Sunday, January 27, 2013

Pentingnya Mempelajari Dan Menghayati Ilmu Tasawuf Sebagai Pelengkap Kehidupan Seorang Mukmin - Siri Pertama.


Assalamualaikum Warahmatullahi Wabarakatuh

بِسْمِ ٱللَّهِ ٱلرَّحْمَـٰنِ ٱلرَّحِيم

Segala puji bagi Allah, Tuhan sekelian alam. Selawat serta salam buat junjungan mulia Nabi Muhammad SAW keluarga serta para sahabat dan pengikut yang istiqamah menuruti baginda hingga ke hari kiamat.

Sahabat yang dirahmati Allah,
Dalam proses pendidikan Islam perlu bermula mendidik hati dan jiwa kepada akidah Islam (ilmu tauhid) dan kedua perlu mempelajari ilmu ilmu fardu ain (ilmu feqah) dan yang ketiga pelengkap kepada akhlak mukmin adalah memperlajari dan menghayati ilmu tasawuf.

Pengertian Ilmu Tasawuf :

1. Ilmu tasawuf ialah ilmu yang menyuluh perjalanan seseorang mukmin di dalam membersihkan hati dengan sifat-sifat mahmudah (sifat-sifat yang mulia) dan menghindari atau menjauhkan diri daripada sifat-sifat mazmumah (sifat keji dan tercela) .

2. Ilmu tasawuf bertujuan mendidik nafsu dan akal supaya sentiasa berada di dalam landasan dan peraturan hukum syariat Islam yang sebenar sehingga mencapai taraf nafsu mutmainnah . 

Apakah syarat-syarat untuk mencapai taraf nafsu mutmainah ?

1. Banyak bersabar . 

2. Banyak menderita yang di alami oleh jiwa . 

Imam Al-Ghazali r.a. telah menggariskan sepuluh sifat-sifat mahmudah (sifat terpuji) di dalam kitab Arbain Fi Usuluddin iaitu : 

Pertama : Taubat .
Kedua : Khauf ( Takut )
Ketiga : Zuhud 
Keempat : Sabar. 
Kelima : Syukur.
Keenam : Ikhlas. 
Ketujuh : Tawakkal. 
Kelapan : Mahabbah ( kasih sayang )
Kesembilan : Reda.
Kesepuluh : Zikrul Maut ( mengingati mati ) 

Di dalam kitab tersebut juga Imam Al-Ghazali telah menggariskan sepuluh sifat-sifat mazmumah iaitu tercela / sifat keji di dalam kitab tersebut iaitu : 

Pertama : Banyak Makan 
Kedua : Banyak bercakap.
Ketiga : Marah. 
Keempat : Hasad. 
Kelima : Bakhil. 
Keenam : Cintakan kemegahan. 
Ketujuh : Cintakan dunia .
Kelapan : Bangga Diri. 
Kesembilan : Ujub ( Hairan Diri ). 
Kesepuluh : Riyak ( Menunjuk-nunjuk ).

Huraian untuk sepuluh sifat-sifat mahmudah :

Pertama : Taubat .

Taubat maksudnya adalah kembali daripada keburukan kepada kebaikan dengan beberapa syarat yang tertentu. 

Allah SWT berfirman yang bermaksud, " Sesungguhnya Allah amat menyukai orang-orang bertaubat dan menyukai orang-orang yang mensucikan diri." (Surah Al-Baqarah ayat 222)

Dalam ayat yang lain firman Allah SWT yang bermaksud : ” Dan mohonlah ampun kepada Allah , sesungguhnya ia Maha Pengampun lagi Maha Mengasihani ”(Surah al-Muzammil ayat 20 ) 

Terdapat enam syarat-syarat untuk taubat :

1. Meninggalkan maksiat atau perkara dosa tersebut.

2. Menyesal atas maksiat atau dosa yang telah dilakukan.

3. Bercita-cita tidak akan mengulanginya lagi.

4. Mengembalikan hak-hak makhluk yang dizalimi.

5. Mengerjakan perkara-perkara fardu yang telah luput.

6. Menjauhkan diri daripada suasana , rakan-rakan dan tempat lama dan kembali kepada suasana baru, rakan-rakan baru dan tempat baru yang lebih baik.

Setiap manusia tidak dapat mengelakkan dirinya daripada tersalah dan terlupa, melainkan manusia yang maksum ( terpelihara daripada dosa ) seperti rasul-rasul dan nabi-nabi. 
Seseorang itu hendaklah bersungguh-sungguh memelihara diri daripada dosa iaitu dengan memelihara seluruh anggota daripada melakukan perkara-perkara yang ditegah oleh agama. 

Beberapa faedah dan hikmah taubat iaitu:

1. Menghidupkan jiwa yang resah kerana dosa.

2. Mendekatkan diri kepada Allah SWT .

3. Meningkatkan ketakwaan diri.

4. Membenteras tipu-daya syaitan yang selama ini memerangkap manusia 
dengan berbuat dosa dan maksiat.

5. Memperolehi kemuliaan dan anugerah Allah SWT. dalam hidup di dunia
dan akhirat.

Kedua : Khauf ( Takut )

Khauf bererti takut kepada Allah SWT., iaitu rasa gementar dan rasa gerun akan kekuatan dan kebesaran Allah SWT. serta takutkan kemurkaanNya dengan mengerjakan segala perintahNya dan meninggalkan segala laranganNya. 

Firman Allah SWT. yang bermaksud : "Dan kepada Akulah ( Allah ) sahaja hendaklah kamu merasa gerun dan takut bukan kepada sesuatu yang lain" ( Surah Al-Baqarah Ayat 40 ) 

Seseorang itu tidak akan merasai takut kepada Allah SWT. jika tidak mengenalNya. Mengenal Allah SWT ialah dengan mengetahui akan sifat-sifat ketuhanan dan sifat -sifat kesempurnaan bagi zatNya. Seseorang itu hendaklah mengetahui segala perkara yang disuruh dan segala perkara yang ditegah oleh agama. Dengan mengenal Allah SWT dan mengetahui segala perintah dan laranganNya, maka seseorang itu akan dapat merasai takut kepada Allah SWT.

Rasa takut dan gerun kepada Allah SWT. akan menghindarkan seseorang itu daripada melakukan perkara yang ditegah oleh Allah SWT. dan seterusnya patuh dan tekun mengerjakan perkara yang disuruhnya dengan hati yang khusyuk dan ikhlas. 

Ketiga : Zuhud.

Zuhud yang sebenarnya adalah mengutamakan kehidupan akhirat dari dunia. Sebagaimana yang dinyatakan dalam Surah Al-A'laa ayat 16 dan 17 , yang mana Allah SWT menyifatkan orang bukan Islam mengutamakan dunia semata-mata, kemudian Allah menyebut kehidupan akhriat lebih baik dan kekal.

Firman Allah SWT bermaksud :“Tetapi kamu (orang-orang kafir) memilih kehidupan duniawi. Sedang kehidupan akhirat adalah lebih baik dan lebih kekal.” (Surah Al-A’laa: 16-17)

Ibnu al-Qayyim mengatakan bahwa zuhud adalah meninggalkan apa yang tidak bermanfaat demi kehidupan akhirat.

Al-Imam Hasan Al-Bashri menyatakan bahwa zuhud itu bukanlah mengharamkan yang halal atau menyia-nyiakan harta, akan tetapi zuhud di dunia adalah engkau lebih mempercayai apa yang ada di tangan Allah daripada apa yang ada di tanganmu. Keadaanmu antara ketika tertimpa musibah dan tidak adalah sama saja, sebagaimana sama saja di matamu antara orang yang memujimu dengan yang mencelamu dalam kebenaran.

Dari Abul Abbas, Sahel bin Sa'ad as-Sa'idi r.a. berkata: Telah datang seorang lelaki kepada Nabi SAW seraya berkata, "Ya Rasulullah! Tunjukkanlah aku suatu amalan, jika aku kerjakannya, nescaya aku dicintai Allah, dan dicintai orang ramai". Bersabda Rasullulah SAW, "Berlaku zuhudlah di dunia, nescaya engkau dicintai Allah. Berlaku zuhudlah kepada pada apa yang ada di tangan manusia, nescaya engkau dicintai orang ramai" – Hadis hasan diriwayatkan oleh Ibnu Majah dan lain-lain dengan sanad-sanad yang hasan

Keempat : Sabar. 

Allah SWT telah memberikan panduan terbaik kepada orang-orang mukmin melalui firman-Nya dalam surah al-Baqarah ayat 155-156, maksudnya: "Demi sesungguhnya! Kami akan menguji kamu dengan sedikit perasaan takut (kepada musuh) dan (dengan merasai) kelaparan, dan (dengan berlakunya) kekurangan dari harta benda dan jiwa serta hasil tanaman. Dan berilah khabar gembira kepada orang-orang yang sabar (iaitu) orang-orang yang apabila mereka ditimpa oleh sesuatu kesusahan, mereka berkata: Sesungguhnya kami adalah kepunyaan Allah dan kepada Allah jualah kami kembali."

Seorang mukmin dengan ketakwaannya kepada Allah SWT., memiliki kebahagiaan yang hakiki dalam hatinya, maka masaalah apapun yang dihadapinya di dunia ini tidak membuatnya mengeluh atau berdukacita, apalagi berputus asa. Hal ini disebabkan kerana keimanannya yang kuat kepada Allah SWT sehingga membuat dia yakin bahawa apapun ketetapan yang Allah SWT. berikan untuk dirinya maka itulah yang terbaik baginya. Dengan keyakinannya ini Allah SWT. akan memberikan balasan kebaikan baginya berupa ketenangan dan ketabahan dalam jiwanya. 

Katakanlah (wahai Muhammad akan firmanKu ini, kepada orang-orang yang berakal sempurna itu): "Wahai hamba- hambaKu yang beriman! Bertakwalah kepada Tuhan kamu. (Ingatlah) orang-orang yang berbuat baik di dunia ini akan beroleh kebaikan (yang sebenar di akhirat). Dan (ingatlah) bumi Allah ini luas (untuk berhijrah sekiranya kamu ditindas). Sesungguhnya orang-orang yang bersabarlah sahaja yang akan disempurnakan pahala mereka dengan tidak terkira". (Surah az-Zumar ayat 10)

Kelima : Syukur.

Tanda seseorang itu bersyukur ialah apabila gembira wujudnya nikmat pada dirinya, yang melorongkan jalan untuk beramal ibadat dan mendekatkan diri kepada-Nya.

Orang yang bersyukur kepada Allah akan memperbanyakkan ucapan syukur dan terima kasih kepada-Nya. Mereka akan mengerjakan ketaatan kepada Allah dan akan membesarkan nikmat sekalipun nikmat itu kecil saja.

Sesungguhnya bersyukur kepada Allah adalah perbuatan wajib ke atas setiap manusia. Ini jelas daripada firman-Nya bermaksud : "Syukurlah terhadap nikmat Allah jika kamu sungguh-sungguh menyembah kepada Nya." - (Surah an-Nahl ayat 144)

Rasulullah SAW. bersabda yang bermaksud :"Siapa yang tidak bersyukur dengan pemberian yang sedikit, dia juga tidak akan bersyukur dengan pemberian yang banyak. Siapa yang tidak mensyukuri manusia, bererti dia juga tidak mensyukuri Allah. Memperkatakan nikmat Allah adalah tanda syukur, dan mengabaikannya adalah kufur. Berjemaah itu dirahmati, sedangkan berpecah belah itu mengundang azab." (Hadis Riwayat Ahmad dalam Musnad Ahmad)

Keenam : Ikhlas. 

Merasa tunduk dan patuh dengan segala kelapangan dada bahkan dengan gembira dan senang menerima syariat yang digariskan oleh Allah SWT dan Rasul-Nya adalah memancar dari mahabbah kerana cinta kepada Allah SWT. dan inilah tanda keimanan yang murni serta tulus ikhlas kepadaNya. 

Firman Allah SWT yang bermaksud :"Tetapi tidak ! Demi Tuhanmu, mereka tidak dipandang beriman hingga mereka menjadikanmu ( Muhammad ) hakim dalam apa yang mereka perselisihkan di antara mereka, kemudian mereka tidak merasa sempit dalam hati mereka tentang apa yang engkau putuskan serta mereka menyerah dengan bersungguh - sungguh ". ( Surah An-Nisaa' ayat 65 ) 

Sifat ikhlas ialah menumpukan niat bagi setiap ibadah atau kerja yang dilakukan semata-mata kerana Allah SWT. dan diniatkan untuk menjunjung perintah semata-mata serta membersihkan hati dari dosa riyak, ujub atau inginkan pujian manusia.

Firman Allah SWT. di dalam Al-Quran yang bermaksud : “ Padahal mereka tidak diperintahkan melainkan supaya menyembah Allah SWT dengan mengikhlaskan ibadah kepadanya , lagi tetap teguh di atas tauhid dan supaya mereka mendirikan sembahyang dan memberi zakat dan yang demikian itulah agama yang benar “.( Surah al-Bayyinah ayat 5 )

Setiap pekerjaan yang dilakukan hendaklah dibersihkan daripada sesuatu tujuan yang lain daripada taat kepada perintah Allah SWT. Hendaklah dibersihkan niat daripada sebab-sebab yang lain dari sifat-sifat yang keji ( sifat mazmumah ) seperti riyak , ujub , inginkan kemasyhuran dan lain-lain lagi.

Dalam meninggalkan larangan Allah SWT. hendaklah diniatkan untuk taat semata-mata bukan kerana malu kepada makhluk atau sebagainya.

Ketujuh : Tawakkal. 

Tawakal adalah menetapkan hati dan berserah kepada Allah SWT pada segala perkara yang berlaku serta jazam (putus) pada iktiqad bahawa Allah Subhanahu Wa Ta‘ala yang mengadakan dan memerintahkan tiap-tiap sesuatu.

Terserah kepada Allah pada segala perkara itu hendaklah disertakan dengan ikhtiar dan usaha kerana Allah menjadikan sesuatu mengikut sebab-sebabnya, seperti dijadikan pandai kerana belajar, dijadikan kaya kerana rajin berusaha atau berjimat cermat dan sebagainya.

Allah SWT berfirman yang bermaksud : "Dan (ingatlah), sesiapa yang berserah diri bulat-bulat kepada Allah, maka Allah cukupkan baginya (untuk menolong dan menyelamatkannya)." (Surah al-Thalaq ayat 3).

Untuk memahami lebih jelas lagi konsep tawakal ini pernah Rasulullah S.A.W. menjelaskan kepada seorang lelaki yang datang berjumpa dengan baginda.

"Telah datang kepada Rasulullah S.A.W. seorang lelaki yang hendak meninggalkan untanya begitu sahaja di pintu masjid tanpa ditambat terlebih dahulu. Lelaki tersebut bertanya kepada Rasulullah S.A.W. "Ya Rasulullah, adakah unta itu perlu saya tambat dahulu dan kemudian bertawakal atau saya lepaskan saja kemudian bertawakal?" Rasulullah S.A.W. menjawab, maksudnya : "Tambatlah terlebih dahulu dan kemudian bertawakal." 
(Hadis Riwayat al-Tarmizi)

Kelapan : Mahabbah ( kasih sayang )

Kasihkan Allah Subhanahu Wa Taala dengan mengingatiNya pada setiap masa dan keadaan.
Kasihkan Allah ialah dengan segera melakukan segala perintahNya dan berusaha mendampingkan diri kepada Allah dengan ibadah-ibadah sunat dan bersungguh-sungguh menghindari maksiat serta perkara-perkara yang membawa kemarahanNya.

Sabda Rasulullah SAW yang bermaksud : " Orang-orang yang mempunyai rasa belas kasih akan dirahmati oleh Allah. Kasihlah siapa sahaja yang ada dibumi, nescaya kalian akan dikasihi oleh Zat Yang ada di langit. Sanak kerabat adalah dahan yang kukuh dari Zat Yang Maha Rahman. Barangsiapa menyambungnya (tali silaturahim), nescaya Allah akan menyambungnya, dan barangsiapa memutuskannya, nescaya Allah akan memutuskan hubungan dengannya."(Hadis Riwayat Abu Daud)

Jadikanlah hati dan jiwa kalian memiliki sifat kasih sayang kepada sesama muslim dan juga kasih kepada makhluk Allah SWT. yang ada di bumi. Rahmat Allah akan kalian perolehi apabila kalian memiliki sifat yang mulia ini. Persediaan kalian untuk menyambung tali silaturahim dan menjalini hubungan ukuwah Islamiah sesama kaum kerabat dan umat Islam seluruhnya akan mendapat rahmat dan kasih sayang daripada Allah SWT. dari langit.

Kesembilan : Reda.

Sifat reda adalah daripada sifat makrifah dan mahabbah kepada Allah SWT.

Pengertian reda ialah menerima dengan rasa senang dengan apa yang diberikan oleh Allah SWT baik berupa peraturan ( hukum ) mahupun qadak dan qadar-Nya.

Reda terhadap Allah SWT terbahagi kepada dua :

1. Reda menerima peraturan ( hukum ) Allah SWT. yang dibebankan kepada manusia.

2. Reda menerima ketentuan Allah SWT tentang nasib yang mengenai diri.

Huraiannya :

1. Reda menerima hukum Allah SWT : 

Reda menerima hukum-hukum Allah SWT adalah merupakan manifestasi daripada kesempurnaan iman, kemuliaan takwa dan kepatuhan kepada Allah SWT. kerana menerima peraturan-peraturan itu dengan segala senang hati dan tidak merasa terpaksa atau dipaksa. 

Merasa tunduk dan patuh dengan segala kelapangan dada bahkan dengan gembira dan senang menerima syariat yang digariskan oleh Allah SWT. dan Rasul-Nya adalah memancar dari mahabbah kerana cinta kepada Allah SWT. dan inilah tanda keimanan yang murni serta tulus ikhlas kepadaNya. 

Firman Allah SWT yang bermaksud : "Tetapi tidak ! Demi Tuhanmu, mereka tidak dipandang beriman hingga mereka menjadikanmu ( Muhammad ) hakim dalam apa yang mereka perselisihkan di antara mereka, kemudian mereka tidak merasa sempit dalam hati mereka tentang apa yang engkau putuskan serta mereka menyerah dengan bersungguh - sungguh ". ( Surah an-Nisaa' ayat 65 ) 

Dan firman Allah SWT yang bermaksud : " Dan alangkah baiknya jika mereka reda dengan apa yang Allah dan Rasul-Nya berikan kepada mereka sambil mereka berkata : ' Cukuplah Allah bagi kami , Ia dan Rasul-Nya akan berikan pada kami kurnianya ,Sesungguhnya pada Allah kami menuju ". ( Surah at-Taubah ayat 59 ) 

Pada dasarnya segala perintah-perintah Allah SWT. baik yang wajib mahupun yang sunat ,hendaklah dikerjakan dengan senang hati dan reda. Demikian juga dengan larangan-larangan Allah SWT. hendaklah dijauhi dengan lapang dada . 

Itulah sifat reda dengan hukum-hukum Allah SWT. Reda itu bertentangan dengan sifat dan sikap orang-orang munafik atau kafir yang benci dan sempit dadanya menerima hukum-hukum Allah SWT.

Firman Allah SWT. yang bermaksud :" Yang demikian itu kerana sesungguhnya mereka (yang munafik ) berkata kepada orang-orang yang di benci terhadap apa-apa yang diturunkan oleh Allah SWT. 'Kami akan tuntut kamu dalam sebahagian urusan kamu ',Tetapi Allah mengetahui rahsia mereka ". ( Surah Muhammad ayat 26 ) 

Andaikata mereka ikut beribadah, bersedekah atau mengerjakan sembahyang maka ibadah itu mereka melakukannya dengan tidak reda dan bersifat pura-pura. Demikianlah gambaran perbandingan antara hati yang penuh reda dan yang tidak reda menerima hukum Allah SWT , yang mana hati yang reda itu adalah buah daripada kemurnian iman dan yang tidak reda itu adalah gejala nifaq. 

2. Reda dengan qadak dan qadar : 

Reda dengan qadak dan qadar iaitu merasa menerima ketentuan nasib yang telah ditentukan Allah SWT baik berupa nikmat mahupun berupa musibah ( malapetaka)

Didalam hadis diungkapkan bahawa di antara orang yang pertama memasuki syurga ialah mereka yang suka memuji Allah SWT. . iaitu mereka memuji Allah ( bertahmid ) baik dalam keadaan yang susah mahupun di dalam keadaan senang. 

Diberitakan Rasulullah SAW. apabila memperolehi kegembiraan baginda berkata :

"Segala puji bagi Allah yang dengan nikmatnya menjadi sempurnalah kebaikan ". 

Dan apabila kedatangan perkara yang tidak menyenangkan , baginda mengucapkan : 

"Segala puji bagi Allah atas segala perkara ". 

Perintah reda menerima ketentuan nasib daripada Allah SWT. dijelaskan didalam hadis baginda yang lain yang bermaksud : 

"Dan jika sesuatu kesusahan mengenaimu janganlah engkau berkata : 'Jika aku telah berbuat begini dan begitu, begini dan begitulah jadinya. Melainkan hendakalah kamu katakan : Allah telah mentakdirkan dan apa yang ia suka , ia perbuat ! " Kerana sesungguhnya perkataan : andaikata (kalau).. itu memberi peluang pada syaitan " . (Hadis Riwayat Muslim) 

Sikap reda dengan mengucapkan puji dan syukur kepada Allah SWT. Ketika mendapat kesenangan atau sesuatu yang tidak menyenangkan bersandar kepada dua pengertian : 

1. Bertitik tolak dari pengertian bahawa sesungguhnya Allah SWT. memastikan terjadinya hal itu sebagai yang layak bagi Dirinya kerana bagi Dialah sebaik-baik Pencipta. Dialah Yang Maha Bijaksana atas segala sesuatu. 

2. Bersandar kepada pengertian bahawa ketentuan dan pilihan Allah SWT. itulah yang paling baik , dibandingkan dengan pilihan dan kehendak peribadi yang berkaitan dengan diri sendiri. 

Sabda Rasulullah SAW. yang bermaksud : "Demi Allah yang jiwaku ditangannya !Tidaklah Allah memutuskan sesuatu ketentuan bagi seorang mukmin melainkan mengandungi kebaikan baginya. Dan tiadalah kebaikan itu kecuali bagi mukmin . Jika ia memperolehi kegembiraan dia berterima kasih (bersyukur) bererti kebaikan baginya , dan jika ia ditimpa kesulitan dia bersabar bererti kebaikan baginya ".(Hadis Riwayat Muslim ) 

Kesepuluh : Zikrul Maut. (Mengingati Mati)

Zikrul maut atau mengingati kematian adalah salah satu sifat mahmudah.

Nabi SAW pernah bersabda. Daripada Abu Hurairah r.a , Rasulullah SWT bersabda yang bermaksud : "Perbanyakkanlah olehmu mengingati sesuatu yang memutuskan segala kelazatan (mati)." (Hadis Riwayat Tirmizi)

Mengingati mati dan sentiasa bersedia dengan amalan-amalan yang baik. Oleh kerana seseorang itu akan mati, maka hendaklah ia bersedia dengan amalan-amalan yang baik dan hendaklah ia memenuhkan tiap-tiap saat daripada umurnya itu dengan perkara yang berfaedah bagi akhiratnya kerana tiap-tiap perkara yang telah lalu tidak akan kembali lagi.

Semua manusia tidak tahu bilakah dia akan di panggil pulang untuk bertemu dengan Allah SWT. Dengan erti kata lain, sesiapa pun tidak tahu bilakah nyawanya akan di cabut oleh malaikat maut , di tempat manakah badannya akan terkejur sejuk kedinginan dan tidak bergerak lagi,ketika itu roh akan naik kelangit dan kita pun tidak mengetahui samaada roh kita akan di terima untuk berhimpun bersama arwah para Anbiya , Syuhada' dan ulama' atau adakah roh kita akan di tolak lalu di campakkan ke jurang api neraka.

Nabi SAW ada bersabda yang bermaksud : "Sesungguhnya hati manusia itu akan berkarat seperti mana karatnya besi." Para sahabat bertanya kepada Rasulullah SAW , "Bagaimana hendak mengubatinya ,Ya Rasulullah ?" Maka Rasulullah SAW menjawab, "Tilawah al-Quraan dan mengingati mati."

Mengingati mati adalah pencuci hati yang sangat berkesan. Dari sanalah kita akan memasuki pintu keinsafan dan kesedaran. 

Sahabat yang dikasihi,
Marilah sama-sama kita beramal dengan sepuluh sifat-sifat mahmudah di atas yang akan menjadikan diri kita seorang mukmin yang beriman dan bertakwa. Mukmin yang akan diredai oleh Allah SWT dan akan mendapat rahmat dan kasih sayang Allah SWT di dunia dan akhirat. Mukmin yang akan di dipersilakan masuk ke dalam syurga seluas langit dan bumi dengan rahmat dan kasih sayang-Nya.

(Bersambung..)

No comments: