Tuesday, October 22, 2013

Soal Jawab Agama Siri 103 (Jual Beli di Pasar Malam, Alam Barzakh, Solat Duha dan Solat Witir, Solat-solat Sunat Dan Amal Soleh Ketika Hisab)

Assalamualaikum Warahmatullahi Wabarakatuh

بِسْمِ ٱللَّهِ ٱلرَّحْمَـٰنِ ٱلرَّحِيم

Segala puji bagi Allah, Rabb sekelian alam. Selawat serta salam buat junjungan mulia Nabi Muhammad SAW keluarga serta para sahabat dan pengikut yang istiqamah menuruti baginda hingga ke hari kiamat.

Sahabat yang dirahmati Allah,
Soal Jawab Agama Siri 103 adalah membicarakan persoalan jual beli dipasar malam, kedudukan ibu bapa di alam barzakh apabila anak-anaknya melakukan maksiat, kelebihan Solat Duha dan Solat Witir, solat-solat sunat dan amal-amal soleh yang akan membantu ketika hisab di Mizan.

796. Soalan : Pertanyaan saya adalah berkaitan jual beli di pasar-pasar malam. Kebanyakkan harga makanan penjual tidak meletakkan harga. Setelah memilih lauk-lauk/makanan dan sebagainya barulah kita membayarnya. Dan kita mengetahui harga makanan tersebut setelah kita membayarnya Jika kita bertanya harga setiap satu lauk-lauk/makanan tadi adakah kita terlibat dengan gharar?

Jawapan :

Sebelum persoalan ini dapat dirungkaikan, elok jika kita dapat sama-sama melihat definisi Gharar (ketidaktentuan) menurut istilah Shariah iaitu:

ما يكون مستور العاقبة أو الخطر الذي يستوي طرفاه , أي الوجود والعدم

Maksudnya: "Apa yang terlindung penghujungnya dan risiko yang sama tahap mungkin wujud atau tidak." (Bada'i As-Sonai'e, Al-Kasani, 5/263 ; Al-Mabsut, Al-Sarakhsi, 3/194)

Nabi Muhammad SAW menegaskan:

نهى رسول الله صلى الله عليه وسلم عن بيع الغرر

Maksudnya : "Nabi  melarang daripada mengurus perniagaan dengan Gharar"  (Hadis Riwayat Muslim, 5/3 )

"Jahalah" pula bermaksud ketidaktahuan dengan jelas samada barang dibeli, atau harga barang yang perlu bayar. Justeru, secara ringkas, semua kategori diatas adalah termasuk dalam kategori "jahalah" dan boleh juga dikategorikan sebagai "gharar" atau ketidaktentuan.

Memang benar tidak meletakkan harga adalah satu cara yang kurang baik, boleh membawa syubhah dan adakalanya boleh membawa kepada "gharar fashiyh" atau KETIDAPASTIAN YANG BESAR yang merosakkan aqad.

Dalam konteks membeli di pasar atau bazaar Ramadan, tahap gharar ini telah menjadi berkurangan disebabkan pembeli berpeluang bertanya harga sebelum bayar dan seterusnya boleh membatalkan pembelian atau mengurangkan item yang dibeli jika merasakan harga tidak sebagaimana yang dijangkakan.

Selain itu, nilai harga pembelian makanan di pasar-pasar malam adalah kecil dan biasanya  disekitar bawah RM 100 sahaja. Jika makanan pula, biasanya sekitar RM 30 ke bawah purata nilai pembelian. 

Oleh kerana nilai harga sebegitu telah diketahui biasanya oleh pembeli, ketidaktahuan mereka disaat itu tidak menjadikan gharar dalam kontrak begitu serius sehingga membatalkan aqad, ia digelar "gharar yasir" atau gharar yang kecil.

Ini berbeza dengan situasi jika pesakit bertemu doktor pakar perubatan atau pemilik kereta bertemu mekanik kereta. Dimana biasanya gharar dalam harga dalam kedua contoh ini lebih bahaya kerana ia melibatkan nilai yang besar, sukar ditarik semula, dibatalkan dan pelanggan seolah-olah TERPAKSA MEMBAYAR walau tidak bersetuju dengan harganya.

Oleh kerana itu, elok semua mekanik dan para doktor atau pihak hospital yang beragama Islam kembali menyemak cara mereka mengenakan bayaran, sama ada bebas dari gharar atau tidak. Dan perlu menjelaskan harganya sebelum membaiki kereta yang rosak atau memberikan rawatan kepada pesakit yang datang untuk mendapatkan rawatan perubatan. Wallahu a'lam.

797. Soalan : Adakah ibu bapa yang telah meninggal dunia akan mendapat saham dosa yang berterusan jika anak-anak mereka yang hidup di dunia melakukan maksiat atau dosa?

Jawapan :

Di dalam Islam seseorang tidak akan tanggung dosa orang lain sebagaimana di nyatakan di dalam al-Quran  firman Allah SWT :

 (سورة الإسراء)
وَكُلَّ إِنسَانٍ أَلْزَمْنَاهُ طَآئِرَهُ فِي عُنُقِهِ وَنُخْرِجُ لَهُ يَوْمَ الْقِيَامَةِ كِتَابًا يَلْقَاهُ مَنشُورًا (١٣) اقْرَأْ كَتَابَكَ كَفَى بِنَفْسِكَ الْيَوْمَ عَلَيْكَ حَسِيبًا (١٤) مَّنِ اهْتَدَى فَإِنَّمَا يَهْتَدي لِنَفْسِهِ وَمَن ضَلَّ فَإِنَّمَا يَضِلُّ عَلَيْهَا وَلاَ تَزِرُ وَازِرَةٌ وِزْرَ أُخْرَى وَمَا كُنَّا مُعَذِّبِينَ حَتَّى نَبْعَثَ رَسُولاً (١٥)

Terjemahannya :

(13) Tiap-tiap manusia itu telah Kami tetapkan amal perbuatannya (sebagaimana tetapnya kalung) pada lehernya. Dan Kami keluarkan baginya pada hari kiamat sebuah kitab yang dijumpainya terbuka.

(14) “Bacalah kitabmu, cukuplah dirimu sendiri pada waktu ini sebagai penghisab terhadapmu”.

(15) Barangsiapa yang berbuat sesuai dengan hidayah (Allah), maka sesungguhnya dia berbuat itu untuk (keselamatan) dirinya sendiri; dan barangsiapa yang sesat maka sesungguhnya dia tersesat bagi (kerugian) dirinya sendiri. Dan seorang yang berbuat dosa tidak dapat memikul dosa orang lain, dan Kami tidak akan mengazab sebelum Kami mengutus seorang rasul."

(Surah Al-Israa (17) ayat 13-15) . 

Tafsir Ayat:

Dan tiap-tiap manusia itu telah Kami tetapkan amal perbuatannya (sebagaimana tetapnya kalung) pada lehernya:

Maksudnya: Dalam ayat ini Allah SWT ingin menyatakan betapa sempurnanya keadilan-Nya, bahawa setiap manusia mesti bertanggungjawab terhadap amalnya. Apakah amalnya baik atau jahat. Setiap insan akan dihisab berdasarkan amalnya sendiri.

Orang Arab selalu menggunakan kiasan tentang sesuatu yang menjadi kemestian dengan meletakkan suatu barang pada lehernya. Umpamanya: “Aku letakkan kerja ini pada lehermu”. Maknanya: Pekerjaan itu mesti dia lakukan dengan sempurna.
  
Dan Kami keluarkan baginya pada hari kiamat sebuah kitab yang dijumpainya terbuka.

Maksudnya: Pada hari perhitungan (hisab) nanti setiap manusia akan mendapat buku catitan masing-masing terbuka dihadapannya. Di dalamnya tertera segala amal perbuatan yang pernah dia lakukan ketika hidup di dunia, apakah amalnya yang baik ataupun amalnya yang buruk.
  
Bacalah kitabmu, cukuplah dirimu sendiri pada waktu ini sebagai penghisab terhadapmu.

Maksudnya: Ini juga menyatakan betapa adilnya Allah SWT kerana kepada manusia pada hari hisab itu akan dikatakan:

“Hitunglah sendiri apa yang tertera dalam buku catitanmu itu”, sehingga dengan demikian mereka sendiri tahu dan sadar tentang kadar azab yang layak mereka terima daripada Allah SWT.
  
Barangsiapa yang berbuat sesuai dengan hidayah (Allah), maka sesungguhnya dia berbuat itu untuk (keselamatan) dirinya sendiri;

Maksudnya: Barangsiapa yang beramal dengan berpandukan ajaran yang benar iaitu sebagaimana ajaran yang dibawa oleh Nabi Muhammad (Sallallahu Alaihi Wasalam) maka pada hakikatnya dia telah menyelamatkan dirinya sendiri. Amalnya itu bukan sahaja sekedar diterima oleh Allah SWT tetapi juga sangat tinggi mutu dan kualitinya.
  
Dan barangsiapa yang sesat maka sesungguhnya dia tersesat bagi (kerugian) dirinya sendiri.

Maksudnya: Sebaliknya barangsiapa yang beramal tetapi menyimpang dari panduan yang pernah diberikan oleh Rasulullah Sallallahu Alaihi Wasalam maka pada hakikatnya dia tidak menyesatkan dan merugikan siapapun kecuali dirinya sendiri. Hal ini disebabkan kerana dia telah melakukan sesuatu yang sememangnya sangat layak mendapat murka dan kutukan serta azab-Nya yang pedih.
  
Dan seorang yang berbuat dosa tidak dapat memikul dosa orang lain

Maksudnya: Allah SWT membantah dakwaan seseorang yang kononnya dia sanggup memikul dosa yang dilakukan oleh orang lain. Ini sebagaimana yang diriwayatkan dari Ibnu Abbas (ra) bahwa ayat ini diturunkan kerana peristiwa Al-Walid Bin Al-Mughirah yang pernah berkata:

واكْفُرُوا بِمُحَمَّدٍ وَعَلَىَّ أوزَارُكُمْ

Ertinya: “Kufurlah kamu terhadap ajaran Muhammad, dan aku akan tanggung semua dosa kamu”.

Dan ayat ini juga telah mengecewakan harapan orang-orang kafir Quraisy yang mendakwa kononnya: Sekiranya mereka tidak berada di atas kebenaran, maka mereka hanya sekedar pengikut orang-orang silam yang lebih awal dari mereka. Dengan dakwaan ini seolah-olah mereka ingin menimpakan kesalahan yang mereka lakukan (menolah kebenaran) ke atas bahu nenek moyang mereka.

Dosa seorang anak akan di tanggung oleh diri mereka sendiri sekiranya ibu bapa semasa di dunia telah memberi pendidikan, ilmu agama dan mengajar solat kepada anak-anaknya. Tetapi apabila ibu bapa tidak pernah memberikan pendidikan Islam dan tidak mengajar anak-anak mereka solat dan tidak menyuruh mereka solat sehingga mereka hidup liar tak beragama maka ibu bapa akan mendapat saham dosa jika anak-anak mereka tidak solat dan melakukan maksiat.

798. Soalan : Apakah kelebihan solat Duha dan solat Witir?

Jawapan :

Nabi SAW tidak pernah meninggalkan solat Duha dan solat Witir. Kedua solat ini merupakan sunah Rasulullah SAW.

1. Soat Duha :

Dari Abu Dzar r.a., beliau berkata, Rasulullah SAW. bersabda yang bermaksud : "Setiap persendian (ruas) tulang salah seorang di antara kamu ada sedekahnya.Setiap tasbih itu sedekah, setiap tahmid sedekah, setiap tahlil sedekah, setiap takbir sedekah, perintah yang baik itu sedekah, mencegah kemungkaran itu juga sedekah. Dan kesemuanya itu cukup dengan melakukan dua rakaat solat duha." (Hadis Riwayat Muslim)

Dari Abu Hurairah r.a. beliau berkata : "Kekasihku (Rasulullah SAW) telah memberi wasiat kepadaku untuk mengerjakan shaum (puasa) tiga hari setiap bulan, solat duha dua rakaat dan solat witir sebelum saya tidur". (Hadis Riwayat Lima Imam Hadis).

Dari Jabir r.a. berkata Nabi SAW. bersabda yang bermaksud : "Shaum (berpuasa) tiga hari setiap bulan menyamai shaum (puasa) setahun, iaitu hari-hari putih, yakni pada hari bulan 13, 14 dan 15 (dalam hitungan qamariah). (Hadis Riwayat An-Nasai dengan sanad yang baik begitu pula menurut Al-Baihaqi)

Doa yang dibaca selepas mengerjakan solat Duha :

“Ya Allah bahawasanya waktu duha itu waktu duhamu, kecantikan itu ialah kecantikanmu , keindahan itu keindahanmu, kekuatan itu kekuatanmu ,kekuasaan itu kekuasaanmu dan perlindungan itu perlindunganmu “. ” Ya Allah jika rezekiku masih di atas langit , turunkanlah dan jika ada di dalam bumi, keluarkanlah, jika sukar mudahkanlah, jika haram sucikanlah. ,Jika masih jauh dekatkanlah. Berkat waktu duha, keagungan, keindahan, kekuatan dan kekuasaanmu, limpahkanlah kepada kami segala yang telah engkau limpahkan kepada hamba-hamba-Mu yang soleh”

2. Solat Witir :

Solat Witir dikerjakan samaada 5, 3 atau 1 rekaat :

Imam Abu Daud dan an-Nasa’i telah meriwayatkan sebuah hadis dari Abu Ayyub yang maksudnya: “Rasulullah SAW pernah bersabda” Solat witir itu adalah benar (hak). Siapa yang suka mengerjakannya lima rakaat, kerjakanlah. Siapa yang suka mengerjakannya tiga rakaat kerjakanlah, dan siapa yang suka mengerjakannya satu rakaat sahaja pun, kerjakanlah."

Nabi SAW bersabda maksudnya : “Sesungguhnya Allah SWT telah menambahkan kepada kamu satu solat, iaitu solat witir. Maka sembahyanglah antara solat Isyak dan solat subuh. (Hadis Riwayat Ahmad)

Sabda Nabi SAW maksudnya : “Bila sudah menjelang pagi, dan salah seorang daripada kamu masih belum melakukan (solat) witir, maka berwitirlah (qada'). (Hadis Riwayat Baihaqi dan al-Hakim)

Ada dua jenis solat Witir Nabi SAW  iaitu sejurus selepas Isyak dan tengah malam lepas solat Tahajjud.

Sabda Nabi SAW maksudnya : “Sesiapa yang bimbang tidak bangun pada akhir malam, maka berwitirlah pada awal malam, dan sesiapa yang ingin bangun pada akhir malam, maka berwitirlah pada akhir malam. (Hadis Riwayat Muslim).

 Sayyidina Umar solat witir diawal malam, selepas solat Isyak.

799. Soalan : Bolehkan ustaz huraikan solat-solat sunat yang dilakukan sebelum dan selepas solat fardu kerana ramai dikalangan kita yang kurang faham untuk melaksanakan solat-solat sunat tersebut.?

Jawapan :

Solat sunat Rawatib ialah solat sunat yang mengiringi solat-solat fardu lima waktu. Solat ini amat digalakkan oleh Islam dan selalu diamalkan dan dilakukan oleh Rasulullah SAW. Solat Sunat Rawatib berfungsi sebagai pelengkap ataupun tambahan untuk menampung supaya apa-apa kekurangan ataupun cela yang berlaku semasa mengerjakan solat-solat fardu.

Solat Sunat Rawatib ini adalah satu sunat muakkad, iaitu yang amat dituntut dan digalakkan. Solat Sunat Rawatib adalah sebagai sunat tambahan yang bertujuan menyempurnakan apa-apa kecelaan ataupun kekurangan yang terdapat dalam solat fardu pengamal. Solat sunat Rawatib ini dituntut ke atas orang Islam yang mukallaf dan dilakukan secara rela hati serta kemahuan sendiri dan apabila dilakukan dijanjikan pahala dan ganjaran oleh Allah S.W.T. dan jika ditinggalkan pula tidak membawa kepada apa-apa dosa.

Solat sunat Rawatib ini boleh dilakukan oleh sesiapa sahaja, termasuk golongan musafir yang mendirikan solat fardu secara qasar. Solat sunat Rawatib tidak didahului dengan azan ataupun iqamah. Solat sunat Rawatib ini juga didirikan secara bersendirian (munfarid),dan tidak didirikan secara berjemaah.

Dari Ibnu Umar ra berkata, "Aku menjaga 10 rakaat dari Nabi SAW: 2 rakaat sebelum solat Zuhur,2 rakaat sesudahnya,2 rakaat sesudah solat Maghrib, 2 rakaat sesudah solat Isyak dan 2 rakaat sebelum solat Subuh. (Hadis Riwayat Muttafaqun 'alaihi)

Saidatinah 'Aisyah dalam hadis muttafaq 'alaih menyatakan: "Tidak ada nafilah, solat sunnah, yang sangat dijaga pelaksanaannya oleh Nabi SAW. melebihi dua rakaat fajar."
(Hadis Bukhari dan Muslim)

Solat sunat Rawatib terbahagi kepada dua jenis, iaitu Solat Sunat Rawatib Qabliyyah dan Solat Sunat Rawatib Ba’diyyah.

Solat Sunat Rawatib Qabliyyah adalah solat sunat yang didirikan sebelum kita mendirikan solat fardu. Solat Sunat Rawatib Ba’diyyah pula didirikan selepas kita menunaikan solat fardu.

Sembahyang sunat Rawatib ini terbahagi kepada dua bahagian iaitu, 
Sunat Muakkad dan Sunat Ghairu Muakkad.

Solat sunat Rawatib Muakkad amat besar fadilatnya dan dijanjikan ganjaran yang besar apabila menunaikannya.

Solat sunat Rawatib Ghairu Muakkad kurang sedikit fadilatnya berbanding dengan solat sunat muakkad.

Solat sunat Rawatib Muakkad amat dituntut oleh Islam dan diriwayatkan bahawa Rasulullah S.A.W. sentiasa menjaga 10 rakaat Solat Sunat Rawatib Muakkad ini terdiri dari :

1. Dua rakaat Rawatib Muakkad Qabliyyah Sebelum Subuh
2. Dua rakaat Rawatib Muakkad Qabliyyah Sebelum Zuhur
3. Dua rakaat Rawatib Muakkad Ba’diyyah Sesudah Zuhur
4. Dua rakaat Rawatib Muakkad Ba’diyyah Sesudah Maghrib
5. Dua rakaat Rawatib Muakkad Ba’diyyah Sesudah Isyak

Solat sunat Rawatib Ghairu Muakkad kurang sedikit fadilatnya dibandingkan dengan solat sunat muakkad tetapi pengamal tetap dijanjikan ganjaran apabila melakukan solat ini.

Solat sunat Rawatib Ghairu Muakkad adalah solat sunat yang ada dikerjakan oleh Rasulullah S.A.W. pada waktu-waktu tertentu, tetapi di waktu yang lain baginda meninggalkannya. Solat sunat Rawatib Ghairu Muakkad terdiri daripada

 1. Dua rakaat Rawatib Ghairu Muakkad Qabliyyah Sebelum Zuhur
 2. Dua rakaat Rawatib Ghairu Muakkad Ba’diyyah Setelah Zuhur
 3. Empat rakaat Rawatib Ghairu Muakkad Qabliyyah Sebelum Asar
 4. Dua rakaat Ghairu Muakkad Qabliyyah Sebelum Maghrib
 5. Dua rakaat Ghairu Muakkad Qabliyyah Sebelum Isyak

800. Soalan : Apakah amalan-amalan seorang mukmin yang akan membantunya ketika Hisab di hari akhirat?

Jawapan :

Terdapat empat amalan ( amal soleh) yang akan membantu seorang mukmin ketika amalan-amalannya di timbang di Mahkamah Allah SWT di hari akhirat . 

Amalan-amalan tersebut adalah seperti berikut :

Pertama : Puasa yang ikhlas kerana Allah Subhanahu Wa Taalah.

Kedua : Perbanyakkan zikir “Subhanallah wa bi hamdih, subhanallahil ‘azhim”.

Ketiga : Akhlak yang baik. 

Keempat : Perbanyakkan niat-niat yang baik walaupun masih belum berkemampuan melaksanakannya.

Huraiannya : 

Pertama : Puasa yang ikhlas kerana Allah Subhanahu Wa Taalah.

Puasa yang dikerjakan dengan ikhlas mengikut tuntutan syarak akan menerima ganjaran pahala yang amat besar (dengan rahmatNya), hanya Allah Subhanahu Wa Taalah yang mengetahuinya.

Firman Allah SWT maksudnya : "Semua amal perbuatan anak Adam adalah untuknya, kecuali puasa, ia adalah kepunyaanKu, dan Akulah yang akan membalasnya. Dan bagi orang yang berpuasa diberikan dua kegembiraan. Satu kegembiraan ketika berbuka dan satu kegembiraan lagi ketika menemui Tuhannya (menerima balasan yang telah dijanjikanNya). Dan sesungguhnya bau yang keluar dari mulut orang yang berpuasa lebih wangi di sisi Allah daripada kasturi." (Hadis Qudsi Riwayat Tabrani dalam al Kabir dari Ibnu Mas'ud dan lain-lain)

Di dalam satu lagi Hadis Qudsi Allah Subhanahu Wa Taalah berfirman maksudnya: "Puasa itu dinding atau perisai dari api neraka dan ia adalah untukKu dan Aku sendiri akan membalasnya. Dia (yang berpuasa) meninggalkan nafsu syahwat, meninggalkan makan dan minum kerana Aku. Sesungguhnya bau yang keluar dari mulut orang yang berpuasa lebih wangi di sisi Allah dari bau kasturi". (Hadis Qudsi Riwayat Baghawi, Tabrani dan 'Abdan bin Basyir dari Ibnu Khasasiah).

Dalam sebuah hadis sahih yang bermaksud : "Di syurga terdapat lapan pintu, diantaranya ada pintu bernama Ar-Royyaan. Tidak diperkenankan masuk melaluinya kecuali orang-orang yang berpuasa." (Hadis Riwayat Bukhari dari Sahl bin Sa'd).

Kedua : Perbanyakkan zikir “Subhanallah wa bi hamdih, subhanallahil ‘azhim”.

Dari Abu Hurairah, dari Nabi Sallallahu 'Alaihi Wasallam bersabda,

كَلِمَتَانِ خَفِيفَتَانِ عَلَى اللِّسَانِ ، ثَقِيلَتَانِ فِى الْمِيزَانِ ، حَبِيبَتَانِ إِلَى الرَّحْمَنِ سُبْحَانَ اللَّهِ وَبِحَمْدِهِ ، سُبْحَانَ اللَّهِ الْعَظِيمِ

"Dua kalimat yang ringan di lisan, namun berat ditimbangan, dan disukai Ar Rahman iaitu “Subhanallah wa bi hamdih, subhanallahil ‘azhim” (Maha Suci Allah dan segala puji bagi-Nya. Maha Suci Allah Yang Maha Agung). (Hadis Riwayat Bukhari no. 6682 dan Muslim no. 2694)

Ketiga : Akhlak yang baik.

Dari Abu Hurairah radhiallahu anhu dia berkata:

سُئِلَ رَسُولُ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ عَنْ أَكْثَرِ مَا يُدْخِلُ النَّاسَ الْجَنَّةَ فَقَالَ تَقْوَى اللَّهِ وَحُسْنُ الْخُلُقِ وَسُئِلَ عَنْ أَكْثَرِ مَا يُدْخِلُ النَّاسَ النَّارَ فَقَالَ الْفَمُ وَالْفَرْجُ

“Rasulullah Sallallahu ‘Alaihi Wasallam pernah ditanya tentang sesuatu yang paling banyak memasukkan manusia ke dalam syurga, maka baginda pun menjawab, “Takwa kepada Allah dan akhlak yang mulia.” Dan baginda juga ditanya tentang sesuatu yang paling banyak memasukkan manusia ke dalam neraka, maka baginda menjawab, “Mulut dan kemaluan.” (Hadis Riwayat. At-Tirmizi no. 2004)

Dari Aisyah radhiallahu anha dia berkata: Aku mendengar Rasulullah Sallallahu ‘Alaihi Wasallam bersabda:

إِنَّ الْمُؤْمِنَ لَيُدْرِكُ بِحُسْنِ خُلُقِهِ دَرَجَةَ الصَّائِمِ الْقَائِمِ

Maksudnya : “Sesungguhnya seorang mukmin betul-betul akan mendapatkan kedudukan ahli puasa dan solat dengan akhlak baiknya.” (Hadis Riwayat. Abu Daud no. 4798 dan dinyatakan sahih oleh Al-Albani dlm Shahih Al-Jami’ no. 1932)

Keempat : Perbanyakkan niat-niat yang baik walaupun masih belum berkemampuan melaksanakannya.

Daripada Umar ibn al-Katthab r.a. beliau berkata: Aku mendengar Rasulullah SAW.bersabda maksudnya : "Bahawa sesungguhnya setiap amalan itu bergantung kepada niat, dan bahawa sesungguhnya bagi setiap orang apa yang dia niatkan.." (Hadis Riwayat Bukhari dan Muslim)

Sabda Nabi SAW. yang bermaksud, "Seorang hamba yang dikurniakan Allah ilmu dan niat yang ikhlas, ia berkata, 'Seandainya aku memiliki harta, nescaya aku akan beramal sebagaimana yang diperbuat oleh si polan (golongan yang diberikah harta dan ilmu).' Dengan niatnya tersebut, maka pahala kedua-dua hamba ini sama." (Hadis Riwayat Tirmizi).

Nabi SAW bersabda maksudnya : ” Seorang hamba dihadapkan pada hari kiamat membawa hasanah sebesar bukit, lalu ada seruan;' Siapa yang pernah di aniaya oleh fulan boleh datang untuk dibayar'. Maka datanglah beberapa orang lalu mengambil bahagiannya sehingga tiada tinggal satu pun dari hasanah yang banyak itu, sehingga hamba itu menjadi bingung, lalu Tuhan berkata kepadanya: 'Untuk mu ada simpanan pada Ku yang tidak Aku perlihatkan kepada malaikat atau seorang pun dari makhluk Ku,' lalu ia bertanya:' Apakah itu'. Jawab Tuhan: Ia itu niatmu, yang kau selalu niat akan berbuat kebaikan, Aku tulis untuk mu berlipat ganda, tujuh puluh lipat ganda.' "

No comments: