Thursday, March 7, 2013

Terdapar Empat Ciri-ciri Orang Yang Mencintai Allah Dan Di Cintai Oleh Allah


Assalamualaikum Warahmatullahi Wabarakatuh

بِسْمِ ٱللَّهِ ٱلرَّحْمَـٰنِ ٱلرَّحِيم

Segala puji bagi Allah, Tuhan sekelian alam. Selawat serta salam buat junjungan mulia Nabi Muhammad SAW keluarga serta para sahabat dan pengikut yang istiqamah menuruti baginda hingga ke hari kiamat.

Sahabat yang dirahmati Allah,
Allah SWT berfirman yang bermaksud: "Wahai orang-orang yang beriman, barangsiapa di antara kamu yang murtad dari agamanya, maka kelak Allah akan mendatangkan suatu kaum yang Allah mencintai mereka dan merekapun mencintaiNya, yang mana mereka bersikap lemah lembut terhadap orang yang mukmin, yang bersikap keras terhadap orang-orang kafir, yang berjihad dijalan Allah, dan yang tidak takut kepada celaan orang yang suka mencela. Itulah karunia Allah, diberikan-Nya kepada siapa yang dikehendaki-Nya, dan Allah Maha Luas (pemberian-Nya), lagi Maha Mengetahui." (Surah Al-Maaidah ayat 54)

Berdasarkan ayat di atas terdapat empat ciri-ciri  orang yang mencintai Allah dan dicintai oleh Allah.
Ciri-ciri tersebut adalah seperti berikut :

1. Bersikap lemah lembut terhadap sesama muslim.

2. Bersikap keras (tegas / berpendirian) terhadap orang-orang kafir.

3. Berjihad di jalan Allah, bergembira dalam menjalankan kewajibanNya dan menjauhi laranganNya.

4. Tidak takut kepada celaan orang yang suka mencela.

Huraiannya : 

1. Bersikap lemah lembut terhadap sesama mukmin.

Firman Allah SWT maksudnya : "Nabi Muhammad (SAW) ialah Rasul Allah; dan orang-orang yang bersama dengannya bersikap keras dan tegas terhadap orang-orang kafir yang (memusuhi Islam), dan sebaiknya bersikap kasih sayang serta belas kasihan kasihan sesama sendiri (umat Islam). Engkau melihat mereka tetap beribadat rukuk dan sujud, dengan mengharapkan limpah kurnia (pahala) dari Tuhan mereka serta mengharapkan keredaanNya..." (Surah al-Fath ayat 29)

Sabda Rasulullah SAW maksudnya, “Tidak beriman seorang daripada kamu sehingga dia mengasihi saudaranya seperti mana dia mengasihi dirinya sendiri.” (Hadis Riwayat Bukhari)

Nabi SAW bersabda maksudnya, “Orang mukmin itu dalam kasih sayang dan kemesraan serta simpati sesama mereka bagaikan sebatang tubuh. Jika mana-mana anggota tubuh mengalami kesakitan, maka seluruh tubuh akan merasainya.” (Hadis Riwayat Bukhari)

2. Bersikap keras (tegas / berpendirian) terhadap orang-orang kafir.

Setiap mukmin perlu bertegas terhadap orang kafir sekiranya mereka mengajak kepada ajaran agama mereka, atau pun mereka cuba menghidupkan budaya mereka dan menyesatkan kehidupan umat Islam. Apabila Allah SWT kata perlu berkeras ini bermakna jangan sekali-kali orang mukmin terpegaruh dengan ajakkan untuk mengikuti cara hidup mereka.

Cara hidup orang mukmin berbeza dengan cara hidup orang-orang kafir. Orang mukmin menganggap hidup di dunia hanya sementara sahaja tetapi orang-orang kafir menganggap dunia ini hanyalah tempat untuk berhibur dan berseronok-seronok sahaja. Mereka mengikut hawa nafsu, makan dan minum, seperti haiwan  , tidak kira haram atau halal , semuanya boleh belaka.

Firman Allah SWT maksudnya : “Dan sesungguhnya Kami jadikan untuk neraka Jahanam kebanyakan dari jin dan manusia, mereka mempunyai hati, tetapi tidak dipergunakannya untuk memahami (ayat-ayat Allah) dan mereka mempunyai mata (tetapi) tidak dipergunakannya untuk melihat kebesaran (tanda-tanda kekuasaan Allah), dan mereka mempunyai telingan (tetapi) tidak dipergunakannya untuk mendengar (ayat-ayat Allah). Mereka itu seumpama binatang ternak, bahkan mereka lebih sesat lagi. Mereka itulah orang-orang yang lalai.” (Surah al-A’raf, (7:) ayat 179 )

Sekiranya golongan kafir ini tidak memusuhi Islam dan sanggup bekerjasama untuk menegakkan keadilan dan menjalankan kerja-kerja kebajikan maka kita perlu menghormati mereka dan berusaha berdakwah supaya mereka faham Islam dan dapat diajak untuk masuk ke dalam agama Islam. Kita dibenarkan bertahaluf siasi (kerjasama politik) dengan parti bukan Islam selagi mereka tidak menghina dan memusuhi Islam dan umat Islam.

3. Berjihad di jalan Allah, bergembira dalam menjalankan kewajibanNya dan menjauhi laranganNya.

Firman Allah SWT maksudnya :"Sesungguhnya Allah membeli dari orang-orang mukmin, baik diri mahupun harta mereka dgn memberikan syurga untuk mereka. Mereka berperang di jalan Allah; sehingga mereka membunuh atau terbunuh, (sebagai) janji yang benar dari Allah di dalam Taurat, Injil dan Al-Quran. Dan siapakah yang lebih menepati janjinya selain Allah? Maka bergembiralah dengan jual beli yang telah kamu lakukan itu, dan demikian itulah kemenangan yang agung." (Surah At-Taubah: ayat 111)

Allah beli dari kita (orang-orang mukmin) , jiwa dan  hartanya dengan syurga. Tidakkah itu satu tawaran dan ganjaran yang hebat daripada Allah SWT? 

Betapa mulianya tawaran Allah SWT kepada orang-orang mukmin. Orang mukmin akan bergembira dan seronok apabila mereka dapat menjalankan kewajipan terhadap Allah SWT. Berbahagia hidup di dunia dan di akhirat nanti akan mendapat balasan syurga seluas langit dan bumi.

4. Tidak takut kepada celaan orang yang suka mencela.

Firman Allah SWT maksudnya : "..dan yang tidak takut kepada celaan orang yang suka mencela. Itulah karunia Allah, diberikan-Nya kepada siapa yang dikehendaki-Nya, dan Allah Maha Luas (pemberian-Nya), lagi Maha Mengetahui." (Surah Al-Maaidah ayat 54)

Firman-Nya lagi yang bermaksud : "Katakanlah (wahai Muhammad): "Wahai Ahli Kitab! Kamu tidak mencela dan menyalahkan kami melainkan kerana kami beriman kepada Allah dan beriman kepada apa yang diturunkan kepada kami, serta beriman kepada apa yang diturunkan sebelum itu, dan kerana kebanyakan kamu sesungguhnya adalah orang orang yang fasik".(Surah al-Maaidah ayat 59)

Jangan takut dengan celaan dan jangan pula mencela. Rasulullah Sallallahu Alaihi Wasallam bersabda, “Mencela seorang muslim adalah kefasikan, dan membunuhnya adalah kekufuran”. (Hadis Riwayat Muslim)

Manusia yang suka mendedahkan aib orang lain , memfitnah, mencela dan menghina orang lain adalah sifat orang fasik dan munafik.

Sahabat yang dikasihi,
Beramallah kita empat ciri-ciri tersebut di atas semoga kita menjadi hamba Allah yang mencintai Allah SWT  dan Dia pula mencintai kita kerana amal soleh dan amal kebajikan yang kita lakukan semata-mata mencari keredaan-Nya.




No comments: