Friday, August 21, 2009

Puasa Yang Ikhlas Akan di Ampunkan Dosa-Dosa Yang Lalu

Assalamualaikum Warahmatullahi Wabarakatuh

بِسْمِ ٱللَّهِ ٱلرَّحْمَـٰنِ ٱلرَّحِيم

Segala puji bagi Allah, Tuhan sekelian alam. Selawat serta salam buat junjungan mulia Nabi Muhammad SAW keluarga serta para sahabat dan pengikut yang istiqamah menuruti baginda hingga ke hari kiamat.

Sahabat yang dirahmati Allah,
Niat adalah penting untuk meletakkan sesuatu perbuatan itu ibadah atau sebaliknya. Jika seseorang itu berpuasa hanya untuk kesihatan atau sekadar melaksanakan amalan ritual tanpa mempunyai hubungan hati dengan Allah, maka amalannya itu tidak dikira ibadah.

Allah SWT. mewajibkan ibadah puasa di bulan Ramadan merupakan salah satu daripada Rukun Islam. Sesiapa yang melaksanakannya dengan hati yang ikhlas akan di beri ganjaran pahala yang besar, sebaliknya sesiapa yang meninggalkannya dengan sengaja tanpa uzur yang dibenarkan syarak akan mendapat dosa dan di murkai oleh Allah SWT.

Rasulullah SAW. bersabda yang bermaksud :
"Sesiapa sahaja yang berpuasa di bulan Ramadan dengan hati yang ikhlas disertai iman yang mendalam, dengan mengharapkan ganjaran daripada Allah, maka segala dosanya yang lalu akan diampunkan. Dan sesiapa yang melalui malamnya dengan beribadah dengan ikhlas dan iman yang mendalam, dan mengharap balasan baik daripada Allah, juga sesiapa yang berjaga di malam yang mulia (Lailatul Qadr) dosanya yang terdahulu akan diampunkan."

Matlamat selain Allah SWT tidak sepatutnya mencemarkan kesucian niat. Jadikanlah puasa kita hanya untuk keredhan dan kepatuhan kepada Allah. Nabi SAW  bersabda yang bermaksud, "Setiap amalan itu dinilai berdasarkan niat."

Prof. Dr Yusof al-Qardhawi berkata, "Demikianlah manusia, terdiri daripada ruh dan jasad. Jasad mempunyai tuntutan dari jenis dunianya yang rendah, sedangkan ruh mempunyai tuntutan dari jenis dunianya yang tinggi. Dari sisi inilah Allah SWT mewajibkan puasa, agar manusia dapat membebaskan diri daripada dominasi gharizahnya (penguasaan nafsu), terkeluar dari penjara jasmaninya, sanggup mengalahkan syahwatnya, menguasai kehendak kebinatangannya yang rendah itu, dan dapat menempatkan dirinya mirip dengan kedudukan malaikat, sehingga tiada hairan kalau ruh orang yang berpuasa itu dapat meningkat dan menghampiri makam rohani yang tinggi."

Sekirannya seorang muslim berpuasa dengan niat untuk mentaati Allah, dia akan memperolehi darjat takwa beserta ganjarannya. Serentak dengan itu dia juga mendapat faedah dari segi fizikal iaitu mendapat tahap kesihatan yang lebih baik.

Akhir kata, Allah SWT menjadikan puasa Ramadan untuk melunakkan hati dan jiwa untuk menjadi insan kamil, mendidik dan melahirkan kasih dan kesabaran. Puasa juga boleh melahirkan peribadi muslim mukmin yang jujur, ikhlas, tenang dan bersederhana.

2 comments:

fiza said...

"Nawaitu souma godhin ‘an adaa i, fardhi syahri ramadhaana haadzihis sanati lillahi ta’aalaa"... Semoga Ramadhan ku kali ni, lebih baik dr sebelum2nya...

abubasyer said...

Jadikanlah Ramadhan tahun ini adalah adalah Ramadhan terbaik dalam hidup kita. Jadilah kita 'orang baru'. Baru segala-galanya, meningkat dan bertambah dalam :iman, ilmu, akhlak dan takwa. dan bersih dari dosa-dosa yang telah lalu.