Monday, March 9, 2015

Kemuskilan Agama : Waktu-waktu Mustajab Doa.

Soalan Ke Tujuh Puluh Satu : Berdoa adalah senjata orang mukmin, oleh itu bolehkan ustaz jelaskan waktu-waktu mustajab doa supaya doa kita di makbulkan oleh Allah SWT.

Jawapan : 

Apabila kita ingin berdoa maka carilah waktu-waktu mustajab doa kerana waktu tersebut paling hampir dengan Allah SWT dan pintu rezeki dari langit terbuka luas.

Terdapat beberapa waktu-waktu mustajabnya doa.

Pertama : Satu pertiga malam

Waktu satu pertiga malam adalah di antara jam 3.30 pagi atau jam 5.00 pagi sehingga ke waktu sebelum Subuh. 

Nabi S.A.W bersabda maksudnya: "Allah SWT turun dari Arasy-Nya ke langit yang pertama, (iaitu langit dunia) di sepertiga malam, seraya berfirman kepada para malaikat yang menjaga langit pertama, "Adakah di antara hambaKu yang berdoa? Aku akan perkenankan. Adakah di antara hamba-Ku yang memohon keampunan? Nescaya akan aku ampunkan dosanya". (Hadis Riwayat Muslim)

Kedua : Sewaktu hujan turun, 

Ketika hujan turun pintu rezeki dari langit sedang terbuka luas.

Ketiga : Waktu pasukan tentera bertempur. 

Keempat : Waktu mendirikan solat.

Sabda Nabi SAW  yang bermaksud :  "Berdoalah pada waktu mustajab doa iaitu sewaktu pasukan tentera bertempur, waktu mendirikan solat dan ketika hujan turun".(Hadis Riwayat Abu Daud).

Kelima : Waktu di antara dua khutbah khatib pada solat Jumaat.

Nabi SAW bersabda maksudnya :  “Sesungguhnya saat yang mustajab (berdoa) itu diantara duduk imam antara dua khutbah hingga selesai sembahyang Jumaat.”  (Hadis Riwayat Muslim dan Abu Dawud) 

Keenam : Sepanjang hari Jumaat juga terdapat waktu mustajab doa.

Nabi SAW. bersabda yang bermaksud : "Pada hari Jumaat itu, ada satu waktu yang apabila seseorang hamba memohon kepada Allah sesuatu, maka akan diberikan-Nya".(Hadis Riwayat Bukhari).
  
Ketujuh :.Selepas mengucapkan 'Amin' apabila selesai membaca surah al-Fatihah.

Nabi SAW bersabda yang bermaksud : "Apabila imam mengatakan 'Amin', maka ucapkanlah 'Amin'. Sesiapa yang mengucapkan 'Amin' bersama dengan para malaikat, diampunkan dosa yang telah lalu."  (Hadis Riwayat Bukhari dan Muslim)

Kelapan : Tempoh masa dari azan hingga iqamat, dan juga sewaktu bilal telah iqamat untuk solat, dan sewaktu masuk ke dalam saf.

Sabda Nabi SAW. yang bermaksud : "Tidaklah ditolak doa di antara azan dan iqamah." (Hadis Riwayat Tirmizi).

Kesembilan : Setiap sujud di dalam setiap waktu solat.

Rasulullah SAW. bersabda yang bermaksud : "Tidaklah seorang hamba sujud sekali kepada Allah kecuali Dia akan menulis baginya satu kebaikan dan menghapus satu keburukan daripadanya dan meninggalkan satu darjat. Oleh itu, perbanyakkan sujud." (Hadis Riwayat Ibnu Majah dengan sanat yang sahih).

Sabda Nabi SAW yang bermaksud : "Tidak ada sesuatu perbuatan hamba yang lebih disukai Allah daripada tatkala Allah melihatnya sedang sujud sambil membenamkan wajahnya ke dalam tanah (debu)" (Hadis Riwayat At-Tabrani di dalam Al-Ausat)

Kesepuluh : Waktu Dhuha.

Waktu Dhuha ialah waktu setelah berakhirnya masa tahrim (28 minit selepas waktu syuruk). Solat Duha adalah solat memohon dimurahkan rezeki. 

Malahan di antara fadhilat solat Dhuha ialah memurahkan rezeki. 

Doa selepas solat dhuha  : "Ya Allah, Sesungguhnya waktu dhuha itu dhuhaMu, Kecantikannya kecantikanMu, Keindahannya keindahanMu, Kekuatannya kekuatanMu, Kekuasaannya kekuasaanMu, Perlindungannya perlindunganMu.Ya Allah, Jika rezeki masih dilangit turunkanlah, Jika dibumi keluarkanlah, Jika sukar permudahkanlah, Jika haram sucikanlah, Jika jauh dekatkanlah.Berkat waktu dhuha, KecantikanMu, KeindahanMu, KekuatanMu, KekuasaanMu,Limpahkan kepadaku segala yang telah Engkau limpahkan,  kepada hamba-hambaMu yang soleh."

Kesebelas : Selesai solat fardu. 

Ditanya kepada Rasulullah SAW., 'Doa manakah yang didengar (Allah)' Sabda baginda, "Doa itu mustajab pada waktu malam dan selesai solat fardu." (Hadis Riwayat Tirmizi).

Kedua belas : Sepanjang perjalanan semasa bermusafir. 

Sabda Nabi SAW yang bermaksud : "Tiga bentuk doa yang pasti dimakbulkan Allah, iaitu ; doa orang yang teraniaya, doa orang yang bermusafir dan doa ibu bapa terhadap anaknya." (Hadis Riwayat Abu Daud).

Marilah sama-sama kita perbanyakkan berdoa dan bermunajat kepada Allah SWT tanda kita reda dan bersyukur di atas nikmat dan rahmat yang telah diberikan oleh Allah SWT kepada kita semua. Mereka yang sombong tidak suka berdoa dan mengharap belas kasihan daripada Allah SWT, tetapi seorang mukmin yang bertakwa akan sentiasa lidahnya berzikir dan berdoa mengharap pertolongan , rahmat dan kasih sayang-Nya.

No comments: