Sunday, March 13, 2016

Kaedah Sembelihan Menurut Islam.

Konsep sembelihan dalam Islam atau ‘Zabiha’ telah meletakkan garis panduan dalam penyembelihan haiwan dengan baik dan teliti. Pengetahuan mendalam mengenai kaedah penyembelihan yang mengikut syariat amat penting kerana ia berkait rapat dengan faktor kerohanian dan kesihatan.

Islam adalah agama ‘Rahmat – Kasih Sayang’ untuk seluruh manusia bahkan kepada haiwan. Islam sangat berhemah dalam penyembelihan binatang ternakan.
.
Sembelihan ialah mematikan binatang dan menghalalkan dagingnya. Sembelihan menurut bahasa ialah ‘Thayyib‘ iaitu mengelokkan. Pengertian kedua adalah ‘Tatmim’ membawa maksud menyempurnaan iaitu menyempurnakan apa yang diharuskan dengan cara sembelihan.
.
Sembelihan adalah salah satu cara untuk mematikan atau menghilangkan nyawa binatang yang halal dimakan dengan memutuskan urat halkum dan urat marih dengan menggunakan alat yang tajam dengan niat kerana Allah.

Firman Allah SWT yang bermaksud : “Diharamkan kepada kamu (memakan) bangkai (binatang yang tidak disembelih), dan darah (yang keluar mengalir), dan daging babi (termasuk semuanya), dan binatang-binatang yang disembelih kerana yang lain dari Allah, dan yang mati tercekik, dan yang mati dipukul, dan yang mati jatuh dari tempat yang tinggi, dan yang mati ditanduk, dan yang mati dimakan binatang buas, kecuali yang sempat kamu sembelih (sebelum habis nyawanya), dan yang disembelih atas berhala.”   (Surah Al-Maidah ayat 3)
.
Hukum sembelihan adalah wajib dan binatang yang mati tanpa disembelih adalah dianggap bangkai, najis dan haram dimakan. 

Allah SWT berfirman maksudnya : “Dihalalkan bagi kamu segala yang baik-baik”.   (Surah Al-Maidah ayat 4)

Rukun Sembelihan.

Ijma’ para fuqaha mengatakan rukun sembelihat terhadap binatang terbahagi kepada 4:

1. Penyembelih
2. Binatang sembelihan
3. Alat untuk menyembelih
4. Keadaan (tempat / perbuatan) sembelihan.

Syarat-Syarat Sembelihan
.
1) Orang yang menyembelih.

a) Hendaklah beragama Islam atau Ahli Kitab (Kitabiyah).
b) Baligh; tidak sah jika kanak-kanak.
c) berakal; tidak sah jika orang gila
d) Tidak dalam ihram haji atau umrah
e) Dengan sengaja membaca Basmalah.
.
Firman Allah SWT maksudnya : “Maka makanlah haiwan (yang halal) yang disebut nama Allah ketika menyembelihnya, jika kamu beriman kepada ayat-ayatnya”  (Surah al-An’aam, ayat 118).

Binatang Yang Disembelih.

a) Binatang yang halal dimakan
b) Binatang itu masih hidup
c) Mati dengan sekali sembelihan
d) Wajib putus urat pernafasan (urat merih) dan urat tempat lalu makanan (halkum).

Alat Sembelihan.

a) Mestilah alat yang tajam seperti pisau
b) Dibolehkan dari besi (logam), kayu, buluh, kaca, batu atau alat-alat lain yang ditajamkan.
c) Tidak termasuk gigi, tulang dan kuku.
.
Sabda Rasulullah Shallallahu Alaihi Wasallam dari Rafi’ ibnu khadij radhiallahu ‘anhu: “Apa-apa yang dapat mengalirkan darah serta disebut nama Allah padanya (waktu menyembelih), maka boleh kamu makan, kecuali gigi dan kuku, dan aku akan khabarkan kepada kamu sedemikian itu, (kerana) gigi adalah tulang dan kuku adalah pisau orang Habsyah.”  (Hadits riwayat Bukhari dan Muslim)
.
Sabda Nabi Shallallahu Alaihi Wasallam maksudnya : “Sesungguhnya Allah mewajibkan untuk berbuat baik kepada sesuatu. Oleh itu jika kamu membunuh, maka perbaikilah cara membunuhnya, dan apabila kamu menyembelih maka perbaikilah cara menyembelihnya dan tajamkanlah pisaunya serta selesakanlah haiwan sembelihannya itu” (Hadis riwayat Muslim).
.
Tempat Sembelihan.

Terdapat 2 keadaan penyembelihan iaitu penyembelihan ke atas binatang yang berkuasa keatasnya dan penyembelihan ke atas binatang yang tidak berkuasa ke atasnya.
.
a)  Penyembelihan ke atas binatang yang berkuasa (menangkap & menyembelih) ke atasnya. Wajib memutuskan dengan sempurna urat HALKUM dan urat MARIH. (Halkum ialah tempat salur nafas pernafasan dan marih pula tempat salur makan dan minum.)
.
b)  Penyembelihan ke atas binatang yang tidak berkuasa ke atasnya.
Binatang yang sukar ditangkap (buruan) atau binatang yang tidak dapat disembelih pada lehernya seperti sembelihan biasa seperti binatang yang terjatuh ke dalam perigi dan sukar dikeluarkan. Memadai dengan melukakan mana-mana bahagian pada tubuhnya hingga mampu menyebabkan mati.
.
Mazhab Syafi’e berpendapat hanya diwajibkan untuk memutuskan dua jenis urat iaitu urat halkum dan urat marih sahaja. Namun sunat hukumnya memutuskan 2 urat (salur) darah yang berada di kanan dan kiri leher binatang yang disembelih bagi mempercepatkan kematian.

No comments: