Tuesday, October 15, 2013

Hukum Membaca Al-Quran Untuk Si Mati Di Atas Kubur

Assalamualaikum Warahmatullahi Wabarakatuh

سْمِ اللهِ الرَّحْمنِ الرَّحِيْم

Segala puji bagi Allah, Rabb sekelian alam. Selawat serta salam buat junjungan mulia Nabi Muhammad SAW keluarga serta para sahabat dan pengikut yang istiqamah menuruti baginda hingga ke hari kiamat.

Sahabat yang dirahmati Allah,
Ulama telah membahaskan samaada bacaan al-Quran yang dihadiahkan kepada simati sampai atau tidak? Ada yang berpendapat pahala bacaan al-Quran tersebut sampai dan ada yang berpendapat tidak sampai. 

Majoriti ulama berpendapat bacaan tersebut akan sampai apabila di niatkan untuk individu tertentu yang telah meninggal dunia. 

Syeikh Ali Jumuah Mufti Republik Arab Mesir menghuraikan permasaalahan tersebut  seperti dibawah ini :

Kitab : البيان لما يشغل الأذهان

Para ulama’ telah bersepakat (berijma’ atau berpendapat) mengatakan bahawa membaca Al-Quran di atas kubur adalah tidak haram, bahkan tidak berdosa bagi mereka yang melakukannya dan jumhur ulama’ Hanafiah, Syafi’iyah dan Hanabilah berpendapat bahawa hukumnya adalah sunat, berdasarkan riwayat daripada Anas R.A ( hadis marfu’ ):

من دخل المقابرفقرأ فيها (يس) خفف عنهم يومئذ، و كلان له بعددهم حسنات

Maksudnya: “Barangsiapa yang memasuki kawasan perkuburan lalu membaca di dalamnya surah Yasin maka diringankan azab kepada ahli kubur di hari tersebut dan bagi mereka (orang yang membaca al-Quran) adalah memperoleh pahala kebaikan”1

Dan telah thabit daripada Ibnu Umar bahawa :

“Sesungguhnya beliau berwasiat bahawa apabila beliau dikebumikan, maka dibacakan disisinya dengan awal permulaan surah Al-Baqarah dan akhir surah Al-Baqarah”.2

Adapun ulama’ Malikiyyah berpendapat bahawa membaca Al-Quran di atas kubur adalah makruh. Akan tetapi, Syeikh Dardir memberikan komentar beliau di dalam masalah ini :

“Ulama’ mutaakh’khirin berpendapat bahawa tidak mengapa membaca Al-Quran dan berzikir serta menghadiahkan pahala bacaan tersebut kepada si mati bahkan si pembaca juga akan mendapat/beroleh pahala, Insya Allah”.3

Perselisihan pendapat pada masalah ini adalah terlalu lemah (dhoif). Pendapat yg mengatakan hukumnya adalah sunat adalah pendapat yg kuat. Sesungguhnya sebahagian ulama berpendapat bahawa masalah ini adalah masalah ijma’. Antara ulama’ yg berpendapat sedemikian adalah Imam Ibnu Qudamah Al-Maqdisi Al-Hanbali. Beliau mengatakan bahawa :

“Apa-apa kebaikan yg dilakukan dan menghadiahkan pahalanya kepada si mati yg muslim (beragama Islam), maka itu adalah perkara yg bermanfaat. Berkata sebahagian ulama’, apabila dibacakan Al-Quran di sisi si mati atau menghadiahkan pahalanya kepada si mati maka beroleh pahala, maka pembacanya juga akan mendapat/beroleh pahala dan seolah-olah si mati juga membacanya, maka diharapkan si mati beroleh rahmat. Sesungguhnya, apa yg kami sebutkan itu tadi adalah disepakati/dipersetujui (ijma’) oleh para ulama’. Mereka ( para ulama’ yg bersepakat ) bersama-sama berkumpul membacakan Al-Quran serta menghadiahkan pahalanya kepada si mati tanpa ada yg membantah di kalangan mereka (tanpa saling membantah antara satu sama lain).4

Sesungguhnya, Syeikh Al-Uthmani telah memberikan komentar berikut di dalam masalah ini :

“Para ulama’ bersepakat mengatakan bahawa istighfar, doa, sedekah, haji, pembebasan hamba adalah bermanfaat bagi si mati dan pahala kebaikan tersebut sampai kepadanya. Hukum membaca Al-Quran di atas kubur adalah sunat”.5

Dalil bagi sampainya pahala bacaan Al-Quran kepada si mati adalah diqiyaskan dgn hukum sampainya pahala “haji ganti/haji badal” kepada si mati kerana haji terkandung di dalamnya solat dan solat dibaca di dalamnya surah Al-Fatihah dan surah-surah yg lain. Apa-apa yg sampai ke semuanya, pasti akan sampai satu juzu’ daripadanya. Maka pahala bacaan Al-Quran sampai kepada si mati dgn izin Allah sekiranya si pembaca memohon supaya Allah memberikan pahala kepada si mati sepertimana diberikan pahala kepadanya (si pembaca).

Berdasarkan kepada apa yang diterangkan, sesungguhnya ulama’ telah bersepakat bahawa membaca Al-Quran utk si mati adalah harus manakala sebahagian ulama’ berpendapat bahawa menghadiahkan pahala kpd si mati adalah harus. Para ulama’ Syafi’iyah berpendapat bahawa pahala tersebut sampai kepada si mati dgn diiringi bacaan doa :

اللَّهُمَّ اجْعَلْ مِثْلَ ثَوَابِ مَا قَرَأْتُ لِفُلان

Maksudnya: “Ya Allah, sampaikanlah pahala bacaan Al-Quran aku ini kepada si fulan” dan ianya bukanlah hanya semata-mata dengan amalan tersebut sahaja.

Perselisihan yang berlaku adalah sedikit dan sepatutnya tidak berlaku pada masalah ini.

Penterjemah :

Al-Fadhil Ustaz Shahrizan Bin Mohd Hazime. Kuliah Syariah Islamiyyah, Universiti Al-Azhar Al-Syarif.

Nota kaki :

1. Al-Khilal beserta sanadnya, Al-Mughni (Ibnu Qudamah-Jilid 2/225), Tuhfatul Ahwazi (Jilid 3/275)

2. Al-Khilal beserta sanadnya, Al-Mughni (Ibnu Qudamah-Jilid 2/225), Tuhfatul Ahwazi (Jilid 3/275)

3. Syarah Kabir (Allamah Dardir-Jilid 1/423)

4. Al-Mughni (Ibnu Qudamah-Jilid 2/225)

5. Rohmatal Ummah Fi Ikhtila’fil A’Immah (Syeikh Uthmani)

Sahabat yang dimuliakan,
JAKIM juga telah memberikan pendapatnya dalam persoalan ini :

Para ulama telah bersepakat (berijma’ atau berpendapat) mengatakan bahawa bagi mereka yang melakukannya dan jumhur ulama’ Hanafiah, Syafi’iyah dan Hanabilah berpendapat bahawa hukumnya adalah sunat, berdasarkan riwayat daripada Anas r.a. ( hadis marfu’ ):

Maksudnya: “Barangsiapa yang memasuki kawasan perkuburan lalu membaca di dalamnya surah Yasin maka diringankan azab kepada ahli kubur di hari tersebut dan bagi mereka (orang yang membaca al-Quran) adalah memperoleh pahala kebaikan”

Dan telah thabit daripada Ibnu Umar bahawa : “Sesungguhnya beliau berwasiat bahawa apabila beliau dikebumikan, maka dibacakan disisinya dengan awal permulaan surah Al-Baqarah dan akhir surah
Al-Baqarah”.

(Rujukan: Jakim – http://kemusykilan.islamgrid.gov.my/questions/view/28365)

No comments: