjana keuntungan walaupun tanpa urusniaga riba melalui konsep-konsep berikut:-

* Mudharabah (perkongsian keuntungan)
* Wadiah (simpanan amanah)
* Musyarakah (usaha sama)
* Murabahan (kos tambahan)
* Ijarah (pajakan)

Sistem Takaful

Para ulamak telah sepakat memutuskan Takaful sebagai ganti kepada Insurans Konvensional. Dasar Tabarru'at menjadi teras utama yang membina paksi Takaful. Penggunaan dasar ini turut menyelamatkan pengurusan Takaful untuk seiring dengan keredaan Syarak dalam soal Muamalah Islam. Dengan penggunaan Tabarru'at ini maka Takaful terselamat dari terkena unsur gharar dan maisir.


Takrif Tabarru'at

Tabarru'at merupakan perkataan Arab yang bermaksud menderma secara ikhlas. Dalam konteks perniagaan Takaful, setiap peserta yang ingin mendapatkan perlindungan Takaful mestilah hadir dengan niat yang ikhlas untuk menderma bagi membantu para peserta yang lain jika mereka menghadapi musibah. Dalam erti kata yang lebih tepat ialah, semua peserta tersebut bersetuju untuk saling membantu dikalangan mereka di atas niat yang sama.

Sahabat yang di kasihi,
Marilah kita meninggalkan riba kerana besar dosanya di sisi Allah SWT.
Berkata Ibnu Abbas r.a : “ Tidak diterima dari pemakan riba ( yang menggunakan harta riba tadi) sedekahnya, hajinya, jihadnya dan persaudaraannya.” (Al-Jami’ li Ahkamil Quran, Al-Qurtubi, 3/362 ; Az-Zawajir ‘An ‘Iqtiraf al-Kabair , ibid, 1/224).

Oleh itu berhati-hatilah kita dalam pembelian rumah dan kereta supaya tidak terlibat dengan sistem riba. Jika sudah terambil cara konvensional maka perlulah ditukarkan kepada pinjaman cara Islam samaada cara mudharabah atau yang lain-lain.

Begitu juga sesiapa yang terlibat dengan Pinjaman Tabung Pendidika Tinggi (PTPTN) yang mempunyai unsur riba maka eloklah ditukarkan pinjaman tersebut kepada Ujrah iaitu pinjaman cara Islam.

Pada hari kiamat, orang yang menggamalkan riba akan dibangkitkan dalam keadaan terhuyung hayang kerana Allah Subahanahu Wata'ala telah memberatkan dan membesarkan perut mereka akibat memakan benda yang haram di dunia. Oleh itu, mereka tidak dapat berdiri tetap melainkan seperti berdirinya orang yang dirasuk syaitan. 

Perkara ini telah dijelaskan dalam firman Allah Subahanahu Wata'ala dalam surah Al-Baqarah ayat 275 tafsirnya: "Orang-orang yang memakan (mengambil) riba itu tidak dapat berdiri betul melainkan seperti berdirinya orang yang dirasuk syaitan dengan terhuyung hayang kerana sentuhan syaitan itu. Yang demikian ialah disebabkan mereka mengatakan: "Bahawa sesungguhnya berjual beli itu sama sahaja seperti riba". Padahal Allah telah menghalalkan berjual beli (berniaga) dan mengharamkan riba..."

No comments: