Thursday, July 25, 2013

Soal Jawab Agama Siri 59 (Apakah Lailatul Qadar, Amalan-amalan Yang Perlu di Lakukan, Tanda-tandanya, Siapakah Yang Layak Dan Persiapannya)

Assalamualaikum Warahmatullahi Wabarakatuh

بِسْمِ ٱللَّهِ ٱلرَّحْمَـٰنِ ٱلرَّحِيم

Segala puji bagi Allah, Tuhan sekelian alam. Selawat serta salam buat junjungan mulia Nabi Muhammad SAW keluarga serta para sahabat dan pengikut yang istiqamah menuruti baginda hingga ke hari kiamat.

Sahabat yang dirahmati Allah, 
Soal Jawab Agama Siri 59 adalah menjelaskan persoalan apakah dia Lailatul Qadar, amalan-amalan dimalam Lailatul Qadar, tanda-tandanya, siapakah yang layak mendapat Lailaul Qadar dan persiapan untuk menghadapi Lailatul Qadar menurut Imam al-Ghazali.


581. Soalan : Apakah dia 'Lailatul Qadar itu?


Jawapan :

Lailatul Qadar adalah malam yang penuh berkat. Al-Quran diturunkan sekali gus pada malam kemuliaan dari Loh Mahfuz ke Baitul Izzah.


Lailatul Qadar juga adalah satu malam berlaku di bulan Ramadan (terutama 10 malam terakhir), malam itu adalah lebih baik daripada seribu bulan yang membawa maksud bahawa setiap amalan yang termakbul pada malam itu samalah dengan amalan yang setara dengannya sebanyak amalan seribu bulan.(83 tahun 4 bulan)


Ketika berlakunya Lailatul Qadar para Malaikat dan roh diturunkan ke dunia pada malam tersebut. Sejahtera malam itu hingga terbit fajar (masuknya waktu Subuh).


Lailatul Qadar adalah satu malam untuk Allah berikan kelebihan berlipat ganda kepada orang yang meyakini janji Allah. Mereka bersungguh merebut peluang di penghujung Ramadan yang tidak diperoleh pada bulan lain.



582. Soalan :  Apakah amalan-amalan yang perlu dilakukan pada malam kemuliaan ini (Lailatul Qadar)?

Jawapan :

Terdapat 4 amalan yang di tuntut dilakukan pada malam Lailatul Qadar iaitu :
 
1. Berikhtikaf di masjid .


Daripada Abi Hurairah r.a telah berkata : “Bahawa Nabi SAW beriktikaf pada setiap kali Ramadan pada 10 hari, tetapi beriktikaf 20 hari pada tahun kewafatan baginda SAW.” (Hadis Riwayat al-Bukhari, Abu Daud dan Ibn. Majah)

2. Berdoa dan bermunajat.


Rasulullah SAW amat menyukai dan menyuruh umatnya berdoa pada Lailatul Qadar dengan meminta keampunan kepada Allah. Lailatul Qadar adalah satu saat yang makbul dan sesiapa yang berdoa dan bertepatan doanya dengan Lailatul Qadar, maka pastilah doanya dikabulkan Allah SWT. Oleh kerana itu perbanyakkanlah doa pada malam itu, khususnya pada:

Masa berlalunya separuh malam dan ketika  berada pada bahagian malam yang akhirnya.
 

Dalam sebuah hadis riwayat Tirmizi, Ahmad dan Ibn Majah bahawa Aisyah r.a. bertanya kepada Rasulullah SAW: “Wahai Rasulullah, sekiranya aku berada pada Lailatul Qadar (bertepatan dengan malam Qadar), maka apa yang aku perlu buat?
Baginda menjawab: “Bacalah:


اَللَّهُمَّ اِنَّكَ عَفُوٌّ كَرِيْمٌ تُحِبُّ الْعَفْوَ، فَاعْفُ عَنِّىْ وَاغْفِرْلِى.
 

“Allahumma innaka ‘afuwun karim tuhibbul ‘afwa fa’fu ‘anni wagh’firli”

Maksudnya : "Ya Allah! Sesungguhnya Dikaulah Maha Pengampun, Maha Pemurah lagi suka mengampun. Maka ampunilah dan lindungilah diriku."


Doa lain yang baginda baca ialah seperti berikut yang bermaksud: "Wahai Tuhan kami,
anugerahkanlah kepada kami kebajikan di dunia dan kebajikan di akhirat, dan
peliharalah kami dan siksa neraka." (Surah Al-Baqarah ayat 201).


3. Solat terawih, solat witir dan solat tahajud.


Daripada Aishah r.a telah berkata : “Bahawa Rasulullah SAW apabila masuk sepuluh akhir Ramadhan , baginda menghidupkan malam (qiam dan membantu ahli keluarga untuk merebut kebaikan), mengejutkan ahli keluarganya dan mengikat pakaiannya (bersungguh-sungguh dalam beribadat dan melakukan kebaikan).” ( Muttafaqun alaih)


Rasulullah SAW bersabda: “Sesiapa bangun pada malam lailatul qadar kerana dorongan iman dan mengharapkan pahala, maka diampunkan dosa-dosanya terdahulu.” (Muttafaqun ‘alaih)

4. Berzikir , membaca al-Quran dan berselawat kepada Nabi SAW.


Rasulullah SAW bersabda: “Sesiapa yang beribadah pada malam al-Qadar dengan penuh keimanan dan pengharapan kepada keredaan Ilahi (ketakwaan), maka akan dihapuskan semua dosanya yang telah lalu.” (Hadis Riwayat Bukhari dan Muslim dari Abu Hurairah)


Solat berjemaah juga sangat diutamakan pada malam akhir bulan Ramadan sehingga Imam Malik dan Imam Syafie berkata : “Siapa yang solat Isyak dan Subuh berjemaah pada malam al-Qadar, dia telah mengambil bahagiannya daripada malam itu.” Ertinya orang yang mengerjakan solat Isyak dan Subuh saja dianggap telah mendapat sebahagian daripada Lailatul Qadar, apalagi mereka mengisinya dengan amalan lain sepanjang malam itu.


583. Soalan :Apakah tanda-tanda Lailatil Qadar?

Jawapan :

Syaikh Salim Bin Ied Al Hilaly dan Syaikh Ali Bin Hasan Bin Ali Bin Abdul Hamid dalam laman Suara Al Quran menyebutkan, Rasulullah SAW meriwayatkan bahwa malam Lailatul Qadar terjadi pada malam antara tanggal 21, 23, 25, 27, 29 dan akhir malam bulan Ramadan.

 Ada beberapa tanda datangnya malam mulia dan penuh berkah itu, sebagaimana yang di kemukakan Rasulullah SAW, diantaranya.

1. Udara dan suasana pagi yang tenang. Ibnu Abbas r.a berkata: Rasulullah SAW bersabda : "Lailatul Qadar adalah malam tentram dan tenang, tidak terlalu panas dan tidak pula terlalu dingin, esok paginya sang surya terbit dengan sinar lemah berwarna merah."

2. Esok harinya cahaya matahari agak meredup, bersinar cerah tapi tidak kuat. Ubay bin Ka'ab radliyallahu'anhu berkata bahwa Rasulullah SAW pernah bersabda : "Keesokan hari malam lailatul qadar matahari terbit hingga tinggi tanpa sinar seperti nampan."

3. Bulan nampak separuh bulatan. Abu Hurairah r.a pernah berkata bahwa mereka pernah berdiskusi tentang Lailatul Qadar disamping Rasulullah SAW lalu baginda bersabda; "Siapakah dari kalian yang masih ingat tatkala bulan muncul, yang berukuran separuh nampan?."

4. Sewaktu malam tampak terang, tidak dingin, tidak berawan, tidak hujan, tidak panas, tidak ada angin kencang, dan tidak ada aktivitas tahi bintang yang jatuh digalaksi. Rasulullah SAW bersabda: "Lailatul Qadar adalah malam yang terang, tidak panas, tidak dingin, tidak ada awan, tidak hujan, tidak ada angin kencang dan tidak ada yang dilempar pada malam itu dengan bintang (lemparan tahi bintang ditujukan kepada syaitan)" (Hadis Riwayat at-Thobroni dalam al-Mu'jam al-Kabir 22/59 dengan sanad hasan), sebagaimana hadis dari Watsilah bin al-Asqo'.

5. Terbawa kedalam mimpi. Beberapa sahabat Rasulullah SAW mengalami mimpi berjumpa dengan malam Lailatul Qadar.

6. Orang yang beribadah pada malam tersebut merasakan lezatnya ibadah, ketenangan hati dan kenikmatan bermunajat kepada Alla SWT, tidak seperti malam-malam lainnya.


 584. Soalan : Siapakah yang layak mendapat Lailatul Qadar ?

Jawapan : 
 
Terdapat sikap sesetengah kalangan yang suka menunggu-nunggu tanda-tanda berlaku Lailatul Qadar untuk beribadah semaksima mungkin. Hanya pada malam yang dimaksudkan itu! Apakah cara ini betul? Sedangkan, Islam tidak mengajar demikian. Memburu satu malam bernama Al Qadar memerlukan ribuan malam sebelumnya yang dipenuhi dengan aktiviti dan usaha membersihkan hati secara konsisten.

Malam Al Qadar itu umpama sebuah “kapal terbang” yang memerlukan landasan yang selamat dan cukup panjang untuk mendarat. Jika landasannya pendek dan terhalang, kapal terbang tidak akan mendarat. Landasan Lailatul Qadar ialah hati yang bersih. Mana mungkin malaikat yang bersih dan suci itu boleh berdamping dengan orang yang hatinya masih kotor dengan sifat mazmumah apatah lagi kalau ada saki-baki syirik? Dan mana mungkin hati yang kotor dapat dibersihkan hanya dalam jangka masa satu malam?

Hati mesti dibersihkan sejak akil baligh hinggalah akhir hayat. Bersihnya hati itu, mencerahkan peluang kita untuk bertemu malam Al Qadar. Sebaliknya, jika hati dibiarkan kotor, dan hanya berangan-angan untuk bertemu dengan malam itu dengan “tekaan” dan “ramalan” sahaja, insya-Allah, kita tidak akan dapat menemuinya.

Allah SWT tidak memberitahu kita rupa bentuk atau tanda-tanda Lailatul Qadar. Kita juga tidak diberitahu bilakah masanya malam itu? Namun apa yang Allah swt beritahu kita dalam surah Al-Qadr ialah tentang keutamaan Lailatul Qadar. “Malam kemuliaan itu adalah lebih baik daripada seribu bulan.” Apakah maksud Allah swt dengan ungkapan “lebih baik daripada seribu bulan?”

Kita harus faham bahawa surah berkenaan Lailatul Qadar sebenarnya membicarakan tentang penurunan Al-Quran. Malam diturunkan Al-Quran itu disebut Lailatul Qadar. Walau pun ia berlaku hanya satu malam sahaja, tetapi satu malam itu jauh lebih baik daripada 1000 bulan yang dipenuhi dengan kegelapan syirik, kesesatan dan sebagainya.
 
Siapakah mereka yang layak menerima tetamu daripada malaikat yang diutuskan Allah ini? Apa yang pasti, jiwa-jiwa yang kotor sudah tentu tidak layak mendapat kunjungan mereka. Malaikat Jibrail diperintahkan turun bertemu dengan Nabi saw pada Lailatul Qadar. Semenjak malam itu, Jibril a.s sentiasa diutuskan kepada baginda untuk menyampaikan wahyu.

Oleh itu, sesiapa sahaja yang mendapat Lailatul Qadar, terdapat seorang malaikat yang diizinkan Allah SWT menjadi aulia (pelindung, penjaga dan pembimbing) kepada dirinya. Ini bermakna bermula daripada malam itu sehingga hari berikutnya, hidupnya semakin terarah.
Jika sebelum ini bisikan syaitan dan bisikan malaikat sentiasa berperang dalam dirinya, tetapi setelah mendapat Lailatul Qadar, bisikan malaikat dan fitrahlah sentiasa menang. Hidupnya akan berubah menjadi baik. Jika dahulu dia tidak merasa apa-apa jika berbuat dosa, tetapi kini menjadi sensitif dan susah hati mengenangkan dosa. Inilah tandanya orang yang mendapat Lailatul Qadar.

Orang-orang yang layak mendapat Lailatul Qadar termasuk mereka yang istiqamah berpegang teguh kepada aqidah tauhid dan tidak mencampurkannya dengan syirik walau sedikit pun sedari kecil. Mereka ini sentiasa memelihara keimanan khususnya sepanjang bulan Ramadan, bahkan semakin bersemangat terutama pada sepuluh hari terakhir Ramadan.
Mereka inilah orang-orang mendapat tetamu daripada malaikat yang turun pada malam Qadar. Malaikat akan membisikkan sesuatu kepada roh, jiwa dan fitrah mereka sebagaimana firman Allah SWT dalam Surah Al- Fussilat ayat 30: “Janganlah kamu takut, janganlah kamu bersedih.”

585 Soalan :  Apakah persiapan untuk menghadapai Lailatul Qadar menurut Imam al-Ghazali?

Jawapan : 


“Adalah Rasulullah SAW apabila masuk sepuluh (hari) yang akhir, maka (baginda) melipatkan tikar (menyimpan tempat tidurnya), mengikatkan pinggang dan telah membiasakan diri dan keluarganya sebegitu.” (Hadis Riwayat Bukhari dan Muslim)
Sabda baginda Rasulullah SAW maksudnya :“Jikalau tidaklah kerana syaitan-syaitan itu berkeliling atas hati anak Adam, nescaya anak-anak Adam melihat ke alam malakut yang tinggi.” (Hadis Riwayat Ahmad)
Imam al-Ghazali dan orang-orang soleh lain pada zamannya punya banyak pengalaman tentang Lailatul Qadar. Oleh itu Imam Al-Ghazali memberikan tips kepada kita untuk bertemu dengan Malam Al-Qadar. Tips yang diutarakan olehnya di sini adalah dengan menyedikitkan makanan melalui istilah yang digunakannya iaitu “mengosongkan perutnya”. Sesiapa yang banyak makan pada malam itu sebagaimana istilah yang digunakannya iaitu “menjadikan di antara hati dan dadanya tempat penampung makanan”, nescaya orang itu terhijab/ terdinding daripada mendapat Lailatul Qadar.
Kata Al-Ghazali : “Bahawa tidak membanyakkan makanan yang halal ketika berbuka, di mana rongganya penuh melimpah. Maka tidak adalah karung yang lebih dimarahi Allah ‘Azza wa Jalla daripada perut yang penuh dengan (makanan) yang halal.”
Berdasarkan petua ini, maka para pencari Lailatul Qadar hendaklah makan sekadarnya sahaja pada waktu malam bulan Ramadhan, dari waktu berbuka hinggalah ke sahur. Antara amalan yang tidak sesuai pada pandangan Imam Al-Ghazali adalah sengaja berbuka puasa dengan pelbagai jenis makanan pada setiap hari.
Al-Ghazali juga memperingatkan kita agar tidak memuaskan nafsu makan dengan memakan makanan yang tidak kita makan pada bulan-bulan lain. Maksudnya pada setiap hari ada saja makanan dan kuih-muih yang sukar kita temui pada hari-hari biasa, tetapi kita mencarinya pada bulan Ramadhan.
Hal-hal yang disebutkan inilah yang dimaksudkan oleh Al-Ghazali dengan kata-katanya : “Bagaimanakah dapat memperolehi faedah daripada puasa, memaksakan (menyusahkan) musuh Allah (syaitan) dan menghancurkan hawa nafsu, apabila diperoleh oleh orang yang berpuasa ketika berbuka apa yang tidak diperolehnya pada siang hari? Kadang-kadang bertambah lagi dengan pelbagai macam warna makanan, sehingga berjalanlah kebiasaan dengan menyimpan segala macam makanan itu untuk bulan Ramadan. Maka dimakanlah segala makanan itu dalam bulan Ramadhan, apa yang tidak dimakan dalam bulan-bulan (lain) ini.”
Katanya lagi : “Maka jiwa dan rahsia puasa ialah melemahkan kekuatan yang menjadi jalan syaitan dalam mengembalikan kepada kejahatan. Dan yang demikian itu tidak akan berhasil selain dengan menyedikitkan makanan, iaitu dengan memakan makanan yang dimakan setiap malam kalau tidak berpuasa. Apabila dikumpulkan apa yang dimakan pada pagi hari kepada apa yang dimakan pada malam, maka tidaklah bermanfaat dengan puasanya itu.”


No comments: