Tuesday, October 16, 2012

Pilihlah Pemimpin Yang Adil Dan Berakhlak Mulia

Assalamualaikum Warahmatullahi Wabarakatuh

سْمِ اللهِ الرَّحْمنِ الرَّحِيْم

Segala puji bagi Allah, Tuhan sekelian alam. Selawat serta salam buat junjungan mulia Nabi Muhammad SAW keluarga serta para sahabat dan pengikut yang istiqamah menuruti baginda hingga ke hari kiamat.

Sahabat yang dirahmati Allah,
Setiap negara di dunia ini mempunyai pemimpin masing-masing yang akan menjalankan pemerentahan dan menguruskan negara . Ada pemimpin di pilih oleh rakyat melalui pilihanraya dan ada pemimpin yang dilantik berdasarkan keturunan seperti kerabat diraja melalui sistem monaki.

Dalam Islam pemilihan pemimpin adalah perkara yang sangat di tuntut dan semua yang terlibat dalam pemilihan akan bertanggungjawab dihadapan Allah SWT di akhirat nanti. Jika berlaku penyelewengan atau kezaliman maka bukan sahaja pemimpin yang melakukan kerosakkan itu akan ditanya tetapi rakyat yang membuat pemilihan dan mandat juga akan ditanya dan disoal siasat hingga ke akar umbi kenapa tugas kepimpinan itu diberikan kepada mereka yang tidak jujur dan amanah..?

Pemimpin yang adil ibarat bayang-bayang Tuhan, sebab pengambilan kata adil sendiri berasal dari salah satu nama Allah SWT, iaitu Al-Adlu (Allah Yang Maha Adil). Adil bermakna menempatkan sesuatu pada tempatnya yang betul dan tepat.

Daripada Jabir r.a. bahawasanya Rasulullah SAW telah bersabda, “Takutilah (jauhilah) kezaliman kerana sesungguhnya kezaliman itu adalah kegelapan di hari kiamat dan takutilah (jauhilah) perangai bakhil kerana bakhil itu telah membinasakan orang yang dahulu daripada kamu iaitu membawa mereka melakukan pertumpahan darah sesama mereka dan menghalalkan perkara-perkara yang diharamkan kepada mereka." (Hadis Riwayat Muslim)

Berlawanan daripada sifat adil adalah zalim, iaitu meletakkan sesuatu bukan pada tempatnya yang betul dan tepat. Allah SWT telah mengharamkan sifat dan perilaku zalim atas diri-Nya, dan Dia juga mengharamkan diri hamba-hamba-Nya melakukan kezaliman. Perilaku adil akan menciptakan kesejateraan untuk rakyat. Sebagaimana zalim akan mendatangkankan bencana, musibah, dan malapetaka.

Dalam hadis qudsi-Nya Allah berfirman yang bermaksud : "Sesungguhnya Aku telah mangharamkan zalim itu atas diri-Ku, dan telah Aku jadikan zalim di antara kalian itu sesuatu yang diharamkan, kerana janganlah kalian saling berlaku zalim.''

Raslullah SAW bersabda yang bermaksud : "Tiga golongan yang tidak ditolak doa mereka iaitu doa seorang berpuasa hingga ia berbuka, doa pemimpin yang adil dan doa orang yang di zalimi ." (Hadis Riwayat Tirmizi)

Mengapa doa pemimpin yang adil itu sangat mustajab di sisi Allah SWT? kerana di bahunya terletak berbagai pengharapan dan hajat hidup rakyat jelata.

Dikisahkan dalam sebuah riwayat yang mashur, ketika Saidina Umar bin Khattab r.a sedang bertugas sebagai khalifah, ketika itu Gubnur Mesir, Amr bin Ash r.a., mengadu tentang musim kemarau yang kering dan berpanjangan yang menimpa kaum muslimin di negeri itu. Sungai Nil yang menjadi sumber penghidupan rakyat sudah tidak mengalirkan air.

Khalifah Umar lalu memanggil Amr bin Ash untuk datang ke Madinah. Khalifah lalu berkata, "Wahai Amr bin Ash bawalah suratku ini lalu lemparkanlah ia ke Sungai Nil!" Isi surat itu berupa doa seorang khalifah yang adil.

Dalam surat itu, Umar yang dikenal sebagai pemimpin yang adil memanjatkan doa dan berinteraksi dengan Sungai Nil, katanya : "Wahai sungai, engkau adalah makhluk Allah yang diciptakan oleh-Nya untuk menolong hamba-Nya yang lain, jika engkau adalah makhluk ciptaan Allah bantulah hamba-hamba Allah dan mengalirlah engkau!" Sejak doa itu diucapkan, Sungai Nil tidak pernah lagi mengalami kekeringan sehingga kehari ini.

Daripada Abi Hurairah (ra) bahawa Rasulullah (Sallallahu Alaihi Wasalam) bersabda : "Ada tujuh golongan yang akan mendapat perlindungan Allah pada hari yang tiada perlindungan kecuali perlindunganNya:
1. Imam (pemimpin) yang adil.
2. Pemuda yang taat kepada Allah sejak kecil.
3. Lelaki yang terpaut hatinya dengan masjid.
4. Dua orang yang saling kasih-mengasihi kerana Allah.
5. Lelaki yang diajak oleh wanita yang mempunyai kedudukan dan cantik, lalu ia
berkata: “Aku takut kepada Allah”.
6. Orang yang bersedekah secara sembunyi sehingga tidak mengetahui tangan
 kirinya apa yang diberi oleh tangan kanannya.
 7. Orang yang bermunajat kepada Allah sambil menggelinangkan airmatanya."
(Hadis Sahih Riwayat Bukhari dan Muslim)

Pemimpin yang adil adalah golongan yang pertama akan diberikan perlindungan Arasy oleh Allah SWT di Padang Masyar nanti. Dalam sebuah riwayat juga disebutkan bahawa pemimpin yang adil kelak akan bersama para nabi dan rasul, syuhada, dan siddiqin (orang-orang yang membenarkan ajaran agama Islam) dan orang-orang soleh di dalam syurga.

Apa pula akibatnya jika seorang pemimpin melakukan khianat? Sesiapa sahaja yang diangkat oleh Allah untuk memimpin suatu urusan rakyatnya, kemudian ia meninggal dunia, di mana saat ia meninggal dunia ia sedang berkhianat kepada rakyatnya, maka tiada lain kecuali Allah SWT akan haramkan baginya untuk masuk syurga.

Ma'qil bin Yasar r.a berkata :Aku pernah mendengar Rasulullah SAW bersabda: "Sesiapa yang ditaklifkan (di amanahkan) oleh Allah untuk memimpin rakyatnya lalu mati dalam keadaan menipu rakyat, nescaya Allah mengharamkan ke atasnya(pemimpin) syurga." (Hadis Riwayat Muslim)

Dalam Islam jawatan dan kedudukan bukanlah semata-mata anugerah, tapi juga ianya adalah amanah yang harus dipertanggung jawabkan, bukan hanya di hadapan rakyat, tapi terutama di hadapan mahkamah Allah Yang Maha Adil kelak. Jika seseorang mendapatkan jawatan dan kedudukan bukan dengan cara yang hak (betul) , tapi dengan cara-cara batil, iaitu dengan menghalalkan segala cara, seperti politik wang dan memberi rasuah dengan segala macam bentuknya, dengan menyebar fitnah, dengan menggunakan cara-cara sihir dan sebagainya. Kemudian setelah ia menduduki jawatan dan kedudukan itu ia menipu, ingkar atas janji-janjinya, rasuah, dan zalim , maka jawatan dan kedudukan itu hanya akan menjadi kehinaan dan penyesalan di hari kiamat, dan ia akan diharamkan masuk syurga.

Dari Abu Zar, dia berkata : Saya berkata: “Ya Rasulullah mengapa engkau tidak memilih saya." Rasulullah SAW bersabda, "Hai Abu Zar engkau seorang yang lemah, sedangkan itu sebagai amanah pada hari kiamat hanya akan menjadi penyesalan dan kehinaan. Kecuali orang yang dapat menunaikan hak kewajipannya dan memenuhi tanggung jawabnya.”
(Hadis Riwayat Muslim)

Hadis di atas menjelaskan kepada kita bahawa Abu Zar ketika meminta jawatan, tidak di indahkan oleh Rasulullah SAW. Kerana amanah menuntut dan menghendaki kita memilih orang-orang yang lebih baik untuk melaksanakan sesuatu pekerjaan. Jika kita cenderung memilih yang lain secara tidak berhati-hati, kerana mengamalkan sikap pilih kasih, bermakna kita telah melakukan pengkhianatan yang berat, kerana menyingkirkan orang yang ahli (mampu) dan mengangkat orang yang bukan ahli.

Rasulullah SAW. bersabda maksudnya : ” Sesungguhnya jawatan itu adalah amanat, dan pada hari kiamat akan menjadi kehinaan dan penyesalan, kecuali mereka yang mendapatkan jawatan itu dengan cara yang hak ( atau ia orang yang paling berhak ) dan ia menunaikan tugas dan kewajiban yang ada pada jawatan itu ( termasuk memenuhi janji-janjinya ) “ (Hadis Riwayat Muslim)

Dalam hadis lain Nabi SAW bersabda maksudnya : ” Seorang hamba yang oleh Allah dipercaya untuk memimpin sebuah umat, lantas ia mati, dan ketika memimpin ia menipu (zalim ) terhadap rakyatnya, pasti Allah mengharamkan baginya masuk syurga . “ (Hadis Riwayat Bukhari dan Muslim)

Hisyam bin Urwah meriwayatkan hadis Nabi SAW yang menyatakan bahawa pemimpin itu ada yang baik, ( takwa, jujur, adil , cerdas dan berakhlak mulia ) dengan segala macam kebaikannya, dan ada pemimpin yang buruk, ( jahat, zalim, dan rasuah ) dengan segala macam keburukannya. Pemimpin bertakwa akan selalu menghindarkan diri dari perbuatan maksiat dan zalim. Pemimpin yang jujur akan membina kan kepercayaan rakyat dan jauh dari mengambil rasuah dan mementingkan diri sendiri dan ahli keluarga.

Sahabat yang dimuliakan,
Pemimpin yang adil akan melahirkan ketentraman bagi seluruh rakyat dan mendatangkan berkah dan rahmat Allah. Pemimpin yang cerdas dan berwawasan jauh boleh membawa rakyat ke arah yang lebih baik dan maju. Pemimpin yang berakhlak mulia akan menjadi pautan rakyatnya, dan akan mendahulukan kepentingan rakyat dari pada kepentingan peribadi dan kumpulannya sahaja.

Bagaimana ia boleh berbuat adil, mampu menegakkan keadilan (hukum), memberantas rasuah dan penyelewengan kerana ia naik menjadi pemimpin dahulunya kerana memberi rasuah atau disokong oleh pengikut-pengikutnya yang hanya mempunyai agenda tersendiri dan hanya mengejar pangkat dan kuasa. ? atau ia mendapatkan jawatan dan kuasa secara kotor dan menghalalkan cara.?

Bagaimana boleh kita mengharapkan dia boleh membela agama Allah sedangkan hidupnya tidak membawa akhlak Islam dan dengan jelas nampak kejahilannya memahami tuntutan agama yang di anutinya Pemimpin yang zalim, jahat dan rasuah hanya akan membawa kemurkaan Allah SWT.

Dalam sebuah hadis yang diriwayatkan oleh Imam Al-Baihaqi, Rasulullah SAW. menyatakan bahawa keadaan pemimpinmu mencerminkan keadaan rakyat yang dipimpinnya. ( Kama Takunu Yuwalla ‘alaikum ).

Dalam kitab An-Nihayah menjelaskan bahawa jika rakyat beriman, beramal soleh, jujur, dan cerdas , maka yang akan tampil sebagai pemimpin mereka adalah orang yang punya peribadi seperti itu. Tapi jika rakyatnya terdiri dari orang-orang yang jahat, suka melakukan maksiat, suka membaut kerosakkan maka akan lahirlah pemimpin yang jahat seperti amalan rakyat tersebut.

Dalam hadis riwayat Muslim, Nabi SAW pernah mengingatkan pula bahawa barang siapa yang memilih seseorang sebagai pemimpin hanya atas dasar taksub ( fanatik buta ) tanpa menjadikan petunjuk Alah SWT dan rasulNya sebagai contoh ikutan, maka ia telah berkhianat kepada Allah, Rasul-Nya dan orang-orang beriman.

Sahabat yang dikasihi,
Berhati-hatilah kalian dalam menentukan pemimpin yang akan kalian pilih. Carilah pemimpin yang akan membuat perubahan dan pembangunan rohani dan jasmani. Janganlah cari pemimpin yang hanya memikirkan pembangunan kebendaan sahaja tanpa menjaga pembangunan akidah dan kerohanian. Pilihlah pemimpin yang akan mendekatkan diri kalian dengan ajaran Islam, sentiasa prihatin dengan masalah rakyat dan memberi keadilan kepada semua rakyat tanpa mengira bangsa, agama dan keturunan bukannya pemimpin yang hanya mementingkan kaum suku sakatnya sahaja.

Jika kalian tersilap membuat pemilihan dan perhitungan, risiko yang akan di terima cukup besar kerana ianya akan disoal dan di siasat secara teliti oleh Allah SWT di akhirat nanti. Berhati-hatilah supaya pemilihan kali ini di buat dengan gerak hati terdorong daripada cetusan iman dan takwa dan sentiasa mengharapkan keredaan Allah SWT.



No comments: