Thursday, March 1, 2012

Bumi Syria Bermandi Darah Kerana Kezaliman Rejim Basyar Assad


Assalamualaikum Warahmatullahi Wabarakatuh

سْمِ اللهِ الرَّحْمنِ الرَّحِيْم

Segala puji bagi Allah, Tuhan sekelian alam. Selawat serta salam buat junjungan mulia Nabi Muhammad SAW keluarga serta para sahabat dan pengikut yang istiqamah menuruti baginda hingga ke hari kiamat.

Sahabat yang dirahmati Allah,
Damsyik ialah ibu kota bagi Negara Syria. Yang dahulunya terkenal dengan nama ‘negeri syam’. Dimana negeri syam ini adalah pada hakikatnya meliputi 4 buah Negara. Iaitu Syria, Jordan, Palestin dan Lubnan. Tetapi telah melalui proses pemecahan dan pengasingan sempadan oleh kerajaan kafir Eropah suatu ketika dahulu. Meskipun telah terpisah kepada 4 buah negara, namun Syria masih kuat disebut-sebut dengan gelaran negeri syam kerana terdapat didalamnya ibu kota damsyik.

Bumi Syam mempunyai nilai dan harga yang amat tinggi. Pernah tersebut di dalam hadis Rasulullah SAW  yang mendoakan keberkatan negeri Syam. Maksud sebuah hadis: Rasulullah SAW  berdoa:  ”Ya Allah Ya Tuhanku! Berkatilah negeri Syam kami, Ya Allah Ya Tuhanku! berkatilah negeri Yaman kami”. 

Hadis ini jelas menunjukkan bahawa negeri Syam adalah sebuah tempat atau kawasan yang di dalamnya mempunyai beribu keberkatan. Jadi tidak hairanlah pelancong atau pengunjung yang tiba di Syria akan merasai aura keberkatannya. Selain itu di dalam al-Quran juga membuktikan bahawa negeri Syam ialah kawasan yang diberkati oleh Allah. Maksud dari Surah al-Israk ayat 1: “Maha suci Allah yang memperjalankan hambaNya pada suatu malam dari Masjidil Haram ke Masjid al-Aqsa yang telah Kami berkati sekelilingnya agar Kami perlihatkan kepadanya sebahagian dari tanda-tanda  (kebesaran) Kami. Sesungguhnya Dia adalah Maha Mendengar lagi Maha Melihat”. 

Maksud ‘sekelilingnya’ yang terdapat di dalam ayat ini ditafsirkan oleh para ulama sebagai bumi Syam. Selain dari hadis dan ayat al-Quran ini, masih banyak hadis lain yang menceritakan tentang kelebihan negeri Syam dan bandar Damsyik.

Syria merdeka dari penjajahan Perancis pada 1945, dan telah diperintah oleh anak bangsa Syria sendiri sehingga zaman Hafez Al-Assad yang telah memerintah selama 32 tahun dan diikuti oleh anaknya Basyar Al-Assad yang telah memerintah selama 11 tahun. Syria telah menjadi negara yang diperintah oleh diktator.

Hafez Al-Assad berpegang pada Syiah Nusairiyah (sesat), yang menyimpan perasaan dengki terhadap rakyatnya daripada Muslim Sunni, yang mencaci dan menghina Saidatina Aisyah dan Ummahatul Mukminin radhiyallahu anhum, diharamkan sembelihan mereka, mereka melakukan kejahatan yang pelbagai, mereka tidak solat di masjid Ahli sunah waljamaah.

Kerajaan Syria didokong oleh Iran yang terkenal dengan Syiahnya, bahkan Hafez sendiri merupakan pelampau Syiah yang sesat. Penduduk Syria yang mana 6 peratus darinya merupakan Syiah Alawie, 10% darinya beragama Kristian dan 84% daripada rakyatnya beragama Muslim Sunni. Iran mempertahankan tindakan ganas regim Hafez yang membunuh rakyatnya sendiri, begitu juga Hizbullah di Lubnan juga menyokong tindakan Hafez Al-Assad.

Hafez Al-Assad adalah pemimpin yang sungguh kejam dalam konflik berdarah di Hama pada tahun 1982 yang berlaku selama 27 hari mengorbankan hampir 46,000 ribu penduduk Hama. Peristiwa ini menyebabkan rakyat Syria mendiamkan diri dari politik sekian lama.

Basyar Assad yang menjadi Presiden Syria sekarang adalah merupakan anak kepada Hafez Assad yang sangat dikenali dengan kejam sejak rejim ini memerintah Syria. Sejak kecil Basyar Assad diajar oleh ayahnya membunuh bayi. Pada tahun 1982, peristiwa yang berlaku di HAMA hampir 46,000 rakyat Syria mati dibunuh oleh regim Assad. Selepas itu mereka berterusan melakukan kekejaman terhadap rakyat Syria.

Sahabat yang dimuliakan,
Kesan daripada kebangkitan negara-negara Arab di sekeliling Syria iaitu Tunisia, Mesir, Yaman dan Libya telah menaikkan semangat rakyat Syria yang telah sekian lama ditindas dan dinafikan hak bersuara dan menuntut keadilan.

Rakyat mula kembali bangkit terhadap kezaliman yang berlaku semenjak 8 bulan yang lalu.
Permulaan revolusi berlaku di Hama, kemudian merebak ke bandar-bandar lain seperti Dar'aa, Hauran, Halab bahkan sehingga ia berlaku di 157 tempat di Syria.

Punca kebangkitan rakyat adalah bermula apabila sekumpulan kanak-kanak seramai lingkungan 28 orang bermain-main dan telah menulis sesuatu di dinding sekolah mereka. Apa yang ditulis oleh kanak-kanak ini ialah "RAKYAT MAHU JATUHKAN KERAJAAN". 

Slogan ini telah dilaungkan di negara-negara Arab yang berlaku kebangkitan rakyat. Pasukan keselamatan Syria telah menangkap kanak-kanak ini. Mereka telah diseksa dengan cara mencabut kuku-kuku kaki dan tangan mereka. Salah seorang kanak-kanak itu telah meninggal dunia dan keluarganya meminta mayat kanak-kanak itu serta kanak-kanak lain dilepaskan. Kerajaan telah meletakkan syarat dimana bila mahu lepaskan kanak-kanak itu, mereka perlu memberi wanita-wanita dikalangan mereka untuk di perkosa oleh puak-puak Kerajaan Syria ini ( satu bentuk penghinaan), keluarga kanak-kanak tersebut telah mengadakan tunjuk perasaan bantahan sebaliknya pihak tentera telah membunuh mereka yang adakan bantahan tersebut, maka berlakulah kebangkitan rakyat di Syria.

Beberapa peristiwa kekejaman tentera rejim Basar Assad membunuh rakyatnya sendiri :

1. Seorang anak kecil bernama Marwah 'Adil Bahar telah menjadi korban kepada kezaliman rejim Bashar jika mereka mempunyai sifat perikemanusiaan. Tetapi Marwah ‘Adil Bahar tiada pilihan lain kecuali mati mulia dengan pisau sembelihan tentera Bashar. 

2. Seorang anak kecil, Muhammad Dhiya’ yang ditembak oleh Rejim Bashar. Ayah Muhammad Dhiya’ menjerit-jerit supaya Rejim Bashar berhenti daripada menembak untuk menyelamatkan anaknya, namun permintaannya itu tidak dipedulikan hingga anaknya terbunuh dengan kejam. 

3. Tentera Syria membedil beberapa daerah di bandar Homs semalam menyebabkan 50 orang terbunuh manakala 150 lagi cedera. Kebanyakan mangsa yang mati adalah orang awam. Homs sebelum ini menjadi pusat penentangan terhadap pemerintahan Presiden Bashar Al-Assad.  

4. Tentera Basyar Assad telah melakukan penyembelihan  secara beramai-ramai . Sumber Arabia.net melaporkan bahawa penduduk yang ketakutan telah melarikan diri sehingga mereka tiba di satu sekatan pasukan keselamatan, mereka dibawa menaiki empat buah bas dengan alasan kononnya untuk dibawa ke tempat yang lebih selamat. Anggota keselamatan terbabit telah menurunkan warga tua sebelum menyembelih kesemua pemuda-pemuda di dalam bas tersebut seramai 64 orang. Turut dilaporkan ialah kehilangan wanita-wanita yang dikatakan telah diculik dan dibawa ke destinasi yang tidak diketahui. Lebih menyayat hati, sumber melaporkan Hospital Kebangsaan di wilayah Homs menerima 47 mayat yang terdapat kesan disembelih pada leher mereka.

5. Pencerobohan dan serangan jahat tentera Basyar Assad  ke atas Masjid sahabat yang mulia, Khalid Al-Walid di Homs, Syria (dari luar dan dalam masjid) pada 25 Februari 2012.  Masjid Khalid Al-Walid, sebuah masjid besar yang terdapat di wilayah Homs dan dalamnya bersemadi jasad panglima jihad yang juga sahabat agung Rasulullah s.a.w, Khalid Al-Walid r.anhu. Masjid ini cuba dibakar dengan serangan bom oleh tentera Syiah Nusairi Basyar laknatullah. 

6. Beberapa insiden ketika rakyat Syria melarikan diri ke Lubnan, Hizbullah menghalang dan menembak mereka. Tentera Iran pula ditempatkan di bumbung-bumbung rumah sebagai penembak tepat. (Iran Syiah dan Hasbullah Syiah adalah dua puak yang tidak boleh dipercayai oleh umat Islam, mereka ini umpama gunting dalam lipatan).

7. Baba ‘Amru merupakan penempatan Sunni dalam wilayah Homs yang telah dikepung dan digempur sejak tiga minggu lalu. 18 orang, 3 orang daripadanya adalah kanak-kanak termasuk 7 orang dari satu keluarga dibunuh di pinggir Hama awal pagi semalam.
Seorang aktivis, Muhammad El-Homsi memberitahu, antara yang terbunuh seorang bapa dan anaknya yang berusia 14 tahun. Mereka berdua dibunuh ketika cuba melarikan diri setelah mengalami kecederaan akibat terkena serpihan bom. 

8. Beberapa aktivis kemanusiaan memberitahu, tentera Syria membunuh sekurang-kurangnya 18 orang di sebuah perkampungan di tengah Syria, tujuh daripada mereka dari sebuah keluarga. Keluarga yang dibunuh itu bekerja sebagai petani, mereka dari kalangan lelaki, wanita dan kanak-kanak. Lebih memilukan, terdapat kanak-kanak tersebut berusia 7 tahun dan seorang bayi lelaki yang masih menyusu berusia 10 bulan. Kata aktivis, tentera mengarahkan mereka keluar dari rumah dan diperintah berdiri dalam satu barisan dan ditembak beramai-ramai.

Kekejaman yang dilakukan oleh rejim Basyar Assad , Kesatuan Eropah (EU)  mengetatkan sekatan ke atas sektor tenaga dan kewangan Syria bagi menghukum rejim Presiden Bashar al-Assad untuk tindakan keras mereka terhadap rakyat.

Sahabat ayng dihormati,
Sumber pembangkang Syria memaklumkan, para saksi memberitahu mereka melihat lebih 10 buah bas yang sarat dengan tentera militia Al-Mahdi, pengikut pelampau Syiah di Iraq,Moqtada As-Sodr di sempadan Syria yang mula memasuki Dir Az-Zur menuju ke Syria.

Ia ekoran ‘fatwa’ yang dikeluarkan oleh ulamak Syiah di Iran semalam, Ayatullah Ahmed Jannati bahawa perjuangan mempertahankan rejim Syria adalah JIHAD demi memastikan Syria tidak jatuh ke tangan “musuh Ahlul Bait” iaitu (yang dimaksudkan ialah Sunni).

Iran adalah negara yang tidak boleh dipercayai kerana Rejim Syria dan Syiah Iran menjadi sekutu yang kuat sejak sekian lamanya. Hal ini kerana bagi menjamin Syiah terus berkembang. Ia juga diketahui umum setelah Khomainie Iran membuat kenyataan terbuka menyokong Assad.  

Hamas secara rasmi membantah tindakan keganasan rejim terhadap rakyat. Pimpinan mereka secara rasmi telah meninggalkan Syria.

Naib Ketua Biro Politik Hamas, Musa Abu Marzouq berkata, beliau bersama-sama pimpinan Hamas lain telah keluar dari Syria sebagai membantah tindakan kezaliman yang dilakukan rejim Basyar sebagai yang disifatkan sebagai “kempen kezaliman Basyar menentang rakyatnya”. Selain terus membuka pejabatnya di ibu negara, Damsyik, Abu Marzouq yang juga pembantu kepada Ketua Biro Politik Hamas, Khaled Mash’al memberitahu ketuanya itu bersama-sama beberapa pimpinan lain telah berlepas ke Doha, ibu negara Qatar bagi meninjau tapak baru pejabat Hamas menggantikan pejabatnya yang berada di Damsyik.

Perdana Menteri Palestin, Ismael Haniya menggelarkan rakyat Syria yang menuntut kebebasan dan demokrasi sebagai “wira” sewaktu berucap di dalam Masjid Universiti Al-Azhar, universiti tertua di Mesir itu. Kata Haniya: “Saya mengucapkan salam kepada seluruh negara Arab bahkan Islam, saya ucapkan salam kepada rakyat Syria, wira dan pahlawan yang sedang menuntut kebebasan, demokrasi dan perubahan.” Pemimpin Hamas itu berucap di hadapan ribuan rakyat Mesir selepas menunaikan solat Jumaat di Masjid Universiti Al-Azhar di Kaherah semalam.

Perlu disebut, ini adalah pertama kali Hamas menyatakan pendirian secara terbuka kepada revolusi Syria yang sekaligus menyaksikan penentangan terhadap pemerintahan Syria kerana selama ini, dunia menyaksikan pemerintah Iran dan Syria adalah sekutu kepada Hamas.

Seorang pendakwah terkenal, Dr.’Aid El-Qorni dari Saudi menyeru tentera Syria agar berpaling tadah dari rejim taghut tersebut.  Sambil menyifatkan Basyar sama seperti Ariel Sharon yang menyembelih umat Islam seperti dilakukannya di khemah perlarian Shabra dan Shatila.

Kenapa Rusia dan Cina menggunakan kuasa veto untuk menghalang usul untuk memberi tekanan kepada rejim Assad?. Sebenarnya mereka merupakan sekutu lama yang saling memberi sokongan terutamanya dalam kebijakan faham sosialis dan komunis mereka (tidak sama tapi hampir serupa terutama dalam menzalimi rakyat). Di samping itu juga, Rusia adalah pembekal senjata paling banyak ke Syria.

Hakikat sebenarnya rejim Assad ada mengadakan perhubungan sulit dengan rejim Israel. Secara zahirnya kita akan melihat Syria seolah-olah bertindak sebagai anti Israel. Dakwaan ini meleset ketika ditemukan fakta yang menyatakan bahawa Assad telah melakukan kesepakatan sulit dengan Israel dalam isu yang berkaitan dengan Bukit Golan .

Assad mendapat imbalan yang besar dari pakatan sulit ini dan dibantu oleh Amerika Syarikat. Apakah logik bagi sebuah kerajaan yang punya kekuatan tentera dan berada bersempadanan dengan Israel termasuk Iran duduk diam terhadap kekejaman Israel tehadap saudara mereka di Gaza. Manakala menyerahkan Bukit Golan kepada Israel tanpa ada sebab yang munasabah.

Sahabat yang dikasihi, 
Marilah kita membantu saudara-saudara kita yang dizalimi di Syria. Berdoalah setiap lepas solat untuk kejayaan saudara-saudara kita untuk menuntut keadilan dan menjatuhkan rejim Basyar Assad yang sangat kejam terhadap rakyatnya sendiri. Berilah bantuan mengikut kemampuan kita berupa wang ringgit untuk keperluan makanan dan perubatan  di bumi Syria, sesungguhnya setiap muslim adalah bersaudara.

Daripada Abu Hurairah r.a. Rasulullah s.a.w bersada yang maksudnya, "Siapa yang melapangkan satu kesusahan orang yang beriman daripada kesusahan-kesusahan dunia, Allah akan melapangkan orang itu satu kerumitan dari kerumitan akhirat. Dan siapa yang memudahkan orang yang susah, Allah akan memudahkannya didunia dan diakhirat. Siapa yang menutup keaiban orang Islam, Allah akan menutup keaibannya didunia dan diakhirat. Dan Allah sentiasa menolong hamba itu selagi hamba itu mahu menolong saudaranya." (Hadis Riwayat Muslim).

Ingatlah bahawa doa orang yang dizalimi sungguh mustajab di sisi Allah SWT.

Dari Ibnu Umar r.a, Rasulullah S.A.W. bersabda maksudnya : "Hendaklah kamu waspada terhadap doa orang dizalimi. Sesungguhnya doa itu akan naik ke langit amat pantas seumpama api marak ke udara." (Hadis riwayat Hakim - sanad sahih) 

Firman Allah SWT maksudnya : “Wahai Tuhan kami! Janganlah Engkau jadikan kami bersama orang-orang yang zalim”. (Surah al-A’raaf (7) ayat 47)






2 comments:

Hasmin Al-Amin said...

semoga Allah S.W.T memenangkan Islam di Syria.. Kita sama-sama berdoa agar rakyat di syria dan palestin memperoleh kemenangan.. Sesungguhnya pertolongan Allah itu sangat dekat , barangkali ini bukan sahaja ujian untuk rakyat syria dan palestin , bahkan ia menjadi ujian bagi kita umat islam untuk Allah melihat sejauh mana sayangnya kita pada saudara kita sendiri..

abubasyer said...

Assalamualaikum, memang benar Hasmin Al-Amin, sesungguhnya ujian yg sedang dihadapi oleh saudara kita di Palestin dan Syria adalah untuk menguji umat Islam seliruh dunia, siapa dikalangan kita yg sanggup berkorban dan membantu saudara-saudara kita yg sedang dlm penderitaan, di zalimi dan di rampas hak asasi mereka. Yakinlah janji-janji Allah bahawa setiap kesusahan dan penderitaan akan datang kejayaan dan kebahagiaan.