Tuesday, October 30, 2012

Doa Memohon Kepada Allah SWT Semoga Di Permudahkan Untuk Membayar Hutang

 Assalamualaikum Warahmatullahi Wabarakatuh

سْمِ اللهِ الرَّحْمنِ الرَّحِيْم

Segala puji bagi Allah, Tuhan sekelian alam. Selawat serta salam buat junjungan mulia Nabi Muhammad SAW keluarga serta para sahabat dan pengikut yang istiqamah menuruti baginda hingga ke hari kiamat.

Sahabat yang dirahmati Allah, 

Dalam kehidupan seharian kita tidak akan terlepas daripada menghadapi masaalah kehidupan. Perkara ini adalah lumrah alam, sesiapa sahaja tidak akan terlepas daripada menghadapi masaalah samaada besar atau kecil. Yang penting bagaimana kita menghadapi suasana genting dengan berusaha dan memanjatkan doa dan bertawakal kepada Allah SWT.

Salah satu masaalah sering dihadapi ramai umat Islam adalah masaalah hutang. Dalam Islam membuat pinjaman untuk berhutang dibenarkan dengan syarat hutang tersebut tidak mempunyai unsur-unsur riba dan ada perjanjian yang jelas tempuh membayar balik dan mempunyai dua orang saksi semasa pinjaman itu dibuat.
 

Risiko menanggung hutang itu, selain daripada memikul tanggungjawab membayarnya, ialah bahaya yang lebih besar yang akan menimpa kepada diri si penghutang jika hutang tidak dibayar. Antaranya disebutkan dalam hadis yang diriwayatkan oleh Imam Ahmad, Tirmidzi dan Ibnu Majah, sabda Rasulullah Sallallahu Alaihi Wasallam yang maksudnya: "Roh seseorang mukmin itu tergantung-gantung (yakni dihalang daripada tempat yang mulia) dengan sebab hutangnya sehinggalah hutangnya itu dilunaskan."

Dalam hadis yang diriwayatkan daripada Ibnu Umar radiallahuanhu, Rasulullah Sallallahu Alaihi Wasallam bersabda yang maksudnya : "Sesiapa mati, sedangkan dia msih menanggung hutang satu dinar atau satu dirham, maka akan diambilkan (ganti) daripada kebaikannya, kerana di sana tidak ada dinar dan tidak ada pula dirham." (Hadis Riwayat Ibnu Majah).

Oleh kerana betapa pentingnya hutang itu perlu dibayar di samping kita berusaha untuk mencari wang secukupnya untuk selesaikan hutang-hutang tersebut kita juga digalakan untuk berdoa kepada Allah SWT supaya dipermudahkan-Nya.

Sahabat-sahabat Rasulullah SAW sendiri ada membuat pinjaman kewangan dengan orang Yahudi Madinah tanpa riba kerana suatu keperluan yang terdesak.

Menurut sebuah Hadis yang diriwayatkan oleh al- Tabrani dengan sanad yang jayyid dlm Bab Doa, Saidina Muaz r.a.pernah mengadu kepada Nabi SAW. tentang hutangnya kepada seorang Yahudi. Nabi SAW. lantas mengajarnya membaca ayat 26-27 Surah Ali-Imran untuk melunaskan hutang-hutangnya yang ditanggung.

Firman Allah SWT maksudnya : "Katakanlah (wahai Muhammad): 'Wahai Tuhan yang mempunyai kuasa pemerintahan! Engkaulah yang memberi kuasa pemerintahan kepada sesiapa yang Engkau kehendaki, dan Engkaulah yang mencabut kuasa pemerintahan dari sesiapa yang Engkau kehendaki. Engkaulah juga yang memuliakan sesiapa yang Engkau kehendaki, dan Engkaulah yang menghina sesiapa yang Engkau kehendaki. Dalam kekuasaan Engkaulah sahaja adanya segala kebaikan. Sesungguhnya Engkau Maha Kuasa atas tiap-tiap sesuatu.

"Engkaulah (wahai Tuhan) yang memasukkan waktu malam ke dalam waktu siang, dan Engkaulah yang memasukkan waktu siang ke dalam waktu malam. Engkaulah juga yang mengeluarkan sesuatu yang hidup dari benda yang mati, dan Engkaulah yang mengeluarkan benda yang mati dari sesuatu yang hidup. Engkau jualah yang memberi rezeki kepada sesiapa yang Engkau kehendaki, dengan tiada hitungan hisabnya".
(Surah Ali-Imran ayat 26-27)

Dua ayat di atas hendaklah di amalkan membacanya sebelum tidur. Mudah-mudahan mendapat jalan untuk menyelesaikan bebanan hutang. (Al Durrul Manthur, tafsir ayat 26-27, surah Ali-Imran)

Sahabat yang dimuliakan,

Satu lagi amalan yang diajarkan oleh Nabi SAW kepada sahabatnya untuk menyelesaikan hutang adalah dengan mengamalkan doa ini setiap pagi dan petang semoga Allah SWT memberi kekuatan jasmani dan rohani dan terhindar daripada kejahatan orang lain kepada kita termasuk dijauhi daripada masaalah hutang-hutang yang membebankan kehidupan.

Doanya adalah seperti berikut :

"Allahumma Inni A'uzubika minal Hammi wal Hazan, Wa A'uzubika minal A'zji wal Kasal, Wa A'uzubika minal Jubni wal Bukhli, Wa A'uzubika min Ghalabatiddaini wa Qahrir Rijaal."

Maksudnya : "Ya Allah, lindungi kami dari perasaan ketakutan dan kesedihan, jauhi kami dari sikap lemah dan malas, lindungi kami dari sifat penakut dan kedekut, bebaskan kami dari bebanan hutang dan penindasan orang"..

(Dari Abu Said al Khudri berkata; Suatu hari Rasulullah SAW bersabda, " Bila kamu membaca apa yang aku ajarkan, nescaya Allah hilangkan rasau risau dari dirimu dan melunaskan hutang-hutangmu..Ketika pagi dan petang, ucapkanlah Allahumma Inni A'uzubika minal Hammi wal Hazan, Wa A'uzubika minal A'zji wal Kasal, Wa A'uzubika minal Jubni wal Bukhli, Wa A'uzubika min Ghalabatiddaini wa Qahrir Rijaal...." (Hadis Riwayat Abu Dawud)

Untuk pemberi hutang pula jika orang yang berhutang dengannya tidak berkemampun untuk membayarnya maka berilah tempuh yang sewajarnya atau jika hutang tersebut tidak banyak maka halalkan saja itu lebih baik kerana ada hadis di riwayatkan daripada Abu Hurairah r.a katanya: Rasulullah SAW. bersabda yang maksudnya : "Sesiapa yang menangguhkan hutang orang yang belum dapat membayarnya atau membebaskannya, pada hari kiamat kelak Allah SWT. akan menaunginya di bawah naungan Arasy, di mana pada hari tersebut tidak ada naungan kecuali naungan-Nya." (Hadis Riwayat Tirmizi).

 Dari Abu Hurairah r.a. bahawa Nabi SAW pernah bersabda maksudnya : "Sesungguhnya Allah SWT akan merahmati seorang yang lapang dadanya ketika menjual,membeli dan menagih hutang" (Hadis Riwayat Bukhari dari Jabir r.a.)

 Terdapat katu kisah dizaman Bani Israel seorang lelaki yang kurang amal ibadahnya ketika di dunia tetapi cukup berlapang dada semasa menuntut hutangnya apabila ditanya oleh Allah SWT di hari akhirat tentang amalan kebaikannya. Beliau menjawab semasa menuntut hutang dia sentiasa berlapang dada dan tidak membebankan orang yang berhutang, jika orang tersebut belum mampu membayarnya dia akan memberikan lagi masa yang sesuai, maka Allah SWT mengampunkan dosa-dosanya dan dia dimasukkan kedalam syurga dengan rahmat Allah SWT.


Sahabat yang dikasihi,
Oleh itu marilah kita menjauhkan diri daripada berhutang walaupun hutang yang berjadual kerana risiko hutang ini amat berat jika tidak ditunaikan mengikut perjanjiannya. Gunakanlah sebanyak mungkin membeli secara tunai kerana murah, mudah dan tidak membebankan. Janganlah membebankan diri dengan membeli barang-barang yang  kurang bermanfaat  seperti perabut mahal dan peralatan rumah yang cangih-cangih dengan berhutang. Berpadalah dengan apa yang ada dan jadikanlah diri kita hamba Allah yang sentiasa bersyukur dan bersifat qanaah. 


Jika kita masih memiliki hutang-hutang yang belum habis dilunaskan maka berusahalah bersungguh-sungguh untuk membayarnya dengan kadar segera disamping itu amalkan dua doa yang diajarkan oleh Nabi SAW kepada kita semua untuk di amalkan insya Allah akan memudahkan untuk melangsaikan hutang-hutang kita.






No comments: