Monday, December 12, 2011

Tafsir Surah Al - Hujurat Ayat 11


Assalamualaikum Warahmatullahi Wabarakatuh

سْمِ اللهِ الرَّحْمنِ الرَّحِيْم

Segala puji bagi Allah, Tuhan sekelian alam. Selawat serta salam buat junjungan mulia Nabi Muhammad SAW keluarga serta para sahabat dan pengikut yang istiqamah menuruti baginda hingga ke hari kiamat.

Sahabat yang dirahmati Allah,

Firman Allah SWT :


يَا أَيُّهَا الَّذِينَ آمَنُوا لَا يَسْخَرْ قَوْمٌ مِنْ قَوْمٍ عَسَى أَنْ يَكُونُوا خَيْرًا مِنْهُمْ وَلَا نِسَاءٌ مِنْ نِسَاءٍ عَسَى أَنْ يَكُنَّ خَيْرًا مِنْهُنَّ وَلَا تَلْمِزُوا أَنْفُسَكُمْ وَلَا تَنَابَزُوا بِالْأَلْقَابِ بِئْسَ الِاسْمُ الْفُسُوقُ بَعْدَ الْإِيمَانِ وَمَنْ لَمْ يَتُبْ فَأُولَئِكَ هُمُ الظَّالِمُونَ (11

Maksudnya : "Wahai orang-orang yang beriman, janganlah suatu kaum mengolok-olokkan kaum yang lain (kerana) boleh jadi mereka (yang diolok-olokkan) lebih baik dari mereka (yang mengolok-olokkan) dan jangan pula wanita-wanita (mengolok-olokkan) wanita lain (kerana) boleh jadi wanita-wanita (yang diperolok-olokkan) lebih baik dari wanita (yang mengolok-olokkan) dan janganlah kamu mencela dirimu sendiri dan janganlah kamu panggil memanggil dengan gelar-gelar yang buruk. Seburuk-buruk panggilan ialah (panggilan) yang buruk sesudah iman dan barangsiapa yang tidak bertaubat, maka mereka itulah orang-orang yang zalim." (Surah al-Hujurat (49) ayat 11)

Dalam ayat ini, Allah SWT memperingatkan orang-orang yang beriman supaya jangan ada suatu kaum mengolok-olokkan kaum yang lain kerana boleh jadi, mereka yang diolok-olokkan itu pada sisi Allah SWT jauh lebih mulia dan terhormat dari mereka yang mengolok-olokkan, dan demikian pula di kalangan wanita, jangan ada segolongan wanita yang mengolok-olokkan wanita yang lain kerana boleh jadi, mereka yang diolok-olokkan itu pada sisi Allah lebih baik dan lebih terhormat dari wanita-wanita yang yang mengolok-olokkan itu. Dan Allah SWT melarang pula orang-orang yang beriman mencela sesama mereka kerana  semua orang-orang mukmin adalah umpama satu tubuh yang diikat dengan kesatuan dan persatuan, dan dilarang pula panggilan-panggilan dengan gelar-gelar yang buruk seperti panggilan kepada seseorang yang sudah beriman dengan kata-kata: hai fasik, hai kafir, hai munafik dan sebagainya. 

 Asbabun Nuzul surah al-Hujurat ayat 11

Abu Jubair Ibnu Dhahak r.a menegaskan bahawa ayat ini diturunkan berkenaan dengan seorang yang dipanggil dengan nama tertentu, agar orang itu tidak senang dengan  panggilan itu." (Hadis Riwayat Tirmizi - Hadis hasan sahih)

Rasulullah SAW bersabda :

إن الله لا ينظر إلى صوركم وأموالكم ولكن ينظر إلى قلوبكم وأعمالكم

Maksudnya :"Sesungguhnya Allah tidak memandang kepada rupamu dan harta kekayaanmu, akan tetapi Ia memandang kepada hatimu dan perbuatanmu." (Hadis Riwayat Muslim)

Hadis ini mengandung isyarat bahawa seorang hamba Allah jangan memastikan kebaikan atau keburukan seseorang semata-mata kerana melihat kepada amal perbuatannya saja, sebab ada kemungkinan seorang nampak mengerjakan amal kebaikan, padahal Allah SWT melihat di dalam hatinya ada sifat yang tercela, dan sebaliknya pula mungkin ada seorang yang kelihatan melakukan suatu yang nampak buruk, akan tetapi Allah SWT melihat dalam hatinya ada rasa penyesalan yang besar yang mendorong kepadanya bertaubat dari dosanya. Maka amal perbuatan yang nampak di luar itu, hanya merupakan tanda-tanda saja yang menimbukan sangkaan yang kuat, tetapi belum sampai ke tingkat meyakinkan. Maka Allah SWT melarang orang-orang mukmin memanggil orang dengan panggilan-panggilan yang buruk setelah mereka beriman. 

Ketika Rasulullah SWT  tiba di Madinah, maka orang-orang Ansar banyak mempunyai nama lebih dari satu, dan jika mereka dipanggil oleh sahabat mereka, kadang-kadang dipanggil dengan nama yang tidak disukainya, dan setelah hal itu dilaporkan kepada Rasulullah SAW maka turunlah ayat ini.

Ibnu Jarir meriwayatkan bahawa Ibnu Abbas dalam menafsirkan ayat ini, beliau menerangkan bahawa ada seorang laki-laki yang pernah di masa mudanya mengerjakan suatu yang buruk, lalu ia bertaubat dari dosanya, maka Allah SWT melarang siapa saja yang menyebut-nyebut lagi keburukannya di masa yang lalu, kerana hal itu dapat membangkitkan perasaan yang tidak baik, membangkit-bangkit kefasikan setelah beriman. Itu sebabnya Allah melarang panggilan-panggilan dengan gelar-gelar yang buruk itu.

Adapun gelar-gelar yang mengandung penghormatan, itu tidak dilarang seperti sebutan kepada Abu Bakar dengan As Siddiq, kepada Umar dengan Faruq, kepada Usman dengan sebutan Zun Nurain dan kepada Ali dengan Abu Turab dan kepada Khalid bin Walid dengan sebutan Saifullah (pedang Allah).

Panggilan yang buruk dilarang diucapkan sesudah orangnya beriman kerana gelaran-gelaran buruk itu mengingatkan kepada kederhakaan dimasa lalu yang sekarang tidak seharusnya diberikan kepada orang yang telah beriman. Barang siapa tidak bertaubat, bahkan terus pula memanggil-manggil dengan gelar-gelar yang buruk itu, maka mereka itu dicap oleh Allah SWT sebagai orang-orang yang zalim terhadap diri mereka sendiri dan pasti akan menerima balasan berupa azab dari Allah SWT pada hari akhirat.

Asy-Syahid Sayyid Qutb rahimahullah dalam kitab tafsir Fizilal Quran menafsirkan surah al-Hujurat ayat 11 menyatakan :

"Masyarakat gemilang yang ditegakkan Islam dengan bimbingan al-Quran itu adalah sebuah masyarakat yang mempunyai adab sopan yang tinggi. Setiap warganegaranya mempunyai kehormatan yang tidak boleh disentuh kerana kehormatannya merupakan sebahagian dari kehormatan masyarakat. Perbuatan mengaitkan mana-mana warganegara bererti mengaibkan diri sendiri kerana masyarakat itu merupakan satu kesatuan yang mempunyai satu kehormatan.

Di dalam ayat ini al-Quran menyeru orang-orang mukmin dengan seruan yang mesra : " Wahai orang-orang yang beriman"

Dan melarang mereka supaya jangan ada lelaki yang menghinakan kaum lelaki yang lain kerana boleh jadi mereka yang dihinakan itu lebih baik dari mereka, dan jangan ada kaum wanita yang menghina kaum wanita yang lain kerana boleh jadi mereka yang dihinakan itu lebih baik dari mereka mengikut pertimbangan neraca Allah SWT.

Ungkapan ayat ini mengandungi satu saranan yang halus bahawa nilai-nilai lahir yang dilihat kaum lelaki dan kaum wanita pada diri mereka itu bukanlah nilai-nilai hakiki yang dapat digunakan untuk mengukur manusia. Di sana ada nilai-nilai lain yang mungkin tersembunyi kepada mereka, iaitu nilai-nilai yang diketahui Allah dan yang digunakan untuk mengukur manusia. Kadangkala lelaki yang kaya menghinakan lelaki  yang miskin, lelaki yang kuat menghina lelaki yang lemah, lelaki yang biasa menghina lelaki yang luar biasa, lelaki yang cerdik meghina lelaki yang bodoh, lelaki yang banyak anak menghina lelaki yang mandul, lelaki yang ada ibu bapa menghina lelaki yang yatim piatu. Kadangkala perempuan yang cantik menghinakan perempuan yang hodoh, perempuan yang muda menghinakan perempuan yang tua, perempuan yang tidak cacat menghinakan perempuan yang cacat dan perempuan yang kaya menghinakan perempuan yang miskin. Tetapi semua nilai-nilai ini dan sebagainya adalah dari nilai-nilai bumi yang tidak boleh dijadikan ukuran-ukuran kerana pertimbangan neraca Allah yang mengangkat dan menjatuhkan seseorang itu bukanlah didasarkan di atas nilai-nilai seperti itu.

Tetapi al-Quran tidak hanya berpada pada saranan yang halus itu malah ia membangkitkan sentimen persaudaraan keimanan dan mengingatkan orang-orang yang beriman  bahawa mereka semua adalah ibarat satu diri sahaja dan barang siapa yang mencela orang lain bererti mencela diri sendiri.

"Dan janganlah kamu mengaibkan diri kamu sendiri"

Kata-kata "talmizu" (mengaibkan) itu sendiri mempunyai satu nada dan bayangan tertentu. Ia seolah-olah merupakan satu tikaman  fizikal bukannya keaiban mental.

Di antara perbuatan-perbuatan yang menghina dan mengaibkan ialah perbuatan memanggil dengan gelaran-gelaran yang buruk yang tidak disukai oleh seseorang, iaitu gelaran-gelaran yang dirasakan menghina dan mengaibkan. Di antara kewajipan mukmin terhadap mukmin yang lain ialah tidak memanggilnya dengan apa sahaja gelaran yang tidak disukainya dan dirasakan terhina.

Rasulullah SAW telah mengubahkan berbagai-bagai nama dan gelaran-gelaran orang Islam yang dipakai dizaman jahiliah kerana nama-nama dan gelaran-gelaran itu menurut perasaan baginda yang halus dan hati baginda yang luhur adalah menghinakan tuan-tuan tubuh yang memakainya atau kerana nama-nama dan gelaran itu memberi sifat-sifat yang buruk kepada mereka."

Sahabat yang dimuliakan,
Marilah sama-sama kita memperbaiki akhlak kita dengan membuangkan sifat suka menghina dan merendah-rendahkan orang lain . Sesiapa yang bertindak merendahkan orang lain dan merasa bangga dengan kelebihan diri sendiri maka dia sebenarnya bersifat ujub dan takabur samaada lelaki ataupun wanita. Kita juga dilarang mengelar dengan panggilan yang buruk dengan tujuan untuk menghinakan orang mukmin lain.

Nabi SAW bersabda maksudnya : “Seorang muslim itu saudara muslim yang lain. Dia tidak akan mengkhianatinya, mendustainya dan menghinanya. Setiap muslim haram (mencemar) maruah, harta dan darah muslim yang lain. Takwa itu di sini (hati). Cukuplah untuk dianggap seseorang melakukan kejahatan dengan dia menghina saudara muslimnya. (Hadis Riwayat al-Tirmizi, kata hadis ini hasan. Kata al-Sakhawi: Ianya hasan sahih)

1 comment:

Unknown said...

assalamualaikum.. bagaimana dengan tafsiran surah ini pada ayat 12 dan 13? dan apa kelebihan surah ini?