Tuesday, October 9, 2012

Teruskan Bersedekah Melalui Hati (Niat), Lisan Dan Perbuatan.

Assalamualaikum Warahmatullahi Wabarakatuh

بِسْمِ ٱللَّهِ ٱلرَّحْمَـٰنِ ٱلرَّحِيم

Segala puji bagi Allah, Tuhan sekelian alam. Selawat serta salam buat junjungan mulia Nabi Muhammad SAW keluarga serta para sahabat dan pengikut yang istiqamah menuruti baginda hingga ke hari kiamat.

Sahabat yang dirahmati Allah,
Sedekah adalah satu amalan soleh yang sangat dituntut oleh Islam. Sesiapa yang banyak bersedekah akan mendapat ganjaran yang besar di sisi Allah SWT. Sehinggakan Nabi SAW. ada menyatakan di dalam hadisnya bahawa salah satu daripada tujuh golongan yang akan mendapat perlindungan daripada Allah SWT di hari akhirat nanti adalah mereka yang bersedekah kerana Allah SWT sehingga tangan kirinya tidak mengetahui apa yang dihulurkan oleh tangan kanannya. 

Didalam riwayat yang yang lain Nabi SAW  ada menyatakan bahawa seorang dermawan yang ikhlas kerana Allah akan dimasukkan ke dalam syurga lebih awal daripada ulama dan orang yang mati syahid.

Kita digalakkan memberi sedekah dengan harta atau wang ringgit untuk membantu fakir miskin, anak-anak yatim, ibu tunggal yang dhaif, golongan oku, untuk pembinaan masjid atau surau, bantuan pelajaran untuk pelajar-pelajar yang kurang berkemampuan, pembinaan sekolah-sekolah agama, tahfiz dan madrasah dan untuk pembiayaan majlis-majlis ilmu dan pengajian al-Quran.

Sabda Rasulullah SAW : 

اِذَا مَاتَ اْلاِنْسَـان اِنـْقـَطَعَ عَنْهُ عَمَلُهُ اِلاَّ مِنْ ثَلاَثَةٍ : صَدَقَـةٍ جَارِيَةٍ ، اَوْعِلْمٍ يـُنـْتـَفَعُ بـِهِ ، أوْوَلـَدٍ صَالحٍ يـَدْعُـوْلَهُ

Maksudnya : "Apabila mati anak Adam, putuslah semua amalannya kecuali tiga perkara:  Sedekah jariah, ilmu yang dimanfaatkan atau anak soleh yang mendoakannya." (Hadis Riwayat Muslim)  
 
Walau bagaimana pun bagi golongan yang tidak berkemampuan dan tidak berharta, mereka masih boleh bersedekah melalui hati (niat), lisan dan perbuatan.

Sahabat yang dimuliakan,
Rasulullah SAW. ada menyatakan dalam hadis-hadisnya bahawa sedekah itu boleh di bahagikan kepada tiga jenis iaitu :

Pertama : Sedekah dengan hati.

Kedua : Sedekah dengan lisan.

Ketiga : Sedekah dengan perbuatan.

Huraiannya :

Pertama :  Sedekah dengan hati.

Niat yang ikhlas dalam apa jua pekerjaan.

Sabda Nabi SAW. yang bermaksud, "Seorang hamba yang dikurniakan Allah ilmu dan niat yang ikhlas, ia berkata, 'Seandainya aku memiliki harta, nescaya aku akan beramal sebagaimana yang diperbuat oleh si polan (golongan yang diberikah harta dan ilmu).' Dengan niatnya tersebut, maka pahala kedua-dua hamba ini sama."  (Hadis Riwayat Tirmizi).

Nabi SAW  bersabda maksudnya : ” Seorang hamba dihadapkan pada hari kiamat membawa hasanah sebesar bukit, lalu ada seruan;' Siapa yang pernah di aniaya oleh fulan boleh datang untuk dibayar'. Maka datanglah beberapa orang lalu mengambil bahagiannya sehingga tiada tinggal satu pun dari hasanah yang banyak itu, sehingga hamba itu menjadi bingung, lalu Tuhan berkata kepadanya: 'Untuk mu ada simpanan pada Ku yang tidak Aku perlihatkan kepada malaikat atau seorang pun dari makhluk Ku,' lalu ia bertanya:' Apakah itu'. Jawab Tuhan: Ia itu niatmu, yang kau selalu niat akan berbuat kebaikan, Aku tulis untuk mu berlipat ganda, tujuh puluh lipat ganda.' "

Daripada Umar ibn al-Katthab r.a. beliau berkata: Aku mendengar Rasulullah SAW bersabda maksudnya : "Bahawa sesungguhnya setiap amalan itu bergantung kepada niat, dan bahawa sesungguhnya bagi setiap orang apa yang dia niatkan.."
(Hadis Riwayat Bukhari dan Muslim)

Daripada Abu Hurairah r.a. bahawa Rasulullah SAW. bersabda yang bermaksud: Allah berfirman, Jika hamba ku berbicara iaitu berniat) untuk melakukan kebaikan. maka Aku akan menulis untuknya satu kebaikan selagi belum melakukannya. Jika ia telah melakukannya, maka Aku mencatatnya dengan 10 kali ganda. "
(Hadis Riwayat Muslim)

Sedekah dengan hati ini perlulah bersungguh-sungguh bukan setakat lintasan hati. Dengan niat bermakna benar-benar berazam dan sentiasa berdoa kepada Allah SWT semoga dipermudahkan-Nya dan di murahkan rezeki.

Kedua : Sedekah dengan lisan.

Berzikir seperti tasbih, tahmid, tahlil dan takbir.

Sabda Nabi SAW yang bermaksud, "Setiap tasbih adalah sedekah, setiap tahmid adalah sedekah, setiap tahlil adalah sedekah dan setiap takbir adalah sedekah..."
(Hadis Riwayat Muslim)

Sabda Nabi s.a.w. lagi yang bermaksud, "Perkataan yang baik adalah sedekah."
(Hadis Riwayat Bukhari)

Antara ucapan yang baik yang dianggap sebagai sedekah adalah memberi salam, mengajak manusia ke arah kebaikan dan mencegah dari kemungkaran, berlemah lembut sewaktu bercakap dan tidak menguris hati orang lain.

Ketiga : Sedekah dengan perbuatan :

1. Senyuman kepada saudaramu adalah sedekah.

Dari Abu Dzar ra., Rasulullah SAW bersabda : "Engkau tersenyum di depan saudaramu adalah sedekah" (Riwayat Bukhari dari Kitabul Adab)

Senyum itu sedekah? Begitu mudah untuk mendapat pahala sedekah tanpa mengeluarkan wang ringgit atau peluh ! Tapi, benarkah senyum itu mudah? Senyum adalah luahan batin. Ia merupakan ciri khas makhluk yang bernama manusia. Manusia mudah jatuh hati pada seseorang yang tersenyum. Senyum juga mampu menumbuhkan rasa gembira, menyebabkan hati menjadi damai. Senyum juga mampu mengusir duka.

2. Mengerjakan solat adalah sedekah untuk diri sendiri. Berjalan ke masjid juga merupakan sedekah.

3. Mengerjakan puasa  sunat adalah sedekah untuk diri sendiri.

4. Keluar rumah untuk solat fardu berjemaah dan solat duha adalah mendapat pahala haji dan umrah.

Sabda Nabi SAW yang bermaksud, "Barangsiap yang keluar dari rumahnya dalam keadaan bersuci untuk menunaikan solat fardu, pahalanya seperti pahala haji. Barangsiapa yang keluar untuk solat Duha dan tidak keluar melainkan hanya untuk itu, pahalanya seperti pahala umrah."  (Hadis Riwayat Abu Daud).

5. Manusia mempunyai sebanyak 360 sendi dan sedekahnya ialah solat Duha dua rekaat setiap hari.

Bagi setiap anggota sendi serta ruas-ruas tulang perlu mengeluarkan sedekah bagi menunjukkan ketaatan kita kepada Allah SWT . Justeru itu solat Duha  adalah amalan yang dapat menunaikan tanggung jawab tersebut. Daripada Abu Dzarr r.a.  daripada Nabi SAW   bersabda:

يُصْبِحُ عَلَى كُلِّ سُلاَمَى مِنْ أَحَدِكُمْ صَدَقَةٌ فَكُلُّ تَسْبِيحَةٍ صَدَقَةٌ وَكُلُّ تَحْمِيدَةٍ صَدَقَةٌ

وَكُلُّ تَهْلِيلَةٍ صَدَقَةٌ وَكُلُّ تَكْبِيرَةٍ صَدَقَةٌ وَأَمْرٌ بِالْمَعْرُوفِ صَدَقَةٌ وَنَهْيٌ عَنْ الْمُنْكَرِ صَدَقَةٌ

وَيُجْزِئُ مِنْ ذَلِكَ رَكْعَتَانِ يَرْكَعُهُمَا مِنْ الضُّحَى.

Maksudnya: "Bagi tiap-tiap ruas dari anggota tubuh salah seorang di antara kalian harus dikeluarkan sedekahnya setiap pagi hari. Setiap tasbih (Subhaanallah) adalah sedekah, setiap tahmid (Alhamdulillah) adalah sedekah, setiap tahlil (Laa Ilaaha Illallah) adalah sedekah, setiap takbir (Allahu Akbar) adalah sedekah, menyuruh untuk berbuat baik juga sedekah, dan mencegah kemungkaran juga sedekah. Dan semua itu boleh diganti dengan dua rakaat solat Duha. " (Hadis riwayat Imam Muslim dalam Shahihnya, Kitab Sholaatul Musaafiriin wa Qashruha, no: 720.)


6. Membuang atau mengalihkan sesuatu yang menghalangi jalan.

7. Membersihkan masjid dan menjaga kebersihannya.

8. Menolong insan yang memerlukan dan mendamaikan antara dua orang.

9. Memberi tumpang seseorang atau barang-barang dengan kenderaan.

10. Menunjukkan jalan kepada orang yang sesat serta membantu orang buta.

11. Memberi minum kepada sesama makhluk tidak kira samaada manusia atau binatang.

12. Memberi pinjaman wang atau menangguhkan bayaran balik pinjaman sekiranya orang yang meminjam tidak mampu  membayar dalam tempoh yang sepatutnya dilangsaikan hutang tersebut.

13. Mengajarkan ilmu.

14. Menanam apa jua pokok atau tanaman, kemudian dimakan oleh makhluk Allah..

Sahabat yang dikasihi,
Oleh itu janganlah bertangguh-tangguh untuk bersedekah, walau pun dengan sumbangan seringgit, dengan niat yang baik,  dengan kata-kata yang baik dan senyuman kerana sesungguhnya syaitan akan menghalang anak Adam dari melaksanakan amalan sedekah ini.


No comments: