Monday, June 15, 2015

Ihdad (Berkabung) Wanita Yang Kematian Suami

Ihdad maksudnya iaitu bahawa seorang wanita ketika ditinggal kerana kematian suaminya, ia diwajibkan untuk menjauhi dari berhias dan dari hal-hal yang dapat mengundang perhatian orang. Misalnya berdandan, memakai celak, memakai baju-baju yang termasuk dalam batasan baju baju yang indah, memakai wangi-wangian, perhiasan; anting, kalung, cincin dan sebagainya. Hal ini disebabkan kerana besar hak suami terhadapnya. Hal ini pula kerana memang pada dasarnya secara hati, wanita tiada hasrat melakukannya dalam waktu yang paling sedih dan luka hatinya. Dan Islam pun memberikan syariat yang sesuai dengan ini. Hukum ihdad ini wajib menurut majoriti ulama.

Nabi SAW bersabda maksudnya, “Tidak halal bagi seorang wanita yang beriman kepada Allah dan hari akhir untuk berihdad terhadap mayat lebih dari tiga hari kecuali bila yang meninggal itu suaminya, maka ia berihdad selama empat bulan sepuluh hari.” (Hadis Muttafaq Alaih)

Zainab binti Ummu Salamah berkata, bahawa Ummu Salamah berkata, "Datang seorang wanita menemui Rasulullah SAW ia berkata, ‘Wahai Rasulullah, suami puteriku telah meninggal dunia. Sementara puteriku mengeluhkan rasa sakit pada matanya. Apakah kami boleh memakaikan celak pada matanya?’ ‘Tidak,’ jawab Rasulullah SAW sebanyak dua atau tiga kali. Setelahnya baginda bersabda: “Masa ihdad itu hanyalah empat bulan sepuluh hari. Adapun dulu di masa jahiliah salah seorang wanita dari kalian menjalani masa iddahnya selama satu tahun.” (Hadis Muttafaq Alaih)

Bahkan kewajiban ini juga berlaku pula bagi setiap isteri yang ditinggal meninggal suaminya, walaupun mereka belum “berkumpul” sekalipun, baik wanita itu masih kecil, ataupun sudah besar, masih perawan (ketika dinikahi suaminya) ataupun sudah janda.

Hal ini seperti yang disebutkan oleh Imam Nawawi: “Dalam hadis di atas ada dalil wajibnya berihdad bagi wanita yang menjalani ‘iddah kerana kematian suaminya. Perkara ini secara umum disepakati walaupun ulama berselisih dalam perinciannya. Ihdad ini wajib bagi setiap wanita yang menjalani ‘iddah kerana kematian suami, baik ia telah ‘berkumpul’ dengan suaminya atau pun belum, si wanita masih kecil atau sudah besar, perawan (ketika dinikahi suaminya) atau sudah janda, wanita merdeka atau hamba, wanita muslimah atau wanita kafir. Ini merupakan mazhab Al-Imam Asy-Syafi’i t dan jumhur”.

Adapun sebagian ulama menyatakan bahawa ihdad hanya berlaku bagi wanita muslimah saja.

Ihdad ini juga berlangsung selama empat bulan sepuluh hari, seperti halnya iddah, bagi isteri yang hamil, ihdadnya hingga ia melahirkan. Masa empat bulan sepuluh hari ini adalah masa yang pendek jika dibandingkan masa ihdad dan iddah di zaman jahiliyah, dimana mereka beriddah dan berihdad selama satu tahun, masa satu tahun seperti ini masih berlaku di awal mula Islam.

No comments: