Tuesday, May 1, 2012

Calun Presiden Mesir Dr Ir Mohd Mursy Dari Ikhwan Muslimin

Assalamualaikum Warahmatullahi Wabarakatuh

سْمِ اللهِ الرَّحْمنِ الرَّحِيْم

Segala puji bagi Allah, Tuhan sekelian alam. Selawat serta salam buat junjungan mulia Nabi Muhammad SAW keluarga serta para sahabat dan pengikut yang istiqamah menuruti baginda hingga ke hari kiamat.

Sahabat yang dirahmati Allah,
 

Pengumuman terakhir 13 calon Pilihanraya Presiden Mesir (23-24 Mei 2012) 

Yang lulus pencalonan adalah seramai 13 orang semuanya. 

(1) Ir Khairat Syatir & Hazim Solah digugurkan, dan 

(2) nama calon Ikhwan Muslimin, Dr. Ir. Mohd Mursy diumumkan sebagai calon terakhir, 
 iaitu calun ke 13.

Dengan pengumuman ini, kemelut pencalonan bagi Presiden Mesir diharapkan telah pun berakhir kecuali akan ada nanti senerio yang lain pula.

Calon Ikhwan Muslimin yang asal, Ir Khairat Syatir sememangnya calon yang paling layak bukan sahaja dari Ikhwan Muslimin untuk rakyat Mesir, bahkan bagi Dunia Islam seluruhnya. Prestasi beliau  ialah beliau berjaya dalam segala lapangan yang diceburi samada pendidikan diri, dakwah yang beliau yakini dan perniagaan yang beliau ceburi. 

Apabila Ikhwan Muslimin dicantas habis-habisan dizaman Presiden Nasir, Sadat dan Mubarak, sejak dizaman mahasiswa lagi, beliau bersama dengan Ikhwan yang lain berjaya setelah berhempas pulas, membangunkan semula organisasi harapan umat ini. Setelah perusahan-perusahan perniagaannya seperti Syarikat Salsabeel disabotaj, ditutup dan dirampas harta bendanya oleh rejim pemerintah Mesir, beliau masih berjaya.membangunkan firma-firmanya semula dan pada hari ini dan masih bergelar jutawan yang berjaya. 

Pencalonan beliau digugurkan atas alasan hukuman Mahkamah Tentera keatasnya dizaman Presiden Mubarak mengharamkannya terlibat dalam politik bagi tempoh tertentu. 

Mendengar hal ini, Ikhwan Muslimin mengemukakan calon Presiden kedua sebagai backup sekiranya usaha mengemukakan rayuan kepada SPR untuk Ir Khairat menemui kegagalan.

Tiga minggu dihadapan ini sehingga hari Pilihanraya Presiden (23-24 Mei) adalah bukan semata-mata kempen antara calon Islamis dan calon sekularis liberalis, akan tetapi ia adalah perang diantara Manhaj Islamiyy yang kita bawa berhadapan dengan Manhaj Barat yang dipaksakan keatas umat Islam berkurun lamanya. 

Dari kalangan 13 calon Presiden Mesir, 3 darinya adalah dianggap calon Islamis yang iaitu :
  1. Dr. Ir. Mohd Mursy.
  2. Dr. Salem Awa
  3. Dr. Abdul Mun’im Abul Futuh.
  4. Ir Khairat Syatir (digugurkan dengan alasan hukuman mahkamah masih berjalan).
  5. Asy-Syeikh Hazim Solah Abu Ismail (digugurkan dengan alasan ibunya memohon warganegara Amerika).
Yang akan mendapat tentangan dari 2 calon popular dari Regim Mubarak yang lalu iaitu :
  1. Amru Musa, bekas Menteri Luar Mesir dan Setiausaha Liga Arab.
  2. Dr Ahmad Syafiq, bekas Perdana Menteri Mesir.
Bilangan undi bagi calon Islamis juga akan pecah kerana persaingan diantara ketiga-tiga calon diatas.

Sahabat yang dimuliakan,
Ikhwan Muslimin terpaksa mengemukakan calun Presiden kerana perlembagaan Mesir memberi kuasa mutlak kepada Presiden dan dapat mengatasi kuasa ahli parlimen . Presiden Mesir mempunyai kuasa veto untuk membatalkan keputusan parlimen. Oleh itu untuk menjamin keberkesanan perlaksanaan undang-undang Mesir ke arah perlaksanaan undang-undang Islam maka keharusnya tidak wujud pertembungan di antara keputusan parlimen dengan pendapat presiden maka Ikhwan Muslimin merasakan bahawa seorang ahli Ikhwan Muslimin perlu mengambil bahagian dalam pertandingan Presiden Mesir dan menolak calun Presiden daripada bekas menteri kabinet Mubarak dan golongan sekular yang lain.

2 comments:

abubasyer said...

Barisan Salafi mengumumkan sokongan resminya yang menyeluruh untuk Dr Mohd Mursy, calon jemaah Ikhwan Muslimin dan Parti Kebebasan dan Keadilan dalam Pilihanraya Parlimen 23-24 Mei ini. Barisan Salafi menyebut bahawa keputusan ini diambil berdasarkan beberapa faktor terutamanya kesepakatan kebanyakan badan dan gerakan Islam seperti Badan Syariyyah Hak Asasi manusia, badan Ahlus Sunnah wal jamaah dan Ikhwan Muslimin sendiri. Bada Salafi juga yakin dengan projek pembangunan demi kebaikan Mesir dan rakyatnya yang dibentangkan oleh Dr Mohd Mursy dengan meminta agar beliau mengotakan apa yang dijanjikan.

Diantara faktor sokongan tersebut lagi adalah cubaan berbagai badan yang cuba mengenakan sekatan terhadap jemaah dan calon Ikhwan Muslimin serta tekanan kearah memecah undi golongan Islam, ke arah menjayakan calon Regim yang lalu menduduki kerusi pemerintahan.

abubasyer said...

Pada mereka, Dr Mohd Mursy juga bergabung dengan jemaah besar yang berinstitusi lagi bersifat kemasyarakatan yang mampu mendokong dan membantu beliau serta menarik pelaburan besar demi menlonjakkan ekonomi Mesir, juga mampu mengisi keperluan tenaga kerja di setiap lapangan dan institusi negara yang besar dan penting ke arah mencapai keseimbangan politik dalam negara.

Barisan Salafi juga meminta Dr Mohd Mursy agar memelihara identiti negara Mesir sebagai negara Islam dan Arab, Syariah Islamiah sebagai sumber utama undang-undang negara dan menyelamatkan Mesir dari pemerintahan diktator menjadi negara keadilan, kebebasan dan berinstitusi serta memelihara hak-hak dan kebebasan umat Islam dan bukan-Islam disetiap lapisan masyarakat Mesir.