Wednesday, November 2, 2011

Solat-solat Sunat Fadilat dan Kebaikannya

Assalamualaikum Warahmatullahi Wabarakatuh

سْمِ اللهِ الرَّحْمنِ الرَّحِيْم

Segala puji bagi Allah, Tuhan sekelian alam. Selawat serta salam buat junjungan mulia Nabi Muhammad SAW keluarga serta para sahabat dan pengikut yang istiqamah menuruti baginda hingga ke hari kiamat.

Sahabat yang dirahmati Allah,
Sesungguhnya terdapat banyak solat-solat sunat yang telah ditunjukkan oleh junjungan mulia kita iaitu Rasulullah SAW. Solat-solat sunnat yang baginda anjurkan ini, mempunyai banyak tujuan dan fadhilatnya yang tersendiri.

Solat-solat sunat ini juga, amat elok kita amalkan sebagai penambah bekalan amal bakti kita untuk kebaikan di dunia dan akhirat.

Mudah-mudahan kita dapat mengerjakannya dengan kaedah yang betul dan mendapat keredhaan Ilahi,

Sesungguhnya solat sunat ialah solat tambahan selain daripada solat fardu yang memainkan dua peranan penting:

Pertama: Jika solat fardu kalian sudah sempurna, solat sunat berperanan meningkatkan darjat ibadah kalian kepada Allah SWT.

Kedua: Jika solat fardu kalian belum sempurna lantaran kurang khusyuk atau meninggalkan perkara-perkara sunat, maka solat sunat berperanan menampung kekurangan yang kalian lakukan dalam solat wajib. Sebagaimana hadis yang dinyatakan dibawah :

Daripada Abu Hurairah, katanya bahawa Rasulullah SAW  bersabda bermaksud: "Sesungguhnya amalan yang mula-mula sekali dihisabkan seseorang pada hari kiamat mengenainya ialah solatnya, jika solatnya diterima, maka sesungguhnya beruntung dan berjayalah ia. Jika solatnya tidak diterima, maka kecewa dan rugilah ia. Jika terkurang daripadanya solat fardu sesuatu.  Allah berfirman: 'Periksalah, adakah hambaku itu mempunyai solat-solat sunat untuk dicukupkan dengannya apa yang terkurang daripada solat fardu. Demikianlah keadaan amalan lain." (Hadis riwayat at-Tirmizi).             

Sahabat yang dimuliakan,
Solat sunat yang paling afdal selepas solat fardu adalah solat tahajud., kerana di dalam al-Quran Allah SWT menjeaskan kepentingan solat tahajud. Salah satu sifat penduduk syurga adalah tidak meninggalkan solat tahajud semasa hidup di dunia dahulu.

Selain solat tahajud , solat witir dan solat duha juga tidak pernah ditinggalkan oleh Nabi SAW.

Di senaraikan beberapa solat-solat sunat yang akan memberi tambahan amal soleh untuk kita laksanakan semata-mata mencari keredaan Allah SWT.

1. Solat Tahajud .

Solat tahajud adalah solat malam yang dikerjakan selepas solat isyak dengan syarat seseorang perlulah tidur sebentar. Boleh dikerjakan 2, 4, 6. atau 8 rekaat.

Firman Allah SWT maksudnya :
“Dan bangunlah pada sebahagian dari waktu malam serta kerjakanlah “Solat Tahajjud” padanya, sebagai solat tambahan bagimu; semoga Tuhanmu membangkit dan menempatkanmu pada hari akhirat di tempat yang terpuji”. (Surah al-Israa’ ayat 79)

Dalam ayat yang lain firman Allah SWT yang bermaksud : “Sesungguhnya orang-orang yang bertaqwa adalah ditempatkan di dalam beberapa taman Syurga, dengan matair-matair terpancar padanya. (Keadaan mereka di sana) sentiasa menerima nikmat dan rahmat yang diberikan kepadanya oleh Tuhan mereka. Sesungguhnya mereka di dunia dahulu adalah orang-orang yang berbuat kebaikan. Mereka sentiasa mengambil sedikit sahaja masa dari waktu malam, untuk mereka tidur. Dan pada waktu akhir malam (sebelum fajar) pula, mereka selalu beristighfar kepada Allah (memohon ampun)”.
(Surah al-Dzaariyaat ayat15-18)

Sungguh Nabi SAW solat malam hingga kedua tapak kakinya merekah. Dalam satu riwayat Aishah berkata kepada Nabi SAW : “Mengapa tuan melakukan hal ini wahai Rasulullah, padahal Allah telah mengampuni dosa-dosamu yang telah lalu dan yang akan datang.” Baginda bersabda: “Apakah aku tidak ingin menjadi hamba yang sangat bersyukur?”
(Hadis riwayat Bukhari di dalam Shahih al-Bukhari)

2. Solat Witir.

Sunat dikerjakan 5, 3 atau 1 rekaat :
Imam Abu Daud dan an-Nasa’i telah meriwayatkan sebuah hadis dari Abu Ayyub yang maksudnya: “Rasulullah SAW pernah bersabda” Solat witir itu adalah benar (hak). Siapa yang suka mengerjakannya lima rakaat, kerjakanlah. Siapa yang suka mengerjakannya tiga rakaat kerjakanlah, dan siapa yang suka mengerjakannya satu rakaat sahaja pun, kerjakanlah."

Nabi SAW bersabda maksudnya : “Sesungguhnya Allah SWT telah menambahkan kepada kamu satu solat, iaitu solat witir. Maka sembahyanglah antara solat Isyak dan solat subuh. (Hadis Riwayat Ahmad)

Sabda Nabi SAW maksudnya : “Bila sudah menjelang pagi, dan salah seorang daripada kamu masih belum melakukan (solat) witir, maka berwitirlah (qada'). (Hadis Riwayat Baihaqi & al-Hakim)

Ada 2 jenis solat witir Nabi SAW  iaitu sejurus selepas Isyak dan tengah malam lepas solat tahajjud.

Sabda Nabi SAW maksudnya : “Sesiapa yang bimbang tidak bangun pada akhir malam, maka berwitirlah pada awal malam, dan sesiapa yang ingin bangun pada akhir malam, maka berwitirlah pada akhir malam. (Hadis Riwayat Muslim).

 Sayyidina Umar solat witir diawal malam, selepas solat Isyak.

3. Solat Duha.

Solat duha adalah solat sunat yang dikerjakan 28 minit selepas terbit matahari (selepas masuk waktu syuruk) dan sebelum masuk waktu zohor (waktu yang sesuai adalah diantara jam 8.00 pagi hingga 11.30 pagi). Soat Duha boleh dikerjakan 2, 4, 6, 8, 10 atau 12 rekaat.

Firman Allah SWT dalam hadis qudsi maksudnya : "Wahai anak Adam jangan sekali-kali engkau malas mengerjakan  4 rekaat pada waktu permulaan siang (solat Duha) , nanti pasti Aku cukupkan keperluanmu pada petang harinya (Hadis Riwayat Hakim dan Thabrani)

Dari Abu Dzar r.a., beliau berkata, Rasulullah s.a.w. bersabda yang bermaksud : "Setiap persendian (ruas) tulang salah seorang di antara kamu ada sedekahnya.Setiap tasbih itu sedekah, setiap tahmid sedekah, setiap tahlil sedekah, setiap takbir sedekah, perintah yang baik itu sedekah, mencegah kemungkaran itu juga sedekah. Dan kesemuanya itu cukup dengan melakukan dua rakaat solat Duha."
(Hadis Riwayat Muslim)

Dari Abu Hurairah r.a. beliau berkata : "Kekasihku (Rasulullah SAW) telah memberi wasiat kepadaku untuk mengerjakan shaum (puasa) tiga hari setiap bulan, solat Duha dua rakaat dan solat witir sebelum saya tidur". (Hadis Riwayat Lima Imam Hadis).

Nabi SAW bersabda maksudnya : "Solat Duha itu mendatangkan rezeki dan menolak kefakiran (kemiskinan) dan tidak ada yang akan memelihara solat Duha kecuali hanya orang-orang yang bertaubat."

4. Solat Sunat Rawatib .

Solat sunat Rawatib ialah solat sunat yang mengiringi solat-solat fardu lima waktu. Solat ini amat digalakkan oleh Islam dan selalu diamalkan dan dilakukan oleh Rasulullah SAW Solat Sunat Rawatib berfungsi sebagai pelengkap ataupun tambahan untuk menampung supaya apa-apa kekurangan ataupun cela yang berlaku semasa mengerjakan solat-solat fardu.

Solat Sunat Rawatib ini adalah satu sunat muakkad, iaitu yang amat dituntut dan digalakkan. Solat Sunat Rawatib adalah sebagai sunat tambahan yang bertujuan menyempurnakan apa-apa kecelaan ataupun kekurangan yang terdapat dalam solat fardu pengamal. Solat sunat Rawatib ini dituntut ke atas orang Islam yang mukallaf dan dilakukan secara rela hati serta kemahuan sendiri dan apabila dilakukan dijanjikan pahala dan ganjaran oleh Allah S.W.T. dan jika ditinggalkan pula tidak membawa kepada apa-apa dosa.

Solat sunat Rawatib ini boleh dilakukan oleh sesiapa sahaja, termasuk golongan musafir yang mendirikan solat fardu secara qasar. Solat sunat Rawatib tidak didahului dengan azan ataupun iqamah. Solat sunat Rawatib ini juga didirikan secara bersendirian (munfarid),dan tidak didirikan secara berjemaah.

Dari Ibnu Umar ra berkata, "Aku menjaga 10 rakaat dari Nabi SAW: 2 rakaat sebelum solat Zuhur,2 rakaat sesudahnya,2 rakaat sesudah solat Maghrib, 2 rakaat sesudah solat Isyak dan 2 rakaat sebelum solat Subuh. (Hadis Riwayat Muttafaqun 'alaihi)

Sayyidah 'Aisyah dalam hadis muttafaq 'alaih menyatakan: "Tidak ada nafilah, solat sunnah, yang sangat dijaga pelaksanaannya oleh Nabi SAW. melebihi dua rakaat fajar."
(Hadis Bukhari dan Muslim)

Solat sunat Rawatib terbahagi kepada dua jenis, iaitu Solat Sunat Rawatib Qabliyyah dan Solat Sunat Rawatib Ba’diyyah.

Solat Sunat Rawatib Qabliyyah adalah solat sunat yang didirikan sebelum kita mendirikan solat fardu. Solat Sunat Rawatib Ba’diyyah pula didirikan selepas kita menunaikan solat fardu.

Sembahyang sunat Rawatib ini terbahagi kepada dua bahagian iaitu,
Sunat Muakkad dan Sunat Ghairu Muakkad.

Solat sunat Rawatib Muakkad amat besar fadilatnya dan dijanjikan ganjaran yang besar apabila menunaikannya.

Solat sunat Rawatib Ghairu Muakkad kurang sedikit fadilatnya berbanding dengan solat sunat muakkad.

Solat sunat Rawatib Muakkad amat dituntut oleh Islam dan diriwayatkan bahawa Rasulullah S.A.W. sentiasa menjaga 10 rakaat Solat Sunat Rawatib Muakkad ini terdiri dari :

1. dua rakaat Rawatib Muakkad Qabliyyah Sebelum Subuh
 2.  dua rakaat Rawatib Muakkad Qabliyyah Sebelum Zuhur
 3. dua rakaat Rawatib Muakkad Ba’diyyah Sesudah Zuhur
 4. dua rakaat Rawatib Muakkad Ba’diyyah Sesudah Maghrib
 5. dua rakaat Rawatib Muakkad Ba’diyyah Sesudah Isyak

Solat sunat Rawatib Ghairu Muakkad kurang sedikit fadilatnya dibandingkan dengan solat sunat muakkad tetapi pengamal tetap dijanjikan ganjaran apabila melakukan solat ini.

Solat sunat Rawatib Ghairu Muakkad adalah solat sunat yang ada dikerjakan oleh Rasulullah S.A.W. pada waktu-waktu tertentu, tetapi di waktu yang lain baginda meninggalkannya. Solat sunat Rawatib Ghairu Muakkad terdiri daripada

 1. dua rakaat Rawatib Ghairu Muakkad Qabliyyah Sebelum Zuhur
  2. dua rakaat Rawatib Ghairu Muakkad Ba’diyyah Setelah Zuhur
  3. empat rakaat Rawatib Ghairu Muakkad Qabliyyah Sebelum Asar
  4. dua rakaat Ghairu Muakkad Qabliyyah Sebelum Maghrib
  5. dua rakaat Ghairu Muakkad Qabliyyah Sebelum Isyak

5. Sunat Tasbih .

Solat Sunat Tasbih yang mengandungi 300 tasbih, dan dianjurkan sekurang-kurangnya dikerjakan sekali seumur hidup. Solat tasbih ada empat rakaat, dengan satu salam jika dikerjakan pada siang hari, dan dengan dua salam jika dikerjakan pada malam hari.

Cara mengerjakan solat tasbih ialah dengan membaca tasbih 15 kali sesudah membaca surat Al-Fatihah, 10 kali tasbih ketika rukuk, 10 tasbih ketika iktidal, 10 tasbih ketika sujud pertama, 10 tasbih ketika duduk antara dua sujud, 10 tasbih ketika sujud kedua, dan 10 tasbih ketika duduk sebelum qiam di rakaat pertama dan ketiga (atau 10 tasbih selepas tahiyyat awal di rakaat kedua, dan selepas tahiyyat akhir di rakaat terakhir sebelum salam.) Ulangi 75 tasbih ini untuk empat rakaat.

Ikrimah daripada Ibnu Abbas r.a., beliau berkata : Rasulullah SAW. bersabda kepada Abbas bin Abdul Mutalib yang bermaksud :

"Wahai Abbas pamanku. Apakah engkau suka aku memberi hadiah istimewa yakni  kuajarkan sepuluh macam perbuatan yang dapat menghapus dosa?

Apabila paman mengerjakannya Allah akan mengampuni dosa-dosamu, yang awal atau yang akhir, yang lama atau yang baru, yang disengaja maupun tidak sengaja, yang kecil atau yang besar, yang tersembunyi atau pun yang nampak.

Sepuluh perkara tersebut iaitu bahawa engkau solat empat rekaat, setiap rekaat engkau baca al-Fatihah dan sebuah surah. Apabila engkau telah membaca dalam rekaat pertama,tetaplah engkau dalam keadaan berdiri dan bacalah subhanallah wal hamdulillah wala ilaha illallah wallahu akbar (Maha Suci Allah dan segala puji bagi Allah dan tidak ada tuhan melainkan Allah dan Allah Maha Agung) sebanyak lima belas kali, kemudian rukuk dan bacalah kalimah tersebut sepuluh kali semasa dalam keadaan rukuk, kemudian engkau bangun dari rukuk dan bacalah kalimat itu sepuluh kali kemudian turun untuk sujud dan bacalah sepuluh kali semasa engkau dalam keadaan sujud. Apabila bangun dari sujud bacalah sepuluh kali kemudian engkau sujud dan bacalah sepuluh kali selepas itu engkau bangun dan bacalah sepuluh kali. Maka kesemuanya berjumlah tujuh puluh lima dalam setiap rakaat. Kerjakanlah kesemuanya dalam keempat rakaat.

Apabila engkau mampu mengerjakan solat tasbih setiap hari satu kali maka kerjakanlah. Apabila tidak mampu kerjakanlah seminggu sekali. Apabila  tidak mampu, lakukanlah sebulan sekali. Apabila engkau tidak mampu juga, kerjakanlah setahun sekali. Jika engkau tidak mengerjakannya, lakukanlah sekali sahaja semasa hidupmu."
(Hadis Riwayat Abu Daud, Ibnu Majah dan Ibnu Khuzaimah)

6. Sunat Hajat

Solat sunat Hajat untuk memohon hajat atau ketika berada dalam kesulitan.

Oleh kerana kita masih hidup di dunia ini maka kita perlulah pertolongan yang akan membantu kita menyempurnakan amalan kita. Allah SWT menjelaskan dua perkara yang akan membantu kita adalah banyak bersabar dan mengerjakan solat .

Allah SWT berfirman maksudnya : "Hai orang-orang yang beriman, jadikan sabar dan solat sebagai penolongmu, sesungguhnya Allah beserta orang-orang yang sabar.''
(Surah al-Baqarah ayat 153)

Sahabat-sahabat Rasulullah SAW apabila menghadapi apa-apa masalah akan bersolat 2 rekaat dan berdoa dan memohon pertolongan Allah SWT. semoga hajatnya diterima oleh Allah SWT.

7. Sunat Tahiyyatul Masjid.

Solat sunat tahiyyatul masjid adalah solat 2 rekaat yang dikerjakan ketika memasuki masjid.

8. Sunat Taubat.

Solat Taubat adalah solat sunat untuk memohon keampunan kepada Allah SWT setelah menginsafi perbuatan mungkar dan dosa. Tidak ditetapkan waktunya semasa mengerjakannya.

9. Sunat Istisqa' (Minta Hujan).

Solat sunat yang dikerjakan untuk memohon hujan. Tiga hari sebelum solat istisqa' segenap penduduk diwajarkan berpuasa dan meninggalkan segala kezaliman serta dianjurkan beramal soleh. Pada hari keempat semua penduduk termasuk yang lemah akan pergi ke tempat yang lapang dengan berpakaian sederhana dan tanpa wangi-wangian untuk solat istisqa’.

Solat ini juga diiringi dengan dua khutbah selepas solat. Pada khutbah pertama hendaklah membaca istighfar 9 kali dan pada khutbah kedua 7 kali.

10. Sunat Hari Raya.

Solat pada hari raya terbahagi kepada dua iaitu solat sunat Aidilfitri dan solat sunat AidilAdha, dan mengandungi takbir tujuh kali pada rakaat pertama, dan takbir lima kali pada rakat kedua. Solat sunat ini adalah sunat muakkad (sunat yang dituntut)

11. Sunat Terawih.

Solat Terawih adalah sunat yang dikerjakan khusus pada bulan Ramadan sahaja. Sunat Terawih adalah sunat muakkad (sunat yang dituntut) dilaksanakan selepas waktu isyak samaada 8 rekaat atau 20 rekaat.

12. Sunat Istikharah.

Solat sunat Istirakah adalah solat sunat untuk meminta petunjuk yang baik daripada Allah SWT apabila kita menghadapi dua pilihan, atau ragu dalam mengambil keputusan. Sebaiknya dikerjakan pada 2/3 malam terakhir.

Rasulullah SAW  telah mensyariatkan umatnya agar mereka memohon pengetahuan Allah dalam segala urusan yang mereka alami dalam kehidupan, sama ada yang kecil mahupun besar, agar beroleh kebaikan. Ia sebenarnya dilakukan bagi menggantikan upacara pada zaman jahiliah berupa meramalkan masa depan dengan berpandukan kepada berhala dan syaitan.

Dari Jabir bin Abdullah r.anhuma meriwayatkan bahawa Rasulullah SAW  mengajarkan kami cara melakukan istikharah (memohon kepada Allah untuk menunjuki cara yang benar mengenai sesuatu kerja atau amalan),  dalam segala hal sebagaimana baginda mengajar kami surah-surah dari Al-Qur’an.

Baginda s.a.w bersabda: Jikalau salah seorang daripada kamu berniat melakukan sesuatu pekerjaan, maka kerjakanlah dua rakaat solat sunat dan berdoa:

” Ya Allah, Aku meminta pilihan kepadaMu dengan pengetahuanMu dan aku memohon keputusan dengan kekuasaanMu dan aku memohon kepada-Mu dari keutamaanMu yang besar, sesungguhnya Engkau mampu sedangkan aku tidak mampu dan Engkau mengetahui sedangkan aku tidak mengetahui dan Engkau mengetahui urusan-urusan yang ghaib.

Ya Allah, jikalau Engkau mengetahui bahawa 'urusan ini' baik bagiku dalam
(agamaku dan kehidupanku serta akhir urusanku, atau sebut buat masa kini dan akan datang)

maka takdirkanlah bagiku dan mudahkanlah bagiku kemudian berkatilah aku di dalamnya.
Apabila Engkau mengetahui bahawa 'urusan ini' buruk bagiku (dalam agamaku, kehidupanku dan akhir urusanku, atau sebut buat masa kini dan akan datang)

maka singkirkanlah ia daripadaku dan takdirkanlah kebaikan bagiku di mana pun jua kemudian jadikanlah aku redha dengannya."

Rasulullah SAW  menambahkan bahawa seseorang boleh menyebut masalah atau keperluannya selepas membaca 'urusan ini'.
Al-Qur’an menunjukkan bahawa Allah s.w.t akan memberi ilham kepada peminta itu, sama ada baik atau buruk, seperti dalam Surah al-Syams ayat 7-8, bermaksud: “Demi jiwa manusia dan yang menyempurnakannya. Maka Allah mengilhamkan kepada jiwanya tentang buruk dan baiknya.”

Ilham adalah pemberitahuan Allah kepada manusia biasa. Ia akan datang pada bila-bila masa sahaja. Ada juga hadis yang menyebutkan alamat itu datang melalui mimpi.

Hendaklah mengerjakan solat istikharah 7 kali berturut. Panduan agar solat istikharah dibuat sebanyak 7 kali datang dari sebuah hadis yang maksudnya : “Apabila kamu inginkan sesuatu maka beristikharahlah kepada Tuhanmu sebanyak 7 kali kemudian perhatilah petanda atau perasaan yang datang terlebih dahulu(dominan) di dalam hatimu”
(Riwayat Ibn Sunni dari Anas, Al-Hafidz Al-‘Iraqi, An-Nawawi)

13. Sunat Mutlaq.

Solat sunat Mutlaq adalah solat sunat tanpa sebab dan tidak ditentukan waktunya, juga tidak dibatasi jumlah rakaatnya.

14. Sunat Wuduk.

Solat selepas mengerjakan wuduk.

Nabi SAW bersabda maksudnya : "Barangsiapa berwuduk seperti wudukku ini lalu mengerjakan solat dua rakaat, yang pada solatnya dia tidak berbicara pada dirinya sendiri (yakni mengerjakannya dengan khusyuk) nescaya Allah akan memberikan ampunan kepadanya atas dosa-dosanya yang lampau." (Hadis riwayat Bukhari dalam Shahihnya, Kitab al-Wudhu’, no: 159)

15. Sunat Khusuf (Gerhana) - solat sunat sewaktu terjadi gerhana bulan atau matahari.

Sahabat yang dimuliakan,
Marilah sama-sama kita kerjakan solat-solat sunat dengan hati yang ikhlas semata-mata kerana Allah SWT. Tidak ada suatu pertalian yang rapat dan hubungan kasih sayang di antara hamba denga Tuhannya melainkan ketika solat. Solat adalah tempat untuk bermunajat yang paling baik dan permohonan yang paling berkesan , seorang hamba menyampaikan hasrat hatinya. Solatlah seolah-olah kalian melihat Allah SWT jika kalian belum sampai kemaqam tersebut yakinlah Allah SWT sedang melihat dan memerhatikan kalian.

No comments: