Sunday, March 11, 2012

Kebaikan Menjaga Solat dan Memperelokkan Wuduk


Assalamualaikum Warahmatullahi Wabarakatuh

بِسْمِ ٱللَّهِ ٱلرَّحْمَـٰنِ ٱلرَّحِيم
 
Segala puji bagi Allah, Tuhan sekelian alam. Selawat serta salam buat junjungan mulia Nabi Muhammad SAW keluarga serta para sahabat dan pengikut yang istiqamah menuruti baginda hingga ke hari kiamat.

Sahabat yang dirahmati Allah,
Sabda Rasulullah SAW maksudnya :  "Barang siapa memelihara sembahyang lima waktu dengan sempurna wuduk dan waktunya, adalah baginya cahaya dan tanda pada hari akhirat, dan barang siapa mensia-siakannya, nescaya dikumpulkan ia (kelak di neraka) dengan Firaun dan Haman." (Hadis Riwayat Ahmad)

Huraiannya :

Orang mukmin yang menjaga solat lima waktu dengan mengerjakan di awal waktunya dan mengambil wuduk dengan sempurna maka pada hari kiamat solat dan wuduknya akan bercahaya-cahaya sebagai satu kurniaan dan rahmat daripada Allah SWT.

Dalam hadis yang lain Nabi SAW bersabda maksudnya : "Tidaklah salah seorang di antara kamu berwuduk, maka ia sempurnakan wuduknya kemudian berkata, 'Aku bersaksi bahawa tidak ada tuhan kecuali Allah semata yang tiada sekutu bagi-Nya, dan aku bersaksi bahawa Muhammad adalah hamba dan utusan-Nya,' kecuali dibukakan baginya delapan pintu syurga, ia boleh masuk dari mana sahaja yang dikehendakinya." (Hadis Riwayat Muslim daripada Umar bin Khattab r.a)

Daripada riwayat yang lain dari Abu Hurairah r.a. yang berkata, bahawa ia mendengar Rasulullah SAW. bersabda yang bermaksud : "Sesungguhnya umatku akan dipanggil pada hari kiamat dalam keadaan bersinar putih wajah dan anggota wuduknya dari bekas-bekas wuduk. Barangsiapa di antara kamu ingin memanjanglan sinarnya, maka lakukanlah."
(Hadis Riwayat Muttafaq Alaih)

No comments: