Monday, July 6, 2009

Kematian Adalah Suatu Kepastian.

Assalamualaikum Warahmatullahi Wabarakatuh

بِسْمِ ٱللَّهِ ٱلرَّحْمَـٰنِ ٱلرَّحِيم
 
Segala puji bagi Allah, Tuhan sekelian alam. Selawat serta salam buat junjungan mulia Nabi Muhammad SAW keluarga serta para sahabat dan pengikut yang istiqamah menuruti baginda hingga ke hari kiamat.

Sahabat yang dirahmati Allah,
Daripada Abu Hurairah r.a , Rasulullah SWT  bersabda yang bermaksud :
"Perbanyakkanlah olehmu mengingati sesuatu yang memutuskan segala kelazatan (mati)."
(Hadis Riwayat Tirmizi)

Sedarkah kita semua, bahawa masa berlalu terlalu pantas dan umur kita semakin meningkat, kita masih lalai sehingga kita lupa bahawa sedetik masa berjalan kematian sedang menggamit kita dan kita semakin hampir dengannya. Seperti mana kita ketahui bahawa kematian adalah sesuatu yang pasti berlaku. Satu hakikat atau kenyataan yang di lalui oleh setiap manusia yang hidup di muka bumi ini. Manusia adalah khalifah Allah di dunia ini. Oleh itu mereka akan di pertanggungjawabkan dengan amanah Allah SWT. untuk menegakkan Syariat Islam dan memakmurkan alam ciptaan Ilahi dengan mentaati segala suruhanNya dan menjauhi segala laranganNya.

Kita sering mendengar berita tentang kematian , tetapi sejauh mana kita mengambil iktibar di atas peristiwa yang berlaku keatas keluarga kita , sahabat handai , jiran tetangga dan masyarakat setempat.
Renunglanlah buat keinsafan kita bahawa kematian berlaku di mana-mana sahaja , dan berlaku dalam berbagai bentuk . Ada kematian di sebabkan kemalangan jalan raya , sakit tua ,sakit jantung , lemas di laut dan berbagai-bagai lagi jenis kematian yang dapat di saksikan. Hanya Allah s.w.t. sahaja mengetahui nasib sesaorang di akhir hayatnya.

Oleh itu sebagai orang yang beriman kepada Allah SWT, hendaklah sentiasa berdoa agar kita mati dalam keadaan husnul khatimah (penutupan akhir hayat yang baik). Bukan dalam keadaan su'ul khatimah (penutup akhir hayat yang tidak baik), na'uzubillahiminzalik!

Sahabat yang dimuliakan,
Semua manusia tidak tahu bilakah dia akan di panggil pulang untuk bertemu dengan Allah s.w.t. Dengan erti kata lain, sesiapa pun tidak tahu bilakah nyawanya akan di cabut oleh malaikat maut , di tempat manakah badannya akan terkejur sejuk kedinginan dan tidak bergerak lagi,ketika itu roh akan naik kelangit dan kita pun tidak mengetahui samaada roh kita akan di terima untuk berhimpun bersama arwah para Anbiya , Syuhada' dan ulama' atau adakah roh kita akan di tolak lalu di campakkan ke jurang api neraka.

Justru itu marilah sama-sama insafi diri kita bahawa saat kematian sesuatu hakikat yang pasti akan terjadi ,ianya tidak boleh di tangguhkan atau di percepatkan, walaupun satu saat apabila ajal sudah tiba , janji Allah s.w.t pasti akan di tunaikan.

Berlaku suatu peristiwa di zaman Nabi Sulaiman a.s ,apabila baginda mengadakan jamuan untuk rakyat jelata ,terdapat seorang tetamu yang tidak di kenali memerhatikan seorang rakyat Nabi Sulaiman a.s dengan pandangan yang menakutkan, lantas lelaki tersebut bertanya kepada baginda siapakah orang tersebut, lalu baginda menyatakan orang tersebut adalah malaikat maut. Lalu lelaki tersebut meminta Nabi Sulaiman a.s membawanya jauh ke negeri India dengan bantuan angin. Baginda bersetuju memenuhi permintaan lelaki tersebut dan dia pun di hantar ke India. Sampai sahaja di India malaikat maut sudah menunggu dia di sana dan lelaki tersebut pun di cabut nyawanya dan mati di situ juga. Selepas menjalankan tugas tersebut malaikat maut datang semula ke tempat jamuan tadi dan berjumpa dengan Nabi Sulaiman a.s. Apabila baginda tanya kepada malaikat maut kenapakah dia memandang cara menakutkan pada lelaki tersebut , malaikat maut berkata dia merasa hairan , sepatutnya dia mencabut nyawa lelaki tersebut di negeri India dalam masa beberapa saat lagi tetapi orang yang akan di cabut nyawa itu masih berada di Palestin. Semua peristiwa yang berlaku ini adalah telah di tentukan oleh Allah s.w.t. sejak azali lagi, manusia hanya boleh merancang tetapi keputusan terakhir adalah dari Allah s.w.t semata-mata.

Nabi SAW  ada bersabda yang bermaksud : "Sesungguhnya hati manusia itu akan berkarat seperti mana karatnya besi."
Para sahabat bertanya kepada Rasulullah SAW , "Bagaimana hendak mengubatinya ,Ya Rasulullah ?"
Maka Rasulullah SAW  menjawab, "Tilawah al-Quraan dan mengingati mati."

Mengingati mati adalah pencuci hati yang sangat berkesan. Dari sanalah kita akan memasuki pintu keinsafan dan kesedaran. Marilah sama-sama kita mengambil peluang yang di sediakan ini sebagai seorang individu muslim mukmin yang mengaku beriman kepada Allah s.w.t dan mencintai Rasulullah s.a.w.

Kita akan berfikir dan membuat pertimbangan terhadap sesuatu perkara yang mahu di lakukan bukan hanya untuk masa yang terdekat , tetapi kita akan berfikir dan membuat pertimbangan yang sewajarnya yang menjangkau wawasan akhirat yang lebih jauh dari itu. Kita berfikir bagaimana nasib yang akan di lalui di alam kubur nanti, di Padang Mahsyar , ketika di hisab dan ketika di hadapan kepada Mahkamah Allah SWT.

Sahabat yang dikasihi,
Marilah kita sama-sama membuat persediaan yang sempurna serta perancangan yang teratur untuk kita dapat selamat daripada api neraka dan mendapat keberuntungan yang sangat besar dengan memasuki syurga yang penuh dengan segala kenikmatan dan kelazatan yang tidak terhingga.

No comments: