Sunday, February 5, 2012

Tafsir Surah Ali Imran Ayat 64

Assalamualaikum Warahmatullahi Wabarakatuh

سْمِ اللهِ الرَّحْمنِ الرَّحِيْم

Segala puji bagi Allah, Tuhan sekelian alam. Selawat serta salam buat junjungan mulia Nabi Muhammad SAW keluarga serta para sahabat dan pengikut yang istiqamah menuruti baginda hingga ke hari kiamat.

Sahabat yang dirahmati Allah,

Firman Allah SWT

قُلْ يَا أَهْلَ الْكِتَابِ تَعَالَوْا إِلَى كَلِمَةٍ سَوَاءٍ بَيْنَنَا وَبَيْنَكُمْ أَلا نَعْبُدَ إِلا اللَّهَ وَلا نُشْرِكَ بِهِ شَيْئًا وَلا يَتَّخِذَ بَعْضُنَا بَعْضًا أَرْبَابًا مِنْ دُونِ اللَّهِ فَإِنْ تَوَلَّوْا فَقُولُوا اشْهَدُوا بِأَنَّا مُسْلِمُونَ (٦٤)

Maksudnya : Katakanlah (Wahai Muhammad): "Wahai ahli kitab, marilah kepada satu kalimah yang bersamaan antara kami dengan kamu, iaitu kita semua tidak menyembah melainkan Allah, dan kita tidak mempersekutukan-Nya dengan sesuatu pun, dan kita tidak menjadikan satu sama lain tuhan-tuhan selain Allah. Jika mereka berpaling, maka katakanlah (kepada mereka). "Saksikanlah bahawa kami adalah orang muslim."
(Surah Ali Imran ayat 64)

Ayat ini jelas menunjukkan bahawa kalimah yang satu (satu kalimah) itu ialah kalimah tauhid atau kalimah tayyibah iaitu la ilaha illAllah [لا اله الا الله]. Abul 'Aliyah r.a. dan Mujahid r.a juga mengatakan bahawa kalimah yang satu (satu kalimah) itu ialah kalimah yang satu (satu kalimah) itu ia la ilaha illAllah [لا اله الا الله].

'Adiy Ibn Hatim meriwayatkan katanya: "Pada suatu ketika aku mengunjungi Nabi SAW sedangkan di leherku ada tanda salib yang diperbuat daripada emas. Lalu Baginda bersabda, "Lemparkanlah berhala ini daripada dirimu".

Kemudian aku mendengar baginda membaca sepotong ayat al-Quran yang berbunyi: "Mereka menjadikan pendeta-pendeta dan ahli-ahli agama mereka sebagai pendidik-pendidik selain dari Allah". Lalu aku bertanya kepadanya: "Wahai Rasulullah, mereka itu tidak menyembah mereka". Lalu sabdanya: "Bukankah mereka menghalalkan dan mengharamkan sesuatu kepada kamu? Lalu kata-kata mereka itukah yang kamu pegang?". Jawabnya, "Ya". Lalu Nabi SAW bersabda, "Ya itulah halnya".

Ayat ini mengandungi dasar bahawa segala persoalan agama seperti ibadah, penetapan halal dan haram, hanyalah dibenarkan semata-mata berdasarkan kepada sabda Rasulullah SAW iaitu seorang manusia yang bersih daripada sebarang dosa.

Ini kerana seseorang yang mengambil dasar agamanya di luar daripada sabda Rasulullah SAW bererti menyekutukan Allah daripada aspek sifat Rububiyyah dan menyimpang daripada petunjuk al-Quran.

Iktibar dan  Surah Ali-Imran ayat 64.

1. Ibn Kathir berkata: "Ayat ini adalah umum kepada ahli Kitab sama ada Yahudi atau Nasrani dan yang mengikut jejak langkah mereka".

2.Al-Qurtubi berkata: "Mereka iaitu golongan Yahudi, atau ahli Kitab ditujukan ucapan ini kerana menjadikan paderi-paderi mereka dalam ketaatan sama seperti tuhan-tuhan".

3. Al-Maraghi berkata: "Ayat ini mengandungi kenyataan tentang keesaan Allah SWT dengan firman-Nya: "Bahawa tiada yang berhak kita sembah melainkan Allah."

Kenyataan keesaan dalam sifat Rububiyyah dengan firman-Nya: "Dan tiada seorang pun daripada kita mengangkat yang lain menjadi Tuhan, selain daripada Allah."

Sahabat yang dimuliakan,
Berdasarkan hadis Nabi SAW di atas yang diriwayatkan 'Adiy Ibn Hatim  jelaslah kepada kita bahawa sesiapa yang mengambil hukum-hukum selain hukum Allah SWT iaitu hukum ciptaan manusia maka mereka telah menjadikan manusia itu sebagai tuhan-tuhan selain Allah SWT. Sebagaimana orang Yahudi dan Nasrani yang telah mengambil hukum-hukum yang diubahsuai oleh pendita atau paderi-paderi mereka dan meninggalkan kitab Taurat dan Injil yang asal.

Kenapakah menjadi satu kesalahan besar (syirik akhbar) jika seseorang itu menolak atau tidak mendaulatkan hukum-hukum Allah SWT yang terdapat di dalam al-Quran dan hadis-hadis Nabi SAW? Ini adalah kerana hak mutlak untuk mentadbir kehidupan manusia adalah hak mutlak Allah SWT. Manusia wajib mengikut hukum-hukum Allah SWT dalam  urusan akidah, ibadah, muamalat, ekonomi, politik, munakahat, jenayah dan faraid. Tetapi urusan kemajuan sains dan teknoloji, pertanian, pengangkutan, tenaga letrik, bekalan air  dan lain-lain itu urusan dunia yang ini manusia boleh mengambil daripada kepakaran manusia sendiri. Nabi SAW mengatakan bahawa kalian lebih tahu urusan dunia kalian.

Kenapa umat Islam hari ini boleh menerima hukum beribadah (solat, puasa dan haji) hukum munakahat (kekeluargaan) seperti nikah dan cerai, hukum faraid (pembahagiaan harta pusaka), hukum zakat, hukum muamalat (perbankkan Islam)  tetapi umat Islam tidak boleh menerima hukum qisas, hudud , diyat dan takzir?

Kenapa umat Islam tidak sensitif apabila ada orang yang mempertikaikan hukum-hukum Allah SWT dan mengatakan hukum Islam zalim dan ketiggalan zaman dan hukum Allah SWT ini tidak sesuai dalam masyarakat majmuk?

Kita setuju jika hukum-hukum Islam ini dilaksanakan secara peringkat demi peringkat tetapi kita menentang mereka yang cuba melekehkan hukum-hukum Islam dan merendah-rendahkan kemuliaannya. Kita setuju sebelum perlaksanaannya dijalankan secara praktikal usaha-usaha dakwah, tarbiah dan kesedaran Islam di lakukan secara meluas dan berterusan sehingga umat Islam memahami hikmah dan kebaikan hukum-hukum Allah SWT dan masyarakt bukan Islam pula tidak berprasangka buruk kepada ajaran Islam.

Sahabat yang dikasihi,
Sempena kita menyambut perayaan Maulidur Rasul pada tahun ini marilah sama-sama kita didik hati dan jiwa kita supaya mencintai Rasulullah SAW dan mencintai sunah dan ajaran Islam yang dibawa oleh baginda SAW. Tidak ada ertinya kita menyambut perayaan Maulidur Rasul dan berarak kesana sini tetapi pada masa yang sama membenci sisitem hidup dan undang-undang Islam yang dibawa oleh baginda SAW dan tidak menjadikan Islam itu sebagai satu cara hidup yang sempurna. Hayatilah Islam pada diri kita, isteri dan anak-anak , kaum keluarga, jiran tetangga , sahabat handai dan umat Islam seluruhnya.




No comments: