Saturday, December 21, 2013

Soal Jawab Agama Siri 125 (Berdoa Mengangkat Tangan, Mandi Wajib, Surah Ketika Solat, Bulu Kucing Dan Air Mushammas)

Assalamualaikum Warahmatullahi Wabarakatuh

بِسْمِ ٱللَّهِ ٱلرَّحْمَـٰنِ ٱلرَّحِيم

Segala puji bagi Allah, Rabb sekelian alam. Selawat serta salam buat junjungan mulia Nabi Muhammad SAW keluarga serta para sahabat dan pengikut yang istiqamah menuruti baginda hingga ke hari kiamat.

Sahabat yang dirahmati Allah,
Soal jawab Agama Siri 125 adalah membicangkan persoalan doa mengangkat tangan, mandi wajib mengikut sunah, surah-surah yang dibaca oleh Nabi SAW semasa solat, hukum bulu kucing dan berwuduk dengan air mushammas.

906. Soalan : Saya ada beberapa soalan untuk meminta ustaz memberi pencerahannya :

1) Adakah Nabi SAW mengangkat tangan dan kemudian menyapu muka selepas habis doa, atau adakah Nabi SAW hanya berdoa di dalam hati atau pun adakah Nabi SAW hanya melafazkan doa tersebut tanpa mengisyaratkan mana-mana anggota tubuh (i.e mengangkat tangan).?

2) Jika Nabi SAW contohnya tidak mengangkat tangan ketika dalam doa-doa tertentu, adakah salah jika kita membuatnya. Adakah ianya termasuk dalam perbuatan bid’ah?

3) Adakah cara berdoa yang paling baik yang patut kita lakukan kepada Allah SWT?

Jawapan:

1. Mengangkat kedua belah tangan ketika berdoa :

Banyak hadis sahih menceritakan perihal Nabi S.A.W berdoa dengan mengangkat kedua tangannya, ini memang sudah betul dan tepat. Bahkan hadis-hadis tersebut mencapai taraf mutawwatir.

Disertakan hadis yang diriwayatkan oleh para imam hadis :

1. Oleh Abu Humaid r.a. (Hadis Riwayat Bukhari dan  Muslim).
2. Oleh Abdullah bin Amr bin Ash r.a. (Hadis Riwayat Bukhari dan  Muslim).
3. Oleh Anas bin Malik r.a. (Hadis Riwayat Bukhari) tentang Nabi berdoa di waktu perang Khaibar dengan mengangkat kedua tangannya.
4. Oleh Abu Musa Al-Asy’ari r.a.  (Hadis Riwayat Bukhari dan lain-lain).
5. Oleh Ibnu Umar r.a. (Hadis Riwayat Bukhari).
6. Oleh Aisyah r.ha (Hadis Riwayat Muslim).
7. Oleh Abu Hurairah r.a. (Hadis Riwayat Bukhari).
8. Oleh Sa’ad bin Abi Waqqash r.a.(Hadis Riwayat Abu Dawud).

Dan sahabat-sahabat Rasulullah SAW yang meriwayatkan bahawa Nabi S.A.W, ada berdoa dengan mengangkat kedua tangannya di pelbagai tempat. Semua riwayat di atas (yakni tentang Nabi S.A.W berdoa mengangkat kedua tangannya) adalah merupakan fi'il (perbuatan) Nabi S.A.W. Adapun yang merupakan qaul (perkataan/sabda) Nabi S.A.W, ada diriwayatkan oleh Malik bin Yasar r.a, dia berkata bahawa telah bersabda Rasulullah S.A.W :
“Apabila kamu meminta (berdoa) kepada Allah, maka mintalah kepada-Nya dengan telapak tangan kamu, dan janganlah kamu meminta kepadaNya dengan belakang tapak tangan”. (Hadis Sahih Riwayat Abu Dawud No. 1486).

Kata Ibnu Abbas r.a.:
“Permintaan (doa) itu, yakni : Engkau mengangkat kedua tanganmu setentang dengan kedua tapak tanganmu.” (Hadis Riwayat Abu Dawud).

Mengenai mengusap muka selepas berdoa, hadis-hadis tersebut adalah dha’if (lemah) (Fatwa Ibn Taimiyyah). Sungguhpun begitu, perkara ini adalah khilaf. Tak wajar digembar-gemburkan.

2. Nabi SAW jika berdoa akan mengangkat kedua tangan baginda (seperti riwayat yang dinyatakan di atas) dan amalan ini bukan amalan bid'ah.

3. Cara berdoa yang betul adalah kita berdoa dengan suara lemah lembut :

Firman Allah SWT maksudnya : “Berdoalah kepada Tuhanmu dengan merendahkan diri dan suara yang lembut. Sesungguhnya Allah tidak menyukai orang-orang yang melampaui batas. Dan janganlah kalian berbuat kerosakan di muka bumi sesudah (Allah) memperbaikinya, dan berdoalah kepadaNya dengan rasa takut (tidak akan diterima) dan penuh harapan (akan dikabulkan). Sesungguhnya rahmat Allah amat dekat kepada orang-orang yang berbuat baik.” (Surah Al-A’raaf: ayat 55 -56).

Wallahu a'lam

907. Soalan : Bagaimanakah cara-cara mandi wajib mengikut sunah Rasulullah SAW?

Jawapan : 

Cara-Cara Mandi Wajib Mengikut Sunah :

عن ابن عباس قال: قالت ميمونة: وضعت لرسول الله صلى الله عليه وسلم ماء يغتسل به، فأفرغ على يديه، فغسلهما مرتين أو ثلاثا، ثم أفرغ بيمينه على شماله، فغسل مذاكيره، ثم دلك يده بالأرض، ثم مضمض واستنشق، ثم غسل وجهه ويديه، وغسل رأسه ثلاثا، ثم أفرغ على جسده، ثم تنحى من مقامه، فغسل قدميه

Dari Ibn ‘Abbas r.a, beliau berkata: Maimunah r. ha.  berkata: "Aku meletakkan air untuk Rasulullah SAW mandi wajib. Baginda SAW menyiram kedua tangannya dan membasuh kedua tangannya dua atau tiga kali. Seterusnya Baginda SAW menyiram air dengan tangan kanannya ke tangan kirinya dan membasuh kemaluannya (dengan menggunakan tangan kiri). Selepas itu, Baginda SAW menyapu tangannya ke tanah, kemudian Baginda SAW memasukkaan air ke dalam hidung dan mulut kemudian mengeluarkannya. Seterusnya Baginda SAW membasuh mukanya dan kedua tangannya dan membasuh kepalanya tiga kali. Selepas itu Baginda SAW menyiram air ke atas tubuhnya, kemudian baginda saw berpindah dari tempat tersebut dan mencuci kedua kakinya. (Hadis Riwayat Bukhari)

Di dalam Sahih Muslim (317) disebutkan pula:

ثم أتيته بالمنديل فرده

Kemudian aku (Maimunah r.ha.) memberikan kepada Baginda SAW sapu tangan, lalu Baginda SAW menolaknya.

Ringkasan cara mandi wajib berdasarkan dalil-dalil di atas ialah:

1) Niat. Ini berdasarkan hadis yang popular bahawa setiap amal mestilah dengan niat.

2) Membaca ‘Bismillah’.

3) Mencuci tangan sebanyak tiga kali.

4) Mencuci kemaluan dengan tangan kiri

5) Menggosokkan tangan kiri ke tanah lalu lalu mencucinya. Boleh juga mencuci tangan kiri itu dengan sabun.

6) Berwuduk. Wuduk boleh dilakukan seperti wuduk untuk solat (Sohih Muslim:317) ataupun menangguhkan mencuci kaki selepas selesai mandi.

7) Menyela-nyela rambut secara merata lalu menyiramnya 3 kali dengan air sepenuh dua telapak tangan. Ini berdasarkan hadis dari Aisyah di dalam hadis sahih riwayat Bukhari:

ثم يدخل أصابعه في الماء، فيخلل بها أصول شعره، ثم يصب على رأسه ثلاث غرف بيديه

“Kemudian Baginda SAW memasukkan jari-jarinya ke dalam air, kemudian menyela-nyela rambutnya, kemudia menyiram kepalanya 3 kali dengan kedua tangannya.”

Ketika menyiram kepala hendaklah dimulai dengan bahagian kanan, kemudian, bahagian kiri dan seterusnya bahagian tengah kepala. Ini berdasarkan hadis ‘Aisyah r.a. di dalam sahih riwayat Muslim (318):

. بدأ بشق رأسه الأيمن. ثم الأيسر

Baginda SAW menyiram kepalanya di bahagian kanan, kemudia bahagian kiri.

Jika mandi untuk haid, maka wanita dianjurkan untuk melepaskan ikatan rambut. Ini berdasarkan hadis ‘Aisyah r.ha di dalam hadis sahih riwayat Bukhari di mana beliau kedatangan haid ketika menunaikan haji. Lalu baginda SAW berkata sedemikian:

دعي عمرتك، وانقضي رأسك، وامتشطي

“Tinggalkanlah umrahmu, lepaskanlah ikatan rambutmu (ketika mandi) dan sisirlah rambutmu”

8) Memulakan dengan bahagian kanan tubuh.

عن عائشة؛ قالت: إن كان رسول الله صلى الله عليه وسلم يحب التيمن في شأنه كله. في نعليه، وترجله، وطهوره

Dari ‘Aisyah RA: Sesungguhnya Rasulullah SAW suka mendahulukan bahagian kanan pada semua urusannya, ketika memakai kasut, ketika bersikat dan ketika bersuci. (Hadis Sahih Riwayat Muslim : 268)

9) Meratakan air ke seluruh tubuh. Kita mestilah semua lipatan tubuh seperti ketiak dan lain-lain. Ini berdasarkan hadis ‘Aisyah (Sunan Abi Daud:243, di nilai sahih oleh al-Albani)

10) Beralih dari tempat mandi dan membasuh kaki.

Wallahu a'lam.

Rujukan:

طهور المسلم في ضوء الكتاب و السنة مفهوم و فضائل وآداب و احكام


Di petik daripada buku : Thaharah Nabi, tuntunan bersuci lengkap oleh Said bin Ali bin Wahf al-Qahtani.

908. Soalan : Bolehkah ustaz senaraikan surah yang perlu dibaca dalam solat? Apakah benar panjang pendek sesuatu surah itu akan menentukan kedudukannya sama ada di rakaat awal atau akhir.

Jawapan :

Bacaan surah dalam solat hendaklah dibaca dengan tertib dan tartil serta dibezakan bacaan dengung suara antara sebutan rahmat dan sebutan azab, antara sebutan tahmid (memuji) dengan sebutan tamjid (memuliakan), antara sebutan wa'du (janji baik untuk yang taat) dengan wa'id (janji jahat untuk yang ingkar). Jika kita melakukan sedemikian, barulah solat kita dikatakan berbekas pada jiwa dan perasaan.
Begitu juga hendaklah kita berhenti (waqaf) pada tiap-tiap ayat, atau di tempat yang dipandang baik berhenti pada tempat itu.

Mengenai soal memanjangkan atau memendekkan surah yang dibaca iaitu Rasulullah SAW kadang-kala membaca surah panjang, sederhana dan kadang-kadang pendek. Baginda SAW membaca bersesuaian dengan keadaan ketika itu.

Rasulullah SAW juga sentiasa membaca surah dari awal, tidak pernah Baginda memulakan bacaan pada pertengahan surah atau pada akhir surah. Baginda SAW kadang-kadang menghabiskan bacaan surah di pertengahan surah itu pada satu rakaat saja, dan kadang-kadang Baginda berhenti di pertengahan surah dan Baginda menamatkannya di rakaat kedua.

Tidak ada riwayat yang menyatakan Nabi SAW membaca satu atau dua atau tiga ayat daripada satu-satu surah, atau membaca akhir surah melainkan di solat sunat fajar (Subuh).

Pada solat sunat fajar (Subuh), Nabi SAW membaca di rakaat pertama satu ayat pada surah al-Baqarah, iaitu ayat 136. Pada rakaat kedua sunat fajar (Subuh), Baginda membaca satu ayat pada surah Ali Imran ayat 64.

Rasulullah SAW pernah membaca satu surah di kedua-dua rakaat, seperti mana Baginda pernah membaca kedua-dua surah tiap-tiap rakaat. Umpamanya, Rasulullah SAW pernah membaca surah al-A'raf pada solat Maghrib, sebahagiannya Baginda baca di rakaat pertama dan sebahagian lagi dibaca pada rakaat yang kedua.

Rasulullah SAW pernah membaca surah al-Zalzalah di kedua-dua rakaat solat Subuh. Rasulullah SAW pernah membaca kedua-dua surah daripada surah al-Mufashshal, pada satu-satu rakaat.

Rasulullah SAW pernah memanjangkan bacaan ketika solat Subuh setiap hari, lebih panjang daripada solat fardu yang lain pada hari itu.

Rasulullah SAW pada setiap solat ghalibnya (lazimnya) memanjangkan bacaan surah pada rakaat pertama dibandingkan rakaat kedua.

Surah terpendek yang Baginda baca pada solat Subuh ialah Surah Qaf dan surah yang ukuran sepertinya. Menurut keterangan yang sahih, bacaan ketika solat Subuh itu, lazimnya sebanyak 60 hingga 100 ayat (iaitu bagi tiap-tiap rakaat).

Di solat Subuh pada pagi Jumaat, Baginda tetap membaca pada rakaat pertama Surah as-Sajadah dan di rakaat kedua, membaca surah al-Insan. Baginda membaca dengan lengkap, tidak pernah Baginda membaca setengahnya saja.

Pada solat Zuhur, Rasulullah SAW membaca (panjangnya) 30 ayat (seperti panjang surah as-Sajadah). Rasulullah SAW juga membaca pada solat Zuhur surah al-A'la dan al-Lail atau Surah al-Buruj dan surah At Taariq dan seumpamanya.

Ketika solat Jumaat, Rasulullah SAW biasa membaca surah al-Jumaah pada rakaat pertama dan surah al-Munafiqun pada rakaat kedua. Adakalanya Baginda SAW membaca surah al-A'la dan al-Ghasyiah.

Ketika solat Asar, Rasulullah SAW membaca sekadar 15 ayat pada tiap rakaat. Ketika solat Maghrib Rasulullah SAW membaca surah al-A'raf, surah at-Thur, surah al-Mursalat dan surah ad-Dukhan. Baginda tidaklah terus menerus membaca surah yang pendek.

Ada riwayat yang mengatakan Rasulullah SAW membaca surah al-Kaafirun dan surah al-Ikhlas. Riwayat ini hanya diterima daripada Ibn Majah, kerana itu tidak dapat dipandang sahih. Riwayat yang sahih adalah Rasulullah SAW membaca surah al-Kaafirun dan al-Ikhlas dalam solat Maghrib.


Ketika solat Isyak, Rasulullah SAW membaca surah at-Tin dan surah asy-Syams dan surah-surah seumpamanya. Apabila selesai membaca surah, berhenti atau berdiamlah sekadar senafas, iaitu sekadar membaca Subhanallah. Jangan sekali-kali disambung terus akhir surah dengan takbir dan rukuk. Wallahu a'lam

909. Soalan : Bagaimanakah status bulu yang tertanggal dari kucing yang masih hidup ?

Adakah tafsir Ibnu Abbas mahupun riwayat para sahabat mahupun tabi'in yang menyebut tentang status bulu kucing  itu sendiri?

Jawapan :

Bulu kucing bukanlah najis, oleh kerana kucing itu sendiri bukan binatang yang najis, malahan bulu kucing yang jatuh kedalam air minuman juga tidak menajiskan minuman tersebut.

Berikut kami petik fatwa yang dikeluarkan Markas Fatwa dibawah pegawasan Dr Abdullah al-Faqih :-

"Kucing bukanlah binatang yang najis, diriwayatkan dari pengarang-pengarang al-Sunan dari Kabshah bt Ka'b ibn Malik, isteri kepada Abu Qutaadah, bahawa Abu Qutaadah masuk dan dia (isteri) menuangkan air kepadanya agar dia dapat melakukan wuduk. Kemudian datang seekor kucing dan minum dari air tersebut, dan ia menarik takungan tersebut agar dapat minum air tersebut. Kabshah berkata :'Dia melihatku memandang kepadamya dan dia berkata, 'Adakah anda mendapatinya pelik, Ya anak perempuan saudaraku?'. Aku berkata,'Ya'. Dia berkata :'Rasulullah SAW bersabda : "Sesungguhnya bukanlah kucing itu najis, kerana sesungguhnya ia adalah dikalangan mereka yang biasanya berada dikeliling kamu (al-tawwaafeena ‘alaikum).

Maka dengan itu, apa yang datang pada bulunya adalah bersih (Taher) dan tidak memudharatkan jika ia terjatuh kedalam makanan dan minuman, akan tetapi seeorang itu boleh meinggalkannya sebab menjaga kesihatan" [Fatwa IslamWeb : 52034]

Perkataan "mereka yang biasanya berada dikeliling kamu didalam hadis yang terkandung didalam fatwa diatas membawa maksud kucing itu juga bagaikan orang gaji atau orang rumah yang biasa berada dengan orang-orang didalam rumah.

Terdapat juga didalam riwayat yang lain, dimana seorang wanita membawa makanan hareesa kepada A'isyah ra. dan mendapati beliau sedang bersolat. A'isyah telah mengisyaratkan kepadanya agar dia meletakkan barangan tersebut dibawah. Kemudan seekor kucing datang dan makan sedikit darinya. Apabila A'siyah selesai bersolat, beliau makan makanan yang telah makan oleh kucing tersebut dan berkata :


Rasulullah SAW bersabda yang maksudnya : "Kucing bukanlah najis, malah dia adalah diantara mereka yang biasanya berada dikeliling kamu". Aku melihat Rasulullah SAW melakukan wuduk dengan air yang telah diminum oleh kucing" (Hadis Riwayat Abu Daud dan lain-lain)

910. Soalan : Adakah boleh berwuduk dengan air yang panas ketika berada dalam batang paip/getah paip? Perlukah tunggu hingga aliran air panas tadi bertukar menjadi sejuk?Bagaimana jika air yang panas itu terjadi kerana panas di bahagian atap yang membuatkan air di dalam tangki menjadi panas / suam-suam? Sekian, terima kasih .

Jawapan :

Menurut Dr Wahbah Zuhaily, Mazhab Syafie menghukumkan makruh tanzih kepada mereka yang bersuci menggunakan air yang terlalu panas, air yang terlalu sejuk dan air yang dijemur dibawah sinaran matahari yang dikenali dengan air mushammas.

Makruh tahzih oleh kerana ia bukanlah tegahan akan tetapi digalakkan meninggalkannya, akan tetapi hukumnya tidak putus. Ia bukanlah makruh yang mirip kepada haram.

Hukumnya makruh selama-mana air tersebut panas, dan hukumnya akan berubah apabila air tersebut menjadi sejuk. Hukum tersebut hanya berlaku kepada air yang tidak diisi didalam bekas emas atau perak. Namun demikian, bagi air yang dipanaskan oleh "water heater",jika ia tidak terlalu panas, maka hukumnya tidak memakruhkan.

Menurut Syiekh Abdul Rahman Ibn Jibrin rh, jika air tersebut terlalu panas, wuduk tersebut sah, tetapi hukumnya makruh, kerana ia mungkin akan memberi kesan kepada kulit dan menyebabkan sakit. Wallahu a'lam









No comments: