Monday, December 28, 2015

Kenapa Timbulnya Hadis-hadis Palsu ?

Hadis palsu adalah kata-kata yang direka dan dianggap atau dilabelkan sebagai hadis. Terdapat juga kata-kata hikmah daripada para sahabat, tabiin atau ulama yang disalah anggap sebagai hadis. Kesemua ini dikatakan sebagai hadis maudhu’ atau hadis palsu. Persoalan tersebarnya hadis-hadis palsu adalah satu perkara yang serius dan perlu sama-sama ditangani oleh kita semua terutamanya golongan yang diberikan ilmu agama.

Terdapat banyak buku yang menceritakan dengan panjang lebar tentang sejarah kemunculan hadis-hadis palsu. Buku ini dikarang oleh para ulama sejak dahulu hingga kini. Namun saya ingin mencadangkan kepada para pembaca untuk meneliti sebuah buku yang ditulis oleh Abd. Fattah Abu Ghuddah yang bertajuk Lamahat Fi Tarikh al Sunnah Wa Ulum al Hadith. Sebahagian besar maklumat yang saya akan sebutkan seterusnya di sini diambil daripada buku ini.

Rasulullah Saw Telah Memberikan Isyarat Kemunculan Hadis Palsu.

Jika kita membaca buku-buku hadis, kita akan bertemu dengan beberapa amaran daripada Rasulullah SAW tentang dosa mencipta hadis palsu dan bahaya menyebarkan kata-kata yang bukan daripada diri Baginda SAW. Ini adalah merupakan satu tanda jelas bahawa pemalsuan hadis akan berlaku selepas Baginda SAW wafat. Di antara hadis yang jelas menyebutkan bahawa akan berlaku penipuan terhadap hadis-hadis Baginda SAW ialah sebuah hadis yang diriwayatkan oleh Muslim di dalam Sahih Muslim:

Maksudnya: "Akan ada pada akhir zaman umatku sekumpulan manusia bersifat seperti dajjal dan pembohong yang memberitahu kamu tentang hadis yang kamu tidak pernah mendengarnya dan juga tidak pernah didengari oleh bapa-bapa kamu. Janganlah mereka mendekati kamu dan janganlah kamu mendekati mereka. Janganlah mereka menyesatkan kamu dan menjatuhkan kamu ke dalam fitnah. (Hadis sahih riwayat Muslim dalam pendahuluan Sahih Muslim (hadis no. 15 ).

Bilakah Bermulanya Pemalsuan Hadis?

Menurut Abd. Fattah Abu Ghuddah di dalam bukunya Lamahat Min Tarikh al Sunnah, permulaan jenayah pemalsuan hadis adalah pada sekitar tahun 40 Hijrah. Sebab utama yang memulakan jenayah ini ialah pertelingkahan dan perselisihan yang bermula sejak Khalifah Uthman Bin Affan gugur syahid dibunuh oleh golongan pemberontak. (Lamahat Min Tarikh al Sunnah Wa Ulum al Hadith – Abd. Fattah Abu Ghuddah – muka surat 45 – cetakan Maktab al Mathbu’at al Islamiyyah, Halab, Syria.)

Sebab-Sebab Hadis Palsu Dicipta.

Terdapat banyak sebab yang menjadikan sebahagian manusia tergamak melakukan kesalahan yang amat besar ini iaitu memalsukan hadis. Sebab-sebab ini dapat dilihat dalam bentuk golongan yang menyebut hadis palsu. Secara ringkasnya saya sebutkan di sini beberapa golongan yang menyebut hadis-hadis palsu bersumberkan daripada tulisan Ali al Qari (1014H) dalam bukunya al Mashnu’ Fi Ma’rifati al Hadis al Maudhu’. Ianya adalah seperti berikut :

1- Golongan yang terlalu tenggelam dalam zuhud tanpa ilmu sehingga daya ingatan mereka menjadi kurang dan tidak dapat membezakan di antara hadis atau kata-kata orang lain. Mereka tersilap lalu menyebut sesuatu sebagai hadis sedangkan yang sebenarnya bukan hadis.

2- Golongan ahli periwayat hadis yang tidak menghafaz hadis-hadis mereka. Maka apabila sesuatu berlaku kepada buku mereka, mereka tidak dapat mengingat dengan tepat apakah hadis yang telah mereka catatkan.

3- Golongan yang soleh tetapi disebabkan terlalu tua, mereka terkena penyakit nyanyuk lalu tersalah dalam menyebut hadis-hadis palsu. (Golongan pertama, kedua dan ketiga ini memang wujud dari dulu hingga hari ini. Orang-orang yang soleh dan baik akhlaknya tidak semestinya alim dan berpengetahuan dalam bidang hadis. Begitu juga dengan orang-orang alim yang kurang mengingati hadis-hadis yang pernah dihafalnya satu ketika dahulu. Berhati-hati adalah satu kewajipan.)

4- Terdapat juga golongan yang tersalah meriwayatkan hadis-hadis palsu, tetapi setelah ditegur, mereka sombong dan enggan menarik balik kata-kata mereka.

5- Golongan zindiq yang jahat. Mereka mencipta hadis-hadis palsu bertujuan menyesatkan umat Islam.

6- Golongan yang taksub dengan mazhab masing-masing dan mencipta hadis-hadis palsu untuk menguatkan dan memenangkan mazhab mereka.

7- Golongan jahil yang mencipta hadis-hadis palsu kononnya untuk menggalakkan manusia melakukan ketaatan atau menggerunkan mereka daripada melakukan perkara maksiat.

8- Golongan yang menyatakan bahawa tidak mengapa meletakkan sanad palsu kepada kata-kata yang indah.

9- Golongan pengampu yang mencipta hadis-hadis agar mereka disayangi oleh pemerintah.

10-Golongan penceramah dan tukang cerita yang berceramah di masjid-masjid. Mereka mencipta atau meriwayatkan hadis palsu semata-mata untuk menarik minat masyarakat awam agar mereka mendapat banyak habuan kebendaan dan menjadi masyhur.

Sepuluh golongan ini ialah mereka yang dinyatakan oleh Ali al Qari sebagai golongan yang menjadi sumber datangnya hadis-hadis palsu. Kita dapat lihat dengan jelas bahawa ada di antara golongan yang disebutkan oleh Ali al Qari yang sememangnya jahat dan ada juga yang jahil atau tersilap.

No comments: