Monday, March 16, 2015

Kemuskilan Agama : Cinta dan Memakmurkan Masjid Adalah Sifat Orang Mukmin.

Soalan Ke Tujuh Puluh Tiga : 

Bolehkan ustaz tafsirkan ayat al-Quran dalam surah at-Taubah ayat 18. Firman Allah SWT. "Sesungguhnya orang-orang yang memakmurkan masjid-masjid Allah ialah orang-orang yang beriman kepada Allah dan hari kemudian serta tetap mengerjakan solat, menunaikan zakat dan tidak takut selain dari Allah, maka merekalah orang-orang yang diharapkan mendapat petunjuk." (Surah at-Taubah ayat 18)

Jawapan : 

Firman Allah SWT :


إِنَّمَا يَعْمُرُ مَسَاجِدَ اللَّهِ مَنْ آمَنَ بِاللَّهِ وَالْيَوْمِ الْآخِرِ وَأَقَامَ الصَّلَاةَ وَآتَى الزَّكَاةَ وَلَمْ يَخْشَ إِلَّا اللَّهَ فَعَسَى أُولَئِكَ أَنْ يَكُونُوا مِنَ الْمُهْتَدِينَ (18) 

Maksudnya, "Hanya yang memakmurkan mesjid-mesjid Allah ialah orang-orang yang beriman kepada Allah dan hari kemudian, serta tetap mendirikan solat, menunaikan zakat dan tidak takut (kepada siapapun) selain kepada Allah, maka merekalah orang-orang yang diharapkan termasuk golongan orang-orang yang mendapat petunjuk".(Surah at-Taubah (9( ayat 18)

Huraiannya :

Pada ayat ini Allah menerangkan bahwa yang patut memakmurkan mesjid-mesjid Allah hanyalah orang-orang yang benar-benar beriman kepada Allah dan berserah diri kepada-Nya, dan amal ibadahnya ikhlas kerana Allah Tuhan Yang Maha Esa, dan tidak ada sekutu bagi-Nya, serta percaya akan datangnya hari akhirat tempat pembalasan segala amal perbuatan, rajin mendirikan solat, menunaikan zakat dan tidak takut kepada siapa pun selain Allah SWT. Orang-orang inilah yang diharapkan termasuk golongan yang mendapat petunjuk dari Allah SWT dan yang diredhai-Nya untuk memakmurkan mesjid-mesjid-Nya di dalam dunia ini, baik memakmurkan dengan membangun dan memeliharanya mahupun memakmurkan peribadatan dan lain-lainnya. 

Banyak hadis-hadis yang diriwayatkan tentang fadilah memakmurkan mesjid-mesjid Allah antara lain sabda Rasulullah SAW.: 

من بنى لله مسجدا يبتغي به وجه الله بنى الله له بيتا في الجنة 

Maksudnya, "Barang siapa membangun atau memakmurkan mesjid bagi Allah untuk mendapatkan keredhaan-Nya, nescaya Allah akan membangunkan baginya sebuah rumah dalam syurga." (H.R. Bukhari, Muslim, dan Tirmizi dari Usman bin Affan) 

Sabda Rasulullah SAW: 

إذا رأيتم الرجل يعتاد المساجد فاشهدوا له بالإيمان 

Maksudnya, "Apabila kamu melihat seorang laki-laki membiasakan diri (beribadah) di mesjid, maka saksikanlah bahwa ia orang yang beriman. 
(H.R. Ahmad, Tirmizi, Ibnu Majah, dan Al-Hakim dari Abu Said Al-Khudri) 

Dan sabdanya lagi : 

أن امرأة كانت تقم المسجد أي تكنسه فماتت فسأل عنها النبي صلى الله عليه وسلم فقيل له: ماتت، أفلا كنتم آذنتموني بها لأصلي عليها؟ دلوني على قبرها، فأتى قبرها فصلى عليها 

Maksudnya, "Sesungguhnya ada seorang perempuan yang biasa menyapu mesjid lalu meninggal dunia, Rasulullah SAW. menanyakannya dan tatkala dikatakan kepadanya bahawa perempuan itu sudah meninggal, Rasulullah berkata: "Mengapa kamu tidak memberitahukan kepada saya agar saya solatkan ia. Tunjukkanlah kepadaku di mana kuburnya." Maka Rasulullah mendatangi kuburan itu lalu beliau salat atasnya." (H.R. Bukhari, Muslim, Abu Daud, dan Ibnu Majah) 

Dan sabda Rasulullah SAW.: 

مهور الحور العين كنس المساجد وعمارتها 

Maksudnya, "Membersihkan mesjid dan meramaikannya adalah mahar (maskawin) bidadari. " (H.R. Abu Bakar Asy Syafi'i dari Abu Qursafah) 

Dan sabda Rasulullah SAW  lagi: 

من أسرج سراجا في مسجد لم تزل الملائكة وحملة العرش يستغفرون له ما دام في ذلك المسجد ضوءه 

Maksudnya, "Barang siapa yang menyalakan penerangan dalam mesjid, nescaya para malaikat dan pemikul-pemikul Arasy senantiasa memohon ampun kepada Allah agar diampuni dosanya selama lampu itu bercahaya dalam mesjid." 
(H.R. Salim Ar Razi dari Anas ra.)

Masjid ialah jantung umat Islam. Ia bukan sahaja menyediakan tempat kepada umat untuk solat malah ia mengerakkan umat untuk cergas dan melakukan semua perubahan hari demi hari. Sesiapa sahaja di kalangan orang Islam secara ikhlas datang ke masjid akan menjadi tetamu Allah. Ia akan mendapat kedamaian hati daripada keberkatan masjid. Jika ia duduk dalam masjid membaca Al-Quran, berzikir, mengikuti majlis ilmu dan menunaikan solat sunat maka tingkah laku dan sikapnya akan terpimpin. Perhubungan hati dan jiwanya dengan Allah SWT. semakin hampir dan akan memperolehi ketenangan dalam jiwanya.

Menurut satu hadis dari Nabi SAW. bahawa salah satu golongan yang mendapat perlindungan daripada Allah SWT. di hari kiamat nanti adalah insan yang hati dan jiwanya terpaut dengan masjid.

Dari Abu Hurairah r.a. yang berkata, bahawa Rasulullah SAW bersabda : " Mahukah kalian aku tunjukkan sesuatu yang dengannya Allah akan menghapuskan kesalahan dan meninggikan darjat?" Mereka menjawab, " Ya, wahai Rasulullah!" Baginda bersabda, " Menyempurnakan wuduk di saat-saat sulit, banyaknya langkah ke masjid dan menunggu solat (berikutnya) setelah (melakukan solat). Maka itu merupakan pengikat.. itu merupakan pengikat." (Hadis Riwayat Muslim)

Di dalam masjid juga ia berpeluang berkomunikasi dan bergaul mesra dengan ulama selepas majlis ilmu dan ia akan menjadi proaktif. Jika ia berpegang kepada pengajaran yang di ajar di dalam masjid ahli keluarganya juga akan terselamat dari kesesatan aqidah dan kesesatan cara hidup asing. Dari iktikaf hingga ke majlis ilmu dan khutbah, umat Islam sentiasa digerakkan supaya aktif membaiki iman, akhlak, jatidiri dan gaya hidup. Masjid menyiar dan melaungkan keagungan Allah SWT dan Deen Islam. Selagi Al-Quran dan Sunah Rasulullah SAW terpelihara, selagi itu pengajaran-pengajaran di dalam masjid akan berjaya mendekatkan manusia kepada Allah SWT dan memimpin ke jalan kebenaran.

Kunjungan lima kali sehari ke masjid diibaratkan sebagai mandi lima kali sehari di dalam sungai yang jernih dan tenang. Oleh itu untuk memulihkan penyakit sosial dalam masyarakat wajib bermula dari masjid.

Betapa ramai bukan Islam mendapat kesedaran awal ketika berkunjung ke masjid atau mendengar laungan azan yang penuh makna. Melihat kepada tatacara solat berjemaah dilakukan dengan saf yang lurus dan bergerak mematuhi seorang imam. Seorang yang bijak boleh memahami bahawa Islam menyuruh umatnya berdisplin dan mentaati pemimpin yang bertakwa.

Masjid hendaklah diberikan peranan asalnya sebagai pusat pendidikan, komunikasi dan penyebaran Islam. Sebab itulah Rasulullah SAW membina masjid sejurus sampai di Madinah dalam hijrah yang agong. Daripada masjid itulah terbentuknya tamadun pertama yang adil dan tepat dalam sejarah manusia hingga tempiasnya kita rasa pada hari ini. Oleh itu, untuk mengembalikan kekuatan dan kegemilangan umat Islam hendaklah kembali kepada formula Rasulullah SAW membina umat, antaranya yang utama ialah peranan masjid yang berkesan dalam masyarakat.


No comments: