Wednesday, August 22, 2012

Puasa Yang Di Terima Allah SWT Akan Melahirkan Sifat Takwa

Assalamualaikum Warahmatullahi Wabarakatuh.

بِسْمِ ٱللَّهِ ٱلرَّحْمَـٰنِ ٱلرَّحِيم

Segala puji bagi Allah, Tuhan sekelian alam. Selawat serta salam buat junjungan mulia Nabi Muhammad SAW keluarga serta para sahabat dan pengikut yang istiqamah menuruti baginda hingga ke hari kiamat.

Sahabat yang dirahmati Allah,
Ramadan bulan yang penuh berkat dan bulan keampunan daripada Allah SWT telah berlalu beberapa hari. Umat Islam sedang bergembira menyambut Hari Raya Edul Fitri, di bulan Syawal saling ziarah menziarahi dan bermaaf-maafan sesama muslim tanda bersyukur kepada Allah SWT. Amalan ziarah menziarahi adalah amalan yang baik , terutama menjamu saudara mara dan sahabat handai dengan juadah dan kuih muih yang beranika ragam juga tidak bersalahan syariat selagi ianya dibuat tanpa pembaziran. 

Perlulah kita muhasabah diri sendiri adakah selama sebulan di bulan Ramadan, kita berpuasa dan melakukan ibadah seperti solat terawih dan tahajud, tadarus al-Quran , berdoa, berzikir, bersedekah dan meninggalkan sifat -sifat mazmumah mampu kita teruskan dibulan Syawal dan 10 bulan yang akan datang? 

Jika hati dan jiwa kita merasai kemanisan ibadah dan beramal soleh selepas sahaja Ramadan menghilang, ini tandanya kita telah mendapat kesan takwa disisi Allah SWT. Tetapi jika hati dan jiwa kita tak merasai kemanisan beribadah, hati menjadi semakin keras dan kekal balik sifat-sifat lama yang buruk, seolah-olah madrasah Ramadan tidak berkesan langsung maka ini petanda kita jauh daripada kesan takwa sebagaiman yang dijelaskan oleh Allah SWT di dalam al-Quran bahawa puasa itu boleh melahirkan sifat takwa.

Jika ada umat Islam yang masih meninggalkan solat, membuka aurat, perangai buruk masih menjiwa diri seseorang ini petanda bahawa Allah SWT tidak membebaskan dirinya daripada azab api neraka dan mendapat jauh daripada rahmat dan pengampunan daripada Allah SWT.
Lupakah kepada peristiwa yang telah dilalui oleh Nabi pada malam Israk dan Mikraj? 

Baginda melihat satu kumpulan manusia yang memecahkan kepala mereka sendiri, kemudian kepala yang pecah itu kembali bercantum, begitulah seterusnya. Jibril pun menjelaskan kepada Nabi bahawa itu adalah golongan manusia yang berat kepala menunaikan solat.

Sahabat yang dimuliakan,
Sesungguhnya kehidupan dunia ini hanya seketika sahaja. Tidak semena-mena maut datang menjemput. Lihatlah kepada para hamba yang sentiasa amal kebaikannya berterusan walau pun selepas kematiannya iaitu sedekah jariah, ilmu bermanfaat yang di ikuti dan doa anak yang soleh. Ingatlah bahawa kelalaian tidak memberi apa-apa manfaat dan harta dunia hanyalah sedikit berbanding harta akhirat.

Alangkah besarnya kegembiraan seorang hamba Allah yang beriman lagi soleh apabila melakukan kebaikan di dalam bulan Ramadan. Bertambah-tambahlah kegembiraannya apabila dia dapat meneruskan amalan baik itu walaupun selepas bulan Ramadan. Dia terus memelihara lidahnya dari perkara yang dimurkai Allah. Begitu juga apabila dia terus melaksanakan puasa dan solat samaada yang wajib mahupun sunat. Bukan itu sahaja,dia juga beria-ia untuk menambahkan ilmu dengan mula mengunjungi majlis-majlis ilmu yang mungkin diabaikannya sebelum ini. 

Nabi SAW bersabda yang bermaksud :
” Tidaklah kenyang seorang mukmin itu daripada kebaikan (ilmu) yang didengarnya sehinggalah penamatnya adalah syurga”

Kekadang seorang manusia itu lalai dengan kehidupannya, kemudian ia pun tersedar lalu mencari pintu taubat. Pintu taubat akan sentiasa terbuka selagi roh tidak lagi sampai ke halkum dan selagi matahari tidak terbit dari sebelah barat dan juga selagi dia tidak melihat Malaikat Izrail a.s.

Gembiralah orang yang telah bertaubat kepada Allah dengan sebenar-benarnya. Kita mungkin gembira dengan Aidilfitri , tetapi disana ada satu lagi kegembiraan yang lebih besar menanti orang-orang yang soleh dan beriman iaitulah lembaran amalannya pada hari kiamat yang menunjukan kebaikan yang telah dilakukannya semasa hidup di dunia. Sedangkan pada masa yang sama orang-orang yang lalai di dunia dan tidak bertaubat, berada dalam kerugian dan kekesalan sedang menanti hukuman.

Orang yang bertaubat itu berada bersama-sama orang beriman yang lain di dalam syurga menikmati manisan dan makanan ahli syurga. Bukan itu sahaja, bahkan mereka juga akan berdamping dengan Nabi Muhammad SAW.

Sahabat yang dikasihi,
Janganlah kalian lupa dengan puasa enam hari di dalam bulan Syawal. Amalan ini disunatkan kepada kita berdasarkan sebuah Hadis Nabi SAW yang berbunyi maksudnya :
“Sesiapa yang berpuasa pada bulan Ramadan dan kemudian diikuti dengan enam hari dalam bulan Syawal, dia seolah-olah berpuasa sepanjang tahun”.(Hadis Riwayat Muslim)

Para Ulamak tidak mensyaratkan puasa di dalam bulan Syawal dilakukan secara berturut-turut. Ianya boleh dilakukan secara berselang seli.

Akhirkata marilah sama-sama kita berdoalah kepada Allah SWT :
"Ya Allah! Sesungguhnya kami semua mendambakan cintaMu, cinta orang yang mencintaiMu dan juga amalan yang boleh menyampaikan kami kepada cintamu, Ya Allah! Jadikanlah cintaMu sebaik-baik cinta kepada kami berbanding diri kami sendiri, keluarga kami dan lebih baik lagi berbanding air yang sejuk. Ya Allah, terimalah ibadah puasa kami dan semua amal soleh kami dan jadikanlah kami orang-orang yang bertakwa di sisi-Mu"

No comments: