Sunday, January 26, 2014

Soal Jawab Agama Siri 130 (Doa Untuk Bayi Menangis, Petua Orang Tua-tua, Berkahwin Dengan Adik Ipar, Haiwan Korban Dan Di Larang Tertawa Mendengar Bunyi Kentut.

Assalamualaikum Warahmatullahi Wabarakatuh

بِسْمِ ٱللَّهِ ٱلرَّحْمَـٰنِ ٱلرَّحِيم

Segala puji bagi Allah, Rabb sekelian alam. Selawat serta salam buat junjungan mulia Nabi Muhammad SAW keluarga serta para sahabat dan pengikut yang istiqamah menuruti baginda hingga ke hari kiamat.

Sahabat yang dirahmati Allah,
Soal jawab Agama Siri 130 adalah membicangkan persoalan doa untuk bayi menangis, percaya petua orang tua-tua, berkahwin dengan adik ipar selepas bercerai, haiwan korban dan dilarang tertawa bila dengan bunyi kentut.

921. Soalan : Saya nak minta pandangan dan doa-doa dari ustaz bagaimana nak hentikan bayi menangis tengah malam? Sedangkan siang dia tidur lena..seolah-lah ada yang menganggunya untuk tidur..tiap kali menangis kepala dan mata bayi akan mendongak ke atas seolah-olah ada sesuatu yang dipandangnya.

Jawapan : 

Menangis bagi bayi atau anak kecil merupakan perkara biasa, bukan semestinya kerana ada masalah atau kerana kecuaian ibu. Malah menangis merupakan suatu pernyataan bayi atau kanak-kanak sebagai ganti kepada pertuturan yang tidak dapat diluahkan terhadap sesuatu yang berlaku.

Ada bayi yang masih dalam hari tidur nyenyak di siang hari, tetapi mula menangis pada masa-masa tertentu sama ada pada tengah malam, petang ataupun bila-bila masa tanpa sebab yang jelas.

Terdapat juga bayi yang mula menangis apabila tidurnya terganggu, biarpun oleh suara yang perlahan seperti bunyi benda jatuh, bunyi tapak kaki, bunyi pintu tertutup dan sebagainya. Pada kebiasaannya tangisan akibat gangguan tersebut berlaku dalam tempoh yang singkat.

Tangisan biasa selalunya ada kaitan dengan punca yang jelas seperti tercucuk pin pakaian, pakaian terlalu ketat menyebabkan bayi terasa tidak selesa, lampin basah, rasa terlalu panas, sakit perut, dahaga, lapar, rasa kesepian dan sebagainya.

Sesetengah bayi atau anak kecil akan menangis apabila berubah tempat tidur, dari tempat gelap yang biasa dia tidur berpindah ke tempat terang atau sebaliknya. Anak-anak yang dibawa balik kampung menghadiri majlis kenduri mungkin akan menangis kerana suasana tempat tidur yang berubah atau sebaliknya.

Walaupun demikian, tangisan yang memanjang seperti yang berlaku kepada anak puan tidak semestinya mempunyai sebab atau punca yang jelas. Tidak semestinya kerana lapar, dahaga, kesejukan, panas atau kehilangan orang yang selama ini berada di sampingnya, iaitu si ibu.

Ada orang yang mengaitkan keadaan sedemikian rupa, yang dikenali sebagai sawan tangis ini, akibat gangguan makhluk-makhluk halus, tidak kira sama ada gangguan tersebut akibat perbuatan makhluk halus yang dilibatkan dengan perbuatan manusia, ataupun akibat gangguan jin yang menggemari manusia, sejak seseorang itu dilahirkan, yang dikenali sebagai qarin atau makhluk halus yang datang menumpang bersama manusia.

Perkataan qarin berasal daripada bahasa Arab bererti teman atau pasangan. Istilah qarin bererti roh-roh jahat, yang terdiri daripada makhluk-makhluk halus yang sentiasa mendampingi manusia, sejak seseorang itu dilahirkan sehinggalah dia meninggal dunia.

Kewujudan qarin di samping manusia ialah untuk membiasakan, iaitu untuk menggoda atau menyesatkan, sehingga manusia itu tunduk kepada nafsu, yang akhirnya melakukan dosa, tidak kira sama ada dosa itu dosa kecil berpanjangan atau dosa besar seperti membunuh, berzina, makan harta anak yatim dan sebagainya. Cara lain ialah dengan memesongkan iktikad mereka sehingga membawa kepada perbuatan syirik atau murtad.

Dosa-dosa itu tidak diampuni Allah. Walaupun demikian, sekiranya manusia itu beriman dan dilindungi Allah, qarin itu akan menyuruhnya melakukan kebaikan.

Selain itu, qarin juga berusaha untuk mencederakan fizikal dan roh manusia secara bersendirian ataupun dengan perantaraan manusia, menyebabkan manusia menggunakan jin-jin untuk melakukan perbuatan tertentu seperti untuk menyakiti orang lain dan sebagainya. Apabila ini berlaku, maka dari sini terjadilah kegiatan sihir.

Sawan tangis itu ada dua punca utama, iaitu bersifat fizikal seperti kerana lapar, haus dan sejuk, rasa hilang keselamatan diri seperti kehilangan orang yang selalu berada di sampingnya, biarpun buat sementara. Sakit seperti kembung perut atau selesema. Termasuk dalam kategori ini ialah sakit akibat jangkitan kuman dan juga kecacatan anggota seperti terhantuk, terjatuh dan sebagainya.

Punca kedua ialah akibat gangguan makhluk-makhluk halus. Allah menjadikan manusia itu daripada dua unsur utama, iaitu jasad dan roh. Islam mengajar agar anak yang baru dilahirkan diazankan di telinga kanan dan diiqamatkan di telinga kirinya.

Itulah ajaran terawal yang mesti diperhatikan dan dilakukan dengan tujuan agar bayi itu mendengar kalimah Allah sebaik-baik sahaja dilahirkan. Pencipta yang melahirkan bayi yang baru dilahirkan, yang memberi rezeki dan membesarkannya, dan akhirnya akan mematikannya untuk menemui-Nya.

Sekiranya dilakukan demikian, insya-Allah, bayi berkenaan tidak akan diganggu oleh ummu`s-sibyan, iaitu sejenis makhluk jin yang sering mengganggu bayi, yang boleh menyebabkan timbul pelbagai masalah termasuk gangguan tidur pada waktu malam, yang akhirnya boleh menyebabkan demam panas ataupun sawan.

Keterangan ini membuktikan bahawa roh bayi atau anak kecil boleh terganggu akibat gangguan yang tidak dapat dilihat oleh mata kasar, ataupun melalui eksperimen teknologi moden. Dalam masa tertentu anak tadi kadang-kadang memperlihatkan reaksi luar biasa dengan wajah yang ketakutan seolah-olah sedang melihat satu objek yang menggerunkan di hadapannya.

Mungkin sukar untuk menjelaskan bagaimana gangguan yang tidak dapat dilihat itu boleh mengganggu bayi menyebabkan dia tidak berhenti-henti menangis, terkujat-kujat dan terketar mulut sehingga tidak terdengar suara tangisannya menyebabkan ibu dan juga bapanya menggelabah.

Ada beberapa tanda lumrah yang boleh diperhatikan oleh mata kasar sekiranya bayi atau kanak-kanak itu menangis akibat gangguan seperti yang dijelaskan, bukan disebabkan akibat luaran.Menangis bagi bayi atau anak kecil merupakan perkara biasa, bukan semestinya kerana ada masalah atau kerana kecuaian ibu. Malah menangis merupakan suatu pernyataan bayi atau kanak-kanak sebagai ganti kepada pertuturan yang tidak dapat diluahkan terhadap sesuatu yang berlaku.

Ada bayi yang masih dalam hari tidur nyenyak di siang hari, tetapi mula menangis pada masa-masa tertentu sama ada pada tengah malam, petang ataupun bila-bila masa tanpa sebab yang jelas.

Terdapat juga bayi yang mula menangis apabila tidurnya terganggu, biarpun oleh suara yang perlahan seperti bunyi benda jatuh, bunyi tapak kaki, bunyi pintu tertutup dan sebagainya. Pada kebiasaannya tangisan akibat gangguan tersebut berlaku dalam tempoh yang singkat.

Terlalu banyak kaedah atau usaha boleh dilakukan yang diajar oleh Rasulullah SAW. dalam usaha mengatasi masalah seperti ini, di antaranya ialah dengan membacakan surah al-Fatihah, ayat al-Kursi, surah an-Nas dan surah al-Falaq, kemudian hembuskan pada ubun-ubun anak. Lakukan sebanyak tiga kali. Sekiranya anak-anak ini masih juga menangis, bacakan azan di telinga kanannya dan iqamah di telinga kiri. Lakukan sekali ataupun tiga kali.

Dalam sebuah hadis riwayat oleh Abu Isa at-Tarmizi, katanya telah diriwayatkan oleh Aqabah bin Amir al-Juhani, daripada Nabi SAW sabdanya maksudnya : "Sesungguhnya Allah telah menurunkan kepada aku beberapa ayat yang tidak diperlihatkan seumpamanya, iaitu Qul a'uzu bi rabbinnas dan Qul a'uzu bi rabbilfalaq sehingga akhirnya."

Hadis ini bermaksud bahawa Allah telah menurunkan dua ayat di atas kepada Rasulullah yang mempunyai fadilat yang amat besar, iaitu untuk melindungi diri daripada bahaya teguran hasad dan pandangan mata jahat. Termasuk dalam kategori pandangan mata jahat ialah manusia yang dibantu oleh jin-jin untuk melakukan perbuatan sihir, yang memancarkan pandangan jahatnya kepada mangsa melalui pandangan mata, termasuk bayi atau anak-anak yang menyebabkan berlakunya gangguan roh jahat (jin dan syiatan).

Mudarat akibat daripada pandangan mata jahat memang boleh berlaku. Dalam menghadapi masalah seperti ini Rasulullah membenarkan Asma' Binti Umays (isteri seorang sahabat) untuk meminta pertolongan kepada orang yang tahu menjampi dalam usaha untuk menolong merawat anak Jaafar, iaitu saudara kepada Ali Abu Talib. Wallahu a'lam

922. Soalan : Di sini saya ingin bertanyakan satu soalan berkaitan dengan hukum mempercayai petua orang tua-tua. Mengikut petua orang tua-tua, membunuh binatang yang berdarah adalah tidak dibolehkan semasa isteri sedang mengandung ... takut terkenan katanya. Bagaimana pula jika suami tersebut membunuh cicak yang terlalu banyak di rumah dan bagaimana pula jika beliau membunuh serangga perosak seperti semut, lalat, nyamuk dan lain-lain? ....

Jawapan :

Tidak ada apa yang sisebutkan sebagai kenan. Kepercayaan ini adalah khurafat dan bercanggah dengan ayat-ayat alQur'an, antaranya: 

1. Firman Allah SWT maksudnya,"(Apakah mereka akan mengikut juga akan petua-petua nenek moyang mereka), walaupun nenek moyang mereka itu tidak mengetahui suatu apa pun, dan tidak mendapat petunjuk." (Surah al-Baqarah ayat 170)

2. Firman Allah SWT maksudnya, "Dan pada sisi Allah jualah, anak kunci perbendaharaan segala yang ghaib, tiada siapa yang mengetahuinya melainkan Dia-lah sahaja." 
(Surah al-An'am ayat 59)

3. Firman Allah SWT maksudnya, "Tuhanlah sahaja yang mengetahui segala yang ghaib, maka Dia tidak memberitahu perkara ghaib itu kepada sesiapa pun, kecuali kepada mana-mana Rasul yang diredhai-Nya." (Surah al-Jinn ayat 26-27)

4. Firman Allah SWT maksudnya, "Katakanlah:'Tidak akan menimpa kami selain apa yang telah ditetapkan Allah untuk kami..." (Surah al-Taubah ayat 51)

Tidak ada larangan menyembelih binatang, membunuh binatang yang memudharatan manusia atau membunuh binatang dan makhluk yang merbahaya walaupun isteri sedang mengandung. Kenan itu adalah kepercayaan orang purbakala dan animisma yang tidak didatangkan petunjuk ke atas mereka. Islam datang dan telah membersihkan kepercayaan khurafat tersebut. Bunuhlah lalat, nyamuk, lipas dan cicak seperti biasa.

Rujukan: 
1. Prof (alMarhum) Mutawalli Sya'arawi: asSihr wal hasadu, Akhbarul Yaum, Cairo 
2. Syaikh Atiyyah Saqr, Islam wa Musykilatul hayah, Kuwait 
3. Ustaz Ismail Awang, Adat Orang-Orang Melayu yang bertentangan dengan Aqidah Islam, Pustaka Aman Press Kelantan, 1996.

923. Soalan ustaz bolehkah seseorang berkahwin dengan adik iparnya iaitu adik kandung isterinya sesudah isterinya bercerai dengan suaminya? Terima kasih

Wasalam

Jawapan:

Diantara pernikahan yang dilarang dalam al-Quran adalah menikahi dua orang wanita bersaudara. Allah SWT menyebutkan salah satu wanita yang tidak boleh dikawini, diantaranya,

وَأَنْ تَجْمَعُوا بَيْنَ الْأُخْتَيْنِ

”Kalian tidak boleh menggabungkan dua wanita bersaudara.” (Surah An-Nisa' ayat 23).

Maknanya, seorang lelaki dilarang berkahwin dengan dua wanita bersaudara, sehingga keduanya bersama-sama menjadi isteri satu orang. Diantara hikmah adanya larangan ini adalah agar pernikahan ini tidak memutus hubungan silaturahim diantara kedua saudara tersebut.

Oleh kerana itu, jika isteri pertama sudah berpisah, samaada melalui perceraian mahupun kerana meninggal dunia, maka suami boleh menikahi adik isterinya, kerana sudah tidak lagi bercampur dua wanita bersaudara.

Apakah Harus Menunggu Masa Iddah?

Sebagai gambaran, Si X dan si Y adalah dua wanita bersaudara. Lelaki A menikah dengan si X. Kemudian terjadi perceraian. Jika si A ingin menikahi si Y, apakah harus menunggu masa iddah (3 kali haid)?

Sebelumnya, perlu difahami bahawa perceraian antara suami istri, ada 2 keadaan:

1. Talak raj’i, iaitu talak yang masih memungkinkan untuk terjadinya rujuk. Itulah talak satu dan talak dua sebelum masa iddah selesai.

2. Talak Ba’in, iaitu talak yang tidak mungkin terjadi rujuk. Itulah talak tiga.

Dalam menghuraikan perkara di atas :

Pertama, jika perceraian yang terjadi adalah talak raj’i, maka suami harus menunggu selesainya masa iddah isteri pertamanya, untuk boleh berkahwin dengan adik isterinya.

Kedua, jika perceraian yang terjadi adalah talak ba’in, maka suami boleh langsung bernikah adik isterinya, tanpa harus menunggu selesainya masa iddah isteri pertamanya. Dan ini adalah pendapat Said bin Musayib, Hasan al-Bashri, Urwah bin Zubair, as-Syafii, Abu Tsaur, Abu Ubaid, Ibnul Mundzir, dan beberapa ulama lainnya.

Al-Qurthubi mengatakan,

وَأَجْمَعَ الْعُلَمَاءُ عَلَى أَنَّ الرَّجُلَ إِذَا طَلَّقَ زَوْجَتَهُ طَلَاقًا يَمْلِكُ رَجْعَتَهَا أَنَّهُ لَيْسَ لَهُ أَنْ يَنْكِحَ أُخْتَهَا أَوْ أَرْبَعًا سِوَاهَا حَتَّى تَنْقَضِيَ عِدَّةُ الْمُطَلَّقَةِ

Ulama sepakat bahawa seorang lelaki yang menceraikan isterinya talak raj’i, maka dia tidak boleh menikahi saudara isterinya, hingga selesai masa iddah isteri yang ditalak. Wallahu a'lam.

924. Soalan : Apakah benar, di akhirat nanti haiwan yang kita korbankan, bulunya, tanduknya, dan kukunya haiwan korban itu akan didatangkan dan akan menolong orang yang berkorban? Minta pencerahan ustaz.

Jawapan:

Terdapat sebuah hadis dari A’isyah radhiyallahu ‘anha, bahawa Rasulullah Sallallahu ‘Alaihi Wasallam bersabda,

مَا عَمِلَ آدَمِيٌّ مِنْ عَمَلٍ يَوْمَ النَّحْرِ أَحَبَّ إِلَى اللَّهِ مِنْ إِهْرَاقِ الدَّمِ، إِنَّهُ لَيَأْتِي يَوْمَ القِيَامَةِ بِقُرُونِهَا وَأَشْعَارِهَا وَأَظْلَافِهَا، وَأَنَّ الدَّمَ لَيَقَعُ مِنَ اللَّهِ بِمَكَانٍ قَبْلَ أَنْ يَقَعَ مِنَ الأَرْضِ، فَطِيبُوا بِهَا نَفْسًا

Maksudnya, “Tidak ada amalan manusia yang lebih dicintai oleh Allah untuk dilakukan pada hari Nahr (Idul Adha), melebihi amalan mengalirkan darah (korban). Kerana korbannya akan datang pada hari kiamat dengan tanduknya, bulunya, dan kukunya. Dan darahnya akan menetes di tempat yang Allah tentukan, sebelum darah itu menetes di tanah. Untuk itu hendaknya kalian merasa senang kerananya.”

Hadis ini diriwayatkan oleh Turmudzi no 1493, Ibn Majah 3126, al-Hakim dalam al-Mustadrak 7523. Dalam sanad hadis ini terdapat perawi bernama Abdullah bin Nafi’ dan Sulaiman bin Yazid (Abul Mutsanna), dari Hisyam bin Urwah, dari ayahnya Urwah bin Zubair.

Tentang Abdullah bin Nafi’, Ibnul Jauzi (w. 597 H) menyatakan,

قال يحيى عبد الله بن نافع ليس بشيء وقال النسائي متروك وقال البخاري منكر الحديث وقال أبن حبان لا يحتج بأخباره

”Yahya bin Main mengatakan, ’Abdullah bin Nafi tidak teranggap.’ Nasai menyebutnya, ’Perawi yang ditinggalkan.’ Sementara Bukhari menegaskan, ’Munkarul Hadis.’ Dan Ibnu Hibban mengatakan, ’Beritanya tidak diterima sebagai dalil.” (al-Ilal al-Mutanahiyah, 3/569).

Imam adz-Dzahabi (w. 748 H) mengatakan: “Sulaiman orang yang lemah dan sebagian ahli hadis meninggalkannya.” al-Baghawi (w. 317 H) mengatakan: “Hadis ini dinilai sangat dhaif oleh Abu Hatim.” (Silsilah Ahadits ad-Dhaifah, no. 526).

Dengan demikian, keterangan yang tersebar di masyarakat bahawa haiwan korban akan datang pada hari kiamat, bersama tanduk, bulu, dan kukunya adalah keterangan yang bersumber dari hadis dhaif, yang tidak boleh dipertanggung jawabkan keabsahannya.

Kita boleh menggalakkan orang lain untuk berkorban, tanpa menyebutkan hadis yang tidak boleh dipertanggung jawabkan kesahihannya. Wallahu a'lam.

925. Soalan : Adakah boleh seseorang mentertawakan rakannya yang terkentut dengan bunyi yang kuat?

Jawapan :

Diantara adab dalam Islam yang diajarkan Rasulullah Sallallahu ‘Alaihi Wasallam adalah tidak menghina keadaan orang lain, yang dirinya sendiri juga melakukannya. Kentut adalah bagian dari rangkaian metabolisme tubuh manusia. Sehingga semua orang yang normal mengalaminya. Untuk itu, ketika kita mendengar ada orang yang kentut, kita dilarang menertawakannya. Kerana kita sendiripun pernah mengalaminya.

Dari sahabat Abdullah bin Zam’ah radhiyallahu ‘anhu, Suatu hari Rasulullah Sallallahu ‘Alaihi Wasallam menyampaikan khutbah. Baginda menceritakan tentang kisah unta Nabi Saleh yang disembelih kaumnya yang menentangnya. Baginda menafsirkan firman Allah SWT di surat as-Syams. Kemudian baginda menasihati agar bersikap lembut dengan wanita, dan tidak boleh memukulnya.

Kemudian baginda menasihati sikap sahabat yang tertawa ketika mendengar ada yang kentut.

إِلَامَ يَضْحَكُ أَحَدُكُمْ مِمَّا يَفْعَلُ؟

Maksudnya, “Mengapa kalian mentertawakan kentut yang kalian juga biasa mengalaminya.” (Hadis Riwayat Bukhari 4942 dan Muslim 2855).

Menertawakan Kentut Kebiasaan Jahiliyah

Dalam Tuhfatul Ahwadzi, Syarh Sunan Turmudzi, Al-Mubarokfuri mengatakan,

وكانوا في الجاهلية إذا وقع ذلك من أحد منهم في مجلس يضحكون فنهاهم عن ذلك

“Dulu mereka (para sahabat) di masa jahiliyah, apabila ada salah satu peserta majlis yang kentut, mereka tertawa. Kemudian beliau melarang hal itu.” (Tuhfatul Ahwadzi, 9/189).

Imam Ibnu Utsaimin menjelaskan,

الإنسان إنما يضحك ويتعجب من شيء لا يقع منه، أما ما يقع منه؛ فإنه لا ينبغي أن يضحك منه، ولهذا عاتب النبي صلى الله عليه وسلم من يضحكون من الضرطة؛ لأن هذا شيء يخرج منهم، وهو عادة عند كثير من الناس.

Umumnya orang akan menertawakan dan heran dengan sesuatu yang tidak pernah terjadi pada dirinya. Sementara sesuatu yang juga dialami dirinya, tidak selayaknya dia menertawakannya. Kerana itulah, Nabi Sallallahu ‘Alaihi Wasallam mencela orang yang menertawakan kentut. Kerana kentut juga mereka alami. Dan semacam ini (menertawakan kentut) termasuk adat banyak masyarakat. (Syarh Riyadhus Sholihin, 3/120).

Kemudian Imam Ibnu Utsaimin juga menyebutkan satu kaidah,

وفي هذا إشارة إلى أن الإنسان لا ينبغي له أن يعيب غيره فيما يفعله هو بنفسه

Ini merupakan isyarat bahawa tidak sepatutnya bagi manusia untuk mencela orang lain dengan sesuatu yang kita juga biasa mengalaminya. (Maroji’ : syarh riyadlush sholihin, (Syarh Riyadhus Sholihin, 3/120).

No comments: