Tuesday, February 10, 2015

Tiga Perkara Akan Mengirigi Jenazah Ke Kubur.


Alangkah ramainya orang mengiringi jenazah, sekiranya yang mati itu orang kenamaan. (VIP ATAU VVIP?). Apakah motif atau tujuan mereka mengiringi jenazah; sama ada ke kubur atau hanya datang berziarah.

Adakah menjadi satu kemegahan kepada keluarga si mati, kalau ramai orang datang menjenguk kali terakhir itu?

Adakah keluarga si mati merasa sedih kalau tidak berapa orang yang datang berziarah, kerana si mati bukan orang popular?

Adakah ramai orang datang berziarah itu boleh memberi apa-apa manfaat kepada si mati?

Atau adakah sedikit orang yang datang itu boleh meringankan dosa atau pembalasan kepada si mati?

Ada tiga jenis yang mengiringi jenazah ke kubur.

Anas bin Malik berkata bahawa Rasulullah SAW. bersabda,"Tiga yang akan mengiringi orang mati hingga ke kuburnya. Dua daripadanya akan balik dan yang tinggal bersama mayat hanyalah satu. Dia diiringi keluarganya, hartanya dan amalannya. Keluarga dan hartanya akan pulang. Tinggallah amalannya bersama-samanya." (Hadis  Riwayat Bukhari Muslim, Tirmzi dan An Nassai.)

Hadis ini menjelaskan keadaan apabila seseorang meninggal dunia. Menurut kelazimannya, selepas jenazah dimandikan , di kapankan dan disembahyangkan, ia akan diusung ke tanah perkuburan.

Dia diikuti oleh tiga perkara: Pertama kaum keluarga, sahabat handai dan rakan sekerjanya. 

Kedua, diikuti oleh hartanya. Mungkin kereta dan lain-lain kelengkapannya semasa hidup (Termasuk segala bintang darjah kebesarannya).

Ketiga, dia diikuti juga oleh segala amalannya semasa hayatnya.

Dua terdahulu itu akan kembali selepas selesai urusan pengkebumian mayat tersebut. Yang tinggal bersamanya di dalam kubur ialah amalannya. Kiranya amalan yang dibawanya berupa kebajikan, maka berbahagialah dia. Jika sebaliknya, maka akan disiksalah dia.

Abu Hurairah menyebut bahawa Rasulullah SAW. ada bersabda maksudnya,
"Bila mati seorang anak Adam, putuslah amalannya, kecuali tiga perkara.
1. Sedekah jariahnya
2. Ilmu yang memberi manfaat yang diajarkannya
3. Anak soleh yang mendoakannya.
(Hadis Riwayat Muslim.)

Tiga perkara inilah yang boleh menolongnya diakhirat kelak.maka beramallah sebanyak-banyaknya semoga urusan kita di alam barzakh akan di permudahkan Allah SWT.

No comments: